SENDIRIAN BUKAN BERERTI KESEPIAN

>> Tuesday, July 21, 2015





SENDIRIAN BUKAN BERERTI KESEPIAN?



Rumah itu lebih meriah dan gembira bila diselubungi suasana hari raya yang membuka kelirnya setelah Ramadan mengundurkan diri. Demikian fenomena alam silih bertukar ganti.


Suara kanak-kanak  yang riuh rendah bergema di rumah itu senafas dengan kemunculan hari raya. Meriah dan menyegarkan.


Jerit pekik, gelak ketawa, tawa hilai dan isak tangis  anak –anak tingkah meningkah memenuhi ruang lingkup rumah itu. Semuanya memeriah dan menyegarkan suasana.


Itulah suasana rumah orang tua itu setiap kali menjelang raya. Semua anak-anak dan menantunya dan semua cucu-cucunya yang selama ini berjauhan datang berkumpul, bergembira dan bersyukur bersamanya menyambut lebaran.


Keriangan dan kesenangan berbunga rasa di hati, tidak terukir oleh kata-kata, hanya senyuman sentiasa terserlah indah di bibir tua yang usang itu.


Itulah nikmat dan kepuasan orang-orang tua bila dikunjungi dan ditemui oleh anak-anak dan cucu yang begitu mahal nilai harganya dari segi perasaan dan hati manusia.


Tapi suasana sepermai  itu akan berlalu dengan pentasnya dengan berlalunya hari raya. Seorang demi seorang anak-anak dan cucu-cucu akan meninggalkan rumah itu untuk kembali ke hala tuju masing-masing dalam mengharungi hidup ini yang sentiasa berputar ligas. Dan akhirnya rumah itu akan kembali kepada suasana asalnya bersama dengan orang tua itu yang memahami dan menerima hakikat putaran hidup ini.


Sudah beberapa tahun dia sendirian selepas pasangannya yang dicintainya kembali ke pangkuan Ilahi. Walaupun dia tinggal bersama dengan anak dan beberapa orang cucu-cucu, tapi sebilangan masa dia tinggal  sendirian, kerana setiap hari anak-anak keluar rumah untuk bekerja, dan cucu-cucu pergi ke sekolah. Mereka semua pulang ke rumah bila petang berlabuh setelah selesai menjalani urusan masing-masing.


Dia sudah lumrah dengan sendirian dan berdikari dalam kesendirian. Dia benar-benar memahami itu adalah sebahagian dari cebisan hidup yang terpaksa dilalui oleh setiap insan yang dirahmati Allah dengan usia yang lanjut. Bersyukurlah kepada-Nya, Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Biasanya kesendirian itu dicintai oleh kesepian, malah dialah akan menjadi teman ikrab kepada setiap kesendirian. Banyak manusia yang sendirian menjadi mangsa atau korban kesepian dan kesunyian yang menjadi teman yang seram dan kejam. Ia biasa membuat manusia menjadi nanar dan tidak keruan.


Wahai orang-orang yang kesendirian, berhati-hatilah dan jangan mengambil kesepian untuk dijadikan teman, atau membiarkan kesepian menguliti diri. Kesepian sebenarynya hakikat hati, bukannya jasmani. Justeru mereka yang berada bersama-sama dengan orang-orang lain, berada di khalayak ramai sekalipun masih boleh dimamah oleh kesepian yang sentiasa bersedia untuk mengorbankan mangsa-mangsanya yang alpa dan lalai.


Bila hati dimamah kesepian, maka akan muncul pula berbagai ragam penyakit hati, seperti kesunyian, kesayauan, kesedihan, kedukalaraan dan sebagainya dari jenis penyakit hati yang boleh menimpakan kesan yang buruk pula kepada anggota jasmani seseorang.


Tapi kepada orang-orang Islam yang beriman tidak akan merelakan dirinya bertemankan kesepian walaupun dia tinggal bersendirian, kerana kesepian itu boleh bertukar menjadi syaitan laknatullah.
 .

Mohonlah perlindungan  kepada Allah dari godaan dan tipu daya syaitan yang licik.


Semua orang harus sedar walaupun dari segi zahirnya dia bersendirian, tapi pada hakikatnya dia bukan bersendirian, malah dia sentiasa berteman.


Dia sedar para Malaikat sentiasa ada bersama-samanya.


Allah juga sentiasa berada bersama-samanya. Malah Allah sentiasa berada dekat dengan hamba-hamba-Nya, malah lebih dekat dari apa yang mungkin mereka sangkakan.


Allah berfirman “dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya”. Qaf [50]-16.


Basahkanlah lidah dengan nama Allah dan penuhkan hati dengan sentiasa mengingati-Nya sepanjang masa tanpa mengira tempat dan masa.


Kunjungi rumah Allah, banyakkan membaca bahan-bahan yang berguna, dan jika menuntun tuntuanlah benda-benda yang memberi faedah, jangan habiskan masa dengan benda-benda yang lara dan leka yang tidak memberi manfaat dan  merugikan. Masa amat berharga untuk dinilaikira.


Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah [dengan menyebut nama] Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang”. Al-Ahzab [33]:41-42.


Dan firman-Nya, “Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat padamu. Bersyukurlah keapda-Ku, dan janganlah kamu ingkar keapda-Ku”. Al-Baqarah [2]: 152


Dengan berbuat demikian, semoga hati menjadi tenang-linang, kesepian akan tersingkir, kesedihan akaatan sirna, kedukaan  kan hapus, kerana yang ada hanya Allah memenuhi segenap relung hati dan jiwa raga.


Dengan itu tidak ada kesepian dalam kesendirian, malah kesepian merupakan wadah  yang amat berharga dalam mencari keredaan Allah SWT.


Lorong Masjid,
Kg. Kubang Siput,
PT.KB. Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP