>> Tuesday, June 29, 2010
Rahsia Di sebalik Awet Muda
NENEK moyang kita sejak zaman berzaman lagi tdak ketinggalan dalam usaha mencungkil rahsia awet muda, dan sehingga ini meninggalkan berbagai-bagai petua yang amat berguna untuk diwarisi anak cucunya di kemudian hari.
Bahan-bahan yang mereka gunakan untuk tujuan tersebut merupakan benda-benda yang mudah diperolehi dan banyak terdapat daripada alam sekitar dan mudah pula cara-cara penggunaannya, kerana sebahagian besarnya terdiri daripada bahan-bahan makanan yang dimakan setiap hari.
-Awet Muda Dengan Buah Mengkudu
Pohon mengkudu bukan sahaja mempunyai berbagai-bagai khasiat dalam perubatan tradisional, tapi juga telah lama menyimpan rahsia awet muda. Buah dan daunnya yang muda banyak mengandungi khasiat yang amat berguna.
Justeru itu, kita patutlah selalu megamal memakan pucuk mengkudu sebagai sebahagian daripada ulam, dengan jalan dicelur atau untuk lebih menyelera lagi sekali sekala dibuat kerabu pucuk mengkudu.
Buahnya pula boleh dikisar untuk dijadikan jus, dan dijadikan salah satu minuman yang berkhasiat untuk diminum setiap hari.
Atau buah mengkudu itu boleh dimakan mentah begitu sahaja dengan “colik”atau penyicah yang diperbuat daripada adunan gula, lada, garam atau kicap yang akan mengeluarkan rasa manis, masin dan pedas yang dapat membangkitkan selera.
Andainya kita selalu mengamalkan memakan pucuk dan buah mengkudu, insya-Allah dipercayai kita akan menjadi awet muda, seperti buah mengkudu, yang keadaannya menggerutu di masa masih muda, tapi beransur-ansur licin bila telah tua, malah bertambah licin dan terik serta tegang bila buahnya masak.
-Awet Muda Dengan Batangwali
Batangwali [panggilan orang Pantai Timur] ialah sejenis pohon menjalar yang mempunyai rasa kelat dan pahit. Air dalam batang batangwali ini amat banyak gunanya, dan sering juga digunakan sebagai bahan untuk membuat makjum. Di samping itu ia juga berguna untuk orang yang ingin sentiasa kelihatan awet muda.
Ambil batang batangwali kira-kira satu inci panjang, bersihkan. Kemudian ditumbuk atau dikisar hingga lumat untuk diambil airnya, campurkan dengan sedikit air bersih, kacau hingga rata, lalu ditapis dan diminum.
Atau batang batangwali itu diricis dan direbus untuk diminum air rebusannya.
Atau pun kalau mahu, batang batangwali itu boleh diricis halus-halus utuk dijadikan ulam ketika makan nasi.
Ia juga dipercayai dapat meredakan penyakit batu karang, uluran dan darah tinggi.
Kalau diamalkan selalu, insya-Allah dipercayai akan kelihatan awet muda.
-Awet Muda Dengan Pokok Gelam
Ambil daun dan akar gelam sekadar yang perlu.
Bersihkan, kemdian masukkan ke dalam sebuah periuk, sebaik-baiknya periuk tanah, campurkan dengan air yang secukupnya, jerangkan ke atas api hingga mendidih dan airnya tinggal kira-kira 1/3, biarkan sejuk.
Bila suam, minum air tersebut.
Air rebusan pokok gelam ini nerupakan tonik yang berkhasiat untuk kesihatan.
Selain daripada penawar awet muda, ia juga dipercayai berkhasiat untuk ibu-ibu yang baru bersalin untuk memulihkan kembali anggota-anggota peranakan, terutama rahim supaya menjadi pulih seperti sedia kala, serta menjadi bahan penjarang beranak atau perancang keluarga secara tradisional.
-Awet Muda Dengan Air Kelapa
Untuk mendapat muka yang selalu ceria dan awet muda, kita hendaklah selalu mengamal membasuh muka kita dengan air kelapa.
Ambil sebiji air kelapa tua, basuhkan muka dengannya, biarkan sekejap, kemudian cucilah muka dengan air biasa yang bersih.
Di samping berkhasiat untuk awet muda, air kelapa itu juga dapat menghapuskan parut-parut dan luka-luka kecil yang terdapat di muka, serta ia juga dapat menghilangkan rasa gatal-gatal dan lebam-lebam akibat penggunaan krim muka atau pencuci muka yang tidak sesuai dengan muka seseorang.
Amalkan selalu insya-Allah akan mendapat hasil yang memuaskan.
-Awet Muda Dengan Daun Pegaga
Daun pegaga yang dibuat ulam itu juga mempunyai khasiat untuk awet muda.
Ambil segenggam daun pegaga bersama akar-akarnya dan sedikit garam.
Bersihkan daun pegaga, kemudian ditumbuk atau digiling atau pun dikisar hingga lumat untuk diperah dan diambil airnya, lalu dicampur dengan segelas air biasa, kacau hingga rata, dan masukkan sedikit garam, kacau lagi lalu ditapis dan diminum.
Untuk mendapat rasa yang lebih enak, perahkan sebiji limau nipis yang sederhana besarnya dan masukkan sedikit gula, lalu dikacau rata, ditapis dan diminum.
Ianya merupakan sejenis minuan yang berkhasiat. Minumlah tonik tesebut di waktu malam dan juga di waktu pagi.
Kalau hendak disimpan, masukkan ke dalam peti sejuk. Justeru itu ia boleh dibuat sekali gus dalam sukatan yang lebih banyak.
Di samping itu ia juga boleh dimakan sebagai ulam, atau pun sekali sekala boleh dibuat kerabu daun pegaga yang enak rasanya untuk dimakan bersama nasi.
-Awet Muda Dengan Kunyit
Salah satu lagi amalan nenek moyang kita untuk mendapat awet muda ialah dengan memakan kunyit hidup sebagai ulam ketika memakan nasi. Sebaik-baiknya kunyit muda.
Kalau tidak suka makan sebagai ulam, boleh juga kunyit itu ditumbuk, diperah, diambil airnya, lalu ditapis dan diminum.
Peringatan
Sebagai peringatan adalah amat penting kepada seseorang untuk menyesuaikan fikiran dan mindanya dengan wajahnya sendiri. Justeru itu andainya seseorang yang berusia 70 tahun berjaya mengekalkan wajahnya seperti orang yang berusia 30 tahun, adakah dia mampu menyesuaikan usianya yang sebenar dengan wajahnya itu? Jangan wajah masih muda, tapi fikiran masih ditahap lama dan dianggap kolot oleh orang-orang zaman sekarang. Tegasnya fikirannya tidak sesuai dengan wajahnya, kerana otaknya telah matang dan tua, tapi wajahnya masih muda. Kalau perkara seperti ini berlaku, mungkin akan berlaku pertarungan dalaman yang pada akhirnya sudah pasti akan menimbulkan akibat yang buruk.
Lebih malang lagi, andainya seseorang yang telah tua usianya, tapi berperangai seperti orang muda, kerana terpengaruh dengan wajahnya yang masih muda itu. Pada perasannya dia masih muda. Ini ditindih oleh perasaan namanya. Bagaimana tidak? Kalau usia sudah 60an tahun, tapi perangai seperti orang muda berusia puluhan tahun, berseluar ketat di atas lutut, baju t, bertopi sudu, dan suka menghabiskan masa dengan duduk-duduk di pinggir jalan, di perhentian bas, balik ke rumah jauh-jauh malam kerana keluar berseronok-seronok mencari hiburan. Ini sudah nyanyuk namanya, lupakan “rumah kata pergi, kubur kata mari”.
Orang-orang seperti ini, kerana terlalu sibuk dengan usaha awet muda, lalu lupa dengan persediaan untuk menghadapi hari tua yang pasti akan tiba, Sedangkan menjadi tua ertinya menjadi bertambah matang, bukannya bererti kolot ataupun lapuk. Kerana itu tidak perlu dtakuti. Ituah dikatakan, “lama hidup banyak dirasa”. Ia adalah salah satu hakikat hidup yang harus diterima dengan wajar, kerana selagi masih hidup, maka masa tetap terus berjalan, tanpa henti-henti walau pun sedetik sehingga nyawa tercabut dari badan. Perjalanan hidup tidak ada yang undur ke belakang, tapi terus mara ke hadapan hingga sampai ke satu titik penghabisan. Itulah undang-undang hidup.
Yakinlah setiap detik yang berlalu, setiap minit yang pergi, bererti masa terus berjalan, umur terus meningkat menuju ke arah penuaan. Masa tidak dapat disekat, dan apa yang dapat dilakukan hanyalah melanjutkan usia perdana seseorang, iaitu awet muda. Itu sahaja.
Sebaik-baik cara untuk awet muda ialah menerima hakikat tua dengan tenang dan bersahaja, tidak gelabah dan menyibukkan diri utuk menjadi muda kembali, dan ianya merupakan satu kepastian yang wajib akan tiba. Dengan bertambahnya usia, bererti bertambahnya pengalaman, dan dengan itu bertambahnya iman di dada, dan bertambah kuatya ketakwaan untuk menempuh hari-hari akhir yang pasti akan tiba, tanpa dapat dienjak walau pun sedetik.
Justeru itu, janganlah hendaknya kita semata-mata berusaha untuk memburu awet muda, melambatkan proses penuaan wajah, tapi kita lupa untuk menyediakan bekalan yang mencukupi untuk menghadapi ajal yang pasti akan tiba yang akan membawa kita ke alam akhirat, dunia yang kekal dan abadi, sedangkan kehidupan di dunia yang fana ini merupakan tempat persinggahan yang akan menentukan kebahagian atau kecelakaan kita di sana nanti, iaitu mendapat nikmat syurga atau celaka neraka.
Awas dan waspadalah semasa hidup di dunia ini, supaya tidak lalai dan lupa menyediakan bekalan yang mencukupi untuk hidup senang lenang di akhirat nanti dalam rahmat Allah yang Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Pengampun.
Bermahabbahlah dengan Allah, bermahabbahlah dengan manusia, dan dengan semua makhlukNya, insya-Allah kita selamat.
Amin!
0 comments:
Post a Comment