Sambutan Hari Lahir: Apa Di Sebaliknya.

>> Tuesday, August 28, 2012




SAMBUTAN HARI LAHIR: APA DI SEBALIKNYA.



Kelmarin, Isnin, 27 Ogos 2012, cucu kami Nik Syafia Zaini bt Safayi mengadakan sambutan hari lahirnya yang kelima.



Dia sendiri yang meminta ibunya mengadakan sambutan hari lahir itu. Dan meminta ibunya, Noorbaiti Zaini membelikan sebuah kek khas hari lahir untuknya.



Tidak ada apa-apa acara yang diadakan. Tidak ada tamu yang diundang. Tidak ada lilin atau api yang dipasang. Tidak ada pakaian istimewa yang dipakaikan kepadanya.



Yang ada hanya, dia memotong kek dan memakanya bersama dengan keluarganya, termasuk abang-abangnya. Itu sahaja.



Semoga Allah lanjutkan usianya sebagai insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah di sepanjang hayatnya.



Kek itu pun sebuah kek hari lahir yang kecil sahaja, dibuat secara amat sederhana, tapi kemas dan cantik kelihatan. Ia ditempah dari seorang teman ibunya, Maesara yang memang terkenal dalam membuat kek.



Pada hakikatnya setiap tiba hari lahir seseorang, maka bererti setahun lagi usia kita telah berlalu untuk menuju ke arah keabadian. Berapa lama lagi kita boleh hidup, tidak ada siapa yang mengetahuinya, ia hanya berada dalam pengetahuan Allah S.W.T.



Mempunyai usia yang panjang itu memang baik. Sekiranya dihabiskan usia itu dengan beriman kepada Allah S.W.T., iaitu dengan melakukan ketaatan dan kebaktian kepada-Nya.



Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya”.



Sebaliknya ia akan merupakan satu petaka dan kemalangan, andainya usia yang panjang itu tidak dihabiskan dalam keimanan, tapi dengan bergelumang dalam lautan kemaksiatan dan kedurhakaan kepada Allah.



Tidaklah menjadi kesalahan kepada mana-mana insan untuk memohon dikurniakan umur panjang oleh Allah Yang Maha Pengasih dengan tujuan untuk menjadi seorang manusia yang beriman dan bertakwa dengan meningkatkan amalan-amalan yang baik untuk mendekatkan dirinya kepada Allah.



Tapi tidaklah berguna kiranya usia panjang yang dikurniakan oleh Allah itu tidak dihabiskan dalam keimananan, tapi sebaliknya berenang di dalam lautan kemaksiatan dan kedurhakaan kepada Allah.



Ingatlah, usia yang kita miliki ini amat penting. Nilainya tidak terharga. Ia adalah harta kekayaan yang dengannya kita membeli kebahagian yang kekal dan abadi daripada Allah S.W.T. Kebahagian di dunia ini tidak ada nilainya, jika dibandingkan dengan kebahagian di akhirat.



Menjaga usia bererti menjaga masa. Justeru menjaga masa bererti menjaga usia. Usia kita berlalu, bersama masa berlalu. Keduanya adalah sama, hanya sebutan sahaja yang berbeza.



Oleh itu, awas dan waspadalah dengan usia atau masa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita itu. Kita akan diminta pertanggungjawabnya nanti oleh Allah bagaimana kita membelanjakan masa atau usia kita itu semasa hidup di dunia yang fana ini.



Jangan gunakan masa kita dengan sia-sia. Jangan habiskan usia kita dengan perbuatan yang mendurhaka kepada Allah. Jangan sia-siakan masa kita walau pun sedetik. Setiap detik yang berlalu itu amat besar nilainya kepada kita di sisi Allah di akhirat nanti.



Bila hari lahir anda? Hari ini? Besok? Lusa? Tulat? Tubin? Atau kelmarin? Kelmarin dulu? Seminggu yang lalu? Sebulan yang lalu?, Atau setahun yang lalu? Itu tidak penting. Kerana yang pentingnya bagaimana kita menghabiskan usia yang telah lalu itu. Adakah kita menghabiskan usia kita itu dalam ketaatan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. atau sebaliknya mendurhaka kepada Allah?



Dalam meniti usia ini, kita hendaklah hidup dalam keimanan, mentaati Allah dan bersegera melakukan amal dan kebajikan, tanpa menempoh-nempoh waktu. Sebab kita tidak tahu, apa yang akan berlaku sekejap lagi, petang ini, malam ini, pagi besok dan seterusnya. Kerana alam ghaib ini hanya menjadi rahsia Allah sahaja.



Itulah dikatakan usia insan ini lebih wajar dikira dengan segala amalannya, bukannya dengan menghitungnya hari, minggu, bulan atau tahun sejak ia dilahirkan ke dunia!



Rasullah s.a.w. bersabda, “Bersegeralah mengerjakan amal-amal soleh sebelum kamu sibuk. Dan lakukan hubunganmu dengan Tuhan-mu dengan memperbanyakkan zikir kepada-Nya”.



Dan Baginda s.a.w. juga memperingatkan kita dengan sabdanya, “Pergunkanlah lima peluang sebelum datang yang lima: Masa muda sebelum datang masa tua. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa kaya sebelum masa miskin. Dan masa hidup sebelum tiba masa mati”.



Dan Baginda s.a.w. juga memperingatkan umatnya dengan sabdanya, “Dua kenikmatan yang manusia sering terpedaya di dalamnya, iaitu masa sihat dan masa lapang”.



Inilah beberapa perkara yang sepatutnya menjadi tema utama setiap orang yang mengadakan sambutan hari lahir, selain daripada mengadakan jamuan, makan dan minum, malah tidak jarang pula yang melanyak-lanyakkan larangan agama dengan mengadakan majlis-majlis maksiat pada hari sambutan hari lahir mereka, seperti bercampur dengan bebas antara lelaki dan perempuan, mengadakan majlis tari menari, berpakaian tidak menutup aurat, menghidangkan minuman-minuman haram dan seribu macam maksiat lagi.



Ingatlah dalam mengadakan sambutan hari lahir ini, janganlah kita meletakkan diri kita sebagai manusia yang lalai sebagaimana terkandung dalam sabada Baginda s.a.w., “Kebanyakan manusia dalam keadaan lalai, ia baru sedar kelak sesudah mati”.



Kata Rasulullah lagi, Ahli-ahli syurga yang hidup bahagia dan senang lenang itu pun merasa kesal dengan perbuatan sia-sia mereka semasa hidup di dunia. Baginda s.aw. bersabda, “Ahli Syurga tidak akan merasa kesal sama sekali, kecuali terhadap masa-masa lalu yang pada mereka tidak menyebut nama Allah”.



Sekali lagi diulangi, perkara-perkara ini patutlah menjadi ingatan kita semua setiap tibanya hari lahir, samada kita merayakannya atau tidak merayakannya. Kerana hari-hari yang berlalu itu amat penting buat kita, kerana ia sentiasa meragut usia kita bersama dengan kelaluannya yang jarang terlintas dalam fikiran kita.



Ini adalah merupakan sebahagian daripada hakikat-hakikat hidup kita sebagai seorang insan di dunia yang hanya merupakan tempat persinggahan sementara untuk mengutip bekalan-bekalan penting dalam menuju ke alam akhirat yang kekal dan abadi.



Ingatlah usia kita amat berharga, tidak ternilai harganya. Sedetik masa berlalu, tidak dapat kita beli kembali walau pun dengan sebongkal emas dan intan berlian, ia telah menjadi keras beku di alam abadi untuk dipersembah ke hadirat Allah S.W.T. nanti.



Sambutlah hari lahir anda, kalau anda ingin berbuat demikian, tapi jangan lupakan diri anda dengan sambutan-sambutan yang melalaikan dan memesongkan diri anda dan juga orang lain daripada mengingati hakikat kehidupan manusia sebagai seorang insan kerdil yang terpaksa tunduk kepada kehendak dan ketetapan Allah Yang Maha Besar.



Ingatlah janji Allah memang benar!



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEND


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP