>> Tuesday, June 15, 2010

WAHAI ISTERIKU YANG CANTIK MANIS

WAHAI para isteri!

Ingatlah setiap insan perlu dihormati. Tidak kira dia lelaki atau perempuan. Tidak kira pangkat atau darjat. Lelaki akan menghormati orang yang menghormatinya. Itulah dia sahabatnya.

Sebaliknya lelaki tidak akan menyukai dan membenci orang yang tidak menghormatinya.

Wahai para isteri!

Walau pun cinta itu satu kelumrahan dalam hidup insan, tapi ia cukup istimewa di hati manusia. Namun begitu, tidak pula semua wanita yang bernama isteri itu bersedia untuk menghulurkan keistimewaan itu kepada suaminya, apa lagi untuk menghormatinya dengan sewajarnya bukan sahaja sebagai seorang suami tapi juga sebagai seorang insan.

Wahai para isteri!

Suami anda amat mengharap anda sebagai isterinya menjadi seorang sahabatnya yang jujur dan setia dan bersedia untuk menghormatinya dengan wajar.

Penghormatan yang wajar yang anda siramkan kepadanya sudah tentu akan merupakan air atma yang akan memperkukuhkan jiwa raganya untuk menghadapi dunia yang penuh pancaroba ini. Semangat juangnya akan terus memacu.

Wahai para isteri!

Jika anda bercakap dengan suami anda, bercakaplah dengan kasih dan mesra. Bayangkanlah kecintaan anda kepada suami anda itu menerusi kata-kata anda yang menarik.

Bercakaplah dengan suami anda secara sopan, dan jangan sama sekali meninggikan suara anda kepadanya.

Panggilah dia dengan panggilan yang menyenang dan menggembirakannya, terutama di hadapan orang lain. “Yang-kah, ling-kah”, tergantunglah kepada keselesaan anda berdua.

Wahai para isteri!

Sanjung dan pujilah dengan jujur suami anda di hadapan tetamu, sahabat handai ataupun sanak keluarga.

Nasihatlah anak-anak anda supaya menghormati papa mereka, dan jika mereka berkelakuan kurang sopan dan tidak menyenangkan, nasihatilah mereka dan tegur mereka dengan sewajarnya.

Jangan tunjukkan kecemburuan anda yang membuta tuli dalam sesuatu majlis dengan mengawasi dan mengawal gerak-gerinya yang tidak perlu anda lakukan.

Hormatilah suami anda di hadapan para tetamu. Layananlah dia dengan sewajarnya sebagaimana anda melayani tetamu yang dihormati, malah kalau boleh ,lebih dari itu lagi.

Wahai para isteri!

Bila dia memberi salam dan mengetuk pintu, jawablah salamnya, dapatkanlah dia dan sambutlah dia dengan senyuman yang menawan dengan penuh rasa gembira dan kasih sayang.

Walau pun tindakan anda itu kelihatan remeh-temeh, tapi ia memberi kesan yang amat mendalam ke atas jiwa suami anda, terutama dalam memperkukuhkan semangat juangnya yang mungkin telah kendur kerana diterjah oleh aneka tekanan dari luar, khususnya di tempat kerja untuk mencapai mercu kejayaan. Perasaannya yang berkecamuk akan kembali tenang seperti air di teluk yang tidak bergelora.

Janganlah anda menyangka, kerana dia suami anda dan anda terlalu rapat dan mesra dengannya, maka dia tidak mengharap dan mermerlukan semuanya itu.

Berfikir seperti itu amatlah salahnya, kerana sebagai manusia, suami anda memerlukan semuanya itu, walau pun dia tidak pernah menyatakannya. Percayalah. Itulah kenyataan.

Wahai para isteri!

Perkahwinan anda akan menjadi lebih berbahagia, kiranya anda memberi perhatian yang lebih kepada suami anda. Maka dengan itu keharuman cintanya akan terus berkembang mekar melepasi sempadan jasmaniah menuju keabadian.

Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Adalah menjadi tugas seorang wanita untuk menyambut suaminya di pintu dan mengucapkan selamat kepadanya”.

Imam Sadiq pula berkata, “Wanita yang menghormati suaminya dan tidak mencemuhnya, akan hidup gembira dan makmur”.

Baginda Rasululllah s.a.w bersabda, “Adalah tugas seorang isteri membawa bekas air dan tuala untuk suaminya, dan membasuh tangan suaminya”.

Wahai para isteri!

Jangan sama sekali anda menjatuhkan air muka suami anda.

Jangan sama sekali anda menjatuhkan maruahnya. Perbuatan itu akan membangkitkan kemarahanya yang boleh melorong kepada pergaduhan suami isteri yang tidak sepatutnya berlaku. Justeru cinta dan keikhlasan akan sirna.

Ingatlah kepada undang-undang alam, jika anda menanam cili, tak akan tumbuh timun

Jangan sama sekali anda berkelakuan kurang sopan

Jangan sama sekali anda mendera suami anda, baik dari segi jasmani atau pun rohani.

Jangan sama sekali anda mengabaikan keperluannya.

Jangan sama sekali memanaggil suami anda dengan panggilan yang kurang sopan terutama di hadapan khalayak.

Kebencian, kemarahan dan fikiran yang kusut akan membentuk keadaan yang merbahaya yang akan menjadi racun ancaman kepada kebahagian anda.

Menabur cinta dan menghulur penghormatan kepada suami anda merupakan batu-bata yang akan memperkukuhkan rumahtangga anda untuk menuju mercu kebahagian yang kekal dan abadi yang tidak akan luput dek masa dan tidak akan ditelan dek zaman. Malah ia akan terus hidup dan subur walaupun jasad telah jauh berpisah dalam keadaan Mahabah dan Harmoni.

Amin!

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP