Bulan Ramadan Yang Berkah

>> Saturday, July 20, 2013



BULAN RAMADAN YANG BERKAH


Hari ini sudah tiga hari saya berada di bumi Allah Selangor ini. Seperti biasa untuk berpuasa selama beberpa hari dan juga untuk solat Tarawih bersama dengan keluarga dan tolan rakan.. Saya ingin mencoret sedikit pengalaman saya menaiki Firefly petang Khamis 18 Julai 2013 itu.


Saya hampir ketinggalan kapalterbang petang itu yang dijadualkan berlepas pada pukul 4.55 petang. Dalam perjalanan kami merasa tidak harapan lagi. Kelewatan ini berlaku kerana jem teruk perjalanan dari Kuala Krai ke Kota Bharu-Pengkalan Chepa. Namun kami meneruskan perjalanan ke Lapangan terbang Pengkalan Chepa hanya semata-mata mengambil risiko sambil memanjatkan doa kepada Allah. 

Saya rasa saya adalah seorang daripada dua orang yang paling lewat dan terakhir chekin di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa hari itu. Kopar saya yang berisi sedikit pakaian pun saya tinggalkan di atas kereta kerana tidak sempat untuk mengambilnya untuk dibawa ke kaunter chekin teket. Tapi atas bantuan dan murah hati dua orang kakitangan yang bertugas di kaunter tersebut, kopor itu dapat juga saya bawa dengan pertolongan menantu, Safayi yang bekejar mengambilnya dari kereta. Tapi kopor itu tidak lagi sempat dikargokan.

Salah seorang daripada petugas itulah  yang telah menolong mengheret kopor saya itu masuk ke tempat pemeriksaan keselamatan penumpang dan barang-barang yang dibawa bersama dengan mereka sebelum diizinkan memasuki ke dewan berlepas, seolah-olah kopor itu akan dibawa bersama saya menaiki kapal terbang. Kemudian setelah lulus pemeriksaan keselamatan, mereka juga yang tolong mengheret kopor itu menaiki tangga untuk ke dewan menunggu dan meletak tag kepunyaan penumpang. Bila sampai ke pintu pemeriksaan teket, mereka menyerahkan kopor itu kembali kepada saya sambil berkata, “Pak Cik bawa bag ini, dan bila sampai di bawah sana, maksudnya di landasan kapal terbang, orang kita akan mengambil bag Pak Cik ini untuk diletakkan bersama barang kargo".

Untuk turun ke landasan penerbangan ini terpakasa menerusi sebuah lorong yang bertangga agak tinggi juga, kerana dewan menunggu itu terletak di tingkat atas bangunan dua tingkat. Bagi penumpang yang larut usia, mengambil masa juga untuk menuruni tangga ini. Dengan sebuah kopor, sebuah bag laptop dan sebuah bag galas saya terkila-kial juga untuk membawa turun barang-barang itu semua.
 

Dalam keadaan teracah-acah untuk membawa kopor itu turun, tiba-tiba seorang penumpang lelaki bangsa Cina lalu menegur saya, “Bolehkah Encik bawa bag ini. Mari saya tolong”, katanya menawarkan pertolongan. “Oh terima kasih”, kata saya, Beliau pun mengambil kopor itu dari tangan saya dan membawanya torong hingga sampai ke landasan lapangan terbang. Dari wajahnya dia semacam meminta kepastian dari saya adakah dia perlu menolong lagi mengheret kopor itu ke tangga kapal terbang, tapi saya cepat-cepat mengucapkan ribuan terimakasih atas bantuannya dan mengambil kopor itu dari tangan beliau dengan tidak ingin menyusahkanya lagi. Alhamdulilah.

Sambil mengheret kopor itu menuju ke tangga kapal terbang terlintas dalam fikiran saya, bagaimana pula saya hendak mengangkat kopor ini untuk menaiki tangga kapal terbang yang hampir menegak dan kecil itu? Dalam keadaan berteka teki begitu, tiba-tiba dari arah depan saya kelihatan  seorang kakitangan lapangan terbang yang berniform Firefly tergesa-gesa berjalan ke arah saya dan meminta kopor itu untuk diletakkan di tempat barang-barang kargo. “Terimakasih”, kata saya sambil menyerahkan kopor itu kepadanya

Alhamdulillah, Allahu Akbar! Kata saya dalam hati sambil mengurut dada lega sembari berjalan ke arah pintu kapal terbang yang diletakkan tangga mudah alih itu.

Setelah berada sekejap di atas kapal terbang, maka kendengaran pengumunan kapal terbang akan segera berlepas, dan dikuti oleh amalan rutin yang biasa menunjukkan cara-cara penjagaan keselamtan penumpang ketika berada di dalam kapal terbang dan jika perkara-perakara yang tidak diingin berlaku yang digayakan oleh salah seorang anak kapalnya, seorang wanita  Serta larangan-larangan ketika berada di atas kapalterbang semasa dalam perjalanan.

Tidak berapa lama selepas kapal terbang berlepas, seperti biasa diedarkan sedikit buah mulut yang merupakan sebiji kek atau sebungkus kecil kacang kepada semua penumpang, bersama dengan segelas minuman. Saya menerima sebiji kek itu dan memasukkanya ke dalam bag galas.

Alhamdulillah, petang itu oleh sebab cuaca amat baik, kapal terbang hampir tidak mendapat gangguan awan-awan tebal yang menggegarkan kapal terbang seperti biasa, justeru saya dapat terus membaca hampir sepanjang penerbangan itu sehingga mendarat.

Sampai di Subang pukul enam petang. Anak saya dan keluarga sampai lewat sedikit, kerana jalan ke Subang jem teruk, dan terpaksa melalui jalan aternatif. Untuk balik ke rumah untuk berbuka puasa memang tak sempat, maka saya telah dibawa makan nasi Arab di Restoran Aroma Hijrah yang penuh sesak dengan orang. Hanya pelanggan-pelanggan yang menempah awal sahaja boleh berbuka tepat waktunya. Kami berbuka dengan berselera. Selepas berbuka dan bersolat Maghrib, kami tidak terus balik, tapi solat Tarawih di Taman Tun Dr. Islam [TTDI] dan malam itu pukul dua belas lebih baru sampai ke rumah di Sungai Buluh.

Petang semalam, Jumaat 19 Julai, anak saya, Arham Zaini pula berangkat ke Afrika Selatan kerana ada urusan. Semoga Allah selamatkan beliau dan permudahkan segala urusan perjalananya, serta mengurniakan  sebanyak-banyak manafaat kepadanya dan juga kita semua.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita semua dengan rahmat yang melimppah-ruah di sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini. Rahmat lahir dan rahmat batin, raga dan jiwa. Semoga kita dikurniakan kedudukan yang tinggi dan mulia dengan kurniaan  taufik, hidayah dan ma’rifat oleh Allah yang akan mewarnakan diri dan jiwa kita menjadi insan yang mulia di sisiMu, wahai Allah Yang Maha Pemurah, Pengasih dan Penyayang. Inilah nikmat tulen yang tidak ternilai harganya kepada hamba-hamba-Mu yang menyedari akan kebahagian hidup yang hakiki yang menjadi kerinduan setiap insan untuk memperolehi darjah yang tinggi di sisi Allah SWT nanti. Inilah tunjang perjuangan hidup sejati yang dipancang oleh setiap insan dalam meraih kebahagian abadi yang sebenarnya.


Inilah keberkatan Bulan Ramadan yang mulia yang hanya khusus ada di Bulan Ramadan dan tidak ada di seluruh bulan-bulan yang lain sepanjang tahun yang lalu dan juga tahun-tahun datang. Bulan yang diturunkan al-Quraan, adanya solat Tarawih, Malam Laitul Qadar dan di akhirnya dikuriakan Hari Raya Fitrah yang mulia dan penuh keberkatan.








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP