>> Wednesday, June 9, 2010

WASPADA DENGAN ANCAMAN ORIENTALIS

Secara umumnya umat Islam menghadapi dua bentuk ancaman yang besar, iaitu ancaman dari luar dan ancaman dari dalam. Apa yang dimaksudkan dengan ancaman dari luar ialah perbuatan-perbuatan orang-orang bukan Islam atau orang kafir untuk merosak atau meruntuhkan agama dan umat Islam dengan berbagai-bagai gaya dan cara. Ancaman-ancaman dari luar mungkin dilakukan secara langsung dan mungkin juga dilakukan secara tidak langsung, dan ancaman-ancaman secara langsung biasanya datang daripada orang-orang Kristian yang berusaha untuk memurtadkan umat Islam, puak-puak orientalis yang berusaha untuk merosakkan agama Islam, puak-puak komunis yang berusaha menghancurkan Islam, dan puak Yahudi yang berusaha untuk meleburkan agama Islam dan umat Islam.

Ancaman-ancaman tidak langsung pula berupa penyebaran fikiran atau isme-isme yang boleh merosakkan fikiran dan akidah umat Islam, seperti fahaman liberalisme, sekularisme, atheis, anti-Hadis dan sebagainya. Problem-problem yang terdapat di kalangan umat Islam yang menjadi ancaman kepada agama Islam dan umat Islam juga banyak. Problem-problem ini mungkin wujud secara tidak disedari ataupun secara sedar untuk menguggat umat Islam dari dalam, kerana kepentingan diri atau puak sendiri, atau pun kerana merelakan diri menjadi ajen-ajen musuh, iaitu orang-orang kafir yang mengatur strateji untuk merosakkan Islam dari dalam.

Antara ancaman-ancaman itu kebanyakanya berpunca daripada perbezaan pendapat yang berlaku dalam soal agama, dan juga politik. Antaranya perbezaan mazhab, percanggahan pendapat para ulama dan cerdik pandai Islam mengenai sesuatu isu, kelemahan-kelemahan para ulama, perpaduan di kalangan umat Islam, ajaran-ajaran sesat dan berbagai-bagai problem lagi yang menjadi ancaman kepada umat Islam sejak dahulu hingga sekarang. Tapi kebanyakan kita sering meminggirkan problem-problem dalaman yang sering menguggat umat Islam, seolah-olah ianya tidak wujud, sedangkan faktor-faktor dalaman ini lebih penting daripada faktor-faktor luaran. Jika hakikat dalaman kita umat Islam perkasa, maka sudah tentu tidak ada musuh yang berani untuk melanyak kita, malah andainya mereka berani sekali pun, kita masih dapat bertahan, dan tidak akan runtuh, sebaliknya musuh yang akan binasa. Amerika Syarikat, Britain dan konco-konconya hanya baru berani menyerang Iraq setelah diyakinkan bahawa negara-negara Islam, khususnya negara-negara Arab tidak akan menyebelahi Iraq dalam konflik tersebut. Orang-orang bukan Islam, khususnya orang-orang Kristian dan Yahudi memendam berbagai-bagai perasaan negatif terhadap Islam dan umatnya, perasaan yang berbaur antara takut, gerun, benci, cemburu dan dendam kesumat yang sentiasa menyala membakar hati mereka kerana sentiasa digoncang oleh syaitan yang terkutuk. Justeru itu mereka mengatur, menysun dan melancarkan berbagai-bagai progrem yang teratur untuk memunsnahkan Islam dan umatnya tanpa kasihan belas lagi

Pada umumnya orang-orang kafir merasa bimbang dan terguggat dengan Islam yang sentiasa meningkat kekuatannya dari masa ke masa, walaupun telah digodam sebegitu rupa oleh mereka di sepanjang sejarah yang dicatat dengan tinta berdarah umat Islam. Mereka merasa gentar kerana agama Islam agama yang murni yang mengamalkan demokrasi tulen, tanpa sebarang diskriminasi dari segi jasmani ataupun rohani.

Di dalam Islam semua insan yang beriman adalah dianggap sama, tidak ada perbezaan antara si kulit putih dengan si kulit hitam, tidak ada perbezaan kerana darjah atau pangkat, tidak ada perbezaan antara si miskin dengan si kaya, tidak ada perbezaan antara buruh dan majikan, tidak wujud perbezaan kerana kelas sosial dalam masyarakat, tidak ada perbezaan antara rakyat dan pemerintah. Semuanya sama belaka kedudukannya dalam Islam. Sebab kelebihan antara seorang dengan seorang dalam Islam adalah kerana iman dan ketakwaannya. Orang-orang kafir merasa amat bimbang, kerana Islam menutut umatnya supaya menjadi umat yang terbaik dan terpuji yang boleh menjadi contoh dan tauladan kepada semua umat manusia di dunia ini. Untuk menjadi umat contoh, mereka mestilah bersikap unggul dalam semua perkara, tidur bangun, tingkah laku, tutur kata, makan minum dan segala-galanya, barulah kita boleh menjadi umat contoh yang dikagumi oleh seluruh umat manusia.

Mereka juga sedar bahawa sistem pemerintahan Islam secara khalifah sebagaimana diamalkan oleh para sahabat Rasulllah s.a.w. [Khulafur Rasyidin] yang begitu berkesan pemerintahannya. Kerana itu ia dihapuskan oleh Barat. Dengan sistem khalifah ini ketua negaranya dipilih oleh orang ramai, maka dengan itu bererti di negara- negara Islam tidak ada sistem demokrasi, berparlimen sebagaimana diamalkan oleh negara-negara Barat itu.

Mereka sedar umat Islam tidak dapat atau sukar untuk ditewaskan dalam jangka masa yang panjang, kerana bila tiba waktunya seluruh umat Islam akan bangkit bersatu melancarkan perang jihad yang amat digeruni oleh orang-orang bukan Islam, kerana dengan semangat jihad ini orang-orang Islam sanggup berkorban apa sahaja yang mereka miliki, termasuk jiwa dan raganya demi kepentingan agamanya yang dikasihi.

Justeru itu orang-orang kafir sentiasa mencari jalan, dengan apa sahaja, untuk mematah-matahkan semangat kental orang-orang Islam itu hingga ke akar-akar umbinya, dengan melancarkan gerakan-gerakan yang menggelebah dan menghancurleburkan pemikiran umat Islam yang rasional, dan memesungkan fikiran mereka daripada agama mereka sendiri, serta mencetuskan perbalahan sesama Islam. Dengan cara menghancurkan umat Islam dari dalam seperti itu mereka mengharap umat Islam akan dapat ditewaskan dengan mudah.

Dengan itu nyatalah bahawa tujuan utama mereka bukanlah untuk memurtadkan umat Islam secara langsung supaya memeluk agama Kristian, kerana mereka sedar perkara seperti itu sukar untuk dilakukan selagi umat Islam berpegang teguh pada al-Quran dan al-Sunah. Sebaliknya cara yang mudah kepada mereka ialah dengan jalan merendah-rendah, meremeh-remeh, memudah-mudah dan menghina-hina Islam, dengan itu diharapkan orang-orang Islam akan terpengaruh dan terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir yang keji itu, dengan tercetusnya rasa kurang penghargaan, penghormatan, dan kemuliaan serta junjugan mereka terhadap agama mereka yang telah diterima oleh Allah S.W.T.

Untuk tujuan tersebut orang-orang kafir telah membentuk berbagai-bagai rangkaian gerakan pemusnahan Islam yang khusus, yang terdiri daripada kaum cendakiawan mereka yang kerja-kerja jahatnya melancarkan propaganda-propaganda biadab untuk menjatuhkan Islam menerus berbagai-bagai cara. Salah satu daripada gerakan-gerakan itu yang terkenal ialah gerakan Orientalis atau gerakan ketimuran.

Kaum Orientalis biasanya menggunakan lidah atau tangan mereka untuk memusnahkan Islam. Mereka menggambarkan umat Islam dalam gambaran yang keji dan hina, sebagai manusia yang suka bermewah-mewah, berharem-harem, hanyut dan tenggelam dalam kemewahan hidup yang tidak bertepi, suka berpoya-poya mengikut hawa nafsu yang buas, meneguk arak sambil dikelilingi oleh wanita-wanita seksi di sekeliling pinggang.

Apa yang mereka gambarkan sebenarnya tidak wujud di kalangan masyarakat Islam. Gambaran itu hanya mungkin terdapat dalam cerita-certia seribu satu malam, ataupun ia hanya mungkin berlaku di kalangan segelintir raja-raja, atau syeikh-syeikh ataupun kaum-kaum bangsawan di Timur atau di Barat di negara-negara Islam yang telah diserang oleh kerosakan moral, kerana tidak beriman kepada Allah S.W.T., tapi beraja di mata dan bersultan di hati.

Kerja-kerja untuk memburuk-burukkan Islam ini bukanlah perkara baru, telah berabad-abad lamanya mereka lakukan semata-mata untuk memburuk-burukkan Islam, dan umat Islam yang tidak pernah memusuhi agama mereka.

Mereka juga tidak segan-segan menuduh Islam berkembang di zaman Rasulullah s.a.w. dengan kekuatan mata pedang, ertinya dengan paksaan ataupun kekerasaan. Serentak dengan itu mereka juga menuduh Rasulullah s.a.w. melancarkan peperangan kerana hendak mengejar keuntungan kebendaan ataupun kerana kepentingan ekonomi dan bukannya kerana penggembangan agama Islam sebagaimana diperintah oleh Allah S.W.T.

Tuduhan mereka adalah tuduhan yang dusta berdasarkan khayalan yang jahat dan ganas. Sejarah Islam dengan jelas membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dan pejuang-pejuang Islam menyiarkan agama Islam secara aman dan damai. Sepanjang hayatnya Baginda s.a.w. tidak pernah memaksa sesiapapun supaya memeluk Islam. Agama Islam ialah agama yang aman dan damai. Perkataan Islam itu sendiri, dari segi bahasa bermaksud perdamaian. Kitab Suci al-Quran melarang umatnya melakukan pemusnahan dan paksaan terhadap sesiapapun.

Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, Surah Al-‘Raaf, maksudnya:“Hai anak-anak Adam [manusia], jika datang kepada kamu Rasul-rasul daripada kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat perintahKu], maka barangsiapa yang bertakwa dan memperbaiki amalannya, tidaklah ada kebimbangan [dari berlakunya kejadian yang tidak baik] terhadap mereka dan tidak pula akan berdukacita”. Al-‘Araaf:35.

Mengikut ulama-ulama tafsir ayat di atas bermaksud Islam tidak memaksa sesiapapun untuk memeluk agama Islam, sebaliknya Islam memerintah umatnya supaya menyampaikan ajaran Islam kepada setiap manusia dengan cara yang wajar. Kemudian terserahlah kepada mereka yang berkenaan untuk menerima ataupun menolaknya.

Dalam Surah al-Baqarah, Allah berfirman, maksudnya:“Tidak ada paksaan dalam agama [Islam], sesungguhnya telah nyata kebenaran [Islam] dari kesesatan [kufur]”.Al-Baqarah:256.

Tokoh-tokoh Islam yang terkemuka daripada berbagai-bagai kaum dan bangsa memeluk agama Islam secara sukarela, tanpa paksaan daripada sesiapapun. Sebagai contohnya, di antara mereka ialah Bilal bin Rabah berbangsa Habsyi, Salaman al-Farisi berbangsa Parsi, dan Omar al-Khattab berbangsa Arab. Mereka semua memeluk agama Islam atas pilihan mereka sendiri, tanpa sebarang paksaan atau tekanan sesiapapun.

Kalau di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia kaum Orientalisnya terdiri dari orang-orang Belanda, kerana merekalah penjajah di negara itu, dan kalau di Malaysia pula kaum Orientalisnya terdiri dari orang-orang Inggeris, kerana merekalah yang paling lama menjajah negara ini, khususnya di Malysia Barat. Demikian juga dengan negara-negara lain di seluruh dunia ini. Sebagai penjajah mereka lebih mengetahui selok-belok negara yang mereka jajah dan mereka lebih mengetahui apa yang mereka kehendaki daripada tanah jajahan mereka tersebut.

Kaum Orientalis ini, kalau mereka berbicara atau menulis mengenai sejarah, terutama sejarah Islam, biasanya mereka mempunyai dua tujuan yang tersirat, pertama kerana kepentingan kolonial mereka, dan kedua kerana kepentingan penyiaran agama Kristian.

Dalam tulisan-tulisan sejarah mereka, baik berupa ilmiah atau hasil kajian yang mendalam, mereka secara putar belit akan mempersalahkan pemerintah, raja-raja dan juga kaum Bumiputera yang beragama Islam di sesebuah negara tanah jajahan itu. Sebaliknya mereka akan membenarkan pihak penjajah, Belanda kalau di Indonesia, dan Inggeris kalau di Malaysia, seolah-olah mereka tidak mengerti langsung kenapa kaum Bumiptera bangkit menentang mereka untuk menuntut keadilan.

Untuk tujuan pengembangan agama Kristian pula, antara lain mereka akan mendedahkan segala kekuatan yang terdapat pada sesuatu umat Islam, supaya dengan itu mereka dan sekutu-kutunya menyedari sejauh mana kekuatan yang dimilki umat Islam yang sebenarnya, dan dengan itu dapatlah mereka mempersiapkan diri mereka dengan kekuatan yang lebih besar atau kuat lagi untuk menjatuhkannya di kemudian hari.

Setelah segala titik kekuatan umat Islam diketahui, maka di situlah mereka jadikan sasaran, lalu mereka menyerangnya dengan kekuatan yang lebih hebat daripada itu secara bertubi-tubi hingga umat Islam tersebut tidak mampu lagi untuk bertahan dan lalu hancur dan musnah, meninggalkan puing-puing kehancuran sahaja.

Atau mereka dedahkan segala kelemahan umat Islam secara terperinci, dari segenap segi dan sudut, bukan dengan tujuan untuk membina, tapi dengan tujuan untuk membuka lubang supaya segala puak dan juak mereka dapat menyerang dengan sewenang-wenangnya kelemahan itu untuk menumpaskan Islam.

Setelah mereka menyedari peranan dan kesan yang begitu hebat kitab suci al-Quran terhadap umat Islam, maka orang-orang Barat segera bertindak memutuskan al-Quran dengan umat Islam. Antara berbagai-bagai tindakan jahat yang mereka ambil ialah menyekat peyebaran kitab suci al-Quran itu daripada sampai ke tangan umat Islam, mengharam al-Quran dicetak untuk disebarkan, mengubah ayat-ayat al-Quran itu supaya maknanya pun berubah, membuat penafsiran al-Quran yang tidak benar dan menyeleweng daripada maksudnya yang sebenar, menyaran atau mendesak pemimpin-pemimpin Islam dan para ulamak murahan supaya memotong mana-mana ayat yang tidak mereka sukai kerana tidak sejajar dengan kehendak mereka, khususnya ayat yang berhubung dengan jihad dalam Islam.

Setelah mereka mengetahui tentang kesan-kesan besar kitab Ihya’ Ulumuddin karya agung Imam Al-Ghazali terhadap jiwa umat Islam, maka mereka pun melancarkan serangan terhadap kitab yang penting itu sebagai buku yang tidak berharga, kerana banyak mengandungi Hadis-hadis dhaif serta melabelkan Imam Al-Ghazali suka menuduh orang lain kafir. Tidak jarang pula mereka menggunakan cerdikpandai Islam sendiri untuk menghentam dan mengutuk Imam Al-Ghazali. Tujuannya semata-mata untuk memburuk-burukkan kitab itu dan merendah dan mencacatkan peribadi Imam Al-Ghazali, tokoh Islam yang ulung itu.

Pada umumnya perkara-perkara pokok yang sering menjadi serangan jahat kaum orientalis terhadap Islam ialah:

-Nemburuk-burukkan kitab suci al-Quran dan menuduhnya sebagai hasil khayalan Nabi Muhammad s.a.w. semata, tegasnya al-Quran itu bukannya wahyu daripada Allah S.W.T. yang diturunkan kepada Baginda s.a.w.

-Memburuk-burukkan peribadi Rasulullah S.A.W. dan menjatuhkan kehormatanya dengan serendah-rendahnya.

-Memburuk-burukkan Sunah Rasulllah S.A.W. dan menuduhnya bertentangan dengan akal fikiran dan ilmu pengetahuan, serta menimbulkan keraguan tentang keilmuan dan kesahihan sumbernya.

-Menuduh Rasulullah S.A.W. pernah belajar dengan ahli-ahli Kitab Kristian, kerana itu menurut mereka al-Quran bukan wahyu Allah S.W.T., tapi sekadar buah fikiran dan khayalan Rasulullah S.A.W.

Sedangkan Allah S.W.T., dalam kitab suci al-Quran, dalam Surah al-Ankabut, berfirman, maksudnya:“Dan engkau [wahai Muhammad] tidak pernah tahu membaca sebuah kitab pun sebelum turunnya al-Quran ini, dan tidak pernah pula menulisnya dengan tangan kananmu”. Al-Ankabut:48.

Orang-orang Kristian, baik dia puak orientalis atau bukan orientalis patut sangat menyedari bahawa orang-orang Islam tidak pernah menghina para nabi, termasuk Nabi Isa a.s. dan bondanya Siti Maryam, walaupun orang-orang Islam tidak mungkin mempercayai ketuhanan Nabi Isa a.s., tapi mereka tetap percaya kepada kenabian atau kerasulannya sebagaimana orang-orang Islam percaya kepada Kenabian Nabi Muhammad S.A.W.

Malah seorang Islam tidak mungkin menjadi seorang Islam yang beriman jika dia hanya percaya kepada kenabian seorang nabi sahaja dan menafikan kenabian Nabi-nabi yang lain yang begitu ramai disebut dalam kitab suci al-Quran.

Demikian juga orang Islam tidak pernah menghina kitab Injil, tidak sebagaimana orang-orang Kristian menghina kitab suci al-Quran. Malah kita percaya kepada Injil yang tulen yang mengandungi wahyu Ilahi, tapi orang-orang Islam tidak dapat menerima keseluruhan kitab Injil sekarang mengandungi wahyu, kerana Injil sekarang telah dipinda dan diubah mengikut selera dan kepentingan mereka yang terlibat dalam perbuatan khianat tersebut.

-Malah lebih jauh lagi mereka menuduh Islam itu bertentangan dengan ilmu pengetahuan dan tidak boleh dipertanggungjawabkan.

-Mereka tidak teragak-agak menuduh kemunduran umat Islam adalah kerana agama Islam itu sendiri. Tegasnya Islamlah yang menjadi punca kemunduran umat Islam.

Tapi agama Islam bukanlah agama yang menjadi punca kemunduran dan kejumudan umat Islam di dunia ini. Tapi sebaliknya mereka mundur kerana mereka sengaja meninggalkan Islam. Cubalah kaji, sesungguhnya tidak ada sama sekali di dalam Islam faktor yang boleh mendorongkan umatnya ke arah kemunduran, sebaliknya yang ada ialah berbagai-bagai faktor pendorong kepada kemajuan.

Bagaimana Islam boleh dikatakan pendorong kepada kemunduran, sedangkan Islam tidak memandang hina atau keji perbuatan makan, minum, berumahtangga, beranak pinak dan berkeluarga. Sedangkan untuk memperolehi semua itu manusia terpaksa bekerja dan bertungkus lumus sedaya upaya mereka mengikut batas-batas ketentuan oleh Allah S.W.T.

Menurut ahli-ahli tafsir Islam bukan menjadi punca kemunduran selagi Islam menetapkan setiap orang harus memikul perbuatan dosa masing-masing. Sesiapa berbuat salah, tanpa mengira pangkat dan darjat, dia sendiri harus memikul tanggungjawabnya. Itulah ketentuan Allah S.W.T., dan keadilan Tuhan yang meliputi seluruh alam dunia dan Akhirat.

Berhubung dengan perkara ini, Allah berfirman dalam Kitab Suci al-Quran, dalam Surah al-An’am, maksudnya: “Dan tiadalah [kejahatan] yang diusahakan oleh tiap-tiap seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain [bahkan dosa usahanya sahaja]”. Al-An’am:164.

Berhubung dengan perkara ini, kita bersetuju dengan pendapat yang menegaskan andainya Eropah dikuasai oleh Islam, sudah tentu pemikiran sekular tidak akan wujud secara melampau dalam pemikiran cendakiawan mereka mengenai kebendaan sehingga menimbulkan rasa dengki yang mencetuskan revolusi berdarah untuk menyelesaikan problem yang melingkari masyarakat mereka pada masa itu.

-Mereka dengan sewenang-wenangnya menuduh Islam adalah agama yang beku dan jumud yang tidak mampu menghadapi perubahan-perubahan dan cabaran-cabaran zaman yang silih berganti.

-Mereka menuduh falsafah Islam tidak mempunyai keaslian, tapi bersumber kepada falsafah Rome dan Yunani.

-Mereka merosakkan sejarah Islam, mengubah fakta-faktanya ikut suka hati mereka untuk mengelirukan.

-Mereka menuduh semua tokoh-tokoh Islam sebagai pembohong yang tidak boleh dipercayaai.

-Mereka menuduh, bahasa Arab atau bahasa al-Quran tidak mempunyai wibawa atau kemampuan untuk menjadi bahasa perantaraan untuk menyampaikan pendapat dan buah fikiran, dan mendesak supaya penggunaan bahasa Arab yang khusus itu diganti dengan bahasa Arab awam. Tujuan mereka ialah untuk memisahkan generasi-generasi Islam yang baru dengan warisan Islam yang suci dan asli itu.

Sebenarnya mereka sendirilah yang dangkal dan tidak memahami seluk beluk bahasa Arab dan rahsia-rahsia yang tersirat di sebaliknya. Untuk menutup kelemahan sendiri, maka mereka melempar tuduhan ke atas bahasa Arab yang begitu unggul. Justeru itulah segala hasil terjemahan

puak-puak orientalis ini dari bahasa Arab ke bahasa ibuanda mereka, baik bahasa Inggeris atau sebagainya, tidak tepat, malah terpesung daripada maksudnya yang sebenar, terutama dalam bidang hukum-hakam dan sejarah Islam. Kepada puak orientalis perkara ini tidak menjadi masalah, kerana dari sejak semula lagi mereka memang berniat jahat terhadap Islam untuk meracuni fikiran orang-orang Islam dengan fakta-fakta yang salah dan menyeleweng.

Segala fitnah yang ditabur oleh Orientalis ini mungkin tersebar dengan pantas dan luas ke seluruh pelosok dunia, khususnya di dunia Islam yang kebanyakannya berada dalam taraf kemiskinan. Malangnya pengruhnya lebih cepat tersebar di kalangan cerdik pandai Islam, di pusat-pusat pengajian tinggi, di universiti-universiti, di kolej-kolej dan di kalangan profesional, seperti para penulis dan para pendidik. Orang-orang yang terpengaruh dengan fahaman-fahaman jahat orientalis ini akan merasa malu dan hina untuk berpendirian seperti orang Islam, malah tidak jarang pula merasa malu untuk mengaku secara terbuka bahawa mereka adalah seorang Islam yang tulin, kerana menganggp Islam itu telah basi dan lapuk dan tidak sesuai dengan zaman. Malah lebih jauh lagi, ada di kalangan cerdik pandai Islam itu sendiri rela menjadi ajen atau talibarut musuh-musuh Islam untuk mengejek-ngejek Baginda Rsulullah s.a.w. dan mermpersenda-sendakan Islam sebagai agama yang kunu yang tidak sesuai dengan zaman. Tegasnya mereka bertungkus lumus memperjuangkan cita-cita kaum orientalis seolah-olah satu kebenaran yang hakiki, maka dengan berbuat demikian bererti mereka telah menjadi musuh Islam atau antiIslam yang boleh menimbulkan keraguan ke atas ke Islamannya.

Mana-mana masyarakat Islam yang terpengaruh dengan puak-puak orientalis ini sudah tentu akan menerima kesan yang buruk sebagai orang Islam yang telah menjadi Barat, dan kesan-kesan janggal ini dapat dirasa, dan dilihat dengan jelas dalam masyarakat tersebut dengan ciri-ciri dan imej kebaratannya yang boleh mersuakkan Islam, agama tauhid yang sebenarnya di sisi Allah S.W.T.

Antara ciri-ciri yang boleh didapati pada masyarakat atau orang yang telah terpengaruh dengan puak orientalis yang jahat itu ialah:

Mereka tidak berminat atau menjadi lemah pandangan dan lemah sikapnya terhadap Islam yang seharusnya mereka junjung tinggi dan berusaha untuk memertabatkannya. Mereka dengan senang menolak segala unsur dan ciri keIslaman dalam semua bidang kehidupan, kecuali dalam urusan-urusan yang terbatas, seperti dalam urusan ibadat sembahayang, puasa, zakat dan urusan kematian. Itupun tidak jarang pula dicampuradukkan dengan unsur-unsur bidaah.

Mereka amat menyanjung, memuja dan meniru apa sahaja yang datang dari Barat yang mereka anggap semuanya baik, walaupun perkara itu bertentangan dengan agama Islam, seperti penganjuran pesta-pesta hiburan yang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan yang sudah pasti mendorong kepada kemaksiatan yang amat memalukan. Justeru dengan itu mereka menjadi kehilangan kepercayaan, keyakinan dan pegangan pada diri sendiri, kerana peribadi Muslimnya telah hancur berkecai dilanda oleh ombak dan gelombang Barat yang mengancam dan memabukkan keyakinan diri yang amat berharga itu.

Mereka telah kehilangan identitinya sebagai seorang Islam. Mereka tidak mengerti lagi matlamat hidup yang murni dalam Islam. Justeru kehidupan mereka hanya berputar di sekitar memburu kebendaan dan kekayaan, pakaian yang anggun, rumah besar, kereta mewah, harta menimbun. Kerana pada sangkaan dan anggapan mereka hanya kebendaan sahaja yang dapat memberi kepuasan dan kebahagian kepada mereka. Mereka rela berbuat apa sahaja untuk mengaut kemewahan itu, bekerja siang dan malam, tanpa mengenal waktu rihat dan ibadat, terus bekerja tanpa mengira halal atau haram. Kadang-kadang rumahtangga pun tidak diperdulikannya, anak-nak terbiar liar mencari jalan sendiri hingga terlibat dalam maksiat dan dadah, sistem kekeluargaan menjadi berantakan. Itu semua tidak penting, kerana yang penting ialah kebendaan, keduniaan yang hanya tempat persinggahan yang sekejap.

Namun begitu, Islam tidak pernah menghalang atau mengharam manusia mencari kekayaan, melalui berbagai-bagai cara, asalkan cara itu betul dan tidak melanggar peraturan, adab sopan dan undang-undang, seperti

menipudaya, menganiaya orang lain, menindas, memakan harta anak yatim, memakan riba, merasuah, menerima rasuah, membunuh dan berbagai-bagai perbuatan munkar lagi daripada perbuatan-perbuatan yang tidak dibenar oleh syara’, dan disamping itu tidak pula melupakan tanggungjawab keagamaan. Tidak boleh bekerja siang malam, walaupun kerja halal, tapi meninggalkan solat-meninggal solat adalah penipuan yang paling besar bagi orang Islam.

-Orang seperti ini kepala otaknya telah dipenuhi oleh pemikiran Barat, justeru mereka akan meniru dan mencontohi Barat dalam semua bidang kehidupan mereka, dari yang sekecil-kecil perkara membawa kepada sebesar-besar perkara, dengan melupakan segala unsur dan nilai yang lebih tinggi yang dimiliki oleh agama, bangsa dan negara mereka yang telah mereka pandang dengan sebelah mata sahaja.

Orang ini sebenarnya telah menjadi mangsa kekeliruan yang telah direka oleh puak-puak orientalis yang sengaja berlaku zalim terhadap Islam dengan melancarkan berbagai-bagai tindakan mengritik dan mengutuk Islam secara melulu, menyebabkan orang-orang Islam yang tidak mempunyai cukup pengetahuan tentang Islam mempercayainya, lalu ikut membuat kesimpulan melulu dan menyeleweng tentang Islam, dan sudah tentu, samaada disedari atau tidak disedari menjadi pembuntut setia kepada puak orientalis yang jahat itu.

Mujurnya bukan semua fitnah yang ditabur oleh puak-puak orientalis itu ditelan begitu sahaja oleh masyarakat Islam, kerana tidak jarang berlaku hanya sebahagian daripadanya sahaja yang diterima atau diamalkan, tapi sebahagian lagi tidak diterima. Namun begitu, ia tetap menjadi ancaman bahaya kepada Islam buat masa akan datang, kerana keadaan seperti itu mungkin akan berubah buruk di masa-masa akan datang, di mana orang tersebut akan menerima sepenuhnya pendapat orientalis itu, dan menjadikan Barat sebagai neraca untuk mengukur sesuatu dalam semua perkara. Sebenrnya mana-mana masyarakat yang pernah dijajah oleh Blok Barat ataupun Blok Timur, walaupun telah mencapai kemerdekaan, kesan-kesan orientalis itu tetap tidak dapat dielakkan terdapat pada sesuatu bangsa itu, mungkin sedikit dan mungkin banyak mengikut sebagaimana diprogremkan oleh penjajah sebelum mereka meninggalkan negara tanah jajahan itu.

Cara-cara Menyebar

Pada umumnya ada tiga cara puak-puak orientalis menyebar pengaruh mereka ke dalam fikiran umat Islam. Pertama mereka secara peribadi masuk ke dalam sesebuah negara yang menjadi tajuk sasaran mereka dan memegang jawatan yang penting dalam sesebuah institusi resmi negara tersebut. Dengan itu dapatlah mereka menyebar fikiran mereka kepda orang-orang Islam, ataupun dengan jalan membuat dasar yang pro Barat yang mengutamakan kebendaan, dan meminggirkan Islam, umpamanya dalam bidang pendidikan dan dasar ekonomi negara. Perkara seperti ini sering berlaku di masa-masa lalu di mana negara-negara Islam masih berada di bawah belenggu penjajahan.

Kedua dengan jalan menyebarkan akhbar-akhbar, majalah-majalah dan buku-buku yang mengandungi bahan-bahan orientalis dan yang pro Barat, serta menghina Islam, secara tuding ataupun berselindung-selindung. Cara ini lebih mudah dilakukan, dan ia terus berjalan sejak dahulu hingga sekarang. Malah hari ini lebih mudah lagi disebar menerusi internet yang penggunaannya terletak di hujung jari.Ketiga puak-puak orientalis ini menanam propaganda-propaganda jahat mereka secara langsung kepada orang-orang awam atau orang-orang yang sedang belajar ataupun sedang mengikuti pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi. Cara ini amat merbahaya, kerana orientalis itu boleh secara langsung dan bebas berkomunikasi dengan orang-orang yang mereka jadikan mangsa atau menerusi pengajian-pengajian yang mereka ikuti di universiti-universiti di dalam negara dan juga di luar negara.

Pelajar atau pelajar-pelajar Islam yang menjadi pilihan itu akan diberi pendidikan dan latihan khusus untuk membentuk mereka menjadi orientalis. Orientalis itulah yang menjadi guru, menjadi pendidik dan penunjuk ajar kepada pelajar-pelajar yang merupakan anak-anak didiknya itu untuk menjadi orientalis seperti mereka kelak. Usaha-usha mereka itu biasanya berjaya memutar otak pemikiran pelajar yang dimaksudkan, iaitu dengan cara menimbulkan keraguan terhadap kitab suci al-Quran, terhadap Baginda Rasullullah S.A.W. sebagai seorang Nabi dan Rasul dan seterusnya menimbulkan keraguan terhadap agama Islam itu sendiri sebagai agama yang datang dari Allah S.W.T. Para pelajar inilah nanti menjadi ayam didik mereka untuk dilepaskan ke dunia Islam untuk mengharubirukannya.

Para Orientalis akan bekerja keras untuk mengumpul segala perkara yang boleh dijadikan “keraguan” itu, dan mengubahnya mengikut selera mereka supaya menjadi lebih keliru, terutama kepada mereka yang cetek pengetahuannya tentang Islam, kemudian mereka membuat ulasan-ulasan yang tidak tepat dan menyeleweng berdasarkan khayalan-khayalan dan Hadis-hadis palsu semata-mata dengan tujuan untuk merosak dan melumpuhkan Islam sebgaimana menjadi cita-cita jahat mereka yang turun temurun. Kemudian “keraguan-keraguan” yang mereka ada-adakan itu disumbat dan diasak ke dalam fikiran pelajar-pelajar Islam, terutama para pelajar yang masih muda belia dan masih sempit dadanya dengan ilmu pengetahuan agama. Malah Profesor Orientalis itu sering menjadikan “keraguan” tersebut sebagai syarat untuk mendapat Phd. dan sebagainya di dalam pengajian bawah pengawasan mereka. Ertinya untuk lulus, pelajar-pelajar Islam itu terpaksa memburuk-burukkan Islam dengan menggunakan keraguan-keraguan itu.Apa yang dikatakan keraguan itu sebenarnya bukan keraguan, kerana tidak ada keraguan di dalam al-Quran yang berupa wahyu dari Allah yang disampaikan menerusi Baginda S.A.W. dan untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai panduan hidup mereka. Sebenarnya apa yang berlaku ialah kebodohan pembaca-pembacanya yang tidak mahu mempelajari dan memahami al-Quran.

Dr. Ibrahim Khalil Ahmad, seorang pendeta dan seorang Orientalis Kristian dan juga propogandis yang telah memeluk Islam semasa dalam agama Kristian beliau telah diberi tugas khusus mempelajari al-Quran dan mencari kelemahan-kelemahannya untuk dijadikan senjata menyerang Islam. Setelah mengkaji kitab suci al-Quran sebanyak 30 juz itu, beliau tidak menemui sebarang kelemahan di dalamnya. Akibatnya timbul kepercyaan di dalam hatinya tentang kebenaran Al-Quran, dan sebaliknya timbul pula keraguan tentang agama Kristein. Justeru beliau terus masuk Islam.

Justeru, andainya kita melihat, membaca atau mendengar karya-karya puak-puak Orientalis ini, malah karya-karya orang bukan Islam pada umumnya, yang membicarakan tentang Islam, kita hendaklah sentiasa awas dan waspada, kerana penulisnya atau pengkaryanya mungkin terdiri daripada orang-orang yang anti Islam, yang sengaja mencari jalan untuk merosakkan Islam.Kita umat Islam sepatutunya sudah lama menyedari hakikat yang ini, dan terus mencari kebenaran yang hakiki untuk menjamin kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat sebagaimana dikehendaki oleh Syariat Islam, berdasarkan ketentuan Allah dan RasulNya.

Penulis ingin mengungkapkan kembali apa yang pernah dinyatakan oleh Asy Syekah As’ad Baydh Atamimi sebagai ingatan kepada kita semua supaya kita lebih bersikap hati-hati dalam perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan dan akidah, kerana dibimbangi segala perbuatan kita itu akan mencabutkan keimanan dari dada sebagaimana mudahnya pakaian ditanggakan daripada badan kita. Semoga dijauhkan Allah.Beliau menegaskan: “Sesiapa yang kafir kepada Allah, kafir kepada Islam, tidak percaya kepada kemampuannya mengatur tata kehidupan ini, atau mempunyai keyakinan bahwa Islam hanya boleh dioperasikan di dalam masjid sahaja, tidak boleh ikut campur dalam urusan politik, tidak boleh tahu urusan kepemimpinan, tidak boleh campur tangan mengatur hubungan antara manusia yang berbeza-beza, maka orang itu sudah kafir”.

Seterusnya beliau menegaskan: “Dengan demikian, kepada kita diwajibkan memutuskan hubungan dengan orang tersebut, kecuali dalam rangka berdakwah kepadanya dengan kebaikan, kalau ia tergolong ahli kitab. Kalau orang itu beragama Islam, maka ia telah murtad, dan hukum orang murtad dalam Islam sudah diketahui, iaitu bunuh, sesudah diberi penjelasan selama tiga hari, untuk menentukan sikap terakhirnya”.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP