>> Tuesday, June 8, 2010

PENJUDI MINUM AIR KENCING

Salah seorang kawan baik saya ialah seorang penjudi. Sewaktu saya mengenalinya, dia telah berhenti bermain judi. Katanya dia telah bertaubat, bukan sahaja dari judi, tapi juga daripada berbagai-bagai kemunkaran yang suka dilakukannya. Katanya di zaman “gagahnya” dia seorang yang “nakal”, dan pada masa kami berkenalan itu dia telah pun pencen dari sebuah jabatan kerajaan.

Sekarang dia sudah tidak ada. Kembali kerahmatullah. Semoga Allah menerima taubatnya dan mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Dia seorang yang suka bercerita mengenai berbagai-bagai pengalamannya berhubung dengan kenakalannya itu. Ada yang lucu, ada yang leceh, ada yang lucah dan juga yang menakutkan.

Katanya di antara berbagai-bagai kesukaannya ialah berjudi. Malah dia seorang penjudi yang tegar. Judi yang paling disukainya ialah main mahjung atau “pong” kata orang Kelantan.

Katanya kalau dia main mahjung, bermula daripada malam, sampai pagi besok baru berhenti, baru balik ke rumah. Biasanya dia kerap berjudi adalah pada awal bulan, masa poket masih penuh.

Katanya, kadang-kadang kalau kehabisan duit, dia biasa juga meminjam duit ceti.

Katanya ketika berjudi itu dia tak ingat apa-apa lagi. Hanya asyik main judi. Angkat, letak buat mahjung. Rumahtangga pun tak ingat. Anak bini pun tak ingat. Makan pun tak ingat.

Biasanya untuk merancakkan permainan, pemain-pemain judi akan minum arak. Masa itu arak yang dipanggil “beer” cap sauh amat populer. Arak itulah yang biasa diminum oleh pemain-pemain judi dengan meneguk terus daripada botolnya sambil bermain.

Oleh kerana terlalu asyik bermain itu nak kencing pun mereka tidak bersedia meninggalkan meja judi. Selagi boleh tahan, mereka tahan kencing. Kalau tak boleh tahan, mereka buka seluar dan kencing dalam botol arak yang diletak di bawah meja, dekat kaki masing-masing walau pun kadang-kadang araknya belum habis.

Bila mereka terasa nak minum, botol arak yang berisi air kencing bercampur arak itu mereka teguk. Kadang-kadang katanya air kencing orang lain terminum juga, kerana tersalah ambil botol di bawah meja.

Demikian dasyatnya penjudi. Solat tu tak kiralah, terlepas begitu sahaja. Asyik di meja judi.

Bila balik ke rumah, sudah tentu larut malam, atau pagi besok, katanya isterinya sudah tentu marah dan beleter panjang. Tapi katanya dia tak jawab apa-apa, terus memekakkan telinganya. Lagi pun dia yang bersalah. Bersabarlah untuk mengelak daripada berlaku pertengkaran dengan isteri. Lama-lama isterinya diamlah, tak kuasa berleter lagi.

Sejenis judi lagi yang disukainya ialah membeli teket loteri. Dia menghabiskan berpuluh-puluh ringgit setiap kali beli teket loteri.

Katanya dia beli teket loteri itu hanya untuk “sedap berak”. Tanpa diminta penjelasan, dia memberitahu, kalau dia beli teket loteri, sambil berak itu bolehlah dia berangan-angan kalau teketnya itu mengena dan dia mendapat beribu-ribu ringgit, banyaklah yang dapat dibuatnya dengan duit itu.....panjanglah angan-angannya, maka seronoklah dia berada dalam tandas, walaupun dia tidak yakin teketnya itu akan mengena. Dan memang dia tak pernah pun menang selama hidupnya membeli teket loteri.

Gila Billiard

Seorang lelaki lagi yang saya kenali ketika dia bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bagunan di mana pejabat saya terletak. Pada masa itu usianya telah lanjut jika dibandingkan dengan usia saya pada waktu itu.

Pada suatu hari dia masuk ke pejabat saya dan menceritakan sedikit pengalamannya tentang berjudi. Memang dia suka bercerita, terutama tentang dirinya. Katanya pada masa mudanya dia sukakan judi main billiard.

Mula-mulanya, katanya hanya untuk suka-suka sahaja, tapi akhirnya menjadi melarat.

Setiap malam dia terpaksa keluar rumah untuk mencari meja billiard. Duitnya habis di meja billiard sahaja.

Dia cuba berhenti, tapi tak boleh. Sebaik-baik sahaja baring di tempat tidur dan memejamkan mata, dia akan ternampak-nampak buah-buah biliard yang berwarna warni itu, putih, kuning, biru, hijau...... bermain-main di matanya menyebabkan dia tidak dapat tidur. Akhirnya dia tidak mampu bertahan dan terpaksa juga keluar mencari meja billiard. Begitulah setiap malam.

Dia nasihatkan saya, kalau belum biasa, janganlah cuba bermain billiard nanti susah sepertinya. Ada syaitan katanya.

Walau bagaimana pun dia terpaksa juga berhenti bermain billiard kerana ditimpa penyakit berat yang berpanjangan, yang menyebabkan dia tidak mampu untuk berjalan selama mengidap penyakit tersebut. Alhamdulillah bila sembuh dia boleh melupakan billiard sampai ke hari itu, bola billiard yang berwarna warni itu tidak lagi terbayang di matanya waktu dia hendak tidur. Nasib baik katanya dia juga mendapat kerja sebagai pencuci bangunan walau pun gajinya tak seberapa.

Demikianlah untuk renungan bersama.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP