PERANAN ULAMAK DALAM MEMBENTERAS NAJIS DADAH

>> Thursday, August 1, 2013






PERANAN ULAMAK DALAM MEMBENTERAS NAJIS DADAH

[Oleh: Prof. Dr. Mahmood Zuhdi]


DADAH adalah  salah sejenis bahan yang amat gampang disalahgunakan. Ia boleh digunakan untuk tujuan yang positif sebagai sebahagian daripada bahan untuk merawat penyakit, dan boleh juga digunakan untuk tujuan negatif, untuk menempah penyakit, menjadi penagih dadah. Iniah yang diistilahkan sebagai penyalahgunaan dadah. Penyalahgunaan dadah ini telah sekian lama menjadi wabak yang menjadi ancaman berat di seluruh dunia. Tidak kecuali Malaysia.

Berbagai-bagai usaha dan ikhtiar sudah dan sedang dilakukan oleh aneka pihak, NGO dan kerajaan, tapi masih tidak berjaya mencapai natijah yang dimaksudkan, malah sering kali nampak lebih mencabar dengan berbagai-bagai warna tindakan yang dilakukan oleh para penagih dan pengedar dadah, yang nampaknya tidak gentar dengan ancaman tali gantung yang sedia menunggu mereka jika dicekup oleh pihak berakuasa. Nyawa manusia tidak lagi  penting kepada mereka demi untuk meraih keseronakan dan kemewahan yang mereka impi-impikan.

Penagih-penagih tegar beredia untuk menjadi pencuri, penyamun dan juga pembunuh, tanpa memlilh mangsa untuk mendapat belanja untuk membeli dadah yang jadi pujaan mereka. Ibu bapa dan saudara mara mereka sering dijadikan mangsa para penagih dengan tindakan-tindakan agresif untuk mendapat wang membeli dadah. Lebih malangnya kebanyakan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah di negara kita ini ialah orang-orang Melayu atau orang-orang Islam yang telah ketandusan akhlak dan moral keIslamannya.

Keadaan ancaman dadah yang kian kritikal di negara kita ini perlu mendapat perhatian daripada semua pihak dan lapisan masyarakat, termasuklah sektor-sektor yang menjadi akar umbinya, iaitu ibu bapa di mana setiap individu manusia dilahir, dibesar dan seterusnya menjadi remaja dan dewasa di bawah tanggungjawab ibu bapanya. Rumahtanggalah yang menjadi wadah pertama di mana manusia dibentuk kemanusiaannya untuk menjadi manusia, haiwan atau syaitan?

Satu sektor lagi yang penting dalam usaha membenteras penyalahgunaan dadah ialah ahli-ahli agama, yang terdiri daripada berbagai-bagai jenis profisen, termasuk para alim ulama’nya yang telah sejak zaman berzaman lagi memain pernan penting dalam masyarakat, dengan pengaruh-pengaruhnya yang dapat  mencorak pembentukan sesebuah masyarakat.

Namun begitu usaha-usaha yang lebih gigih, teratur dan khusus perlu disusun untuk memberi impak yang lebih besar kepada usaha anti penyalahgunaan dadah di negara kita. Kita percaya para ulama’ dan ahli-ahli agama mampu memberi impak yang lebih besar terhadap usaha membenteras penyalahgunaan dadah, dengan mendapat kerjasama daripada berbagai-bagai pihak yang wajar berbuat demikian.

Tulisan Prof. Datok Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid ini, asalnya sebuah kertas kerja membincangkan peranan para ulama dan cerdik pandai Islam dalam usaha membenteras penyalahgunaan dadah di negara kita. Walaupun di dibentang di sebuah seminar di Kota Bharu kira-kira dua dekad yang lalu, tapi kandungannya masih relevan dan perlu mendapat perhatian masyarakat, khsusnya pihak-pihak berkuasa dan juga para cendakiawan Islam dalam usaha memerangi dadah.

Selamat membaca

Mukdimah


Hakikat betapa seriusnya penyalahgunaan dadah di negara kita sekarang ini dapat dibayangkan  dengan jelasnya oleh jumlah kes-kes yang begitu besar. Bagi masyarakat Islam, ianya lebih serius lagi, memandangkan lebih separuh daripada jumlah yang besar itu melibatkan orang Islam sendiri. Yang paling membimbangkan lagi ialah bahawa mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah ini bukan sahaja terdiri dari golongan tertentu, seperti para belia misalanya, tapi juga banyak golongan, termasuk mereka yang memegang peranan yang agak penting dalam pembangunan dan kepimpinan masyarakat. Sesungguhnya negara kita berada di perimpangan jalan yang agak kritikal dalam masalah ini sekarang, terutama bagi masyarkat Islam sendiri.

Pada umunya negara telah banyak berusaha dalam mencegah wabak yang menular ini. Penubuhan sebuah badan khas, seperti PEMADAM dan langkah-langkah keras yang diambil oleh kerajaan sendiri, baik dalam bentuk undang-undang mahukan dalam bentukan tindakan lainnya. Di dalam menghadapi dan membenteras penyalahgunaan dadah itu benar-benar menjadi bukti betapa kita serius dalam usaha-usaha pencegahan ini. Namun tiada sesiapapun hingga sekarang boleh menegaskan bahawa kejayaan semua langkah-langkah itu terjamin dan penyalaggunaan dadah itu dapat dibenteras dengan sewajarnya.

Latarbelakangh

Menyorot secara ringkas latarbelakangnya dan sebab-sebab asasi mengapa wabak ini boleh berlaku, kita dengan mudah boleh mengatakan bahawa ianya hasil daripada kemiskinan jiwa dan keruntuhan moral masyarakat sejagat. Dalam penyalahgunaan dadah ini sekurang-kurangnya ada dua faktor penting yang memainkan peranan besar, iaitu mencari keuntungan dan mencari keseronokan. Kedua-dua unsur ini merupakan natijah yang tabie kepada perkembagan faham kebendaan yang dianuti oleh masyarakat dunia sekarang ini, tidak terkecuali masyarakat Islam.

Bermula dari proses penanaman, perusahaan, pengedaran secara besar-besaran dan secara kecil-kecilan dadah adalah dimaksudkan untuk menjadi alat bagi mengaut keuntungn besar. Ianya bermula dan berkembang seperti perkara-perkara buruk yang lain seperti arak, judi, pelacuran dan sebagainya. Dalam sebuah tamadun kebendaan seperti yang ada pada hari ini, orang akan tetap memperjuangkan keuntungan dan faedah besar kepada diri sendiri, walaupun terpaksa membunuh ataupun merosakkan hidup orang lain. Kalau  kita lihat kepada kes-kes yang lebih ringan pun, keadaannya hampir sama. Atas dasar mencari keuntungan besarlah orang mengadakn sistem riba, penipuan dalam perdagangan dan sebagainya. Walaupun bagi mencapai keuntungan seperti itu orang terpaksa memeras dan menindas orang lain.

Di satu pihak yang lain pula terdapat manusia yang suka mencari keseronakan. Ianya juga bermula dan berkembang seperti langkah-langkah mencari keseronakan melalui alat-alat lain seperti arak, judi, pelacuran dan sebagainya. Dalam tamadun yang bersifat kebendaan seperti yang ada pada hari ini orang mencari keseronokan kerana keseronakan itu sendiri dan akan terus mengejarnya dengan melupakan segala nilai-nilai lain sehingga keseronokan itu terus menjadi neraka kepadanya. Dalam kata lain: Mereka akan terus mengejar keseronakan sehingga terjerumus ke dalam neraka kseronakan itu sendiri. Dalam kes-kes yang lebih ringan kita dapati semangat mencari keseronakan inilah jua yang menyeret orang mengamalkan pemberian riba. Apa yang ternyata pada hari ini, mereka membayar riba kerana mencari kemewahan jauh lebih besar berganda-ganda daripada yang terpaksa membayar riba kerana keperluan hidup yang mendesak. Atas asas mencari keseronakan ini jua orang meminum arak, berjudi dan sebagainya.

Layaknya, penyalahgunaan dadah adalah suatu peningkatan yang tabie kepada falsafah hidup kebendaan yang diamalkan oleh masyarakat manusia sekarang ini, termasuk  sesetengah masyarakat Islam sendiri. Ianya merupakan sebahagian dari kemuncak keruntuhan moral umat manusia dan perlu dilihat berasaskan kepada nilai-nilai moral. Adalah kurang menasabah bagi kebanyakan progrem pencegahan dan pemulihan hari ini melihat penyalahgunaan dadah ini dari kacamata material dan fizikal semata-mata apa lagi apabila berasaskan perhitungan untung rugi kebendaan.

Uasa-usaha Pencegahan

Sebagaimana yang disebutkan di atas, selama ini sudah banyak tenaga yang dicurahkan  di dalam usaha mencegah atau membenteras gejala tidak sihat ini. Tinggal lagi usaha-usaha itu boleh diibratkan sebagai mencurah air ke daun keladi. Ianya tidak mendatangkan hasil yang banyak, apalagi untuk dapat dibanggakan. Sebab kegagalan atau kurang kejayaan itu pada umumnya kurang jelas, tapi agak menasabah kalau dikatakan satu daripadanya ialah ianya tidak berasaskan kepada falsafah yang kukuh dan hanya dilaksanakan mengikut progrem yang agak pragamatis.

Banyak orang yang berminat dalam usaha-usaha membenteras penyalahgunaan dadah percaya bahawa sebab utama kepada berlaku penyalahgunaan dadah itu adalah kurangnya perhatian ibu bapa terhadap anak-anak mereka, terutama yang berada di umur remaja. Mereka lalu mencadangkan supaya ibu bapa sentiasa berwaspada. Ada orang lebih suka berpendapat penyalahgunaan dadah itu muncul dari dorongan-dorongan luar secara jahat lalu asyik mempersalahkan orang lain dan seterusnya. Daripada penafisran-penafsiran inilah, usaha-usaha pencegahan dibuat dan ternyata ianya tidak sampai ke akar umbi masalah. Pada dasarnya semua sebab-sebab yang disebutkan itu adalah sebab-sebab sebenar,tetapi untuk mengatasi sebab itu kita perlu pergi lebih jauh, iaitu mengatasi perkara yang melahirkan sebab-sebab itu sendiri. Pendekatan ini memerlukan kepada asas falsafah yang kukuh.

Di samping ianya bersifat pragamatis dan tidak mempunyai asas falsafah yang kukuh, usaha-usaha pencegahan ini juga bersendikan penafsiran-penafsiran materialistik terhadap penyalahgunaan dadah itu sendiri. Dari sinilah orang membezakan antara dadah dengan arak, judi, pelacuran dan sebagainya. Adalah suatu hal yang jelas bahawa perhatian yang lebih telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu, termasuk pihak kerajaan misalnya terhadap penyalahgunaan dadah itu kerana ianya boleh merugikan ekonomi negara dengan teruk sekali. Perhatian yang sama tidak pula diberikan kepada arak, judi, pelacuran dan sebagainya, kerana hal-hal yang demikian tidak membawa kerugian ekonomi, malah sebaliknya menguntungkan negara.

Segala fenomena yang ada ini, samada ketiadaan falsasfah yang kukuh atau tafsiran-tafsiran yang materialistik telah menjadikan usaha-usaha pencegahan yang selama ini dilakukan telah menghasilkan natijah yang lemah. Untuk itu sesautu penilian baru perlu dibuat dan permasalahan ini perlu dilihat dari asas permasalahan yang sebenar.

Sudut Keruhanian

Ternyata aspek keruhanian dan moral harus dijadikan asas falsafah dan progrem kepada usaha-usaha membenteras penyalahgunaan dadah ini. Ini kerana, sebagaimana dihuraikan tadi, penyalahgunaan dadah itu sendiri merupakan satu hasil atau kemuncak kepada kemiskinan jiwa dan kebankrapan moral di kalangan para penagihnya.  Suatu langkah yang benar-benar berkesan hendaklah dibuat supaya sikap mencari keuntungan tanpa memperdulikan nilai-nilai lain diberhentikan dalam masyarakat ini. Di samping itu konsep hiburan itu dan keseronakan jua perlu dibaiki dalam pengertian masyarakat. Dengan kata lain: Masyarakat perlu diubati dengan nilai-nilai moral yang murni dan dipupuk dengan asas-asas kejernihan jiwa. Segala usaha dalam bentuk lain, walau bagaimanapun, boleh diteruskan tapi sekadar menjadi unsur pembantu.

Di sinilah sumbangan para ulamak dan ahli-ahli agama diperlukan. Mereka harus memainkan peranan mereka sebagai suatu golongan yang tunggal dapat melakukannya.
Walau bagaimanapun dalam melaksanakan tugas mereka ini, para ulamak dan ahli-ahli agama tidak menghadapi suatu perkara yang bodoh, terutama kerana fahaman kebendaan dan keruntuhan moral di kalangan masyarakat manusia sekarang ini sudah menjadi begitu menebal dan sudah berakar umbi, tidak terkecuali dalam masyarakat Islam sendiri. Berbagai rintangan dan halangan yang akan mereka hadapi, termasuklah halangan-halangan dari masyarakat Islam sendiri yang memandang para ulamak dan ahli-ahli agama sebagai penghalang kemajuan dalam erti fahaman kebendaan yang mereka anuti.

Di samping kita rasa yakin bahawa para ulamak dan ahli-ahli agama dapat mengatasi halangan-halangan dan rintangan-rintangan itu, kita jua perlu sedar bahawa tanpa sokongan dari berbagai-bagai pihak, kejayaan yang akan dicapai nanti akan lebih kerdil dan lebih dan lambat berbanding kalau sekiranya sokongan-sokongan yang diperlu itu diperolehi dengan sewajarnya.

Di dalam menghuraikan masaalah ini kita perlu menerima hakikat bahawa para ulamak dan ahli-ahli agama hanya merupakan sebahagian daripada berbagai-bagai sektor masyarakat yang berpengaruh. Di samping mereka terdapat berbagai-bagai sektor lain yang berupa ahli keluarga, para guru, rakan sebaya, orang-orang surat khabar, majalah, radio telivisin dan sebagainya. Mengikut pengajian ilmu sosial sektor ini juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap arah dan aliran perkembangan masyarakat. Kita ambil sahaja seorang anak yang sedang membesar, peribadi dan perwatakannya dalam proses pembesaran itu akan dipengaruhi oleh keluarga, rakan sebaya, sekolah di mana dia belajar, sekitar di mana dia tinggal dan hidup, alat-alat sebaran am seperti radio, tv, surat khabar, majalah dan sebagainya dan seterusnya tempat-tempat ibadat. Setiap ejensi pembinaan masyarakat ini ada orang-orangnya dan para ulamak serta ahli agama hanya berfungsi dalam sebahagian daripadanya sahaja. Katakanlah sekolah dan tempat-tempat ibadat. Adapun ejensi-ejensi yang lain semuanya dikawal oleh orang-orang lain. Tanpa sokongan pihak-pihak ini akan berlakulah bak kata orang, “Sebelah tangan membina dan sebelah tangan lagi meruntuh”.

Atas pengertian bahawa penyalahgunaan dadah ini bukan satu pokok permasalahan yang tersendiri tapi merupakan gejala kepada keruntuhan moral yang menyeluruh, maka dalam melaksanakan tugas pencegahan ini para ulamak dan ahli-ahli agama harus mengambil metod atau manhaj yang bersepdau atau syumul. Adalah sia-sia kalau kita menumpukan cara terus kepada usaha memerangi penyalahgunaan dadah dalam pengertian yang sempit di mana seluruh kegiatan ditujukan kepada penyalahgunaan itu semata-mata kerana kerja-kerja demikian ibarat kita mematikan pucuk-pucuk api yang menjulang dengan tidak mematikan sumber-sumber sebenar yang berupa bara-bara api yang sudah berunggun di bawah. Tugas para ulamak dan ahli-ahli agama sekarang ini ialah mematikan unggun-unggun api itu. Biar bara padam dan puntung-puntungnya menjadi arang atau abu. Inilah yang dikatakan sebagai menghapuskan sesuatu permasalahan itu dari akar umbinya, dan inilah yang merupakan tugas yang sedang dan telah  dilakukan oleh para ulamak, dan ahli-ahli agama semenjak zaman berzaman lagi. Malah inilah jua apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian yang berasaskan kepada nilai-nilai moral dan spiritual.

Kegagalan masyarakat kita dalam memerangi penyalahgunaan dadah selama ini ialah kerana asyik mematikan pucuk-pucuk dan bunga-bunga api ini dan tidak unggun. Akibatnya seratus kes yang diselesaikan dua ratus kes yang akan timbul. Ibarat orang memotong pokok lalang, seratus dipotong, dua ratus yang tumbuh, kerana akar umbinya  masih selamat dan segar.

Sebagaimana orang mematikan api dengan mematikan unggunnya dan menghapuskan lalang dengan mencabut akar umbinya maka penyalahgunaan dadah harus dimatikan dengan membongkar segala pegangan hidup yang materialistik dan “badi” di kalangan masyarakat kita. Perlu dihapuskan dari masyarakat kita ini segala pandangan hidup yang diasaskan kepada mencari untung tanpa menghiraukan nilai-nilai ruhani dan kemanusiaan dan mencari hiburan dan keselesaan hidup kerana hiburan dan keselesaan itu sendiri. Ini mengertikan kita perlu mengajak masyarakat Islam negara kita ini kembali kepada masalah pokok ajaran Islam yang maha suci, iaitu sesuai dengan segala apa yang telah sentiasa dilakukan oleh para ulamak sekarang ini.

Peranan Para Ulamak

Berasaskan kepada huraian ini kita yakini amat salah sekali kalau ada pihak yang mengatakan bahawa ulamak dan ahli-ahli agama kurang memberi kerjasama di dalam mencegah atau membenteras penyalahgunaan dadah ini, kerana meskipun orang tidak dapat melihat ramai para ulamak dan ahli-ahli agama yang pergi mematikan pucuk-pucuk api itu tapi hakikat sebenarnya para ulamak dan ahli-ahli agama sedang berhempas pulas mematikan unggun api di bawah itu, dengan senjata dan kelengkapan yang penuh berdikari para ulamak terus merupakan tentera-tentera yang tidak mendapat pablisiti dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah ini tapi terus berjuang dengan membuat banyak kemajuan.

Maka persoalan sekarang ini bukan ikut serta dalam mencegah penyalahgunaan dadah yang berleluasa sekarang ini tapi meneruskan lagi usaha-usaha yang telah dilakukan itu dengan lebih berkesan. Di sinilah, sebagaimana yang ditegaskan di atas, para ulamak memerlukan sokongan daripada kalangan-kalangan lain dalam masyarakat ini yang walaupun bukan dalam bentuk membantu para ulamak dan metodnya sendiri, tapi sekurang-kurangnya jangan bersikap meruntuh apa yang dilakukan  oleh para ulamak dan ahli-ahli agama itu sendiri. Tegasnya jangan berlaku bak kata orang, sebeldi air yang dicurahkan oleh para ulamak untuk mematikan unggun api itu, segelen minyak pula dicurahkan oleh kalangan-kalangan lain untuk unggun api yang sama. Inilah apa yang dimaksdukan, “Sebelah tangan membina dan sebelah tangan meruntuh”.

Adanya nilai-nlai negatif yang berleluasa dan semangat populer dalam masyarakat kita sekarang ini telah menghalang kejayaan yang kita cita-citakan dalam mencegah penyalahgunaan dadah ini dalam pengertian yang luas tadi. Bermula dalam hal-hal yang wujud dalam keluarga, kalangan rakan-rakan sejawat, sekolah, alat-alat sebaran am, di tempat-tempat hiburan dan sebagainya itu telah menjadikan masyarakat kita sekarang ini mempunyai dua tangan yang sangat berbeza. Satunya membina dan satu lagi meruntuh. Sebab-sebab kepada kelahiran nilai-nilai negatif dalam ejensi-ejensi masyarakat yang tersebut tadi ialah menebalnya faham kebendaan dalam sektor-sektor berkenaan. Sehingga sekarang ini bolih dikatakan hanya tinggal beberapa sektor sahaja lagi yang tidak dirasuk oleh faham kebendaan itu, termasuk para ulamak dan ahli-ahli agama yang biasa dikenal oleh orang lain sebagai golongan jumud, beku dan tidak menguntungkan pembangunan negara.

Kerjasama

Menilai semula keadaan ini, kita berpendapat, setiap keluarga Islam dalam masyarakat ini harus kembali kepada nilai-nilai kemurnian Islam. Mereka akan dibantu oleh para ulamak dan ahli-ahli agama kalau mereka perlu. Sekolah-sekolah al-Quran dan fardhu ain harus dibina dengan banyaknya bagi memenuhi keperluan itu, terutama sekali di bandar-bandar dan di pekan-pekan. Kalau perlu kerajaan boleh memulakan pelajaran wajib dua tahun lebih awal daripada umur sekolah yang ada sekarang ini bagi tujuan pengajian al-Quran dan fardhu ain secara teratur. Maktab perguruan Islam dan pusat-pusat pengajian tinggi Islam boleh melatih para guru dan ahi-ahli agama yang akan bertugas di bidang itu, agar kejayaan dalam mencapai matalamatnya nanti lebih terjamin.

Pertubuhan-pertubuhan di peringkat umur sekolah, seperti pengakap dan pandu puteri harus diberi nafas baru supaya boleh bergerak dengan lebih cergas. Kerjasama dari ahli-ahli agama boleh diberikan di dalam mengasuh mereka yang terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan ini hal-hal mengenai akhlak dan moral. Sekolah-sekolah jua harus menekankan sudut-sudut membina peribadi muslim dari maklumat-maklumat tentang Islam sebagaimana yang diajar pada hari ini, terutama sekali di peringakt rendah dan menengah. Para guru agama di sekolah-sekolah berkenaan harus diorientasikan berasaskan kepada keperluan ini.

Di samping itu alat-alat sebaran am harus dikawal dengan baik oleh kerajaan di mana penyebaran akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang bermoral rendah dan tidak banyak menguntungkan masyarakat perlu disekat. Radio dan tv harus mengurangkan progrem-progrem hiburan yang tidak berasaskan seni warisan tamadun manusia yang tinggi dan menamatkan anggapan kedua-dua alat sebaran itu lebih bersiafat alat hiburan dan bukannya alat penyebaran ilmu dan maklumat kepada masyarakat. Hal yang sama perlu dilakukan terhadap alat-alat elektronik yang lain seperti viedo dan sebagainya.

Amat menasabah sekali sekarang ini kedai-kedai arak dan kelab-kelab malam ditutup. Para ulamak dan ahli-ahli agama harus tegas dalam masalah ini demi menjamin hasil perjuangan mencegah penyalahgunaan dadah ini, kerana hubungan antara arak dan kelab-kelab malam dengan dadah amat dekat sekali. Kerajaan juga harus faham dan jangan berdolak-dalik dalam masalah ini. Demi maruah para ulamak dan ahli-ahli agama, akan datang suatu hari di mana kerjasama tidak akan diberikan kepada kerajaan selagi kedai-kedai yang menjual arak dan kelab-kelab malam ini tidak dihapuskan.

Kerjasama-kerjasama yang tersebut di atas, yang sebahagian melibatkan kerajaan sendiri harus dipandang serius. Tanpa hal demikian kita sebenarnya tidak betul-betul mahu menghapuskan penyalahgunaan dadah sekarang ini. Tetapi sebaliknya berpura-pura atau bersikap melepas batuk di tangga sahaja. Kerjasama ini boleh disifatkan secara mudah sebagai  mengurangkan faham kebendaan di kalangan masyarakat Islam di negara ini untuk lebih menstabilkan lagi kemajuan kebendaan yang telah dicapai dengan kemajuan moral dan keruhanian supaya hidup masyarakat kita tidak tempang.

Rumuasan Dan Cadangan

Berasakan perkara-perkara di atas dan dalam penilaian bahawa kerjasama yang rapat boleh diberikan oleh semua pihak, maka rumusan dan cadangan berikut dicadangkan:

1.Penyalahgunaan dadah adalah satu perbuatan haram yang dilarang oleh agama Islam dan mereka yang terlibat dengannya akan dibalas dengan keseksaan yang setempal di akhirat nanti.

2.Mengistiyarkan penagih-penagih dadah sebagai pemabuk-pemabuk candu yang dipandang sebagai orang yang sangat hina oleh masyarakat Islam dalam negara ini.

3.Menyokong penguatkuasaan hukuman mati terhadap pengedar-pengedar dadah atas asas ianya sesuai dengan hukuman mengikut hukum jenayah syara’.

4.Mengadakan bulan gerakan anti dadah di seluruh masjid, surau dan madrasah-madrasah di seluruh negeri di mana semua progrem samada khutbah Jumaaat, kuliah Maghrib, kuliah Subuh atau ceramah-ceramah biasa diisi dengan ceramah-ceramah mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan hubungannya dengan keruntuhan moral dan nilai keruhanian masyarakat sekarang ini.

5.Setiap imam Mukim akan bertanggungjawab mengecam setiap penagih dadah di dalam mukim masing-maasing dan melaporkan perkara itu kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan selanjutnya. Langkah ini adalah langkah serentak dan menyeluruh.

6.Meminta kerajaan supaya menambah peruntukan kelas-kelas agama atau menambah mana-mana peruntukan yang ada bagi para imam dan mubaligh melaksanakan tanggungjawab masing-masing khusus mengenai pencegahan dadah di daerah masing-masing.

7.Pertubuhan-pertubuhan agama, seperti pertubuhan-pertubuhan ulamak, kadhi, guru-guru agama dan sebagainya akan memberikan kerjasama yang erat dengan PEMADAM dengan cara menyertai progrem-progrem PEMADAM yang telah diatur ataupun mengadakan progrem sendiri dengan bantuan kewangan dari PEMADAM.

8.Menubuhkan sebuah jawatankuasa anti dadah negeri yang dianggotai oleh para ulamak dan ahli-ahli agama sahaja di bawah peruntukan dan pimpinan Jabatan Agama Islam Negeri bagi menjalankan kerja-kerja penyelarasan dan tindakan lanjut segala gerakan pencegahan di seluruh negeri.

Penutup

Di samping semuanya itu ada suatu masaalah besar yang mengancam usaha penyalahgunaan dadah ini, iaitu soal kesungguhan. Kalau kesunggguhan ini ada insya-Allah dalam jangka beberapa tahun sahaja negeri yang pernah dikenal sebagai Serambi Mekah akan bebas dari wabak dadah. Kita mengimpikan supaya negeri ini menjadi contoh di mana gerakan Islam telah membebaskan masyarakat di sini daripada pengaruh dadah dan berasaskan kepada nilai dan ajaran Islam.





Wallahitaufik walhidayah.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP