PULAU PANGKOR YANG DIRINDUI PELANCONG- JUGA MENYIMPAN SEJARAH -KEMBARA KE PANGKOR

>> Thursday, November 21, 2013




PULAU PANGKOR YANG DIRINDUI PELANCONG

“Maka apakah mereka tidak pernah mengadakan perjalanan di bumi sehingga dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang yang sebelum mereka. Allah telah membinasakan mereka dan bagi orang kafir akan menerima [nasib] yang serupa itu”. Muhammad: 10






[Klik: ke Menara Condong Teluk Intan]

MEREKA yang pernah belajar sejarah Malaysia, khususnya sejarah Negeri Perak Darul Redzuan, sudah itu mengetahui Pulau Pangkor yang menyimpan titik-titik sejarah tanah air yang penting yang akan menjadi kenangan sepanjang zaman.

Pulau Pangkor sebuah pulau tropikal yang kecil yang menarik dan terletak di Muara Sungai Dinding di Laut Selat Melaka yang sejak dahulu lagi menjadi lalu-lintas penting kepada para pelaut segala bangsa, termasuk para penjajah. 

Luasnya hanya 8 kilometer  persegi. Pulau Pangkor seumpama seorang puteri rupawan yang menjadi rebutan kuasa-kuasa asing untuk memilikinya yang telah berjaya mencetuskan persengketaan dan penumpahan darah  yang merupakan sebahagian daripada rentenan sejarah tanah air yang panjang.








 
Dari Kampung Gajah kami bertolak ke Pulau Pangkor. Kami tidak terus ke bandar Lumut, tapi menuju ke Marina Island untuk menaiki fery di situ yang tempoh perjalanan ke Pulau Pangkor jauh clebih cepat daripada menaiki fery di bandar Lumut seperti yag pernah diceritakan sebelum ini.














Kami sampai di Marina Island, pulau buatan manusia, kira-kira dua puluh minit sebelum fery bertolak mengikut rutin jadual yang telah ditetapkan. Pelancong-pelancong kelihatan telah ramai sedang menunggu fery untuk ke Pulau Pangkor, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar-pelajar sekolah. Tambangnya RM10 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak, pergi dan balik.






Dari Marina Island kami nampak Pulau Pangkor dari jarak kejauhan terapung di atas laut Selat Melaka.

Keliling Pulau Pangkor

Kami mempunyai masa yang terlalu suntuk untuk berada di Pulau Pangkor yang bersejarah itu. Tidak sampai dua jam, kerana kami terpakasa mengejar fery untuk balik ke Tanah Besar  Semenanjung  yang dijadual akan berlepas pukul 1.45 tengah untuk terus balik semula ke Sungai Buloh, Selangor, setelah dua hari berada di bumi Perak Darul Redzuan.

Kami terus menyewa sebuah kereta untuk berputar-putar di Pulau Pangkor, dan dengan tujuan untuk melawat beberapa lokasi yang biasanya menjadi singgahan para pelancong.






Sewa keretanya RM40, dan kami mengisi minyak RM 10, kerana kami tidak mengetahui adakah tangki minyak kereta itu berisi  atau tidak, kerana seperti biasalah, kereta sewa seperti itu, meter minyaknya telah dimatikan. Bagi mereka yang ragu-ragu tentang kandungan minyak kereta yang mereka sewa itu  tentu mengisinya dengan lebih banyak, untuk megelak kereta daripada mati kekeringan minyak di dalam perjalanan.

Selain daripada penggunaan kenderaan darat, Pulau Pangkor juga boleh dijelajahi dengan berjalan kaki dan ikut laut dengan menaiki bot.




Jalannya mengeliling Pulau Pangkor, menjalari kaki bukit yang  berhutan sebelah dan berpantai sebelah. Jalannya agak sempit, dan bercerung, berselekoh, malah ada yang berselekoh patah dan mendaki dan menuruni jurang yang memaksa pemandu-pemandunya memandu dengan lebih cermat dan teliti untuk mengelak daripada terlibat dalam kemalangan.

Pantai Pulau Pangkor memang menarik, indah menawan dan dengan kebersihan yang terkawal. Ada pantai berpasir dan landai, ada yang berpokok-pokok dan juga dijajari batu-batu kecil dan besar yang menambahkan lagi keindahan alam Pulau Pangkor. Antara pantai-pantainya yang termasyur indah ialah pantai Pasir Bogak, sempena pokok Bogak yang banyak tumbuh di situ,Teluk Ketapang dan Teluk Nipah, sempena daripada nama pokok nipah yang banyak tumbuh di situ. Pantai-pantai ini cantik, memukau pandangan mata.

Keropok Ikan

Seperti kebanyakan tempat-tempat lain di Malaysia, Pulau Pangkor mempunyai penduduk yang majmuk, di mana sebahagian besarnya orang Cina, diikuti oleh orang Melayu dan orang India. Bilangan penduduknya kira-kira 25, 000 orang dari berbagai-bagi kaum itu. Kebanyakan mereka hidup sebagai nelayan, dan menghasilkan produk makanan laut sebagai sumber pendapatan. 

Seperti pelancong-pelancong lain juga, kami singgah di sebuah kilang memproses  produk hasil-hasil dari laut dan membeli sedikit sebagai olih-olih.


Tapi saya tidak ada pula melihat keropok ikan sebagaimana keropok yang diusahakan oleh orang-orang Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Trengganu dijual di Pulau Pangkor ini. Keropok ikan yang  diperbuat daripada bermacam-macam jenis ikan. Atau keropok lekor, yang masyur di Trengganu. Tidak ada sesiapakah berfikir untuk mengusahakannya, sedang Pulau Pangkor adalah ladang ikan laut? Tentulah tidak sukar untuk mencari ikan sebagai bahan utama keropok.



Saya percaya, kalau bekalan keropok ikannya baik, sedap dan tidak menggatalkan lidah dan mulut, sudah tentu ia akan mendapat sambutan. Senafas itu buat permulaannya,  kalau memang belum ada, maka gerai-gerai menjual keropok keping goreng  dan keropok lekor  bolih juga dibuka di Pulau Pangkor. Siapa berani mencubanya?

Rumah Ibadat

Untuk kemudahan orang-orang Islam beribadat di Pulau Pangkor ini terdapat dua buah masjid, iaitu Masjid al-Khairiah yang terletak di Sungai Pinang Kecil dan Masjid Telok Raja Bayang di Pekan Pangkor.

Untuk orang Cina pula terdapat Tokong Fu Ling Kung, di mana terdapat replika tembok besar Negeri Cina. Dan terdapat juga sebuah rumah ibadat penganut agama Hindu di Pulau Pangkor.

Pulau Pangkor adalah bumi kelahiran Dato’ Zambry bin Abdul Kadir seorang ahli politik dan Menteri Besar Perak .

Kota Belanda

Mula-mula kami singgah di suatu peninggalan  sejarah yang menjadi  tarikan kepada para pelancong ke Pulau Pangkor, iaitu sisa-sisa runtuhan sebuah kota penjarah Belanda yang dikenali dengan panggilan Kota Belanda, yang terletak di kampung nelayan, Teluk Gedung, di Selatan Pulau Pangkor. Dari Jeti Pulau Pangkor ia mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke situ dengan berkereta. Kota itu sudah tidak beratap, dan dinding di bahagian depannya pun telah tidak ada lagi.






Kota ini dibina oleh penjajah Belanda pada tahun 1680, lebih dari 300 tahun yang lalu. Pertama untuk dijadikan kubu pertahanan dari serangan lanun-lanun dan juga serangan penduduk-penduduk tempatan yang memberontak kerana bencikan pendudukan mereka. Kedua untuk mengawal lalu-lalang perdagangan negeri Perak, terutama bijih timah yang amat berharga pada masa itu dan banyak terdapat di negeri Perak. Ketiga ia dijadikan stor tempat menyimpan bijih timah yang dihasilkan di Perak dan juga barang-brang lain yang berharga untuk dibawa balik ke negara mereka.

Justeru itu Belanda menempatkan bala tenteranya di kubu tersebut. Mengikut sejarahnya, kota Belanda itu pernah diserang oleh para pejuang Panglima Kulup yang membinasakan kota itu.Tapi kota itu dibina semula oleh penjarah Belanda pada tahun 1749.






Kemudian kami singgah pula untuk meninjau sebuah batu besar yang dipanggil batu bersurat yang terletak di Teluk Gedung.

Kami juga singgah dan naik ke sebuah menara pemerhati yang terletak di pinggir jalan untuk meninjau keadaan sekeliling, terutama ke laut lepas yang luas terbentang dengan airnya yang membiru. Waktu itu tengah hari, pandangannya tidaklah seindah di waktu petang atau senja di kala mata hari berlabuh di kaki lagi.

Sebahagian daripada tangga untuk naik ke menara itu telah rosak dan boleh membahayakan, kerana sebahagian daripada pagar tangga itu telah tidak ada lagi, entah ke mana dan kalau kurang hati-hati boleh menjerumuskan orang untuk jatuh. Kenapa dibiarkan begitu oleh pihak berkuasa yang seharusnya memberi keutamaan kepada keselamatan awam, terutama para pelancongnya?

Bila kami sampai balik ke bandar Pulau Pangkor , selepas menghabiskan satu pusingan keliling Pulau Pangkor, masa telah terlalu singkat untuk kami berlengah-lengah. Kami hanya sempat masuk ke sebuah kedai menjual pakaian. Rancangan kami pada mulanya untuk makan tengah hari di Pulau Pangkor pun terpaksa dibatalkan untuk mengejar fery yang akan meninggalkan kami jika kami terlewat sampai ke jeti dan terpaksa menunggu fery yang lain pula.

Dengan menaiki fery yang bertolak kira-kira pukul 1.45 menuju ke tanah besar Semenanjung, kami tinggalkan pulau destinasi pelancongan itu yang dijangka akan menjadi sebuah pusat pelancongan bertaraf antara bangsa pada tahun 2015 nanti. Pelancongan itulah menjadi nadi industrinya yang penting untuk mengauk pendapatan di samping indusri menghasilkan produk makanan laut.

Perjanjian Pangkor

Semasa di atas fery yang bergerak membelah laut Selat Melaka itu saya terkenang kepada satu peristiwa sejarah yang penting yang pernah berlaku di Pulau Pangkor yang berkait dengan negeri Perak khasnya dan sejarah Malaysia amnya. Pada tahun 1874 telah dimeteraikan satu perjanjian  yang kemudiannya dikenali dengan Perjanjian Pangkor. Perjanjian itu berlangsung antara Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri Selat yang berpengkalan di Singapura dengan Sultan Abdullah. Perjanjian Pangkor itu telah melantik Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak, dan sebagai balasannya Raja Abdullah bersetuju menerima seorang residen British. Justeru itu J. W. W. Birch telah dilantik sebagai residen sementara dan Kapten Speedy sebagai penolong residen. Tugas residen ialah membantu sultan dalam mentadbir negeri, kecuali perkara yang bersangkutan dengan adat istiadat dan agama.

Fikiran saya terus melayang jauh melintasi renggang masa yang terus meluncur laju. Perjanjian Pangkor ini telah menjadi barah, mencetuskan Perang Perak yang telah menelan korban yang bukan sedikit. Perjanjian Pangkor mempunyai lubang-lubang kelemahan ketara yang mencetuskan pertumpahan darah itu. Melalui Perjanjian Pangkor itu Sir Andrew Clarke telah melakukan kesilapan besar melantik Raja Abdullah sebagai Sultan kerana beliau seorang pemimpin yang tidak cekap dan mementingkan diri sendiri. Perjanjian Pangkor itu juga bererti Sir Andrew Clarke  mengenepikan Raja Ismail dan Ngah Ibrahim [Menteri Larut] yang berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai.

Perlantikan J. W. W. Birch sebagai residen juga tidak sesuai. Pengambilan masa yang lama untuk melantik beliau sebagai residen, telah menimbulkan kekosongan yang menyebabkan Raja Abdullah telah bertindak bebas tanpa kawalan residen, justeru bila J. W. W. Birch benar-benar dilantik menjadi residen, Raja Abdullah merasa tidak selesa dan merasa J. W. W. Birch ingin menganggu semua pentadbirannya.

Sementara itu J. W. W. Birch pula seorang yang berperangai tergesa-gesa dan kurang kebijaksanaan dalam menghadapi problam-problam yang timbul, terutama mengenai perkara-perkara yang mempunayi kepentigan dengan orang Melayu. Malah J. W. W. Birch sebenarnya  tidak memahami tata cara hidup dan adat istiadat orang-orang Melayu. Ini menyebabkan beliau campor tangan sesuka hatinya dalam hal ehal negeri dan juga adat istiadat orang Melayu.

Dari sinilah titik-titik pertentangan itu bermula yang mencetuskan kemarahan di kalangan pembesar-pembesar Melayu. Ia berekor dengan pembunuhan J. W. W. Birch di Pasir Salak pada 1 Novemer 1875 oleh Dato Maharaja Lela. Berikutnya British menghantar tenteranya menyerang Pasir Salak yang telah berjaya mencetuskan Perang Perak.




Dan akhirnya pada pertengahan tahun 1876 semua pembesar-pembesar Melayu yang terlibat dalam pembunuhan J. W. W. Birch itu berjaya diberkas oleh penjajah British. Dato’ Maharaja Lela dan rakan-rakan seperjuanganya telah menjalani hukum gantung di Matang, pada bulan Januari 1877. Sementara Raja Abdullah dibuang ke Pulau Seychelles, dan Raja Ismail pula dibuang ke Johor dan mangkat di sana pada tahun1889. Seterusnya Raja Yusoff yang tidak terlibat dalam komplot pembunuhan itu telah dilantik menjadi Raja Perak mengganti Raja Abdullah.




Layangan ingatan saya terbantur di situ, dengan kesampaiannya fery di jeti Marina Island untuk membolehkan kami mendarat ke Tanah Besar Semenanjung. Sayonara Pangkur yang telah melakar baris-baris penting dalam sejarah negeri Perak khasnya dan sejarah Malaysia amnya.


Sayornara Pulau Pangkor yang menjadi kerinduan para pelancong, menggoda rasa dan memilukan hati.

                                                                           
 




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP