>> Monday, June 7, 2010
NANAS
Kandungan Penawar
1.Merawat Bisul
2.Meredakan Batu Karang
3.Mencuci Muka
4.Menyeri Muka
5.Buang Air Besar
6.Pelawas Kencing
Hidangan
1]Gulai Nanas
Nanas ialah salah sejenis buah yang enak dirasa dan sedap dimakan. Kulitnya berkeriput, dan bermata yang perlu dikupas sebelum dimakan. Rasa isinya ada yang manis, ada yang masam dan ada pula yang rasanya masam manis. Nanas yang belum matang boleh dimakan colek, yang diperbuat daripada kicap campur gula, dan dipenyet lada, ataupun colek yang diperbuat daripada manisan kelapa, garam dan lada yang ditumbuk. Buah yang masak boleh dimakan begitu sahaja seperti memakan buah-bah lain, atau dibuat pembasuh mulut selepas makan. Atau pun ia boleh juga dimasak untuk dijadikan sebahagian daripada hidangan untuk dimakan dengan nasi. Nanas juga boleh dibuat jem untuk dimakan dengan roti dan seumpamannya.Di samping itu ia boleh digunakan sebagai penawar untuk menawari problem-problem kesihatan yang tertentu.
Penawar
1.Merawat Bisul
Pucuk Nanas muda - Potong pucuk nanas muda di bahagian bawahnya sepanjang kira-kira dua ruas jari. Buat lubang kecil di tengah-tengahnya supaya mata atau punat bisul itu tidak tertutup. Ketuk perlahan-lahan potongan pucuk nanas itu, tapi jangan sampai hancur, kemudian tampalkan di atas bisul itu dengan lubang yang ditebuk itu terletak di atas mata bisul supaya terdedah.
Ia boleh meredakan denyutan sakit bisul, mengecutkanya atau boleh juga memecahkan bisul yang telah matang pada bahagian matanya untuk mengeluarkan nanah dan darah yang kotor. Bila bisul telah pecah picitlah keluar semua darah kotor dan nanah pada bisul itu, dan bersihkanlah.
2]Meredakan Batu Karang
Bahan:
1 biji nanas yang tua, sederhana besarnya.
1 biji kelapa muda.
Cara
Nanas dikupas kulitnya, ambil isinya dan dikisar untuk dijadikan jus.
Kelapa muda dibelah dan diambil airnya sahaja.
Campurkan air kelapa muda dengan jus nanas, kacau-kacaukan hingga rata.
Minumlah jus itu sampai habis untuk beberapa kali dalam sesuatu masa. Atau kalau boleh minumlah semuanya sekali gus.
InsyaAllah mujrab.
3]Mencuci Muka
Bahan:
1 biji nanas masak
Cara:
Nanas dikupas kulitnya. Potong melintang, nipis-nipis sekadar yang perlu.
Tampalkan potongan nanas itu ke seluruh muka. Biarkan selama 10 minit. Kemudian tanggalkan, dan cucilah muka hingga bersih.
Hanya untuk muka yang normal.
4]Menyeri Muka
Bahan:
1 biji nanas masak.
Cara:
Nanas dikupas kulitnya. Ambil isinya separuh, lalu diperah untuk diambil airnya. Masukkan ke dalam sebuah bekas yang bersih.
Sapukan air nanas itu berulang-ulang kali ke muka. Biarkan selama 10 minit, kemudian cucikan muka dengan air biasa.
Ia juga boleh menghaluskan kulit muka.
5]Merangsang Pembuangan Air Besar
Bahan:
Beberapa helai daun nanas.
Cara:
Daun nanas hendaklah dibersih, dipotong-potong untuk ditumbuk, kemudian diperah untuk diambil airnya.
Minumlah air perahan daun nanas itu setelah ditapis terlebih dahulu. Kalau pekat sangat, campurkan dengan sedikit air, dan diminum
Ia juga boleh memberhentikan sedu yang berpanjangan.
6]Pelawas Kencing
Bahan:
1 biji nanas muda.
Cara:
Nanas dikupas kulitnya, dan dikisar untuk dijadikan jus Tapis dan diminum.
Peringatan
Dilarang wanita yang berada dalam peringkat awal mengandung meminum jus nanas muda, terutama nanas yang tumbuh meliar, kerana dibimbangi boleh menyebabkan keguguran.
Adalah juga dipercayai memakan nanas segar secara berlebih-lebihan boleh menyempitkan saluran kencing.
Santapan
1]Gulai Nanas
Bahan:
½ biji nanas muda yang telah dikupas kulit, dibelah dua memanjang dan dipotong berkeping-keping setebal 1 sm.
2 sudu besar minyak masak
10 batang lada kering,
Secukup rasa belacan
8 ulas bawang merah
2 sm kunyit basah
[Semua bahan ditumbuk/digiling atau dikisar]
1 batang serai, dititip
Sedikit lengkuas, dititip
Garam secukup rasa
1 sudu teh gula
3 cawan air.
1 sudu teh asam jawa, diramas dengan ½ cawan air. Ambil airnya.
5 potong ikan tenggiri.
Cara:
Pijarkan minyak dalam periuk, tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk/dikisar, bersama-sama serai dan lengkuas, hingga mengeluarkan bau yang wangi.
Masukkan garam, gula, nanas dan air, lalu ditutup dan biarkan mendidih selama 3 hingga 5 minit.
Kemudian masukkan air asam jawa, ikan dan biarkan selama beberapa minit sehingga ikan masak. Baru angkat.
2]Sirap Nanas
Bahan:
1 biji nanas masak
Gula secukupnya
Air seperlunya.
Cara:
Nanas dikupas kulitnya, diparut dan diperah untuk diambil airnya. Tapis dengan kain jarang ke dalam sebah bekas.
Setiap segelas air nanas gunakan ½ gula pasir, dan jerang ke atas api hingga mendidih.
Sejukkan. Untuk diminum campurkan dengan air sekadar yang perlu mengikut selera.
Kiranya sirap terus disimpan.itu ingin disimpan, masukkan sirap yang masih panas itu ke dalam botol, tutup botol rapat-rapat, masukkan botol yang berisi sirap itu ke dalam air panas dan rendam selama 5 minit. Kemudian angkat.
0 comments:
Post a Comment