NENEK KEBAYAN - AMBOI, AMBOI NENEK KEBAYAN

>> Saturday, November 23, 2013




NENEK KEBAYAN, - “AMBOI, AMBOI NENEK KEBAYAN”!!




Mereka yang hidup kira-kira setengah abad yang lalu dan ke atas, tentu pernah mendengar nama Nenek Kebayan dari mulut orang-orang tua mereka, terutama kepada mereka yang tinggal di kampung-kampung.
n
Siapa sebenarnya Nenek Kebayan?

Nenek Kebayan ialah nama tokoh yang terdapat dalam dongeng-dongeng zaman dahulu.

Nenek Kebayan mestinya seorang yang sangat tua.

Nenek Kebayan mempuyai wajah yang berkedut dan kulit yang berkeriput.

Nenek Kebayan keadaannya bongkok tiga atau bongkok tujuh.

Nenek Kebayan berjalan dengan bertongkat.

Nenek Kebayan memiliki kuasa magis.

Nenek Kebayan boleh tiba-tiba muncul dalam udara, demikian juga boleh tiba-tiba  menghilang dalam udara.

Biasanya Nenek Kebayan hanya boleh ditemui dalam hutan yang tebal, bukan di kampung atau dipekan.

Nenek Kebayan memiliki sifat yang terpuji, suka menolong orang yang kesusahan.

Orang-orang yang kesusahan yang lari ke dalam hutan kerana dihalau oleh ibu tiri, dizalami oleh keluarga atau diburu oleh penjahat dan tersesat akan bertemu dengan Nenek Kebayan yang akan menyelamatkan mereka, dengan memlihara, memberi memreka makan atau memandu mereka keluar dari hutan dengan selamat.

Orang-orang tua, bila anak kecil atau cucunya bertanya tentang di manakah Nenek Kebayan itu, mereka akan mendongak ke langit biru di waktu malam bulan terang, sambil mengangkat tangan dan menujuk dengan telunjuknya ke arah bulan terang sambil berkata, “Nun di bulan”. Dalam bulan itu memang kelihatan rajah-rajah yang tidak jelas bentuknya, yang mengikut sainsnya merupakan bayangan sebahagian daripada permukaan bumi.

Dalam Hikayat Hang Tuah ada satu episod tentang rombongan pahlawan terbilang, Hang Tuah mendaki Gunung Ledang, Johor untuk meminang Puteri Gunung Ledang yang dikatakan cantik rupawan itu. Ikut serta dalam rombongan itu seorang pahlawan muda bernama Tun Mamat yang berjaya mendaki sampai ke puncak Gunung Ledang dengan pertolongan wanita Tua, iaitu Nenek Kebayan yang dipercayai penjelmaan Puteri Gunung Ledang itu sendiri menjadi pemandu jalan bertemu dengan puteri jelitawan itu di puncak Ledang.

Saya juga secara kebetulan bertemu dengan sebuah lirik lagu berjodol Nenek Kebayan dalam tulisan tangan dalam simpanan saya ketika mengemas-ngemaskan buku di Pondok Rahmat pagi tadi. Penemuan lagu itulah mencetuskan keinginan untuk menulis rencana mengenai Nenek Kebayan ini. Tulisan tangan orang yang saya kasihi. Kalau tidak silap ingatan saya lagu daerah ini amat popular suatu masa dahulu dan sering dikumandangkan di radio Malaysia Kelantan.

Mungkin lirik lagi ini tidak tepat, kerana saya tidaklah arif mengenainya. Namun begitu saya harap ada orang yang mengetahui dapat membetulkannya.

Saya juga tidak tahu siapakah artis yang mendendangkan lagu ini.

NENEK KEBAYAN

“Amboi! Amboi Nenek
Amboi nenek, Nenek Kebayan
Nenek tua pengasuh yang baik
Pengasuh tua [du]dok jaga di taman

Amboi nenek, Nenek Kebayan
Dudok jaga kolam di taman
Tuan puteri dari kayangan
Nak turun mandi bersama dayang

Tuan puteri mandi di kolam
Belan mandi berbalas pantun
Sama-sama inang dan dayang
Lagu [me]muja bunga sekuntum

Amboi nenek, Nenek Kebayan
Nenek Kebayan, gaduh dan lorat
Dudok siap rukun is[yh]arat
Kesemua dino tak [bo]leh nak royat

Bedak celak cekor jeringau
Cukuplah s[y]arat mandi berlimau
Minyak pemanis si tepung tawar
Disiram pula dengan air mawar.

Hari ini wanita yang fizikalnya berciri seperti Nenek Kebayan itu mungkin sukar untuk dicari, namun begitu wanita yang mempunyai peribadi mulia, seperi Nenek Kebayan, suka menolong dan membantu orang-orang dirundung kesusahan mungkin boleh didapati. Seorang wanita cantik tapi berbudi mulia. Nenek Kebayan zaman moden. 

Sesiapa yang dirundung malang atau dalam kesusahan mungkin berguna jika berpeluang bertemu dengan Nenek Kebayan moden yang jelitawan dan ikhlas ingin menolong.

 




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP