Adakah Orang Yang Islam Yang Menghukum Dengan Hukum Bukan Islam Itu Murtad?

>> Saturday, July 20, 2013



ADAKAH ORANG ISLAM YANG MENGHUKUM DENGAN UNDANG-UNDANG BUKAN ISLAM ITU MURTAD?

 

Oleh: Syeikh Akbar Almarhum Mahmud Shaltut

[Rencana ini disaring oleh:Allahraham Dato’ Hj. Yusuff Zaky Yaacob. Tulisan ini telah diserahkan kepada saya pada bulan Disember 1966 untuk tindakan selanjutnya].


Pertanyaan ini bukan hanya khusus dengan kadhi  [hakim] yang menghukum dengan undang-undang yang bukan Islam, malah melibatkan juga pemerintah-pemerintah Islam yang menyuruh memperundangkan undang-undang yang bukan Islam, melibatkan ahli-ahli undang-undang yang beragama Islam yang menyusun undang-undang itu, juga melibatkan rakyat-rakyat Islam sendiri yang berguam dengan undang-undang itu dan menerimanya dengan kerelaan. Bahkan keperluan rakyat Islam kepada undang-undang Islam adalah lebih besar daripada keperluan kadhi-kadhi  yang menghukum dengan undang-undang itu terutama rakyat-rakyat Islam yang berada di dalam negeri Islam, dalam mana orang lain tidak mempunyai kuasa untuk membuat dan menjalankan undang-undangnya.

Banyak ahli-ahli agama mengatakan bahawa kadhi-kadhi [hakim] yang menghukum dengan undang-undang ciptaan manusia yang bertentangan dengan undang-undang Islam itu semuanya kafir murtad dari Islam dengan berdalilkan firman Allah, “Barangsiapa yang tidak berhukum dengan undang-undang yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah kafir”. Ayat 44, Surah al-Maidah. Mereka [ahli-ahli agama] pasti pula menghukumkan ahli-ahli undang-undang dan pemerintah-pemerintah yang menyuruh membuat undang-undang itu  sebagai sama-sama kafir, kerana walaupun orang-orang ini tidak menghukum, tapi merekalah yang membuat undang-undang itu atau menyuruh orang menyusunkannya dan sudah tentu orang-orang yang menyusun dan menyuruh itu lebih bertanggungjawabnya dari orang-orang yang menghukum.

Untuk menjawab pertanyaan ini kita lebih dahulu  perlu mengetahui bahawa undang-udang Islam itu ada dua jenis:

1.Undang-undang yang dinashkan dengan tegas dalam al-Quran dan Hadis yang tidak boleh dicongkel-congkel dan tidak menerima ijtihad seperti di dalam undang-udang peribadi yang mengharamkan seseorang berkahwin dengan isterinya yang sudah bercerai dengan tiga thalak, kecuali sesudah isteri itu bersuamikan orang lain dan seperti di dalam undang-undang sivil yang mengharamkan keuntungan riba yang diperas dari orang-orang miskin yang benar-benar memerlukan pertolongan, dan seperti peraturan pusaka yang diterangkan oleh al-Quran. Dan seperti dalam uNdang-undang deraan yang mempastikan potong tangan apabila cukup syarat-syaratnya.

2.Undang-undang yang tidak dinashkan oleh al-Quraan dan Hadis, atau ada keterangan dalam salah satu dari kedua-duanya, tapi keterangan-keterangan ini tidak merupakan keterangan yang betul-betul tegas, malah boleh menerima maksud atau pengertian yang lain. Keterangan yang seumpama ini memberi tempat untuk ahli-ahli fiqah  dan ahli-ahli undang-undang melakukan ijtihad mereka dan sebagaimana biasa setiap ahli ijtihad itu mempunyai masing-masing pendapat. Kebanyakan undang-undang Islam adalah dari jenis undang-undang secara ijtihad seperti ini.

Sesudah kita mempunyai pembahagian ini dapatlah kita menjawab pertanyaan di atas tadi, iaitu bolehkah menghukum dengan undang-undang jenis yang kedua – undang-udang secara ijtihad- walaupun bertentagan dengan semua pendapat mazhab-mazhab Islam, kerana selama dasar undang-undang itu untuk memelihara keadilan dan kemasylihatan bukan menurut hawa nafsu, maka Islam tidak menegah dan tidak pula memusuhinya dan jauh sama sekali dari memandangnya sebagai perbuatan murtad yang mengeluarkan seseorang kadhi [hakim]  dari Islam. Sebab dalam undang-undang jenis ijtihad ini Islam mempunyai hukumnya yang tertentu, malah hukumnya adalah menurut hasil-hasil  ijtihad dari para mustahid yang didasar di atas pemeliharan kemasylihatan dan keadilan. Bila ada keadilan dan kemasyalatan, maka itulah undang-undang Allah dan hukumnya.

Adapun undang-undang jenis pertama- hukum-hukum tegas dan yang dinashkah di dalam al-Quran atau Hadis  yang sahih- maka perbuatan menghukum dengan undang-undang yang lain darinya jika dilakukan dengan anggapan undang-undang yang lain itu lebih baik darinya atau dengan anggapan bahawa undang-udang  Allah itu tidak mendatangkan keadilan dan kemasyalatan, maka tidak syak lagi perbuatan itu satu perbuatan murtad yang mengeluarkan seseorang kadhi [hakim]  dari agama Islam.

Sebaliknya, jika kadhi [hakim] yang menghukum dengn undang-undang yang lain itu memang beriman kepada undang-undang Allah dan menganggapnya sebagai undang-undang yang lebih adil dan lebih memelihara kemasyalahatan  dari segala undang-undang  lain, tetapi dia berada di negeri yang bukan Islam atau berada dalam negeri Islam yang tidak dapat dijalankan undang-undang dan hukum-hukum Allah, dan terpaksa menghukum dengan undang-undang yang bukan undang-undang Allah kerana sebab yang lain yang tidak ada hubungan dengan sikap tidak percaya atau ingkar, maka hukumnya dalam suasana seperti itu tidaklah merupakan satu perbuatan yang membawa kepada kekufuraan, malah merupakan satu maksiat sahaja, samalah hukumnya dengan orang yang minum arak, sedangkan dia memang menganggapkan bahawa arak itu haram.

Dari situ kadhi [hakim] Islam harus menahankan dirinya dari menghukum  dengan undang-undang yang bukan Islam, jika ia berkuasa berbuat demikian dan andainya dia tidak dapat menahankan dirinya berbuat demikian,  kerana takut sesuatu bahaya besar yang boleh menimpai dirinya atau kumpulannya, maka Islam mengharuskan berbuat begitu, kerana berpegang dengan dasar, “menghadapi kemudharatan yang lebih ringan” selama hatinya tetap percaya kepada undang-undang Allah.

Maksud firman Allah tadi, “Barang siapa yang tidak menghukum dengan undang-undang yang diturun oleh Allah, maka mereka adalah kafir”, ialah ayat ini turun mengenai suatu kaum yang mempunyai sepenuh kebebasan mentadbirkan diri mereka sendiri, dan menyusunkan undang-undang mereka, sedang mereka pula memang mengetahui undang-undang Allah, tapi mereka sengaja menolaknya, kerana mengutamakan undang-undang nafsu mereka. Allah pernah menceritakan dalam firman-Nya, “Mereka dari orang-orang yang mengaku beriman di bibir mulut mereka,  tetapi tidak diimani oleh hati mereka”, Ayat 41 surah al-Maidah. Firman-Nya lagi, “Janganlah engkau ikutkan hukum-hukum nafsu mereka dan waspadalah dari mereka takut-takut mereka mempesonakanmu meninggalkan sebahagian undang-undang yang telah diturunkan Allah kepadamu”, ayat 49 Surah al-Maidah.

Dari sini ternyatalah  bahawa maksud ayat “Barangsiapa yang tidak menghukum dengan undang-undang yang diturun oleh Allah, maka mereka adalah kafir”, bukanlah megenai setiap orang-orang yang menghukum dengan undang-undang yang bukan Islam di dalam sesautu dakwaan.




 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP