Ketupat Jantan Ketupat Betina
>> Thursday, August 30, 2012
KETUPAT BETINA KETUPAT JANTAN
Ketupat adalah sejenis masakan tradisional orang Melayu, khususnya di Malaysia. Biasanya pada masa-masa yang lalu, ia merupakan sebahagian daripada hidangan utama hari raya pada masyarakat di kampung dan desa.
Pada setiap kali hari raya, setiap rumah di kampung mesti menyediakan ketupat raya. Malah ia merupakan sebahagian lambang hari raya kepada masyarakat kampung. Sebab itu sehari sebelum hari raya, dikenali dengan panggilan “Hari Buat Ketupat”, maksudnya sehari sebelum hari raya.
Orang-orang Kelantan tidak lama dulu masih juga menggunakan perkataan “Hari buat ketupat” atau “sehari sebelum hari buat ketupat” bila menyebut hari sehari atau dua hari sebelum hari raya, tapi sejak ke belakangan ini unggakapan tersebut hampir pupus daripada dipergunakan generasi baru, kecuali oleh orang-orang tua di kampung-kampung.
Ketupat yang dimaksudkan itu ialah ketupat pulut, bukannya ketupat nasi yang dibungkus dengan daun kelapa yang dianyaman.
[Kamus Dewan Bahasa, Cetakan Keempat [Edisi Baru] 1993 hanya memberi erti ketupat sebagai, “nasi yang dimasak dalam kelongsung daun kelapa yang dianyaman”.]
Dewan Bahasa pada waktu itu terlupa kepada ketupat yang diperbuat daripada beras pulut [ketupat pulut] yang berbentuk tiga bucu atau tiga sudut, sedangkan ketupat nasi berbentuk empat persegi. Ketupat pulut kelongsongnya diperbuat daripada daun palas, tapi ketupat nasi kelongsongnya diperbuat dari daun kelapa.
Ketupat nasi, tawar seperti nasi kapit atau nasi himpit, tapi ketupat pulut rasa lemak dan manis, kerana dimasak dengan santan dan gula; ketupat nasi dimakan dengan kuah sate atau lontong dan sebagainya tapi ketupat pulut ia hanya di makan begitu sahaja seperti memakan kuih-kuih yang lain.
Ketupat nasi tidak mengandungi apa-apa bahan lagi di dalamnya, tapi ketupat pulut, mungkin dimasukkan beberapa biji kacang catak ataupun dibubuh sambal daging atau serunding untuk meragamkan rasanya.
Ada juga sesetengah orang membuat ketupat pulut tawar yang hanya menggunakan santan tanpa gula. Ketupat ini dikenali sebagai ketupat lemak.
Kepada sesetengah orang, ketupat lemak ini enak dimakan dengan sambal daging atau serunding atau kuah sate, tapi sesetengah orang pula suka mencicahnya dengan gula atau madu untuk menambahkan keenakannya.
Selain daripada diperbuat daripada beras pula, ada juga sesetengah ketupat tiga bucu ini diperbuat daripada tepung ubi kayu yang telah dimasak lemak dan manis. Kadang-kadang ketupat ubi kayu ini boleh didapati di pasar-pasar.
Di samping ketupat nasi, ketupat pulut [ketupat tiga bucu] ada sejenis ketupat lagi yang dikenali dengan nama “ketupat dakap”. Ia juga diperbuat daripada beras pulut dan bersantan, tapi dibungkus dengan daun pisang, bukan dengan daun palas. Bentuknya tidak tiga segi, tapi leper dan memanjang sedikit seperti kueh lepat.
Ia dipanggil ketupat dakap, kerana bila selesai dibungkus dengan daun pisang, dan ketika hendak dimasak dua biji ketupat itu didakap atau dipeluk kemas-kemas dengan diikat dengan tali, biasanya dierbuat daripada batang pelepah daun pisang. Tapi sejak kebelakangan ini ada pula mereka yang menggunakan tali rapia sebagai pengikatnya untuk memudahkan kerja.
Sejenis ketupat lagi, ialah ketupat sotong, iaitu sotong yang disumbat dengan pulut yang telah dimasak terlebih dahulu, kemudian itu dimasak sekali lagi dengan kuhnya yang khusus. Rasanya juga manis.
Kelongsong Ketupat
Ada perbezaan yang ketara dari segi pembungkus atau kelongsong ketiga-tiga ketupat itu, selain daripada perbezaan daun yang digunakan sebagai pembungkusnya.
Pembungkus ketupat nasi lebih sukar untuk dianyaman dari daun kelapa muda. Kalau daun kelapa tua tidak boleh dilentur ketika menganyamannya. Andainya anyaman pembungkus ketupat nasi itu tidak menjadi, beras tidak dapat dimasukkan ke dalamnya, justeru tidak pula dapat ditanak atau dimasak, nanti untuk menjadi ketupat.
Ketupat dakap pula mudah untuk dibuat pembungkusnya dari daun pisang yang tidak mudah koyak. Daun pisang yang telah ditanggalkan dari pelepahnya itu, dikoyak sekadar yang perlu sebagai pembungkus lepat pulut yang telah dimasak terlebih dahulu, seperti hendak membuat lepat, kemudian letak pulut ke atasnya, dan lipat daun pisang untuk membungkus pulut didalamnya, selepas itu ikat dengan tali, supaya tidak terburai di dalam periuk ketika di masak nanti.
Pembungkus ketupat pulut tiga bucu juga tidak begitu sukar untuk dianyaman. Buka daun palas. Buat satu lipatan sudut atau bucu, masukkan pulut yang telah ditanak sekadar yang perlu. Pulut hendaklah dibungkus dalam bentuk dua bucu, dan disimpulkan ekor daun palas di atasnya untuk menjadikannya tiga bucu. Kemudian baru dimasak.
Untuk membuat pembungkus ketupat pulut ini memang tidak sukar. Cuma yang biasa menjadi problemnya ialah ia tidak menjadi sebagaimana sepatutnya sebagai pembungkus ketupat pulut. Namun begitu ia masih boleh dimasak dan dinamakan ketupat juga bila sudah masak nanti.
Sebenarnya ada dua bentuk pembungkus ketupat pulut. Untuk membuatnya tergantung kepada kebiasan dan kepandaian seseorang ketika menganyamannya.
Pertama ketupat yang pembungkus tidak diperbuat dengan sempurna itu dipanggil “ketupat betina”, kerana bahagian akhir daun palas yang ditarik ke atas untuk diikat itu terletak di pinggir pembungkus dan dianggap seperti caping yang dipakai oleh kanak-kanak perempuan untuk menutup kemaluannya pada masa dahulu.
Ketupat yang pembungkusnya diperbuat dengan betul sebagai pembungkus ketupat dipanggil “ketupat jantan”, kerana bahagian akhir daun palas yang ditarik keatas untuk diikat itu terletak di bahagian tengah pembungkusnya dan dianggap seperti cawat, iaitu kain cawat yang dibuat oleh kaum lelaki ketika hendak melakukan seusuatu yang agak lasak, seperti ketika hendak memanjat pokok nyur dengan memakai kain pelikat atau kain sarung untuk menghalang ia daripada terbuka dan mengembang yang akan menjadi penghalang untuk memanjat.
Kepada orang Kelantan perbuatan bercawat yang dilakukan oleh orang lelaki itu dipanggil “cawat kotel”, dan kotel ini ganti nama kepada alat sulitnya.
Oleh itu kepada mereka yang biasa memakan ketupat pulut bila melihat ketupat, akan mengetahui adakah pembuat ketupat itu orang yang sudah biasa membuat ketupat atau baru belajar membuat ketupat, menyebabkannya menjadi “ketupat betina”.
Pulut yang terkandung dalam ketupat betina ini mungkin tidak begitu padat seperti ketupat jantan bila sudah dimasak.
Kami selalunya terenyum melihat sesetengah gambar ketupat pulut yang tersiar di akhbar-akhbar, di majalah-majalah dan juga buku-buku yang menghiasi resipi ruangan masakan kerana sebahagiannya berbentuk ketupat betina.
Semasa hayat nenek Urai dulu saya biasa juga menganyam pembungkus ketupat pulut, tapi kebanyakan yang saya buat menjadi ketupat betina, dan bila hendak mengisinya dengan pulut, nenek Urai terpaksa mengubah bentuknya menjadi ketupat jantan.
Sejak kebelakangan ini ketupat pulut tidak lagi menjadi istimewa hidangan hari raya, kerana ia boleh dibeli di pasar-pasar atau di pasar pagi atau pasar malam. Dan harganya telah berubah, kalau dahulu harganya hanya sepuluh sen sebiji, tapi sekarang harga ketupat kosong, tiga puluh sen sebiji atau tiga biji seringgit, dan yang mengandungi isi serunding atau sambal daging pula harganya antara lapan puluh sen hingga sembilan puluh sen sebiji.
Tidak apalah kalau sedap. Tapi kadang-kadang ketupat itu bukan sahaja tidak lemak kerana kekurangan santan, tapi juga keras bertongkol-tongkol atau menjadi terlalu lembek jijik yang tidak dapat dipegang seperti biasa.
Itulah sebabnya setiap orang yang ingin mencari rezeki dalam sesuatu bidang, termasuklah masakan, seperti kueh dan sebagainya hendaklah rajin belajar dan mencuba, kalau perlu bayar, bayarlah ilmu yang hendak dipelajari itu, supaya buah tangan kita disukai oleh ramai pelanggan dan sentiasa mencarinya bila mereka terasa ingin hendak memakannya.
Tapi hari ini, kebanyakan masakan yang dijual di pasar-pasar bukan sahaja ketupat, tapi makan-makanan lain juga bukan sahaja tidak disukai pembeli, tapi dikeritik hebat oleh pembeli-pembeli, malah ada yang mengutuknya, kerana bila dibuka di rumah, makanan yang mereka beli itu, entah apa rasanya, dan tidak langsung dapat dibubuh ke mulut, sedangkan harganya tinggi, kerana itu ia hanya menjadi santapan bakul sampah.
Jangan malu untuk belajar. Jangan malu untuk bertanya. Jangan malas untuk belajar. Jangan kedekut untuk belajar. Untuk masak masakan untuk suami pun kena belajar, tidak boleh pakai hentam kerumu, nanti tengkok suami tidak meluluskannya.
Buat ketupat di waktu siang
Untuk edaran jiran tetangga;
Adik sayang abang pun sayang
Rumah tangga aman bahagia.
ENDPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd
Read more...