>> Sunday, June 13, 2010

MENJAGA KEMULIAAN MASJID

Untuk Mendapat Keberkatan

MASJID ialah rumah Allah yang telah dijamin kemuliaan dan kesuciannya. Ia mesti dihormati dan dimuliakan dengan sewajar sebagai tempat ibadat. Adalah menjadi tanggungjawab setiap kita umat Islam menghormati kemuliaan masjid itu, dengan melakukan amalan-amalan yang baik yang boleh meninggikan lagi kesucian masjid dan menjauhkan perkara-perkara yang boleh merosakkan kemuliaan sesebuah masjid itu.

Tapi kita biasanya sering melupakan tanggungjawab kita kepada rumah Allah itu, malah sering melanggarnya dengan sewenang-wenangnya baik disedari atau pun secara tidak disedari, termasuk diri saya sendiri.

Bau Busuk

Kalau kita hendak pergi berjemaah di masjid, kita tidak sepatutnya memakan makanan-makanan yang kuat baunya, seperti bawang putih, petai, jering, buah kerdas, durian dan sebagainya dari makanan-makanan yang berbau.

Pergi ke masjid dengan mulut berbau kerana memakan makanan-makanan seumpama itu sudah tentu dapat menganggu keselesaan ahli-ahli jemaah bersama dengan kita.

Cubalah bayangkan bagaimana jadinya jika kita menguap ketika menunggu imam bertakbir untuk solat setelah berada dalam syaf untuk memulakan solat? Bagaimana pula rasanya orang-orang yang solat di sebelah kiri dan kanan ketika kita sujud dan membaca tasbihnya. Sudah tentu mulut kita akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan mereka.

Bayangkan bagaimana rasanya bau durian yang keluar dari mulut seseorang yang bersendawa di masjid selepas makan durian? Sudah tentu ia menganggukan.

Kadang-kadang bau rokok para perokok ketika mereka sujud pun boleh menganggu ahli-ahli jemaah yang bersolat di sebelah kiri dan kanannya.

Selain daripada menganggu para jemaah, bau busuk mulut seseorang yang dibawa ke masjid itu juga menganggu para Malaikat Allah.

Baginda Rasulullah s.a.w.bersabda,”Barang siapa makan bawang putih, bawang merah dan daun pudina, janganlah ia mendekati masjid kita, kerana Malaikat terasa disakiti dengan sesuatu yang dirasa sakit oleh manusia”. HR:Ahmad, Bukhari dan Muslim.

Tapi anihnya ada pula sesetengah masjid bila mengadakan majlis jamuan, seperti smpena dengan sambutan Maal Hijrah atau sambutan bulan Ramadhan akan menghidangkan juga makan-makan yang terdiri bahan-bahan yang berbau itu, seperti bawang putih, petai dan jering untuk menyedapkan selera?

Mencari Barang Hilang

Ketika berada di masjid, kita dilarang mencari-cari dan bertanyakan barang-barang kita yang hilang, baik yang hilang di masjid ataupun di tempat lain.

Barang-barang yang sering hilang di masjid ialah dompet duit, tas tangan wanita, jam tangan, cincin, kasut dan selipar atau kasut berjenama.

Biasanya kehilangan itu berlaku berpunca daripada kecuaian kita sendiri, walau pun kadang-kadang terdapat kenyataan di masjid supaya para jemaah berhati-hati dengan barang-barang mereka yang berharga, malah ada sesetengah masjid di ibu kota ada menyediakan tempat khas untuk para jemaah menyimpan barang-barang mereka yang berharga untuk mengelak daripada kehilangan.

Kadang-kadang kita yang kehilangan ini akan meminta tolong khatib atau imam masjid melaungkan kehilangan itu dengan pembesar suara di atas mimbar masjid, dan meminta barang itu dipulang kepada kita jika ada sesiapa yang menemuinya

Tidak jarang pula, kita yang kehilangan barang yang berharga itu akan melepas geram dengan menyumpah seranah, dan mengutuk orang yang mengambil atau mencuri barang-barang kita itu.

Perbuatan kita yang tidak beradab itu, sudah tentu menjatuhkan maruah masjid dan menghina masjid.

Baginda Rasulullah s.a.w.bersabda, “Abu Hurairah ra. berkata bahawa Rasululah s.a.w. bersabda, “Barang siapa mendengar seorang lelaki mencari barangnya yang hilang dalam masjid katakanlah kepadanya, Allah tidak akan menggembalikannya kepada anda kerana masjid tidak dibina untuk tujuan itu”. HR:Muslim.

Berjual Beli Dalam Masjid

Kita dilarang berjual beli dalam masjid sebagaimana sering dilakukan oleh sebahagian dari kita sejak kebelakangan ini. Barang-barang yang sering dijual beli oleh jemaah lelaki dalam masjid ialah batu-batu permata, cincin, jam tangan, jamu dan berbagai-bagai jenis ubat-ubatan, termasuk ubat kuat.

Kepada jemaah-jemaah Muslimat, barang-barang yang biasa dijual beli dalam masjid ialah barang-barang kemas, makanan-makanan kering seperti keropok, karipap, sambal daging dan lain-lain makanan segera. Malah kain baju pun ada juga dijual beli dalam masjid.

Di samping itu, kaum Muslimat kita juga sering berbual-bual dengan rancaknya mengenai pakaian, majlis jamuan, pesta-pestaan, dan tak kurang pula mengumpat, mempersenda dan mengeji orang lain yang tidak sebulu dengannya.

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila kamu lihat orang menjual atau membeli di dalam masjid, katakanlah kepadanya, “Allah tidak menguntungkan perniagaan anda”.

Tapi hari ini sebahagian dari kita telah melupakan larangan Rasulullah s.a.w. itu, malah kita sanggup dengan sewenang-wenangnya melanggarnya. Justeru ada dari kita yang sanggup bertengkar, berbantah-bantah, malah juga pukul memukul dalam masjid. Perbuatan-perbuatan biadab ini boleh mengaibkan masjid dan menjatuhkan maruah umat Islam di seluruh dunia.

Bawa Anak Ke Masjid

Membawa anak-anak ke masjid memanglah bagus untuk melatih mereka bersolat. Tapi yang menjadi masalahnya anak yang kita bawa itu anak kecil yang masih belum dapat mengawal jerit dan tangisnya. Bila anak itu menangis, sudah tentu tangisannya itu menganggu ketenangan masjid dan para jemaah yang sedang bersolat, berzikir atau sedang membaca al-Quran.

Kadang-kadang ketika kita sedang sembahayang anak-anak kecil kita itu akan merayap ke sana ke mari, temasuk bermain-main di celah-celah syaf, kadang-kadang hingga ke barisan depan sekali.

Malah tidak jarang pula anak-anak kita itu terkencing dalam masjid, kerana kita terlupa memakai lampinnya, atau pun kerana budak itu tidak sesuai lagi memakai lampin. Lebih malangnya, kadang-kadang kita tinggalkan sahaja bekas kencing anak kita itu, dengan harapan pihak masjid akan mencucinya, atau pun kita mencucinya ala kadar. Kalau dikencing itu atas kapet sudah tentu lebih sukar untuk dicuci.

Tanpa sebarang komen pun kita faham bila ada para jemaah sesudah selesai solat dengan suara agak meninggi bertanya, “Anak siapa menangis tadi?”.

Justeru itu berhati-hatilah untuk membwa anak-anak kecl ke masjid supaya tidak menimbulkan gangguan terhadap para jemaah yang lain.

Mencari Keberkatan

Di samping itu kita juga sering terlupa untuk melakukan perkara-perkara berikut ketika memasuki msjid untuk mendapat keberkatan yang berganda:

Masuk masjid dengan kaki kanan.

Sebutlah nama Allah Azza Wa-Jala.

Beri salam kepada para jemaah yang ada di masjid, atau kalau tidak ada, beri salam kepada diri sendiri.

Berdoa kepada Allah S.W.T. supaya membuka pintu rahmatNya.

Duduk menghadap Kiblat

Sentiasa muraqabah.

Jangan berbual kosong.

Jangan tinggikan suara ketika berzikir.

Keluar masjid dengan kaki kiri.

Semoga dengan berbuat demikian kita akan dikurniakan dengan keberkatan dan ketenangan jiwa yang tidak ternilai harganya, lebih-lebih lagi dalam zaman moden yang serba kalut ini. Amin.

[Tulisan ini lebih ditujukan kepada diri saya sendiri dan keluarga saya yang dikasihi supaya sentiasa memuliakan masjid dan tidak mengabaikannya.]

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP