SOLAT TARAWIH BERSAMA ANAK-ANAK DI MASJID

>> Sunday, July 12, 2015




SOLAT TARAWIH BERSAMA ANAK-ANAK DI MASJID

Alhamdulillah sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini masjid dan surau penuh sesak dengan para jamaah untuk solat ‘.Isya’ dan tarawih.








Suasana yang meriah dan menyenangkan di mana rumah-rumah Allah telah dihidupkan dengan cahaya keimanan di bulan suci dan mulia ini.


Ada sesetengah para jamaah, bukan sahaja datang sendirian untuk mengimarah masjid, tapi juga membawa isteri dan anak-anak bersama. Syukur Al-hamdulillah marilah kita bersama-sama memuliakan rumah Allah ini.


Alangkah baiknya, kalau suasana-suasana seperti ini akan terus berkekalan selepas bulan Ramadan dan dalam bulan-bulan biasa.


Memanglah dihargai membawa keluarga bersama ke masjid untuk beribadat, terutama anak-anak. Namun begitu, dalam mambawa anak-anak ke masjid atau ke surau ibu bapa harus juga memberi sedikit pertimbangan.


Adakah pantas seorang ayah itu membawa anaknya yang terlalu kecil untuk solat di masjid yang ramai dengan jamaah itu dan pada waktu malam pula?


Mengikut pengamatan, seorang ayah yang membawa seorang anak kecil yang berusia kira-kira tiga tahun atau seumpamanya mengalami kesukaran untuk bersolat dengan khusyuk, kerana dia terpaksa mencari tempat yang lebih sesuai untuk bersolat bersama dengan anaknya itu. Biasanya dia terpaksa memilih tempat di belakang sekali atau mencari dinding masjid, di mana anak kecil itu boleh ditempatkan di sisi dinding dengan harapan untuk tidak menganggu jamaah lain yang bersolat.


Tapi anak ini kerana terlalu kecilnya, ketika orang sedang solat, dia tidak ikut solat, tapi akan sentiasa bergerak ke hadapan atau ke belakang, ke atas ke bawah, malah ke hadapan orang yang sedang bersolat. Adakah ini tidak menganggu jamaah yang sedang bersolat?


Sering pula anak-anak kecil yang tidak memahami apa-apa itu akan membuat bising yang kuat bila makmun sedang bersolat.


Selain itu ada pula ayah yang membawa anak-anak kecil solat di masjid itu, bukan sahaja membawa seorang anak, tapi dua orang anak yang masih kecil untuk mengikuti orang bersolat. Bayangkanlah dua orang anak kecil diletak bersama dalam suatu tempat yang terbatas ketika orang sedang solat? Bolehkah mereka mendiamkan diri tanpa bergerak?


Dan yang paling tidak menggembirakan ialah bila si ayah solat di barisan hadapan, sedangkan anak-anaknya itu diletakkannya di barisan belakangnya bersama dengan jamaah lain. Beliau sudah tentu tidak mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh kedua-dua anaknya itu ketika dia solat, dan mungkin pada sangakaanya anak-anaknya itu baik dan tidak menganggu, atau mungkin tidak ingin mengambil tahu. Hanya para jamaah yang berada bersama-sama dengan anak-anaknya itu sahaja yang mengetahui apa yang dilakukan oleh kedua anaknya itu?


Ada pula sesetengah ayah menyuruh anak atau anak-anaknya itu pergi tidur ketika hendak solat di mana-mana ruang dalam masjid. Kalau anak itu mengambil tidur di tepi dinding, atau di belakang tempat yang kosong, tahanlah sedikit, tapi kalau mereka tidur di tengah-tengah ruang  masjid, sudah tentu memberi gangguan pada jamaah, kerana sudah tentu tidak ada mereka yang ingin bersolat di hujung kaki atau di hadapan sang anak yang sedang tidur itu.


Dan akan menjadi lebih malang, kiranya anak-anak itu terkencing ketika tidur; oleh kerana tidak dipakai lampin atau dipakaikan lampin yang bocor, lalu mengotiri karpet masjid. Sanggupkah sang ayah mencuci najis anaknya itu dengan sewajarnya, atau membiarkannya begitu sahaja, kerana merasa bersalah, segan dan malu anaknya telah terkencing?


Perkara-perkara seperti ini nampaknya ringan, tapi sebenarnya ia tidak wajar berlaku, membiarkan anak-anak menganggu para jamaah yang sedang bersolat dan mengotorkan rumah suci itu. Oleh itu ibu bapa yang ingin membawa anak mereka bersolat harus berfikir terlebih dahulu adakah anak-anak yang hendak mereka bawa itu tidak menganggu kemuliaan masjid dan menganggu para jamaah. Tidak guna merasa bangga dapat membawa anak-anak ke masjid sepanjang bulan Ramadan ini kiranya menganggu suasana solat. Bagaimana kalau para jamaah yang merasa terganggu, tidak puas hati, malah mengecam dalam hati setidak-tidaknya dengan perilaku anak-anak kecil mereka yang dibawa ke masjid itu?


Perkara seperti ini boleh sahaja berlaku di mana-mana masjid atau surau yang terletak di kampung-kampung di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini?


Saya teringat kepada seorang guru [ustaz] yang memang menggalakan para jamaahnya membawa anak-anak mereka bersolat bersama mereka. Tapi dengan syarat yang ketat, “Jangan biarkan anak-anak itu menganggu para jamaah dengan apa cara sekalipun, nanti timbul fitnah. Kalau tidak, lebih baik jangan bawa mereka sahaja”.


Bulan Ramdan telah berada di hujungnya dan akan meninggalkan kita tidak lama lagi dengan ketibaan Hari Raya Idilftri yang mulia. Semoga tidak adalah ibu bapa yang membawa anak-anak mereka yang kecil-kecil untuk bersolat hari raya, supaya tidak menganggu para jamaah yang hendak bersolat hanya setahun sekali, dan seterusnya mendengar khutbah hari raya tanpa diganggu oleh anak-anak yang tidak mengerti apa-apa.


Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua dengan kempunan dan rahmat dan keberkatan di sepanjang bulan yang mulia.


Maaf dan ampun dipohonkan.


Sekian.


Lorong Masjid,
Kg.Kubang Siput,
PT.KB.Kelantan Darulnaim.








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP