>> Monday, June 14, 2010

WAHAI SUAMIKU YANG TAMPAN MENAWAN

IMAM Sadiq a.s. pernah berkata,”Wanita adalah dijadikan dari lelaki dan keseluruhan minatnya adalah untuk lelaki, justeru cintailah isteri anda”.

Imam Sadiq a.s. juga pernah berkata, “Seseorang yang menjadi kawan kita, ialah orang yang banyak melahirkan cintanya kepada isterinya”.

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bertambah sempurna iman seseorang itu, bertambah pula pejelmaan cintanya kepada isterinya”.

Imam Sadiq a.s. berkata lagi, “Salah satu daripada sifat Rasulullah s.a.w. ialah baginda menyintai isteri-isteri baginda”.

Baginda s.a.w bersabda lagi, “Ucapan seseorang lelaki yang menyatakan kepada isterinya, “Aku cinta padamu, tak akan hilang di hati isterinya”.

Cinta itu berkembang dari lubuk hati, supaya ia dapat berpaut di hati yang satu lagi. Ia perlu dilahirkan dengan jelas dan tegas. Penghasilannya hanya baru dapat digarap apabila tanda-tanda cinta itu terpancar jelas dalam tutur kata, gerak-geri dan tingkah laku yang menawan.

Justeru, anda hendaklah melahirkan rasa cinta dan kasih sayang anda kepada isteri anda dengan jelas, terang dan nyata seperti sang suria memancar di waktu pagi, tanpa menyembunyinya.

Pujilah dia dan sanjungilah dia ketika bersama atau berjauhan. Tulislah warkah kepadanya ketika berjauhan, dan luahkan perasaan tidak senang anda ketika berjauhan, dan ketika hendak balik ke rumah belilah cendera hati untuknya yang tersayang.

Malah jika berpeluang, telefonlah isteri anda walau pun anda berada di hujung dunia. Tanyalah khabar. Suara anda akan menyenangkannya dan suaranya akan menyejukkan hati anda.

Satu perkara yang tidak dapat dilupakan oleh seorang wanita ialah kasih sayang sejati dan mendalam dari orang yang disayanginya. Wanita seperti juga lelaki, mengambil berat tentang dirinya dan ingin mempertahankan dirinya sendiri.

Dia ingin dihormati dan disayangi. Juteru dia akan bangkit marah jika dicela, dicerca dan dihina.

Sebaliknya kiranya dia dihormati, dia akan merasa senang dan berguna, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berpuas hati dengan kerjanya dan urusan hidupnya.

Ketahuilah, isteri anda mengharap anda lebih menghormatinya dari orang lain. Dia berhak untuk memperolehinya, kerana dia menerima anda sebagai teman hidupnya dan teman setianya di sepanjang hayat.

Ingatlah, isteri anda telah berkorban dengan tekun siang dan malam untuk anda dan untuk kesenangan anak-anak anda, justseru adakah dia tidak berhak untuk mendapat sanjungan dan penghormatan dari anda?

Bila bercakap dengan isteri anda, bercakaplah dengan penuh kelembutan dan hormat. Jangan sama sekali anda menengking atau mengherdiknya. Panggillah namanya dengan panggilan yang manis dan baik, “yang, ling” atau namanya yang manja dan disukainya.

Kalau tanya saya, saya lebih suka memanggil nama singkatan daripada nama penuhnya. Saya panggil isteri saya “Yah”, kerana namanya “Asiah”, dan dia pun puas dengan panggilan itu. Kalau isteri anda nama “Norlida”, panggillah dia “Da”, atau kalau “Latifah”, panggilalah dia “Fah”. Demikianlah seterusnya. Itu pun kalau dia rela.

Jika anda masuk ke rumah, dan isteri anda lupa memberi salam kepada anda, berilah salam kepadanya dahulu.

Kiranya anda hendak keluar rumah, sentiasalah ucap selamat tinggal dan salam kepadanya. Ciumlah pipinya kalau ada ruang.

Jika berada di majlis-majlis atau di khalayak ramai, berilah layanan yang baik dan selayaknya kepada isteri anda. Jangan sama sekali anda memaki hamun, menghina atau mengherdiknya di khalayak. Ingatlah bukan sahaja mendera tubuh badan isteri anda sahaja yang menjadi satu kesalahan, tapi menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat terhadap isteri anda juga tidak wajar dan salah, dan ia juga boleh membawa kepada kemusnahan.

Jangan sama sekali mempersenda-sendakan isteri anda walaupun dalam guruan. Jangan fikir kerana anda suaminya dan anda terlalu biasa dengannya, dia boleh tahan dengan senda gurau anda yang melampau. Walaupun dia mendiam diri tanpa kata, tapi dalam hatinya dia tetap merasa tersinggung dengan guruan yang tidak patut seperti itu.

Ingatlah semua wanita mengharapkan penghormatan daripada suaminya, dan mereka akan mudah merasa sakit hati dengan guruan dan jenakan yang tidak patut dan melampau dari suaminya. Jika anda merenung isteri anda ketika itu, sudah tentu anda akan dapat merasa riaksi isteri anda yang tidak menggembirakan terhadap guruan anda yang melampau itu.

Jika anda menghormati isteri anda, maka sudah tentu isteri anda akan menghormati anda. Sudah menjadi undang-undang alam, tanam lada tak akan tumbuh jagung. Jika berlaku sebaliknya, maka ia adalah berpunca daripada kesilapan anda sendiri.

Dengan cara ini ikatan perhubungan suami isteri dan keikhlasan hati akan terjalin dengan erat dan kukuh, hari demi hari yang berlalu hingga roh keluar dari jasad masing-masing, namun begitu kasih dan cinta yang murni tetap tidak akan terlerai.

Ingatlah, mengambil isteri, bukan seperti mengambil orang gaji atau pembantu rumah. Justeru dia datang kepada anda bukan sebagai orang gaji atau hamba. Dia datang sebagai seorang manusia suci, mulia dan bebas yang memasuki dan bertakhta bukan sahaja di rumah anda tapi juga di jiwa anda untuk berkongsi mengecapi keharuman hidup yang aman bahagia dari dunia hingga akhirat. Itulah pengharapannya, maka perlakukanlah sebaik-baiknya sebagaimana yang patut.

Semoga kita berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat dalam keadaan Mahabah dan Harmoni.

Amin.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP