Bicara Pemandu Teksi Dari Sungai Buluh Ke Subang

>> Saturday, July 27, 2013


APA BICARA PEMANDU TEKSI DARI SUNGAI BULUH KE SUBANG?

Setelah beberapa hari berada di bumi Selangor dalam bulan Ramadan pada hari Isnin [22 Julai 2103] lepas, saya kembali ke Kelantan yang tercinta. Justeru anak saya yang selalunya menghantar saya ke lapangan terbang, tidak ada di rumah, kembara ke Afrika Selatan saya menaiki teksi yang di tempah beberapa hari sebelumnya.


Pemandu yang membawa saya dari Saujana, Sungai  Buluh  ke Subang Airpot ialah seorang India yang berusia dalam lingkungan 40an tahun. Dia sampai di rumah kami tepat mengikut masa yang dijanjikan. Saya duduk di tempat duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu walaupun dia mempelawa saya duduk di tempat duduk belakang sebagaimana lazim amalan para penumpang, terutama mereka yang berjenama.

“Saya nak duduk hadapan”, jawab saya, “Kalau saya duduk di belakang seorang, nanti saya tertidur”.

Kepada jawapan saya itu, pemandu teksi itu berkata, “ Kalau begitu bagus juga tu, nanti saya pun tak mengantuk”. Katanya dalam bahasa Melayunya pun baik.

Sebaik-baik sahaja teksi itu bergerak, dia pun mulai berbicara. Dia bertanya saya hendak pergi ke mana, dan bila saya jawab saya hendak balik ke Kota Bharu, Kelantan, dia pun terus berbicara. Dia berbicara tentang politik. “Saya percaya Encik mesti ada rumah sendiri. Orang Kelantan bagus-bagus. Mereka mesti menyokong PAS”.

Saya tidak menjawab. Cuma membiarkan dia terus berbicara, “Saya pun sokong PAS. Dalam pilihanraya yang lalu saya undi calon PAS”. Dia membuat pengakuan yang agak mengejutkan juga.”Kita orang tak kira bangsa atau agama. Kalau dia orang bagus, kita sokong. Orang yang boleh kita jumpa dan minta tolong”.

“Kita percaya, orang-orang PAS orang agama. Mereka payah sedikit mahu menipu. Dia orang takut pada Tuhan. Orang yang macam ini yang kita mahu. Kita mahu jumpa pun mudah. Tidak perlu jumpa orang itu, orang ini terlebih dahulu, sebelum dapat jumpa mereka”. Pemandu teksi India itu terus berbicara.

Dia lalu menceritakan pengalamanya untuk bertemu dengan pemimpin parti kerajaan amat sukar. Sebelum boleh bertemu, terlebih dahulu kena jumpa orang itu dan orang lain. Itupun belum pasti boleh jumpa juga. Itu belum lagi mahu jumpa menteri. Tentu lebih susah”.

Dia menceritakan, dia pernah berjumpa dengan orang-orang besar parti kerajaan, nak minta tolong, kerana anak lelakinya terpakasa dipotong sebahagian daripada anggota kakinya akibat terlibat dalam kemalangan jalanraya. “Tapi tidak ada yang ambil peduli. Semua buat tak tahu sahaja. Saya merasa amat kecewa”.

“Tapi satu hari saya telefon itu orang PAS namanya Mariah. Saya boleh cakap terus dengan dia, tidak perlu orang tengah. Dia memberitahu, dia bersedia menolong saya. Dan memang dia menolong saya”. Terang pemandu taksi itu lagi.

“Orang seperti inilah yang kita mahu. Mudah buat kira. Ini tidak, bukan sahaja tidak mahu tolong, nak bercakap dengan mereka pun payah. Kalau boleh pun kita hanya perlu bercakap daengan pembantu-pembantu mereka terlebih dahulu. Itupun perlu pasti apa yang kita minta boleh kita dapati”.

Dia diam sekejap. Saya lalu bertanya, sudah berapa lama dia bawa teksi? Katanya, “Sudah lama. Sudah berpuluh-puluh tahun. Ayah saya dahulu pun pemandu teksi. Sekarang sudah tua, sudah 80 tahun lebih. Beberapa tahun yang lepas, dia kena strok, hanya boleh berjalan dengan kerusi roda”.

Sebelum itu katanya, ayahnya sihat-sihat sahaja, tidak menghidap apa-apa penyakit, tidak ada kencing manis, darah tinggi, atau sakit jantung, tapi pada suatu hari dia tiba-tiba kena strok.

Bila dia berhenti bercakap, saya pun bertanya berhubung dengan tawaran permit teksi persendirian oleh kerajaan baru-baru ini kepada pemandu-pemandu teksi.

“Itu memang susah nak dapat. Saya juga isi borang buat permohonan. Permit teksi yang ditawar hanya seribu. Teksi yang berada di Lembah Kelang sekarang lebih dari 30,000 buah. Bila saya tanya fasal permohonan saya, dia orang jawab nama saya pun sudah tidak ada, sudah dipotong. Tak tahu siapa potong”. Jawabnya.

Dia diam sekejap, “Kita pun tidak tahu siapa semua mereka yang mendapat permit-permit teksi itu”.

Saya lalu bertanya lagi, “Ini teksi siapa punya?”.

“Teksi ini platnya disewa RM50 sehari. Sebulan saya kena bayar RM1500 untuk sewa plat sahaja Itu baru sewa plat. Kalau teksi rosak kena baiki sendiri. Saya sewa plat teksi ini dari sebuah syarikat”. Lalu dia menunjukkan dengan tangan kirinnya nama syarikat yang terletak di bahagian sebelah kiri teksi di sisi gambarnya sebagai pemandu di bahagian hadapan teksi.

“Siapa tuanpunya syarikat teksi ini?” Tanya saya.

“Saya lihat yang mengurusnya semua orang Cina. Tapi saya fikir di belakang sana, mesti ada datok-datok [maksudnya orang-orang Melayu yang istimewa] yang ada bahagian mereka. Biasalah tu. Syarikat saya ini ada mempunyai 5000 buah teksi yang beroperasi di Lembah Kelang. Fikirlah berapa dia dapat sebulan? Boleh hidup goyang kaki, dan senang-senang boleh pergi rihat ke Amerika atau England”.

“Permit teksi ini tidak boleh dipotong. Apa yang boleh buat ialah tidak menyambung permit baru bila teksi ini sampai had masa 10 tahun. Sebuah teksi hanya boleh beroperasi selama 10 tahun sahaja. Tidak lebih dari itu. Waktu itulah baru boleh diambil tindakan, dengan tidak dibenar mereka mengambil permit baru".

Tiba-tiba dia mengalih bicara, “Itupun lapangan terbang Subang. Sudah nampak. Sekejap lagi kita sampailah”. Memanglah bila saya pandang ke arah sebelah kanan ternampak sebahagian dari bumbung bangunan di Lapangan terbang Subang. Dia memandu teksi melalui jalan TTDI di mana beberapa orang sahabat saya tinggal di situ.

Teksi terus meluncur, tanpa halangan, kerana tidak ramai kenderaan di atas jalan waktu itu. Hanya terpaksa berhenti di beberapa buah trafik light sahaja. Katanya waktu tengah hari begini, jalan ini tidak jem, tapi nanti selepas pukul empat petang, ketika orang berebut-rebut nak balik, tunggulah.

Teksi terus meluncur laju. “Bulan puasa tahun ini tidak hujan. Biasanya tiap-tiap bulan puasa yang lalu hujan. Itu tengok langit, kabut-kabut putih itu tanda jerebu masih ada”.

Bila teksi mulai memasuki kawasan lapangan terbang, pemandu itu berkata lagi, “Kita pilih orang mahu jadi wakil rakyat. Kalau dia orang bagus, kita pilihlah, kita tidak kira bangsa atau agama. Tapi kalau tak bagus, kita tidak pilih. Kita percaya orang-orang kuat agama, payah untuk menipu, kerana dia orang takut pada Tuhan”.

Belum sempat saya menjawabnya, dia lalu memberhentikan teksinya di hadapan pintu masuk ke lapagan terbang. Saya membuka pintu dan turun dari teksi. Dia pun turun dari teksi, membuka bonet dan mengeluarkan koper saya.

Saya menghulurkan wang kerats RM100  dan dia menggembalikan bakinya sebanyak RM20, mengambil RM80 mengikut tambang yang telah dipersetujui menerusi telefon tempoh hari. Dia menghulurkan tangannya kepda saya untuk bersalam serta mengucapkan terima kasih. Dia harus cepat, kerana katanya ada lagi seorang penumpang wanita yang menempah teksinya untuk pergi ke KLIA sebagaimana diceritakannya dalam perbualan atas teksi tadi.

Demikianlah bicara saya dengan seorang pemandu teksi semasa dalam perjalanan dari Saujana di Sungai Buluh ke lapangan terbang Subang. Bicaranya itu dengan jelas menunjukan kesedaran rakyat sekarang telah mencapai satu taraf pemikiran yang tertentu. Mereka telah meyedari hak-hak mereka sebagai rakyat dan penggundi, dan memilki kriteria mereka sendiri dalam pemiilihan calon yang sejajar dengan kehendak dan citarasa mereka.







0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP