YUSOFF ZAKY YAACOB DAN SEEKOR KUCING

>> Thursday, November 7, 2013



YUSOFf ZAKY YAACOB DAN SEEKOR KUCING


 
Di rumah keluarga saya di SU 3 ini ada seekor kucing belaan. Ia merupakan sebahagian daripada penghuni baru rumah ini. Kucing itu seekor kucing biasa, kucing gelandangan yang suatu hari tiba-tiba muncul di rumah dalam keadaan tidak bermaya.

Atas rasa kasihan, keluarga saya mengambil dan memeliharanya, serta menjaganya dengan baik. Waktu saya tiba beberapa hari yang lepas, kucing itu masih lagi kurus. Ianya sangat manja dan gemar dibelai. Makannya memilih, tidak sebarang makanan yang dimakannya.

Kucing jantan itu dinamakan Lusi. Biasanya bila namanya dipanggil dia akan segera datang mengesel-gesel kaki orang yang memanggilnya itu.

Kucing itu disenangi oleh keluarga. Penampilannya agak menarik hati. Ada gerak gerinya yang menyeronokkan dipandang mata.

Tapi kucing itu tidak berapa sihat. Menderita sakit ulcer mulut. Semalam mereka membawanya menemui veteinar untuk rawatan.

Setelah memeriksanya, doktor haiwan itu menyuntiknya. Selain itu diberikannya vitamin, ubat membesar dan ubat ulcer.

Ongkosnya berapa? Lebih dari RM 80. Sama mahal atau lebih mahal daripada bayaran yang dikenakan terhadap seorang pengidap penyakit biasa di klinik manusia.

Di samping itu doktor juga  memberi nasihat supaya kucing itu dipelihara  dengan baik. Dengan sewajarnya. Jangan dilepaskan dia berkeliaran bersama-sama dengan kucing-kucing liar yang membolehkan dia mudah ditulari penyakit dan sebagainya.
Justeru dalam perjalanan pulang, mereka membeli sebuah reban kucing yang diperbuat daripada batang-batang besi yang dijalin dan dicat putih untuk menahannya daripada mudah berkarat.

Justeru mulai petang itu sang kucing telah memiliki rumah kediamannya sendiri yang bernailai RM250. Tidak lagi perlu tidur merata-rata tempat. Pergerakannya juga boleh dikawal daripada merempat ke sana ke mari.

Saya harap kucing itu cepat sembuh dan dapat menjalani hidup seperti biasa, tanpa menambah beban kepada penjaganya.

Saya teringat kepada isteri saya, Allahyarhamah, Asiah Yaacob yang tidak begitu menggemari kucing. Memandang kucing menyebabkan beliau merasa geli-gemam. Kalau kami makan di kedai, dan kebetulan kedai itu ada kucing, dan kucing membelit di kakinya, dia akan mengangkat kedua-kedua belah kakinya dan duduk bersela di atas kerusi. Barulah dia dapat makan dengan kebih selesa.

Pada suatu ketika beliau bercadang untuk memenuhi jemputan sahabatnya untuk bermalam di rumahnya. Tapi bila sampai ke rumah sahabatnya itu, beliau melihat ada beberapa ekor kucing sedang berkeliaran dengan bebas dalam rumah, beliau pun terus membatalkan hajatnya untuk bermalam di situ, dan terus balik ke rumah semula.

Saya teringat rumah saya. Ada di antara jiran-jiran saya itu suka membela kucing. Ada beberapa ekor kucing di rumahnya. Tapi kucing itu dilepas bebaskannya sepanjang masa, berkeliaran ke sana ke mari.

Akibatnya rumah kami telah menjadi mangsa. Menjadi tandas kepada kucning-kucing itu untuk berak dan kencing. Tahi-tahi kucing boleh dilihat di merarata-rata tempat, di atas pasir di halaman rumah, dengan baunya menyenak hidung, terutama selepas hujan melanda, dan panas mata hari mulai menerjah.

 

Saya juga teringat sebuah cerita yang saya dengar tentang seorang doktor dengan seekor kucing. Pada suatu hari doktor hewan tersebut dikunjungi tamu yang tidak diundang di rumahnya. Seekor kucing terbiar yang cacat, kedua belah kakinya telah kudung. Doktor itu mengambil kucing tersebut dan memeliharanya. Beliau amat simpati dengan penderitaan kucing itu dengan kakinya yang kudung dan berusaha untuk mengurangkan bebannya. Akhirnya beliau berjaya memasang dua buah tayar kecil pada kedua belah kaki kucing yang kudung itu. Tayar-tayar kecil itu membantu sang kucing untuk mudah bergerak ke sana ke mari.

Bercakap tentang kucing itu saya juga langsung teringatkan Allahyarham [Dato’] Yusuff Zaky Yaacob. Beliau seorang penulis, pengusaha dan ulamak yang terkenal. Pada suatu ketika, di waktu pagi, beliau menelefon saya yang waktu itu berada di pejabat, beliau meminta saya datang ke rumahnya, tanpa menyatakan apakah tujuannya.

Beliau mengutus anak saudaranya mengambil saya dengan kereta di pejabat. Anak saudara beliau tidak memberitahu kenapakah saya dipanggil oleh [Dato’] Yusuff Zaacob itu. Kami hanya berbual-bual mengenai perkara lain sepanjang jalan megambil masa beberapa minit sahaja itu.

Setelah makan pagi bersama beliau di dapur, beliau memberitahu, beliau ingin meminta tolong saya membawa seekor kucing yang kelihatan sakit ke pejabat hewan untuk dirawat.

Kucing itu sebenarnya kucing gelandangan yang sampai ke rumah beliau, dan terus menetap di situ kerana diberi layanan dengan makanan dan minum oleh pembantu rumah beliau.

Tapi hari itu kucing itu, katanya kelihatan kesakitan, dan memerlukan rawatan yang segera. Saya pun segera membawa kucing itu ke pejabat hewan yang terletak di Kubang Kerian dengan kereta yang dipandu oleh anak saudara beliau. Pada masa itu, dan mungkin juga sekarang, di Kota Bharu masih belum ada klinik swasta untuk hewan.

Seorang kaki tangan pejabat hewan itu yang melayan kami, meminta kami meninggalkan kucing itu kepada mereka untuk menjalani pemeriksaan. Beliau meminta kami datang semula pada waktu tengah harinya.

Kami meninggalkan kucing  itu di situ untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan dirawat jika sakit. Dalam kepala saya terlintas juga pertanyaan, kenapa kucing itu tiba-tiba memerlukan pemeriksaan doktor?

Saya terus dihantar ke pejabat dan seperti biasa meneruskan kerja rutin saya yang bermajikan SUK.

Pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari saya menerima panggilan taelefon daripada [Dato’] Yusuff Zaky Yaacob. Dengan suara yang agak kesal dia langsung memberitahu, “Zain kucing itu telah mati?”.

“Apa sakitnya?”, dengan spontan saya melepaskan pertanyaa,

“Beginilah”, katanya, “kucing itu sebenarnya telah termakan racun tikus yang terletak di bahagian dapur semalam”. Dalam kepala saya terbayang sejenis racun tikus yang berwarna warni yang serupa dengan snek makanan kanak-kanak.

“Kasihan”, katanya dengan nada yang kesal. Beliau seterusnya memberitahu bangkai kucing itu telah pun diambil oleh anak saudaranya Ismail yang menghantar kucing itu ke Pejabat Hewan bersama saya pagi tadi.

Demikianlah prihatinnya belaiu terhadap nasib seekor kucing yang telah terkorban dengan cara yang tidak disengajakan.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP