>> Monday, June 28, 2010


RAHSIA LAMBAT TUA ??

Selepas dikemaskini pada 28 Jun 2010


LUMRAHNYA proses hidup seorang manusia bermula dari kandungan ibu, dilahirkan ke dunia sebagai bayi, menjadi kanak-kanak, muda remaja, menuju kedewasaan, dan seterusnya menjangkau usia tua yang pada hari ini dipanggil usia emas. Kemudian kehidupan ini akan berakhir dengan kematian yang tidak dapat dielakkan kepada semua benda hidup dan bernyawa.

Proses kehidupan ini berjalan peringkat demi peringkat sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Dia ciptakan kamu dalam beberapa tingkat kejadian”.Nuh:14.

Dalam usia muda remaja, manusia mempunyai kulit yang terik atau tegang, halus, licin, wajah yang ceria, utuh, kuat dan bertenaga, dan bila usia melangkah tua, perubahan fizikal yang pesat akan berlaku, seperti wajah yang terik menjadi berkeriput, kulit yang tegang menjadi berkedut-kedut, rambut yang hitam berkilat menjdi putih beruban, mata yang terang bersinar menjadi malap dan rabun, pendengaran telinga yang jelas menjadi kabur, sendi-sendi yang kuat menjadi lemah bergoyang dan seterusnya kekuatan fizikal yang utuh menjdi lembah dan lisut, tidak bermaya.

Dari sejak zaman purbakala lagi, manusia tidak jemu-jemu menjalankan penyiasatan dan kajian dari segenap aspek mengenai proses penuaan, seperti apakah faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan fizikal sebegitu rupa terhadap manusia bila dia mencecah usia tua, apakah faktor yang boleh melambatkan proses penuaan itu? Dan berbagai-bagai sudut lagi mengenai penuaan Mereka juga mengkaji kenapa manusia mesti mati, dan apakah faktor yang melambatkan kematian itu, tegasnya apakah faktor yang boleh melanjutkan usia manusia, dan seterusnya berbagai-bagai aspek lagi mengenai penuaan.

Pada tahun 1993 di Amerika Syarikat telah ditubuhkan sebuah “Acaemy Antiaging America” yang bertujuan untuk menjalankan kajian mengenai penuaaan, dan mencari jalan untuk mengatasi penuaan.

Dengan adanya kemajuan yang pesat dalam bidang kesihatan, khususnya di bidang perubatan, jangka hayat manusia di seluruh dunia telah bertambah lanjut dari tahun ke tahun, terutama mereka yang berusia 60an tahun ke atas. Pada tahun 1900 hanya seorang daripada 20 orang yang berusia 65 tahun ke atas, tapi dalam tahun 1954 telah meningkat kepada satu dalam 11 orang, dan dalam tahun 1980 telah meningkat lagi kepada satu dalam 7 orang yang mencapai usia lebih dari 60 tahun. Tegasnya tahun demi tahun umur hayat manusia telah meningkat di seluruh dunia.

Namun begitu, sehingga sekarang para doktor tidak dapat menjelaskan dengan pasti kenapa berlaku perubahan fizikal yang begitu ketara kepada manusia bila mereka mencecah usia tua? Ia masih menjadi rahsia yang membingungkan.

Walau bagaimana pun yang pastinya kebanyakan manusia memang menjangka terlebih dahulu bahawa fizikal mereka akan merosot dengan sendirinya secara otomatis bila mereka mencapai usia tua, dan juga menjangkakan bila mereka mencampai usia seperti itu mereka sudah tentu mudah mendapat berbagai-bagai jenis penyakit yang kronis, seperti penyakit-penyakit jantung, penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis, sengal-sengal sendi dan kesudahannya mereka pasti akan segera menemui ajalnya.

Namun begitu, mengikut Dr.D.Stonecypher M.D, seorang pakar mengenai kelanjutaan usia di Boston, jangkaan manusia seperti itu sebenarnya tidak berasas. Beliau menegaskan, “Penyakit tersebut bukanlah kerana proses penuaan. Penyakit tersebut berlaku kerana kerosakan akibat ketegangan yang berpanjangan yang menimpa anggota-anggota badan atau kerana pemakanan yang buruk. Mungkin tidak ada sebarang penyakit akibat tua. Penyakit-penyakit yang dihubungkaitkan dengan usia tua itu pun memerlukan masa berpuluh-puluh tahun untuk berkembang, dan biasanya tidak tumbuh dalam usia muda. Tidak ada sesuatu mengenai usia tua yang dapat dikaitkan dengan kesihatan yang buruk”.

Justeru itu dengan menjaga kesihatan anda supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik, sihat walafiat, merupakan salah satu faktor yang amat berharga untuk melambatkan proses penuaan, dan juga mungkin dengan izin Allah S.W.T dapat melanjutkan usia anda berdasarkan hukum sebab dan musabab. Dan juga sekali gus dapat mempertahankan keremajaan seseorang, kerana dengan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat itu, maka bererti anda bebas daripada berbagai-bagai jenis penyakit yang menjadi salah satu sebab kepada kebanyakan kematian umat manusia di dunia hari ini.

Ramai orang yang tinggal di kawaan pergunungan Tibet hidup dalam usia yang panjang, lebih daripada 125 tahun, dan kebanyakan lelaki yang lanjut usia seperti ini, masih mampu melahirkan keturunan walaupun telah menjangkau usia 90 tahun atau lebih.

Dunia juga pernah menyaksikan seorang bangsa Turki yang hidup mencapai usia 160 tahun, dan juga seorang wanita Indian di California meninggal dunia dalam usia 118 tahun.

Kita mungkin tertanya-tanya apakah rahsianya orang-orang yang tinggal di pergunungaan Tibet itu dapat hidup mencapai usia yang begitu lanjut?

Megikut kajian, ada dua faktor utama yang menyebabkan umur mereka panjang, pertama kerana mereka sentiasa hidup aktif atau pun cergas, maka dengan itu hampir seluruh anggota badan mereka sentiasa bergerak dan kedua kerana udara yang mereka hirup setiap hari adalah udara yang paling bersih di dunia.

Sebaliknya, kajian-kajian yang dilakukan ke atas orang-orang Amerika menunjukkan kebanyakan kersokan jasmaniah yang menimpa mereka adalah kerana mereka tidak bekerja terus menerus, tapi bergilir-gilir, sekejap bekerja dan sekejap berihat. Ibarat lampu yang kerap dibuka tutup itu lebih mudah “terbakar” daripada lampu yang tidak begitu kerap dibuka dan ditutup. Demikian jugalah dengan anggota badan manusia. Selalu aktif itu membuat anggota-anggota badan tidak kaku, seperti cangkul yang selalu digunakan itu tidak berkarat sebagaimana cangkul yang ditinggal dan dibiarkan tidak berguna.

Mengikut kajian, sebilangan besar rakyat Amerika mati setiap tahum kerana penyakit jantung, dan penyakit itu menyerang orang yang telah bersara daripada kehidupan yang aktif dan orang yang hidup bermalas-malas. Perkara ini berlaku sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau lagi.

Justeru itu, bekerja terus menerus tanpa kegiatan bersara tidaklah merosakkan jasmani manusia, tapi sebaliknya yang merosakkan jasmani manusia ialah sekejap bekerja dan sekejap berhenti, sekejap bekerja dan sekejap berhenti, tanpa kemantapan.

Untuk membolehkan anggota jasmani anda lebih banyak bergerak, anda dinasihatkan melakukan riadah atau senaman setiap hari, kerana dengan melakukan riadah itu bererti otot-otot anda bekerja dengan sepenuhnya yang menyebabkan banyak darah mengalir menerusi urat-urat dan pembuluh-pembuluh darah anda yang boleh menyebabkan anda bertambah sihat dan cergas dan seterusnya dapat melambatkan proses penuaan daripada berlaku.

Mengikut doktor, bebagai-bagai riadah yang dapat anda lakukan untuk menggerakkan anggota-anggota badan anda, seperti berlari, berjalan kaki, berenang, bermain bola, dan sebagainya. Pilihlah mana-mana yang sesuai dan disukai anda.

Mendiang Raja Sweden dikatakan masih bermain golf dalam usia 80 tahun.

Kepada mereka yang banyak bekerja sambil duduk-duduk, seperti para kerani, atau pun pekerja kilang, pengarang dan sebagainya sudah tentu lebih memerlukan sukan, tapi andainya anda tidak suka bermain sukan, anda hendaklah memilih berbagai-bagai kegiatan lain yang berupa riadah yang melibatkan penggunaan anggota-anggota jasmani mereka, dan boleh memberi manfaat kepada anda untuk hidup normal dan sihat.

Kegiatan-kegiatan itu mestilah melibatkan penggunaan anggota-anggota jasmani anda, seperti berjalan kaki, terutama untuk berulang alik ke masjid ataupun ke surau, banyak bersembahayang sunat, seperti tahajjud, dan sunat taubat, menyangkul tanah untuk berkebun, membersih rumah dan halaman rumah dan berbagai-bagai aktiviti lagi yang boleh mengeluarkan peluh.

Dengan beriadah seperti itu, salah satu anggota anda yang penting, iaitu jantung akan menjadi lebih kuat dan dapat bekerja dengan lebih baik dan teratur, terutama untuk mengalirkan darah ke seluruh anggota badan. Dengan itu dapat menjadi benteng memberi perlindungan kepada jantung anda daripada mudah diserang oleh berbagai-bagai jenis penyakit jantung yang menjadi pembunuh manusia nombor satu dalam dunia moden hari ini.

Di samping riadah, ada lagi berbagai-bagai faktor lain yang dapat melambatkan proses penuaan anda, seperti mempunyai minda yang baik, pemakanan yang berkhasiat dan seimbang, tidak merokok, kejayaan dalam kehidupan, hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, bebas daripada kebimbangan dan tekanan hidup, beriman dan bertaqwa kepada Allah. Semuanya itu merupakan faktor-faktor yang melambatkan kelusuhan jasmani dan seterusnya melambatkan proses penuaan daripada menimpa anda.

Tegasnya di samping menjaga jasmaniah, minda anda dan hati nurani juga mestilah diletak dalam wadahnya yang wajar. Lemparkan jauh-jauh daripada minda anda segala pemikiran yang negatif, atau buruk, sebaliknya gantikan dengan fikiran-fikiran yang bernas dan positif. Justeru antara mental dan fizikal berkait rapat antara satu sama lain.

Namun begitu, jika sekiranya anda berjaya melambatkan proses penuaan daripada menimpa anda sekali pun, namun dari segi kronologi masa ia tetap berjalan, justeru itu setiap hari yang berlalu, setiap minggu yang lewat, semuanya membawa anda kepada satu titik yang pasti, iaitu kematian, yang menjadi penghujung kepada setiap titik kepada perjalanan kehidupan di dunia yang fana ini.

Allah berfirman, maksudnya, “Tiap yang berjiwa akan merasai mati”.Al-Imran:185.

Baginda Rasulullah saw. mengajar kita doa-doa yang bermaksud, “Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta serta dari segala macam penyakit yang jahat”. HR:Abu Daud & An-Nasai.

Dan,”Wahai Tuhan, Aku berlindung denganMu dari kelemahan dan ketuaan, dan aku berlindung denganMu dari timpaan bala bencana, dan dari kecelakaan, dan dari nasib yang buruk”.

Oleh itu, janganlah hendaknya kita semata-mata sibuk untuk melambatkan proses penuaan, untuk awet muda, tapi kita lupa untuk menyediakan bekalan yang mencukupi untuk menemui ajal yang pasti akan tiba meragut nyawa kita yang akan membawa kita ke dunia yang satu lagi, dunia yang kekal dan abadi, iaitu Akhirat, di mana kehidupan dunia yang fana ini akan menentukan kebahagian atau kecelakaan kita di sana, masuk syurga atau dilempar ke dalam neraka jahanam. Awas dan waspadalah semasa hidup di dunia yang fana ini supaya tidak lupa dan lalai daripada menyediakan bekalan yang mencukupi untuk hidup bahagia dan senang lenang, mahabbah dan harmoni di Akhirat yang abadi nanti.

Amin.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP