CELOTEH DI AWAL RAMADAN
>> Friday, July 19, 2013
CELOTEH DI AWAL RAMADAN
Beberapa
hari lepas kami pergi ke Besut kerana urusan yang mustahak. Harinya telah lewat petang, dan selepas selesai urusan di Besut, kami dalam perjalanan ke Sungai Durian, Kuala Krai.
Oleh sebab hendak memasak untuk berbuka puasa petang ini tidak sempat lagi, kami ini
mengambil kesempatan untuk membeli hidangan berbuka di Pasar Ramadan, Kampung
Raja, Besut. Untuk kami berenam orang yang berpuasa, termasuk minumannya sekali
dan sedikit juadah.
Untuk
berbuka di rumah kami terpaksa mengejar waktu. Namun begitu kami membeli
sedikit roti untuk berbuka atas kereta sekiranya terlambat sampai kerana
halangan di jalan raya. Kasihan cucu-cucu kalau tidak ada apa-apa bekalan untuk
berbuka sedangkan kereta masih dalam perjalanan tergendala oleh trafik jem atau
jalan yang sedang diperbaiki.
Hari itu
petang Sabtu. Dalam perjalanan melepasi sempadan bumi Terengganu ke Kelantan, kelihatan
gumpulan awam hitam menutup langit. Dan dari kejauhan nampaknya hujan telah turun
melebat. Memang benar, sejurus kemudian kami terpaksa menempuh hujan yang
membasahi bumi. Tapi tidak lebat, dan tidak menganggu kelicinan perjalanan.
Kelicinan perjalanan hanya terganggu kerana adanya beberapa buah lori di
hadapan yang menghalang kenderaan di belakang untuk memotong.
Kereta
yang dipandu oleh menantu Safayi seperti biasa bila sampai di kawasan Kg. Macang,
mengambil jalan pintas, ikut Bukit Bakar, tanpa menerusi bandar Macang. Jalan
Kota Bharu-Kuala Krai walaupun kereta tidak putus-putus pada waktu itu tapi
kelajuan perjalanan tidak tehalang. Sementelah pula selepas Macang, tidak ada
lagi trafik light untuk sampai ke Sungai Durian.
Alhamdulillah,
kami sampai ke "pondok" kediaman kami di Sungai Durian, azan masih belum
dikemundangkan. Hanya setelah kami masuk ke "pondok", barulah kedengaran azan dari
masjid Sungai Durian. Suaranya mengema di seluruh perlembahan Sungai Durian,
menembusi angksa lepas di petang yang hening dalam bulan Ramadan al-Mubarak.
Setelah
menghampar alas makan, bungkusan-bungkusan makanan pun diletak di atasnya.
Setiap seorang mengambil sebungkus nasi yang dibeli di Pasar Ramadan Kg. Raja
tadi dan terus membukanya untuk dinikmati. Tapi apa yang berlaku, semua nasi
bungkus itu telah basi, berlendir dan berbau.
Kasihan
cucu-cucu yang tidak boleh berbuka. Seorang daripadanya baru berusia enam
tahun, dan baru dua tahun belajar berpuasa. Sebagai gantinya, anak perempuan
saya, ibu mereka Noorbaiti Zaini terpaksa memasak nasi. Sementara menunggu nasi
masak, dan lauk telur dadar, saya memasak bubur oat dan kismis dan memakannya selepas solat Maghrib. Namun cucu-cucu
itu seorang pun tidak bersungut, jauh sekali dari mencerca dan atau menyumpah seranah
penjual nasi basi itu.
Malah kami
berdoa semoga Allah mengampun penjual makanan basi. Puasa belum sampai dua
minggu makanan yang dijual sudah ada yang basi. Kami harap mereka tidak mengetahui
makanan yang dijualnya itu telah basi, dan dengan sengaja memperdaya atau
menipu pembeli-pembelinya. Semoga pendapatan hasil jualannya di petang Ramadan
itu tidak menjadi hasil yang haram kepadanya.
Semoga
mereka tidak termasuk di kalangan orang yang disebut dalam Hadis Rasulullah, “Sesiapa
yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, Allah tidak berhajat
menerima amalannya meninggalkan makan dan minum”. HR:Bukhari.
Selepas berbuka,
bekalan air pili pula terputus. Nak basuh tangan pun tak boleh. Tapi kali ini
hanya sebentar sahaja. Namun begitu, keadaannya sekejap ada, sekejap tiada,
silih berganti, pergi dan datang. Sepanjang tahun, sejak kebelakangan ini
bekalan air pili di lembah Sungai Durian ini, kerap sangat terputus. Bukan
sahaja sejam, tapi berhari-hari. Kadang-kadang ia ada sekejap di waktu-waktu
tertentu, siang atau malam, kemudian terus tiada. Setelah berbelas-belas jam
tiada, tiba-tiba ia ada kembali buat beberapa waktu untuk tiada kembali selepas
itu. Kadang-kadang bermingu-minggu lamanya keadaan yang tidak waras seperti itu
berlaku. Tanpa apa-apa notis atau pemberitahuan oleh pihak yang berwajib. Ia
berlaku sesuka hati sahaja.
Untuk
sebuah tangki air biasa untuk aneka kegunaan sebuah keluarga yang mempunyai beberapa
orang anak sudah tentu tidak memadai. Justeru tong-tong besar dan juga beberapa
buah baldi perlu dicari untuk menyimpan bekalan air yang tidak menentu-kalu
itu. Sudah bertahun-tahun kami menghadapi persoalan seperti itu, bilakah agaknya
akan beres? Kami pun tidak suka didera begitu berpanjangan, seolah-olah tanpa
hujung.
Pada
sebelah malamnya, selepas solat Tarawih saya membuka laptop dan membuka
internet. Untuk melihat berita. Tapi khidmat internet pun masih belum pulih.
Dengan hari ini sudah masuk minggu kedua bekalan
internet tidak berfungsi di perlembahan Sungai Durian dan di sekitarnya. Saya
difahamkan dengan ketiadaan khidmat Internet ini, ada ejenis-ejensi kerajaan
yang menggunakan internet sejak sekian lama, mengalami problam untuk menyiapkan
kerja. Antaranya sekolah-sekolah.
Walaupun
begitu ada di sesetengah tempat di Kuala krai ini khdimat Internet hanya ada
sekejap sahaja dalam waktu sehari. Di waktu pagi, sampai pukul sepuluh atau
pukul sebelas, kemudian terus hilang sampai ke besok pagi pula. Namun begitu,
sudah tentu lebih baik ada, daripada tiada langsung. Bila agaknya problam internet
ini akan selesai hanya Allah sahaja yang mengetahui. Ketika saya meninggalkan
Sungai Durian, hari Khamis kelmarin, 18 Julai 2013 dan saya berada di bumi
Selangor sekarang, sudah masuk dua minggu bekalan Internet masih belum pulih.
Baby Syamil yang ikut bersama dalam kembara di senja Ramadan kali ini.
Sebagai pengguna dan rakyat kami berharap problam-problam kemudahan awam seperti ini tidaklah pautut dibiarkan berpanjangan, lebih-lebih lagi terhadap perkhidmatan-perkhdimatan yang dikenakan bayaran khusus ke atas pengguna yang mengharap untuk memperolehi khidmat yang terbaik. Membiarkan kesulitan-kesulitan seperti ini berlama-lama dihadapi oleh rakyat jembel akan menimbulkan pandangan yang buruk terhadap kerajaan yang memerintah yang berkuasa setelah diberi mandat oleh rakyat.
Walau
bagaimanapun semoga Allah sentiasa menjadikan kita semua termasuk di kalangan hamba-hambaNya
sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW, “Puasa adalah perisai, oleh itu
kalau salah seorang di antara kamu berpuasa, maka janganlah ia berbuat maksiat
dan marah, apabila dia dicaci atau disakiti oleh seseorang maka
katakanlah kepadanya, “Saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa”.
Dan semoga
kita semua merupakan sebahagian daripada mereka yang disabdakan oleh Baginda
SAW yang bermaskud berkat puasa kita itu, “Sesungguhnya di Syurga itu
terdapat sebuah pintu bernama ar-Rayyan. Kelak di hari kiamat, ia adalah pintu
masuk yang dikhususkan bagi orang-orang yang berpuasa. Kelak akan ada
panggilan, “Di manakah orang-orang yang berpuasa”. Lantas mereka berdiri. Tiada
seorang pun boleh melewati pintu ini selain mereka. Setelah mereka masuk, maka
pintu tersebut akan dikunci sehingga tiada seorang pun masuk melewati pintu tersebut”.
[HR Muttafaq Alaihi].
Amin!
0 comments:
Post a Comment