CINTA SUCI ZAHRANA DAN BENGAWAN SOLO

>> Saturday, July 27, 2013






CINTA SUCI ZAHRANA DAN BENGAWAN SOLO

NOVEL “Cinta Suci Zahrana” adalah kisah yang berpusat kepada  seorang gadis bernama Zahrana. Latarbelakang kisah berputar di beberapa tempat, iaitu di Solo, di negara Tembok Besar Cina dan juga di tempat-tempat lain di Indonesia. Zahrana seorang gadis yang cekal dalam mengejar cita-cita untuk memburu ilmu pengetahuan hingga tercicir dalam mencari seorang teman hidup, iaitu suami, hingga usianya melewati 30-an tahun sehingga dia bergelar anak dara tua. Dalam usaha mengejar cita-cita dan memburu seorang suami inilah berbagai-bagai peristiwa telah berlaku menimpa Zaharana, gadis yang cekal, tabah dan berhati mulia ini dengan aneka kepedihan, kesedihan, kedukalaraan, kekecewaaan.

Tapi berkat ketabahan, keyakinan dan keimananya, Zahrana akhirnya telah dikurniakan seorang suami yang beberapa tahun lebih muda darinya dan juga bekas seorang pelajarnya sendiri. Di situ Zahrana menempa kebahagiannya sebagai seorang wanita yang tabah setelah dihempaskan dengan ujian dan cubaan yang bukan kepalang. Novelis Habiburrahman melukiskan kemuncak kebahagian Zahrana itu dengan madahnya, “Malam itu Zahrana sangat bahagia. Usai akad nikah Hasan mengajak Zahrana menaiki keretanya menuju hotel termewah di kota Semarang. Di dalam hotel, dengan penuh kekhusyukan Zahrana menunaikan ibadahnya sebagai seorang isteri. Ibadah yang sudah lama dia tunggu-tunggu bersama seorang suami. Di mata Hasan, Zahrana yang tampak manis dengan tudung putihnya ternyata jauh lebih manis ketika rambutnya terurai. Hanya dia yang tahu betapa manisnya Zahrana. Mereka berdua saling mengangumi, saling mencintai dan saling menghormati. Kebahagian Zahrana malam itu menghapus semua derita yang dialaminya. Tasbih selalu mengiringi tarikan nafasnya. Dia semakin yakin, bahawa Allah bersama orang yang sabar dan ihsan”.

Saya bukan hendak mengulas novel yang cantik ini. Patut dimilki oleh peminat-peminat novel, terutama dari kalangan generasi muda. Dengan itu, sudah tiga buah novel novelis hebat, Habiburrahman El Shirazy saya ikuti, dan berharap untuk memperolehi novel-novel beliau yang lain lagi. Namun begitu saya bukan seorang pengulas novel, tapi seorang pembaca biasa yang mencari butir-butir taburan-taburan ilmu yang mungkin terdapat dalam novel-novel seperti ini, di samping menerokai buku-buku ilmiah yang biasa. Justeru apakah yang ingin saya bicarakan sebenarnya di sini?

Membaca nama Solo dalam novel ini secara automatik mengingatkan saya kepada Sungai Solo atau lebih tepatnya Bengawan Solo. Nama Bangawan Solo ini telah diabadikan dalam sebuah lagu tradisional yang terkenal di seluruh dunia dengan jodol Bengawan Solo didendangkan oleh artis-artis terkenal di Indonesia. Saya tidak tahu kenapa sejak zaman kanak-kanak lagi, saya amat terpesona dengan lagu Bengawan Solo ini. Saya pun tidak tahu mengapa Bengawan Solo meruntun hati ketika mendengarnya sampai ke hari ini. Mengikut perkiraan saya, dendangan asal Bengawan Solo  lebih memikat hati saya daripada daripada berbagai-bagai versi dendangan yang ada pada hari ini. Pada masa itu Bengawan Solo ini hanya boleh didengar menerusi dari corong Radio Malaya. Saya rasa selama bertahun-tahun lamanya lagu itu diputarkan.

Saya sebenarnya, masih belum menjejaki kaki ke bumi Solo. Tapi saya telah sampai ke Lamongan. Solo ialah nama timangaan kepada nama Surakarta yang mempunyai penduduk seramai lebih dari 520,061 orang dalam tahun 2009. Jauh sekali daripada pernah menikmati keindahan Bengawan Solo yang telah menjadi inspirasi kepada Gesang Martohartono menggubah lagu Bengawan Solo yang menjadi sebuah lagu tradisional yang terkenal di seluruh Indonesia itu.

Bengawan Solo berpunca dari gunung berapi Lawu yang terletak di sempadan antara Jawa Timur dan Jawa Barat. Airnya mengalir dan terus mengalir ke Laut Jawa, berlekar-lekar sepanjang kira-kira 600 kilometer. Selepas mengalir melewati bumi Solo, sungai itu mengalir ke arah utara di sekitar Gunung Lawu dan kemudian membelot ke arah Timur melepasi Jawa Timur dalam regensi Nagawi. Selepas itu Bengawan Solo berpaling ke arah utara lagi, membentuk perbatasan antara Blora Regensi, Jawa Tengah dan regensi Bojonegoro Jawa Timur. Daripada bandar Cepu di Blora, Sungai Solo berpaling ke arah Timur  dan melewati ibu negeri regensi Bojonegoro. Dari situ ia terus mengalir ke arah Timur melewati regensi Lamongan dan Gersik. Bahagian akhir Sungai Solo kira-kira bermula dari regensi Bojonegoro adalah melewati bumi yang kebanyakan tanahnya mendatar.

Delta Bengawan Solo terletak berhampiran bandar Sedayu dalam regensi Gresik. Di situ telah dibina sebuah  terusan air yang dibina oleh penjajah Belanda pada tahun 1890an untuk megubah aliran air Bengawan Solo ke Laut Jawa, sedangkan asalnya Sungai Solo mengalir ke Selat Madura. Tujuannya ialah untuk menghalang lumpur-lumpur dari berkumpul memenuhi Selat Madura yang akan menghalang jalan laut untuk menuju ke bandar pelabuhan Surabaya

Bengawan ialah berasal dari perkataan Jawa lama yang bererti sungai, dan Bengawan Solo  adalah merupakan sungai yang terpanjang di Pulau Jawa Indonesia. Sungai ini amat berjasa kepada makhkuk Allah yang tinggal disekitar Lembah Sungai Solo sebagai sumber bekalan air kepada mereka, kepada haiwan dan juga untuk mengairkan usaha-usaha pertanian di bahagian Timur dan Utara Pulau Jawa. Ia amat penting dari segi sejarah, kerana di perlembahan Bengawan Solo telah banyak ditemui sisa-sisa hominid manusia hari ini, terutama di suatu tempat bernama Sangiran, termasuk fosil awal manusia yang pertama ditemui di luar Eropah, yang dikenali dengan tengkorak “Manusia Jawa” atau  “Java Man”.

Catatan sejarah menunjukkan Bengawan Solo memain peranan yang penting dalam sejarah Inonesia, khususnya Pulau Jawa. Airnya penting untuk pertanian, khususnya para petani. Air Sungai Solo mengalirkan bahan-bahan dari gunung berapi yang penting untuk menyuburkan tanah-tanah di sekitarnya. Ia juga menjadi peghubung yang penting antara bandar-bandar pelabuhan di pantai utara Jawa dengan sawah-sawah padi di pendalaman, sebagai jalan pengangkutan untuk mengagkut beras-beras  itu ke pelabuhan-pelabuhan untuk diperdagangkan. Demikianlah sedikit latar Bengawan Solo yang dapat saya pungut.

Bengawan Solo telah lama terkenal sebagai sebuah bengawan mistik kepada penduduk-penduduk di Pulau Jawa yang dikaitkan dengan berbagai-bagai kisah dan legenda berhubung sungai yang dianggap keramat oleh sebahagian dari mereka. Malah ia dikaitkan dengan sebuah legenda yang memilukan hati yang berputar sekitar Bengawan Solo.

Dalam tahun 1950an dulu sebuah kisah berputar Bengawan Solo telah difilemkan di layar perak. Bwngawan Solo yang pada masa itu merupakan sebuah sungai keramat kepada penduduk Solo, telah dijadikdan objek di mana orang ramai memohon hajat mereka kepada penunggu sungai itu, terutama untuk memperoleh keturuan jika telah lama mendirikan rumahtangga tapi tidak dikurniakan anak. Ia dilakukan dengan cara-cara tertentu. Tidaklah diketahui adakah khurafat itu masih hidup lagi sampai sekarang atau telah lupus?

“Sesudah berliku membasah ladang dan sawah, desa dan kota, sebagai orang membagi amal kepada sesamanya, mengalirlah akhirnya sang air ke laut. Seribu satu rahsia ditelannya, beraneka kejadian disaksikannya. Dari masa ke masa, dari abad ke abad. Kadang berat air mengalir, merah kotor penuh lumpur pedih sedih tengah berkabung bagai orang menuju kubur, kadang deras arus meluncur, riang bersiul, nyaring bernyanyi, bagaikan perawan mendapat  cium”. Tulis Kotot Sukardi dalam Bengwan Solo.

Legenda Bengawan Solo ini bermula dengan peristiwa-peristiwa sedih yang mengharukan, tapi berakhir degan happy ending. Kisah bermula dengan seorang perawan yang digambarkan begitu cantiknya. Gambaran kencantikannya,”……seorang gadis rupawan, halus budinya. Perawan solo tulen! Bentuk badannya, roman mukanya, warna kulitnya, tutur bahasanya, irama jalannya, semua serba Solo. Baik dipandang dari jauh, mahupun dilihat dari dekat ia tetap cantik, Keliru, bukan cantik, tuan manis ia! Dan ia tetap manis, baik ia tersenyum, mahupun ia menangis, baik bernyanyi mahupun menjerit. Lebih-lebih jika si jelita naik dari bengawan sehabis mandi.............Jika di dunia ini tidak ada adat sopan santun, maka tiap-tiap tangan lelaki barangkali akan terulur mencubit bibir atau pipinya, kalau ia sedang termenung”. Demikian cantik dan mempesonakan gadis ini mengikut gambaran Kotot Sukardi.

Perawan ini namanya Winangsih tinggal dengan ibunya seorang janda di pinggiran Bengawan Solo. Ramai para pemuda tergila-gilakannya, tapi tidak berjaya memikat hatinya, kecuali seorang lelaki bangsawan berharta, R. M. Suprapto yang pandai menggoda dengan pujuk dan rayunya, menyebabkan hati gadis ini menjadi cair. Larangan ibunya tidak lagi diendahkan. Cinta butanya terahdap lelaki yang bermata keranjang itu tetap utuh.




Hubungan sulit itu telah meilahirkan dua orang anak perempuan yang cantik dan jelita dinamakan Sriwulan dan Hindrawati. Ibu mereka Winangsih telah mengambil jalan singkat dengan terjun ke dalam Bengawan Solo kerana tidak tahan dengan penderitaan akibat ditinggalkan oleh lelaki yang memang telah pun mempunyai isteri itu. Nasib baik kedua-dua anak perempuan itu diambil dijadikan anak angkat oleh dua orang yang berlainan, iaitu Pak Kromo dan S. M. Sudigo yang menyebabkan kedua-dua beradik itu terpaksa berpisah. Sriwulan bersama Pak Kromo dan Hindrawati bersama R. M. Sudigdo. Kedua-kedua anak itu menempuh nasib yang berlainan di mana Hindrawati hidup dalam melarat kesusahan sementara Sriwulan hidup dalam kemewahan yang melimpah. Walau bagaimana pun kedua-duanya membesar menjadi gadis-gadis yang jelita, lebih-lebih lagi Sriwulan menjadi rebutan pemuda-pemuda Solo seperti ibunya Winangsih sebelum itu.

Sriwulan hampir berkahwin dengan suadara lelakinya sendiri, anak lelaki R. M. Suprapto, namanya Pitono, tapi dihalangi oleh bapak saudaranya seorang peniaga namanya Prawoto. Dan akhirnya di majlis perkahwinan yang dirancang akan beralangsung antara Sriwulan dan Pitono segala rahsia telah terbongkar, rahsia bubungan R. M. Suprapto dan Winangsih dan kedua anak perempuan mereka. Dan di majlis itu jugalah kedua-dua gadis adik beradik itu bertemu semula sebagai dua orang sedarah daging.

R. M. Suprapto yang hidup kesuman dan kejam itu pada akhirnya menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun ke dalam Bengawan Solo di tempat yang sama Winangsih melemparkan dirinya untuk mencari kematian. Dia mendengar Winangsih menyeru-neyeru hidup berdua mati bersama, sebagaimana sumpah setianya kepada wanita yang menjadi korban kasihnya itu, “Winangsihku sayang, biarkan air dari Bengawan Solo ini nanti menjadi saksi dari sumpahku. Hidup berdua, mati bersama, tertanam dalam satu kuburan”.

“Bumi beredar, zaman beralih, tapi air Bengawan tetap mengalir dari masa ke masa, menghanyut riwayat, menelan rahasia. Dan takkan dilupakan oleh Sri dan Wati kematian ibunya, sebelum air Bengawan Solo berhenti mengalir”. Demikian penulis Kotot Sukardi menamatkan coretannya.

Namun begitu legenda Bengawan Solo berakhir dengan happy ending.

Demikian sejenak kisah Bengawan Solo yang terlintas dalam kepala saya selepas membaca novel Cinta Suci Zahrana karya novelis tersohor Habiburahman El Shirazy.

Sebagai penyudahnya saya petik sepotong ayat yang terdapat dalam novel itu yang berbunyi, “Orang yang kelihatannya bahagia adalah kerana harus memiliki ketika melihat sekuntum bunga harum semerbak, maka dia akan memetik bunga itu untuk disimpan di biliknya, agar dia dapat menikmati keharumannya sepanjang waktu. Tetapi orang bahagianya sebenar adalah jika dapat memberi manfaat, kemungkinan besar akan membiarkan bunga itu tumbuh, bahkan menyirami dan memelihara agar setiap orang yang melewatinya dapat menikmati keharumannya”.



.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP