JEMAAH WANITA DISAMUN DI SUBUH HARI DEKAT MASJID
>> Friday, November 29, 2013
KETIKA para jemaah sedang menunggu bilal Qamat untuk memulakan solat Subuh di pagi Jumaat di sebuah masjid kampung kami di pinggir Bandaraya Islam Kota Bharu Kelantan pagi tadi, tiba-tiba kedengaran hon kereta dibunyikan beberapa kali di luar masjid, kemudian dikuti oleh suara yang membising. Sebahagian daripada jemaah lelaki kelihatan bangkit dan berkejar ke pintu belakang masjid untuk meninjau apa yang telah berlaku di sana. Saya pun ikut sama.
Pada sangka saya satu kemalangan telah berlaku, kerana masjid kami ini
terletak di sisi jalan besar dan di sebelah rusuk kirinya dibatasi oleh jalan
panjang melewati kampung. Tapi bukan aksiden, sebaliknya kejadian samun.
Seorang jemaah menceritakan kepada saya, seorang wanita sedang berjalan ke
masjid telah terkena samun. Katanya ketika Muslimah itu sedang berjalan ke masjid
sebuah kereta tiba-tiba berhenti dan menarik beliau masuk ke dalam kereta dan
melarikannya.
Pada masa itu juga kebetulan sampai sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki
yang melihat kejadian itu, lalu mengejar kereta penyamun itu. Mungkin kerana
ketakutan, penyamun itu meninggalkan mangsanya di tepi jalan dan terus
melarikan diri. Lelaki yang mengejar kereta penyamun itu, mengambil wanita itu dan
menghantarkannya ke masjid. Lelaki itu kelihatan masih berdiri di situ
menceritakan sesuatu yang saya tidak dengar dengan jelas kerana kedudukan kami
agak jauh.
Pada masa itu ramai jemaah-jemaah
wanita sedang mengerumi mangsa itu di pintu pagar belakang masjid yang masih dalam pembinaan. Kemudian saya
lihat seorang wanita yang bertelekung masuk ke masjid, yang saya percaya itulah
mangsa samun itu. Kasihan. Kenapa seorang wanita yang sedang berjalan ke masjid
di pagi Jumaat yang mulia ini dijadikan mangsa samun oleh manusia yang tidak
berhati perut?
Peristiwa itu menambahkan aneka kejadian jenayah yang berleluasa setiap
hari di negara kita yang dikatakan selamat dan aman damai ini. Perisitiwa ini
juga meminta kaum Muslimah lebih berhati-hati tentang keselamatan diri mereka
di masa-masa akan datang supaya tidak lagi terjebak dalam segala macam kejadian
yang tidak diingini.
Hanya dengan kembali kepada Hukum Allah sahaja jenayah seperti ini dapat
dibendung.
Oleh sebab Qamat telah dialunkan oleh Pak Bilal dan Imam telah hendak
memulakan solat kami pun bergegas masuk ke masjid untuk solat Subuh bersama
imam. Tidaklah kami ketahui bagaimanakah cerita yang selanjutnya mengenai
kejadian samun yang terkutuk itu. Adakah dia terselamat dari samun?
Yang pentingnya, kami bersyukur kerana Muslimah itu diselamatkan Allah
daripada bencana yang lebih besar ekoran daripada kejadian tersebut. Mungkin
berkah Solat Subuh, beliau terselamat. Mungkin aura suci masjid itu telah
menyelamatkannya dengan izin Allah.
Walau apapun sebabnya bersykurlah dan marilah kita kembali ke Hukum Allah
yang sebenarnya.
Sukacita dimaklumkan saya sedang dalam persiapan untuk menyiarkan sebuah
kertaskerja oleh seorang tokoh perundangan Islam yang terkenal, Allahyarham Profesor
Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim mengenai
HUKUM HUDUD dalam Blog Pondok Rahmat. Insya-Allah.
0 comments:
Post a Comment