>> Thursday, June 17, 2010
ADAKAH BINATANG BERMIMPI??
Oleh:Razin M.S.*
SETIAP kali kita tidur sudah tentu kita mengalami mimpi yang beranekaragam, kadang-kadang seronok, kadang-kadang seram, kaget dan seribu macam mimpi. Sebenarnya, tidak ada tidur yang tidak bermimpi, sebab itulah ditegaskan, “Mimpi itu makanan tidur”.
Kita mungkin bertanya, selain dari manusia, adakah binatang juga bermimpi? Adakah burung dan kucing di rumah anda juga bermimpi di kala tidurnya?
Ahli-ahli sains, telah menggunakan kucing sebagai bahan kajian mereka untuk mengorek rahsia tidur dan mimpi, dan melalui kucinglah mereka telah menemui beberapa faktor yang menarik mengenai mimpi.
Menurut para penyiasat, kucing menghabsikan 2/3 daripada usianya dengan tidur. Kucing suka tidur bukan kerana malas, tapi kerana tabiat semulajadinya memang begitu.
Menurut para penyiasat, kucing yang tidur itu juga mengalami mimpi. Mimpi itu menjelma bila kucing itu tidur dengan nyenyaknya. Dalam tidur yang tidak nyenyak, iaitu “tidur ayam” kucing itu tidak bermimpi dan mudah pula terjaga.
Tanda kucing itu “tidur ayam” ialah ia duduk meniarap di atas kakinya, dengan kedua kaki hadapannya terletak di bawah dadanya. Kucing itu berada dalam keadaan begini selama kira-kira 10 hingga 20 minit, sehingga ia tertidur nyenyak, setelah otot-otot di tengkoknya menjadi relax sepenuhnya.
Kita boleh perhati, seekor kucing dikatakan tidur nyenyak, bila ia tidur melengkar bulat seperti sebiji bola. Di masa ini bijimatanya bergerak dengan pantas dari kiri ke kanan atau dari atas ke bawah di balik kelopak matanya yang tertutup itu. Dalam setiap gerakan itu, bijimatanya bergerak antara 8 hingga 30 kali.
Dalam masa tidur nyenyak itu juga, kucing itu mungkin membuat gerakan-gerakan mencakar kecil-kecilan, janggutnya akan merenggut, telinga, ekor dan lidahnya mungkin bergerak-gerak, dan ia mungkin mulai bernafas dengan pantas dan lebih tidak teratur.
Ia berada dalam keadaan tidur nyenyak begini selama 6 hingga 7 minit, kemudian di selang oleh “tidur ayam” selama 25 minit. Begitulah berlaku berselang-selang.
Kucing menghabiskan masanya selama 21 jam sehari dalam tidur ringan atau “tidur ayam”, dan menghabiskan 15 peratus waktu sehariannya dengan tidur yang nyenyak.
Bagaimana pula dengan binatang-binatang lain, adakah mereka juga bermimpi? Menurut penyiasatan sains, burung mempunyai masa tidur yang nyenyak, kerana itu ia juga bermimpi.
Menurut ahli sains Perancis, Michel Jouvert, burung merpati dan anak ayam, tidur nyenyak dan bermimpi kira-kira selama 15 detik sekali. Hanya 15 peratus sahaja daripada keadaan waktu tidurnya dihabiskan dalam keadaan begini. Ini berbanding dengan 20 peratus hingga 30 peratus di kalangan mamalia peringkat tinggi.
Menurut Jouvet lagi, binatang-binatang jenis memburu, seperti kucing, anjing dan termasuk juga manusia bermimpi kira-kira 20 peratus di sepanjang waktu tidurnya.
Tapi binatang-binatang jenis yang kena buru, seperti arnab umpamanya, hanya bermimpi kira-kira 5 hingga 10 peratus di sepanjang waktu tidurnya.
Anak-anak kucing bermimpi hampir di sepanjang tidurnya, iaitu kira-kira 12 jam sehari. Dan anak kucing tidak dapat “tidur ayam”, sehingga sistem uratsarafnya menjadi lebih matang.
Sewaktu anak kucing berusia setahun, ia menghabiskan 1/3 daripada masanya dengan jaga, 1/3 dengan “tidur ayam” dan 1/3 lagi dengan tidur nyenyak dan bermimpi.
Kura-kura dikatakan tidak bermimpi langsung. Malah dikatakan semua binatang merangkak tidak bermimpi, kerana binatang-binatang merangkak tidak tidur nyenyak, tapi hanya “tidur ayam”. Ini dianggap sebagai malang oleh sesetengah penulis sains.
Wallahu’aklam.
*Rencana ini, hasil tulisan penulis Blog Pondok Rahmat dan pernah disiarkan Dalam DIAN bulan Jun-Julai 1974.
0 comments:
Post a Comment