Memori Cintaku
>> Wednesday, June 30, 2010
Hj. Muhamad Zain Saleh
[Getusan daripada buku MEMORI CINTAku yang sedang dalam persiapan]
1hb.Julai 2009, hari itu hari Rabu, malam Khamis, adalah salah satu daripada hari-hari yang selalu tersemat dalam hati kami, dan tidak dapat kami lupakan selagi hayat dikandung badan. Hari yang penuh dengan kepiluan dan kesedihan yang mengeggar hati kami dengan peristiwa yang mengharukan. Saya cuba menyusun detik-detik duka dan seputarnya dalam sebuah buku MEMORI CINTAKU, dan di bawah adalah sedikit cebisan daripada buku yang sedang saya susun itu untuk dikongsi bersama dengan pembaca dan peminat Blog ini yang budiman.
********
HARI ini sudah lebih tiga bulan isteriku,cintaku, Asiah Yaacob kembali ke pangkuan Ilahi..........
Aku terus memandu motokar memasuki tempat letak kereta di tanah perkuburan Pohon Rambai, Kampung Salor, kerana pintu pagar besarnya telah dibuka. Memang kebiasaannya setiap pagi Jumaat, penjaga kubur sukarela, Pak Su Mansur akan membuka pintu pagar untuk memudahkan orang-orang yang mengunjungi pusara meletakkan kereta atau motosikal mereka berhampiran dengan tanah perkuburan. Sebaik-baik sahaja aku melangkah turun dari kereta, aku terdengar nyanyian burung tekukur mengusik kesepian pagi, seolah-olah menyambut kedatangan kami. Hari ini aku pergi bertiga, ditemani oleh dua orang cucuku, Syafiqah Zaini dan Syafiq Zaini. Setelah beberapa kali mendendang lagu “kur-kur”, tiba-tiba tekukur itu menyepi, dendangannya tidak kedengaran lagi. Entah ke mana. Dan yang kedengaran ialah gegak-gempita bunyi nyanyain “riang-riang” yang bererbut-rebut mendendangkan lagu-lagu masing-masing yang senada bunyinya. Menambahkan lagu kesayuan yang mencengkam.
Hari itu mendung. Sang matahari entah ke mana. Udara pagi yang mengelus-nglus dari celah-celah pokok-pokok mengelilingi tanah perkuburan itu sekali-sekalai terasa dingin menyapa badan. Ia datang dari arah Sungai Kelantan yang tidak berapa jauh dari tanah perkuburan itu. Sungai yang menghabiskan sebahagian besar daripada masa aku dan teman-teman sebaya denganku di zaman kanak-kanak dahulu. Aku bermain berenang, tidak mengira masa, pagi, tengah hari, petang dan malam. Sungai itulah merupakan tempat aku bercanda, beriang gembira bersama dengan kawan-kawan seangkatan yang kini sukar lagi ditemui kerana mengambil haluan masing-masing dalam menongkah arus kehidupan ini. Sebelum terjun ke dalam sungai di waktu senja kami berkumpul beramai-ramai di atas gerai yang selalunya dibina dari buluh atau kayu-kayu yang tidak terpakai di di bawah sebuah rumpun buluh yang terletak di tebing sungai. Tapi hari ini semuanya sudah tidak ada lagi. Sebahagian besar daripada tebing sungai itu telah terhakis dan ditelan Sungai Kelantan. Pengkalan tempat kami turun untuk mandi-manda dulu pun telah lesap, runtuh ke dalam sungai dan kini tebingnya telah ditumbuhi oleh semak samun dan dijadikan tempat membuang sampah. Sekarang hendak turun ke sungai pun susah, kerana jalan-jalan yang ditarah menurun tebing untuk ke sungai sudah tiada lagi. Di situlah sumber kegembiraanku di zaman kanak-kanak yang telah lama kutinggalkan kerana memburu kehidupan. Kadang-kadang terasa bodohnya aku berbuat demikian, walaupun aku hanya tinggal di bandar KB yang hanya beberapa kilometer sahaja dari kampungku itu, aku lupakan ia daripada ingatan dan hidupku, kerana terlalu sibuk dengan kerja. Sedar-sedar keadaan telah jauh berubah, betul-betul mengejutkan aku, seorang anak jati kampung Salor yang tidak mampu mengikuti perkembangan kampungnya sendiri.
Bekas-bekas hujan lebat semalam masih terasa di sekitar tanah perkuburan itu. Daun-daun pokok sekeliling masih kelihatan basah dan terkulai macam keletihan. Tanah yang kami pijak masih terasa kelembabannya. Air hujan masih melekat di dedaun rumput rampai. Mana-mana kawasan yang rumputnya telah mati kerana diracun, tanah-tanahmya masih basah dan lembab, dan kadang-kadang selutnya melekat di tapak kasut atau selipar bila dipijak. Belindan dan batu-batu nisan masih kelihatan basah bermandi hujan semalam. Pagi itu seperti biasa, tidak ada sesiapa pun di tanah perkuburan yang sepi itu. Tidak ada pengunjung. Siapa yang berminat dengan tanah perkuburan?
Aku melangkah masuk ke tanah perkuburan. Dua orang cucuku mengekor di belakang. Kami melangkah dengan berhati-hati, di celah-celah belindan dan batu-batu nisan, ada yang tinggi dan ada yang pendek, ada yang lama dan ada yang agak baru jika dilihat cara-cara penjagaannya. Ada yang terbiar tanpa terurus. Kebanyak pusara-pusara yang baru terletak di bahagian tengah tanah perkuburan yang luas itu. Di bahagian-bahagian lain tanah perkuburan itu, kebanyakanya merupakan pusara lama, ada di antaranya mungkin berusia lebih dari satu abad iaitu sejak Kampung Salor itu dibuka. Rumput-rumput di kaki kami sudah kering dan mati kerana baru diracun.
Bila sampai dekat pusara aku mengucapkan salam dan diringi dengan doa. Mula-mula kepada ibuku yang pusaranya berada di sisi pusara isteriku. Kemudian kusampaikan pula salam kepada isteri yang kucintai. Juga dengan iringan doa. Kedua cucuku juga mengucap salam kepada neneknya yang mereka panggil “Wan” mengikut panggilan cucu kami yang pertama bila anak sulung lelakiku melahirkan anak sulungnya. Kami pun bersetuju dan senang dengan panggilan itu. Sementara itu aku pula mereka panggil “Atuk” yang terus melekat hingga ke hari ini. Sehingga anak-anakku juga panggil “Wan” untuk mamanya dan panggilan “atuk” untukku. Malah isteriku juga sejak kebelakangan ini sering memanggil aku “atuk” sebagai panggilan mesra. Menurut isteriku panggilan “Wan” itu memang wajar untuknya, kerana keturunan sebelah ibunya berasal dari Kg. Raja, Besut Terengganu di mana katanya panggilan itu sering digunakan oleh mereka. Panggilan itu telah digunakan selama kira-kira empat belas tahun lamanya sehingga isteriku meninggal dunia, dan panggilan itu masih terus digunakan dalam keluarga kami walaupun beliau telah tiada lagi. Cucu-cucuku masih membahasakannya sebagai “Wan” bila menyebut namanya, demikian juga ketika memberi salam di pusara neneknya itu. Malah adik-adik isteriku juga menggunakan panggilan “Wan” di pangkal nama timangan di kalangan mereka, seperti “Wan Ngah” untuk adiknya yang kedua, “Wan Cik” untuk adiknya yang tengah dan “Wan Su” untuk adiknya yang bongsu.
Aku berdiri di sisi pusara isteriku. Aku percaya dia membalas salam kami, dan merasa amat gembira dengan kunjungan kami.Aku percaya isteriku yang berada di pusara itu tahu kehadiran kami dan mengenal siapa kami.
Ada sebuah Hadis yang diriwatkan oleh Ummul-Mu’minin ‘Aisyah yang memberitakan Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya,”Tiadalah seorang lelaki yang menzirahi kubur saudaranya dan duduk di sisinya [bukan di atasnya] melainkan dia akan bermesra dengannya dan akan menjawab salamnya, sehinggalah lelaki itu bangun”.R:Ibnu Abi Ad-Dun-ya
Sebuah Hadis lagi diriwayatkan oleh Abu Hurairah, maksudnya,”Akan bermesra dan berjinak-jinak seseorang mayat, apabila penzirahnya seorang yang dikasihinya semasa hidup di dunia”.
Apa yang aku fahami daripada Hadis tersebut ialah isteriku akan merasa amat gembira dengan kedatangan kami. Tidaklah dapat aku gambarkan bagaimana seseorang mayat beremesra-mesra dan berjinak-jinak dengan pengunjungnya yang berada di dunia. Walau bagaimana pun kita patut bersyukur kerana Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu masih membuka ruang kemesraan, kegembiraan dan kasih sayang untuk hamba-hambaNya yang masih hidup di dunia dengan hamba-hambaNya yang berada di sisinya di alam Barzakh
Namun begitu dadaku terasa sebak, kesayuan tiba-tiba menerpa hatiku dan mendesak air mataku untuk keluar dari takungannya. Tapi aku menahannya. Ya Allah berikanlah kekuataan kepadaku untuk menghadapi pancaroba ini!
Pada hari ini sudah lebih seratus hari isteriku disemadikan di pusara ini. Beliau meninggal dunia pada hari Rabu, malam Khamis 1 Julai 2009, bersamaan dengan 8 Rejab 1430. Setiap minggu, terutama pada hari Jumaat kami berkunjung ke pusara ini menjenguk isteri dan bondaku dan saudara-saudaraku. Tidak ada siapa tahu berapa ramai hamba-hamba Allah yang telah disemadikan di tanah perkuburan yang luas ini sejak ia dibuka lebih seabad yang lalu, kerana pengembumian mereka tidak pernah dicatat atau direkdokkan.
Hari Rabu, malam Khamis, dan hari Khamis malam Jumaat. Petang Rabu dia sakit, malam Khamis dia kembali ke rahmatullah, hari Khamis dia dikebumikan, dan hari Jumaat, hari pertama kami mengunjungi pusaranya selepas beliau dikebumikan. Hari-hari yang akan dikenang sepanjang hayat kami, kerana perginya seorang yang kami kasihi. Patah tak tumbuh, hilang tak berganti.
Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
*****
Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr, dari ayat 27 hingga 30 yang bermaksud:“Wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu yang berbahagia- dan masuklah ke dalam syurga”.
Jiwa yang tenang ialah jiwa orang Islam yang beriman, yang yakin dan percaya Allah adalah Tuhannya dan dia menyembah-Nya, Muhammad adalah Pesuruh-Nya, yang percayakan adanya hari Kebangkitan, adanya syurga, adanya neraka, adanya pahala, dia percaya janji Allah adalah benar dan dia redha dengan segala ketentuan Allah itu. Dia mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangnnya.
Kepada jiwa itulah dikatakan, “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu”. Maksudnya, kembalilah kamu kepada Tuhanmu, kepada pahala Tuhanmu dan kembali kepada Syurga yang Allah janjikan kepada orang yang beriman dan beramal saleh.
Dan, “Dengan hati yang puas,” iaitu dengan kepuasan atau keredhaan jiwa itu, “Lagi diredhai,” yang bermaksud, jiwa itu redha kepada Allah dan Allah juga redha kepadanya. Saling redha meredhakan.
Kata-kata yang terlalu endah itu diucapkan kepada jiwa yang tenang itu ketika jiwa itu terlepas dari jasadnya yang telah kaku, dan akan diucapkan lagi pada Hari Kiamat nanti.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya seorang hamba yang beriman waktu dia terputus dari keidupan dunia dan hendak menuju kehidupan Akhirat, maka turunlah kepadanya para malaikat berwajah putih dari langit, seakan-akan wajah para malaikat itu adalah matahari. Mereka membawa kain kafan dan minyak wangi dari syurga, hingga para malaikat itu duduk dekat orang beriman itu sejauh mata memandang”.
Kemudian datang malaikat pencabut nyawa lalu duduk betul-betul di atas kepala orang yang beriman itu, dan berkata, “Wahai jiwa yang baik, keluarlah engkau untuk menuju kepada keampunan dan redha Allah”.
Maka jiwa itupun keluar dengan lancar seperti air yang mengalir daripada tempat penyiram air, lalu malaikat maut mengambil jiwa itu. Para malaikat lain tidak membiarkan jiwa itu berada dalam tangan malaikat maut lebih lama daripada kerdipan mata, lalu mereka mengambil jiwa itu dan meletakkan jiwa orang beriman itu pada kain kafan yang telah mereka bawa dari Syurga, serta membubuhkannya dengan minyak wangi itu, maka dari jiwa itu keluarlah aroma wangi yang lebih wangi dari minyak wangi yang paling wangi yang terdapat di dunia.
Para malaikat pun membawa jiwa itu ke langit. Setiap kali jiwa melewati para malaikat yang ada di langit, maka para malaikat itu berkata, “Aroma wangi apakah ini?”. Para malaikat yang membawa jiwa itu pun berkata, “Ini adalah aroma wangi Fulan bin Fulan dengan menyebut nama terbaik dari orang itu, hingga para malaikat yang bersama dengan jiwa yang mereka bawa itu sampai ke langt dunia yang paling hujung.
Para malaikat tersebut memohon supaya dibukakan pintu langit untuk jiwa itu, maka dibukakan untuknya, maka jiwa itupun diusung oleh para malaikat sampai kepada lapisan langit ke tujuh, lalu Allah pun berkata, “Tuliskanlah kitab hambaKu ini di Illiyyin [Syurga yang paling tinggi], dan kembalikanlah hambaku ini ke tanah, kerana sesungguhnya aku telah menciptakan mereka dari tanah, dan Aku akan menggembalikan mereka kepadanya, dan darinya pula Aku akan mengeluarkan mereka kembali”.
Maka dikembalikanlah jiwa itu kepada jasadnya. Datanglah dua malaikat kepada jiwa itu, lalu mendudukkanya.
Seterusnya berlangsunglah ujian temuduga ke atas jiwa itu untuk menentukan kedudukannya di sisi Allah. Orang yang beruntung akan lulus ujian itu dan kedudukannya di akhirat nanti akan terjamin.
Semoga isteriku yang tercinta Asiah Yaacob, yang dikenali sebagai “Yah, Mama, Wan, Kak Yah, dan Mak Cik Yah termasuk dalam golongaan orang yang beruntung itu.........”.
Ya Allah limpahilah rahmatMu ke atas hamba-hambaMu.
Amin!
**************
KESEPIAN
Senja berlabuh dalam kesepian
Mengiggit hati
Alangkah luasnya lautan pengalaman
Yang kita timba
Masih dalam kehidupan
Terasa bagai mimpi indah
Semalam
Menghiris hati.
Tatakala azan Maghrib mendayu
Hati tersedu
Disentak heba
Bercuka
Terasa kehilangan menghiris tangkai hati.
Pilu
Kesepian ditinggal kekasih
Yang terasa baru semalam di sisi
Dalam pelukan sayang
Tersedu hatiku
Ditoris rindu kesepian.
Keharuan membelah-belah kalbu
Kenangan yang tak berhujung
Menyepikan hati
Dalam kerinduan terhadapmu
Yang pergi membawa hatiku
Bersama kasihmu.
Ya Allah! Kaulah yang Maha Agung
Penentu segalanya
PilihanMu adalah yang terbaik
Buat hamba-hambaMu
Aku redha.
Ampunilah kami
Limpahilah kesabaran di hati kami
Menghadapi takdirMu.
Kurniakanlah kami
Keampunan
Keredhaan
Rahmat-MU
Dalam keharuman Kasih yang abadi
Di Syurga Firdaus.
Amin!
Tasik Puteri, Rawang.
1.00 Malam:
24 Disember 09.