>> Monday, June 21, 2010
KEMBARA KE KONVOKESYEN OPEN UNIVERSITY MALAYSIA
HARI Sabtu 19 Jun, 2010 kami sekeluarga berada di ibu negara Kuala Lumpur, kerana kembara ilmu. Kami sampai di Rawang dari Kota Bharu pada petang Khamis dan bermalam di rumah anak saya di Tasik Puteri. Di ibu negara ini, kami menginap di sebuah hotel di tengah-tengah ibu kota ini yang sentiasa sibuk dengan serbaneka perkara. Keesokannya, hari Ahad kami menyertai Majlis Konvokesyen ke 8 Open Uviversity yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur, mulai 19 hingga 22 Jun 2010. Anak perempuan saya, Noorbaiti Zaini mendapat Sarjana Muda Pendidikan [ Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua] dengan Kepujian
Saya dan anak sulung saya Arham Zaini masuk ke dewan untuk mengikuti acara konvokesyen yang diadakan di Dewan Merdeka PWTC itu. Anak saya itu mewakili Allahyarham Mamanya hadir bersama dengan saya di majlis yang bersejarah itu. Sementara menantu saya, Safayi bermurah hati memberi peluang kepada anak lelaki saya itu mengikuti majlis konvo tersebut.
Kami duduk di bahagian belakang dewan di jajaran kerusi yang bertingkat-tingkat itu. Dari tempat kami duduk itu memang jauh daripada pentas upacara itu berlangsung, tapi Skrin besar yang dipasang di atasnya membolehkan kami melihat dengan lebih jelas upacara yang berlangsung di situ.
Sementara menunggu graduan-graudan masuk, kami duduk-duduk mendengar paluan muzik tradisonal yang mempesonakan bergema di seluruh dewan yang dihias indah itu. Saya terkenangkan isteri saya, Asiah Yaacob [ya Allah cucurilah rahmatMu ke atasnya!] kalau dia ada, tentu dia amat gembira berada bersama saya di majlis tersebut. Beliaulah yang menjadi pendorong utama kepada anak saya itu untuk menyambung pelajarannya.
Tapi pada peringkat permulaan kerja, anak kami ditugaskan di kawasan yang jauh di pendalaman [Lebir] yang pada masa itu amat susah perhubungan keluar masuk, sedangkan kursus pengajian lanjutan seperti itu hanya terdapat di Bandar Kota Bharu, yang letaknya jauh dari tempat kami berada, tambahan pula pada masa itu perjalanan keluar masuk ke Lebir amat susah, malah hampir terputus langsung dengandunia luar di musim hujan.
Justeru, niatnya hendak belajar terpasa diundurkan buat sementara waktu dan hanya dapat diteruskan setelah bertugas di kawasan luar pendalaman [Kuala Krai]. Tiba-tiba sahaja anak saya yang duduk di sebelah berkata kepada saya, “Pa, kalau Mama ada tentu dia gembira”. Saya mengiakannya. Dada saya terasa bertambah sebak bila dia menyebut nama Mamanya. Anak perempuan saya pula ketika berada di atas kereta untuk balik ke hotel selepas upacara konvokesyen selesai memberitahu dia terkenangkan Mamanya di majlis tersebut, menyebabkan dadanya terasa sebak dan air mata hampir terdesak keluar kalau tidak ditahan. Katanya, “Mamalah yang mendorong dia belajar, sehingga Mama sanggup ikut ke mana sahaja Noor pergi belajar untuk menjaga anak-anak Noor ini”.“Ya,” jawab anak lelaki saya, “Kita harap Mama tahu hal ini, walau pun dia tidak ada lagi bersama kita".
Pada keseluruhannya seramai 5675 graduan menerima Sarjana dan Diploma dalam berbagai-bagai bidang dalam upacara yang berlangsung selama 4 hari itu. Upacara pada hari ini disempurnakan oleh Tan Sri Azman Hashim, Pro-Canselor Open University Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya dalam bahasa Inggeris berbagai-bagai perkara telah disentuh oleh beliau, termasuk peranan guru yang kian mencabar pada zaman mutakhir ini.
Satu perkara yang sedih telah berlaku di sebelah petang hari itu. Memang di luar dugaan. Seorang kanak-kanak telah tersepit tangannya di tangga bergerak di tingkat empat bangunan PWTC itu. Kami berada berhampiran dengan tangga itu, sedang menikmati sandwich, tiba-tiba kami mendengar suara kanak-kanak menjerit-jerit dengan kuat dan ngilu berulang-ulang kali.
Pada mula-mulanya saya menyangka dia sedang bermain-main. Tiba-tiba dari celah-celah orang ramai itu saya melihat seorang wanita dengan muka yang cemas sambil menutup kedua belah telinganya dengan tapak tangan berlari-lari menuju ke belakang meminta tolong, sambil mencerita dengan suara tersekat-tersekat perkara yang berlaku. Tidaklah diketahui siapakah sebenarnya wanita itu.Kemudian saya mendengar suara-suara yang berkata, “Ada kanak-kanak tersepit tangannya di tangga tu,”. Sebentar kemudian kawasan tangga itu dikerumuni oleh orang ramai yang berasak-asak untuk melihat peristiwa yang malang itu. Saya cuba untuk melihatnya dari dekat, tapi tidak mampu untuk berasak-asak.Suara kanak-kanak itu menjerit-jerit ngilu terus juga kedengaran selama beberapa ketika. Mengerikan. Mengilukan. Sehinggalah tiba-tiba terdiam begitu sahaja, mungkin dia telah pengsan.
Untuk menyelamatkannya mula-mula bekalan eletrik ke tangga itu terpaksa dipadamkan terlebih dahulu oleh para petugas, kemudian setelah tangga itu berhenti bergerak, barulah tangga itu dapat dibuka untuk menanggalkan tangan kanak-kanak malang yang tersepit itu, kemudian dia segera diusung dari situ untuk menerima rawatan yang selanjutnya.
Kami berdoa semoga kanak-kanak itu selamat dan dapat disembuhkan dengan izin Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang memayungi hamba-hambaNya dengan limpahan kasih sayang, mahabbah dan harmoni. Sesungguhnya hati kami yang gembira itu terpalit kesedihan dengan perisitiwa itu. Namun bersyukur kerana semuanya berjalan dengan sempurna. Alahamdulillah..
Amin.
0 comments:
Post a Comment