KAMPONG GAJAH PERAK RAMAI MASJID, TAPI.....

>> Tuesday, November 26, 2013






KAMPONG GAJAH RAMAI MASJID, TAPI.....….



                             Masjid baru Masjid Sultan Azlamn Shah


Klik Ke: Pulau Pangkor Jadi Kerinduan

MASJID adalah rumah suci umat Islam, tempat mereka menunai ibadat. Justeru itu di mana ada masyarakat Islam, mereka akan berikhtiar untuk mendirikan rumah ibadat mereka, dengan dinama masjid, surau, madrasah dan sebagainya, di mana mereka dapat berkumpul untuk bersolat lima kali sehari.

Justeru itu di negara kita Malaysia banyak terdapat rumah ibadat yang kita namakan masjid, surau dan sebagainya. Demikianlah ketika kami kembara ke Kampong Gajah, Perak kami dapati terdapat banyak masjid-masjid untuk kegunaan umat Islam.



                             Masjid Sultan Azlan Shah Dari Arah Hadapan


Terdapat tidak kurang daripada 29 buah masjid yang terletak di bawah kerajaan Negeri Perak di Kampong Gajah. Di samping itu mungkin ada lagi masjid atau surau yang tidak termasuk dalam senarai kerajaan Negeri Perak yang didirikan oleh masyarakat Islam tempatan atau masjid-masjid lama yang ditinggalkan kerana wujudnya masjid baru.

Di antara 29 buah masjid itu ialah Masjid Air Mati, Masjid Bandar Tua, Masjid Changkat Rambai, Masjid Changkat Lada, Masjid Muhajirin Felcra, Masjid Pasir Puteh, Masjid Pasir Salak, Masjid Teluk Memali dan Masjid Sultan Azlan Shah.



                             Bersama Arham Zaini


Waktu kami sampai hari itu, hari Jumaat, dan kami sempat solat Jumaat di Masjid Sultan Azalan Shah Kampong Gajah. Masjidnya berhawa dingin. Malah saya difahamkan kebanyakan masjid di Kampong Gajah ini berhawa dingin.  Di negeri saya, Kelantan Darulnaim, setahu saya, tidak ada masjid yang berhawa dingin, termasuk masjid-masjid besar, masjid kepala daerah atau jajahan dan juga masjid negeri, namun begitu tidak menghalang para jemaah pergi ke masjid.

Selesai solat Jumaat, ketika menuju ke kereta yang diparkir tidak berapa jauh dari situ, seorang Jemaah menyapa kami. Kami berkesempatan berbual sekejap. Di antara lain beliau menceritakan pada hari Jumaat sebelum itu, beliau pergi solat Jumaat [dia menyebut nama masjidnya, tapi saya sudah lupa], Pak Imam terpakasa membilang bilangan makmun terlebih dahulu cukup 40 orang atau tidak untuk membolehkan beliau meneruskan solat Jumaat hari itu.






Katanya, walaupun masjid di sini banyak tapi makmunnya tak ramai yang datang untuk bersolat. Perkara ini berlaku mungkin kerana terlalu banyak masjid daripada bilangan penduduknya yang boleh bersolat. Atau mungkin kerana mereka menumpu ke sesebuah masjid yang menjadi pilihan khusus mereka untuk bersolat. Atau mungkin kerana mereka tidak suka bersolat di masjid. Saya harap tidak begitu.

Malah katanya, ada masjid yang terpaksa bergilir-gilir untuk bersolat Jumaat. Kalau hari ini masjid A, Jumaat hadapan pula masjid B, untuk mencukupi bilangan 40 orang, kalau tidak kedua-dua masjid tidak dapat bersolat Jumaat, kerana tidak cukup bilangan.

Bila saya bertanya beliau tadi kenapa jadi begitu [tak cukup jemaah] , beliau memberikan sebabnya yang amat sinis yang tidak tergamak saya untuk menyebutnya di sini, dan dalam hati saya mengharapkannya bukan begitu.

Salah sebuah masjid yang menjadi tumpuan masyarakat Islam di Kampong Gajah ialah masjid lama yang memang dikenali dengan nama Masjid Lama, Kampong Gajah. Masjid ini asalnya sebuah masjid kerajaan negeri tapi ditinggalkan bila masjid baru, iaitu Masjid Azlan  Shah didirikan dan digunakan untuk solat Jumaat tidak berapa jauh dari tempat itu.

                                   
Justeru masyarakat Islam tempatan telah berbapakat membaikpulih masjid yang terbiar itu dengan mengubahsuaikan bangunannya, memberi nafas baru dengan berbagai-bagai aktiviti dalam usaha untuk mengimarahkan masjid tersebut daripada terus terbiar. Bangunannya telah dibaikipulih dan sebagai ganti kipas angin, telah dipasang sistem penghawa dingin seperti kebanyakan masjid dalam Kampong Gajah. Saya difahamkan setiap malam ada majlis ceramah agama di Masjid Lama itu dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Para jemaah pula sangat pemurah menghulurkan derma dan sedekah untuk pembangunan masjid itu.

Saya difahamkan, masyarakat Islam di Kampung Gajah, seperti juga masyarakat Islam di seluruh negara masing-masing mempunyai fahaman politik yang berbeza. Golongan muda di satu pehak, sementara golongan tua di satu pehak yang lain pula. Namun begitu, pertembungan ideologi itu diharap tidaklah merosakan keharmonian hidup bermasyarakat, hingga terheret-heret sampai ke masjid, rumah Allah Yang Suci. Masjidlah tempat umat Islam bertemu, bersatu, bermahabah dan bersama-sama menyembah Allah yang satu. Kita umat Islam boleh berbeza, tapi tetap bersatu.










0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP