Air Kencing Ubat Pengasih???

>> Friday, July 5, 2013



AIR KENCING UBAT PENGASIH???


Setahu kita air kencing ialah sejenis air yang keluar daripada jasad kita menerusi anggota khas, iaitu sanggota sulit lelaki dan perempuan serta menerusi salurannya yang khas pula. Air kencing merupakan bahan kumbanhan badan yang disingkir dari buah pinggang menerusi proses-proses yang tertentu.

Dalam air kencing itu terdapat berbagai-bagai bahan, di antaranya yang penting dan berguna. Salah satu bahan tersebut ialah nitrogen yang banyak terdapat dalam air kencing dan perlu disingkirkan dari badan untuk menjamin kesihatan jasad yang baik.

Minuman Air Kencing

Saya tersenyum kecil membaca sebuah berita dalam akhbar  tentang seorang pembantu rumah memberi majikannya minum air kencingnya yang dicampurkan dengan minuman teh.

Menurut laporan tersebut kejadian itu berlaku di Hongkong dan dilapor oleh akhbar South China Morning, sebuah akhbar yang popular di Hongkong. Menurut laporan tersebut, tidak cukup dengan air kencing, pembantu rumah tersebut juga mencampurkannya dengan air  bekas basuh baju untuk minuman majikannya.

Perbuatan kejinya itu disedari oleh majikannya kerana air teh yang dihidang oleh pembantu rumahnya berbau ganjil. Majikannya lalu menyoalsiasat pembantu rumahnya itu, dan pembantu rumah itu mengaku dia sengaja berbuat demikian untuk mengenakan majikannya.

Daripada laporan tersebut, difahamkan bahawa pemabantu rumah yang tidak didedah namanya itu berusia 22 tahun telah ditangkap oleh pihak berkuasa untuk diadili. Identiti majikannya juga tidak dilapurkan.

Jika dihadapkan ke mahkamah dia menghadapi hukuman penjara selama tiga tahun jika didapati bersalah,  kerana mencampurkan bahan merbahaya dalam makanan majikannya.

Kenapa pembantu rumah itu sanggup berbuat demikian kepada majikannya?

Katanya dia melakukan demikian kerana tidak tahan dengan dipaksa bekerja teruk oleh majikannya itu?

Berita itu juga membawa kita menjenguk ke belakang tentang peristiwa yang telah berlaku berhubung dengan peminuman air kencing. Pada tahun 2007, seorang amah Indonesia telah dipenjarakan selama enam  hari di Hong Kong kerana didapati bersalah menghidangkan majikannya dengan mimunan yang dicampur dengan air kencingnya sendiri.

Tidak pula diceritakan apakah tujuan amah itu berbuat demikian?

Pada tahun 2012, seorang amah warga Indonesia telah dipenjarakan dua bulan di Dubai kerana didapati bersalah menghidangkan majikannya minuman teh yang dicampur dengan air kencingnya sendiri.

Tujuan amah itu berbuat demikian ialah supaya keluarga majikannya itu menyayanginya.

Saya teringat suatu peristiwa yang berhubung dengan peminuman air kencing ketika saya menjadi stinggan di Kampung Bumiputera, Datok Keramat, Kuala Lumpur. Pada suatu hari dua orang amah anak beranak berkunjung  ke pondok kami kerana sesuatu urusan. Di samping itu mereka berdua menceritakan sedikit pengalaman mereka sebagai  pembantu rumah kepada keluarga seorang doktor. Kata mereka doktor itu seorang lelaki yang baik dan bertimbang rasa, tapi isterinya seorang wanita yang garang dan tidak bertimbang rasa.

Seterusnya, kedua-dua wanita itu menceritakan bahawa mereka telah berusaha untuk menjinakkan keluarga majikannya itu dengan cara-cara yang tertentu. Di antara caranya ialah memberi mereka makan air kencing, dan juga darah haid mereka yang dicampur dengan makanan yang mereka masak. Mereka berharap usaha mereka itu berjaya menjinakkan keluarga itu.

Ubat Pengasih

Menggunakan air kencing sebagai ubat pengasih bukanlah perkara baru. Dalam masyarakat kita pun kepercayaan seperti itu memang ada. Seorang wanita yang ingin memikat seorang jejaka mungkin akan memberi lelaki itu minum air kencingnya. Untuk mengelirukan mangsa, wanita itu akan kencing dalam tempurung kelapa, dan setelah diproses barulah dicampurkan dengan minuman kopi atau sebagainya supaya bau air kencing dan rasanya tidak disedari oleh mangsa..

Malah lebih teruk lagi ialah penggunaan ubat pengasih apa yang dikenali dengan nasi tangas. Perbuatan ini biasanya dilakukan oleh seorang wanita yang cetek pengetahuan agamanya dengan tujuan untuk menambat kasih suaminya supaya tidak berubah kasih.

Air Kencing Sebagai Ubat

Air kencing memang telah lama digunakan sebagai ubat untuk merawat penaykit-penyakit yang tertentu di kalangan umat manusia. Pada masa saya kanak-kanak dulu saya pernah menggunakann air kencing untuk merawat sakit mata. Pada masa itu ramai di desa saya menghidap penyakit mata, merah dan bertahi. Dan mata terasa berpasir. Pada suatu pagi saya merasa mata saya sakit, pedih, dan menerusi cermin saya melihat mata saya mulai memerah. Untuk merawatnya, saya masuk ke bilik air, lalu kencing ke atas jari telunjuk saya, kemudian saya kenakan jari saya itu ke sudut mata. Saya merasa mata saya pedih sekejap. Dengan sekali lakukan sahaja, mata saya terus baik. Saya tidak ingat siapa yang memberitahu saya tentang perkara tersebut.

Air kencing pula amat berguna kepada mereka yang tinggal di tepi-tepi pantai, terutama para nelayan yang turun  ke laut untuk menangkap ikan. Mereka terdedah kepada berbagai-bagai ancaman bahaya. Salah satu daripadanya ialah binatang penghuni laut yang dikenali dengan panggilan landak laut. Landak lauk ini jika terpijak duri-durinya yang halus dan tajam itu  akan terbenam di dalam kaki. Ia menyakitkan dan sukar untuk ditanggalkan. Bagaimana untuk membuangnya?

Saya diberitahu ialah dengan cara kencing di atas kaki yang terdapat duri landak laut itu. Insya-Allah akan selamat.

Bagi pakar-pakar kesihatan, warna, kandungan dan juga bau air kencing dapat membongkar rahsia kesihatan seseorang, iaitu sebagai petanda-petanda penyakit yang mungkin dihidapi oleh seseorang.

Dari segi perubatan, air kencing telah digunakan untuk mencuci luka luaran untuk mencegahnya daripada jangkitan kuman.

Air  kencing diberi  minum kepada pesakit untuk meredakan problam perut dan usus yang dideritai oleh seseorang pesakit.

Bagi bangsa Cina dan India mereka telah lama menggunakan air kencing untuk tujuan merawat penyakit.
Oleh sebab air kencing wanita yang hamil itu mengandungi bahan yang penting dari segi kesihatan, maka syarikat Port-A-John di Amerika Syarikat telah berusaha untuk mengumpul dan menapis air kencing wanita hamil yang menggunakan tanda khsusu yang disediakan untuk mereka untuk mendapat bahan yang penting itu.
Selain dari air kencing manusia, air kencing haiwan juga banyak mengandungi bahan-bahan yang penting. Umpamanya air kencing kuda betina yang bunting mengandungi bahan penting, iaitu estrogen yang  boleh dijadikan ubat.
Bangsa Rom purba didapati menggunakan air kencing sebagai bahan pencuci pakaian dan gigi.

Pada masa yang lalu air kencing juga pernah digunakan sebagai salah satu bahan yang penting untuk membuat peluru senjata api setelah diproses dengan cara-cara yang tertentu.

Air kencing telah lama digunakan sebagai bahan baja kompos untuk menyuburkan pokok-pokok tanaman.

Dalam masa Perang Dunia Pertama, pihak Berikat  telah menggunakan air kencing sebagai salah bahan utamanya untuk membuat topeng muka untuk melindungi tenteranya daripada tersedut bahan beracun, gas klorin yang digunakan oleh tentera Jerman.

Selain daripada untuk merawat penyakit, air kencing juga merupakan salah satu cara yang ampuh untuk mengesan penyakit. Pemereksaan air kencing antaranya dapat menunjukan adakah seseorang itu menghidap penyakit kencing manis atau tidak.

Dalam hal ini ada sesetengah orang-orang tua dahulu mencicip atau mengecap air kencing mereka sendiri untuk mengesan adakah mereka menghidap kencing manis. Mereka kencing di atas mana-mana jari mereka dan merasakannya dengan lidah, kalau air kencing itu terasa manis, bagi mereka ia menunjukkan mereka menghidap penyakit kencing manis.

Salah satu cara lagi pula mereka kencing dalam sesuatu bekas, seperti tempurung kelapa, dan menyimpannya buat sementara di sesuatu tempat. Kemudian mereka periksa air kencing itu, adakah ia dihurung atau dikerumui oleh semut atau tidak. Kalau didapati ramai semut menghurungnya, itu menunjukkan air kencingnya manis, dan ini menandakan mereka telah menghidap penyakit kencing manis.

Air kencing juga biasa digunakan untuk mengetahui seseorang wanita yang telah mengandung dengan jalan  menganalisis air kencingnya yang mengandungi bahan-bahan tertentu yang menunjukkan kehamilan seseorang wanita.

Sejak kebelakangan ini air kencing juga telah digunakan untuk mengesan seseorang penagih dadah. Pemereksaan air kencing akan menunjukkan dia seorang pengguna dadah atau tidak, dan menentukan jenis-jenis dadah yang telah diambilnya, jika dia seorang penagih..

Saya juga terkenang sebuah cerita yang sangat lama telah berlaku. Di sebuah desa ada seorang pemuda yang kerjanya tukang rumah. Pada suatu hari dia bekerja membaiki rumah salah seorang penduduk di desanya itu. Membaiki atapnya yang bucur. Pada hari itu kemarau dan cuaca panas. Ketika berada di atas bumbung, dia memandang ke bawah, dan amat terkejut melihat ada beragai-bagai patung daripada berbagai-bagai jenis terletak di atas sebuah meja. Salah sebuah daripada patung itu besar daripada patung yang lain dan letaknya terasing sedikit dari patung yang lain itu. Tidak disangka sama sekali, tuan rumah itu mempunyai hobi mengumpul patung-patung. Tiba-tiba pemuda itu merasa hendak kencing. Sebagai seorang pemuda yang kelakar, dia lalu membuka seluarnya dan memancutkan kencingnya ke atas patung yang paling besar itu, kemudian meneruskan kerjanya semula.

Tidak lama kemudian, lelaki tuan rumah itu masuk ke bilik simpanan patung-patung itu untuk melihat, pemuda itu bekerja di atas bumbung. Oleh  sebab  atap-atap yang bocor itu telah dibuang untuk diganti baru, cahaya matahari yang hampir tegak di atas kepala menerjun  masuk menimpa patung-patung dalam bilik itu. Tuan rumah memeriksa patung-patungnya dan amat terkejut bila melihat patung yang besar itu basah. Dia merasa kehairanan dan berseru kecil, “Kau panas rupanya. Berpeluh engkau”. Lalu dia mengambil peluh-peluh pada patung itu dengan jari-jarinya dan menyapukan ke mukanya. Pemuda itu memerhati  sahaja gelagak tuan rumah dari bumbung dengan senyum melerek. “Apa yang dibuatnya itu? Cari berkahkah?”.Bisiknya dalam hati sambil mengeleng-gelengkan kepala.

Dalam Islam air kencing, walaupun sejenis produk yang dihasil dan dikeluarkan dari jasad sendiri, ia tetap dianggap sejenis kekotoran yang bertaraf najis yang mesti dibersihkan dengan cara-cara menurut keadah-kaedah yang telah ditetapkan. Tanpa penyucian dari air kencing ibadat solat seseorang tidak diterima. Justeru itu awaslah dengan air kencing yang mungkin terdapat pada badan dan juga pada pakain yang menempel di badan supaya tidak membatalkan solat kita.











0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP