NORHISHAM MUSTAFFA BAWA MARDIANA, DARMA MOHAMMAD BAWA UFUK FIKIR
>> Tuesday, November 19, 2013
Sabtu 16
November 2013, Pagi. Bersamaan dengan 12 Muharam 1435.
Dua
orang kawan dari kalangan penulisan bertandang ke pondok kami. Mereka terdiri
dari dua orang sastrawan yang tanah yang terkenal.Mereka ialah novelis dan
eseis, Norhisham Mustaffa dan penyair Darma Mohammad.
Kedua-duanya
memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Siapa Norisham dan siapa Darma.
Norhisham
masih tinggi dan segak seperti dulu-dulu juga, sementara Darma walaupun sekali
atau dua sahaja saya pernah menemuinya di masa-masa yang lalu, tapi bila saya terpandang
wajahnya, saya merasa saya telah lama mengenalinya, dan telah banyak kali
bertentang wajah dengannya sejak bertahun-tahun yang lalu.
Tujuan kunjungan
mereka ialah untuk mahabah dan mengukuhkan sutera silaturahim, menghangatkan kembali ikatan persahabatan
yang telah tersirat sekian lama baik secara langsung atau tidak langsung.
Pertemuan
akhir dengan Norhisham sudah berlalu kira-kira tiga tahun lebih yang lalu,
iaitu ketika beliau dan Wadi Leta SA berkunjung ke rumah kami di Sungai Durian,
Kuala Krai untuk mengucapkan belausangkawa di atas pemergian abadi isteri saya,
Asiah Yaacob.
Kali ini
mereka berkunjung di pondok kami di Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Saya tidak bawa
mereka ke Pondok Rahmat, tapi ke Teratak Rahmat yang letaknya bersebelahan,
kerana saya sebenarnya tinggal bersama dengan anak saya di Teratak Rahmat dan bukan
di Pondok Rahmat yang hanya semacam rumah rihat di waktu siang hari kepada saya
dan juga sebagai tempat simpanan buku-buku saya yang sebahagiannya telah
berusia puluhan tahun. Saya tidak dibenarkan tinggal sendirian oleh anak-anak
saya sebagaimana diamanah oleh Mamanya kepada mereka semasa hayatnya.
Dalam
peretemuan sekilas itu bermacam-macam perkara yang kami bualkan, terutama
mengenai lautan penulisan dan para pelautnya yang mengombakkann lautan
penulisan itu dengan aneka warna, termasuk mengenai pelaut-pelaut itu sendiri yang terdiri
dari sahabat-sahabat lama kami yang seiring jalan dengan kami sejak berpuluh-puluh
tahun yang lalu, dan kini kebanyakannya telah berpisah dibawa oleh arus dan haluan
hidup masing-masing.
Norhisham
rupa-rupanya mempunyai pengetahuan tentang
rakan-rakan sejawat lama kami yang
kembara di lautan penulisan itu, yang saya telah kehilangan pintalan tali
hubungannya. Kebanykan mereka telah meraih kejayaan, dan ada pula di antara
mereka yang mempunyai keluarga yang telah bertambah besar, iaitu seperti saya
juga dengan memiliki menantu dan cucu.
Alhamdulillah.
Sebahagian
dari mereka masih berlabuh dan tinggal di Negeri Kelantan Darulnaim dan
sebahagian lagi pula tinggal bersauh di ibu negara Kuala Lumpur. Dan semunya
masih aktif dalam mencanai kalam mereka melayari
lautan penulisan dengan aneka warna genre penulisan.
Kami
juga sedikit sebanyak menyentuh detik-detik peristiwa-peristiwa lampau yang
menyiggung kami pada waktu itu. Fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas saya,
juga dihumbankan ke atas Norhisham, terutama fitnah yang dikaitkan dengan
wanita sebagaimana pernah saya sentuh sedikit di masa-masa yang lalu. Penulis
wanita yang dikaitkan dengan saya dalam drama fitnah itu sampai hari ini pun masih
belum saya kenali, kecuali namanya sebagai penyumbang kepada MINGGUAN KOTA
BHARU.
Tanpa
kami sedari, masa berjalan terlalu pentasnya, meratah waktu kami. Rupa-rupanya
hampir dua jam telah berlalu dan mereka pun memohon untuk berpisah. Semoga
bertemu kembali dalam suasana yang lebih berbahagia di masa-masa akan datang.
Seelum
itu Norhisham telah menyerahkan sebuah sampul kepada saya, demikian juga Darma.
Dalam sampul Norhisham terdapat dua buah novelnya yang terbaru, dan dalam
sampul Darma pula terdapat sebuah antologi puisi beliau.
Antologi Darma berjodol Kumpulan Puisi UNTUK FIKIR, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, sementara novel Norhisham masing-masing berjodol Terminal Cinta dan Kembara Mardiana. Kedua-keduanya diterbitkan oleh Aras Mega [M] Sdn Bhd.
Katanya
kedua-dua novel beliau itu baru sahaja siap dan masih lagi belum diedar di
pasaran.
Terimakasih
kepada beliau dan Darma. Kembang gembira hati saya menerimanya. Hanya Allah
sahaja membalasnya.
Saya
masih belum berkesempatan membaca kedua-dua novel dan kumpulan puisi Darma
itu, kerana pada waktu ini saya sedang membaca sebuah novel yang baru sahaja beli.
Selepas kereta
yang dinaiki oleh Norhisham dan Darma hilang dari pandangan, tiba-tiba
terpancar dalam benak saya alangkah baiknya kalau diadakan satu perjumpaan khusus
untuk para penulis yang seangkatan
dengan kami untuk mengeratkan kembali silaturahim antara satu sama lain.
Insyallah
nanti akan saya ajukan perkara ini kepada Norhisham dan Darma untuk meninjau
pendapat mereka.
Kalau
ada jarum yang patah
Jangan disimpan
di dalam peti,
Kalau ada
silap sepatah
Jangan simpan
di dalam hati.
3 comments:
Salam sejahtera :
Alhamdulillah. Saya sungguh gembira dapat berjumpa dengan Tn Haji Mohd Zain kerana sudah sekian lama membaca tulisan tuan dalam majalah Dian, majalah yang menjadi bacaan tetap saya.
Terima kasih atas segala perkongsian pengalaman yang begitu banyak dan amat berharga.
Insya-Allah, jika ada ruang, dapat kita bertemu lagi untuk menyambung perbincangan tentang dunia persuratan.
Terima kasih atas segala-galanya.
Wassalam.
Darma Mohammad.
Salam sejahtera :
Alhamdulillah. Saya sungguh gembira dapat berjumpa dengan Tn Haji Mohd Zain kerana sudah sekian lama membaca tulisan tuan dalam majalah Dian, majalah yang menjadi bacaan tetap saya.
Terima kasih atas segala perkongsian pengalaman yang begitu banyak dan amat berharga.
Insya-Allah, jika ada ruang, dapat kita bertemu lagi untuk menyambung perbincangan tentang dunia persuratan.
Terima kasih atas segala-galanya.
Wassalam.
Darma Mohammad.
Salam. Terimakasih.Banyakkah karya-karya baru yang telah siap?
Harap rancagan untuk mengadakan penulis-penulis penulis-penulis lama itu akan berjaya.
Post a Comment