Kampung Salor Dalam Nostalgia Perpaduan
>> Wednesday, August 7, 2013
Setiap kali tiba bulan Ramadan dan menjelang
Aidilfitri ingatan dan kenangan saya kian semarak kepada Kampung Salor, kampung
di mana saya dilahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana.
Beraneka kenangan bersusun-susun menerpa kotak ingatan dengan perasaan yang
berbaur antara sedih dan gembira.
Saya mempunyai kawan-kawan yang ramai, bukan
sahaja dengan jiran tetangga, tapi dari seluruh kampung. Mereka semua berada dalam
usia kira-kira sebaya. Malah saya juga berkawan dengan orang-orang dewasa,
di mana di waktu-waktu tertentu kami berkumpul bersama-sama dan berbual-bual
bersama terutama di waktu petang menjelang masuk waktu berbuka puasa. Di waktu
senja begini, tempat yang paling kami sukai berkumpul ialah di tebing Sungai
Kelantan sebelum kami terjun ke sungai untuk mandi-manda beramai-ramai. Di waktu
senja begini, ketika matahari mulai terbenam di ufuk Barat, pandangan kaki
langit cukup indah sekali, dengan tebaran mega-mega warna warni menghiasi dada
langit. Angin petang berhembus lembut menyegarkan dan permukaan air sungai yang
kelihatan beriak-riak kecil ditampar hembuasan angin. Kadang-kadang di waktu
malam kami datang lagi bila bulan terang terpampang di langit biru. Ya Allah alangkah
indahnya.
Selepas Maghrib, kami akan bertemu pula di
Madarsah Pohon Sagu untuk solat Tarawih. Kadang-kadang selepas solat ada disediakan
pula makanan berupa kueh-mueh, seperti cendol, sira pisang, noner [ondeh-ondeh], pengat
pisang dan sebagainya. Kadang-kadang kalau musim buah, buah duku, langsat,
rambutan dan seta [manggis] juga dibawa untuk makan selepas Tarawih di
madarah. Madarah Pohon Sagu ini letaknya tidak jauh dari Kedai Salor.
Kami kanak-kanak sudah tentu gembira bila ada makanan selepas Tarawih.
Selepas Solat Tarawih ada di antara kami akan
singgah untuk makan colek kerepuk di salah sebuah kedai kopi di situ. Pada
waktu itu ada tiga buah kedai kopi, dua buah kepunyaan orang Melayu dan sebuah
kepunyaan orang Cina. Ketiga-tiganya mendapat sambutan, baik dalam bulan puasa
ataupun pada hari-hari yang biasa.
Kedai kopi Cina ini ada mempunyai dua orang
anak gadis, yang usianya peringkat kakak kepada saya, kedua-duanya cantik. Seorang
berkulit putih kuning dan seorang hitam manis. Kedua-dua orang gadis ini telah
mendapat hidayat dan memeluk agama Islam, dan mendirikan rumahtangga dengan
pemuda tempatan. Kehilangan mereka pada suatu malam telah menggemparkan,
sehingga mereka diijabulkabulkan sebagai suami isteri dengan kedua-dua pemuda
itu.
Pada suatu hari, ketika saya dan isteri [Allahyarham
Asiah Yaacob] menziarahi pusara ibu di Kubur Pohon Rambai, Kedai Salor kami
ternampak seorang wanita sedang berdiri di sebuah pusara. Walaupun
bertahun-tahun saya tidak pernah melihatnya, tapi bila saya terpandangnya pada hari
itu, saya masih mengenalinya, itulah dia salah seorang daripada gadis Cina yang
memeluk Islam itu. Kejadian ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Bila kami
lalu berhampiran dengannya, dia menegur saya dan bertanya kami menzirahi kubur
siapa?. Saya beritahu bahawa kami mengujungi pusara ibu dan memperkenalkan diri
kami kepadanya. Bila saya sebut ayah saya Pak Cu Leh, pelanggan tegar
kedai kopinya, ibu saya, Mak Su Munah dan juga kakak saya Zubaidah, dia
menujukkan reaksi dia mengenalii mereka semua. Dia memberitahu kami dia
menzirahi pusara ibunya. Selepas itu, tiba-tiba saya mendapat berita dia telah
meninggal dunia, mengikut jejak suaminya yang pergi terlebih dahulu
daripadanya.
Di Kampung Kedai Salor pada waktu itu ada beberapa buah keluarga Cina
yang tinggal di situ. Ada di antara mereka telah memiliki tanah dan rumah sendiri. Salah
seorang daripada keluarga mereka itu terdapat seorang pemuda dikenali dengan
nama Su Yung. Tapi sejak lepas sekolah, kami tidak lagi pernah bertemu, kerana dikabarkan
dia berhijrah ke Sarawak mencari kehidupan di sana. Seorang sahabat saya yang
bertugas di Sarawak pernah memberitahu saya, dia pernah teresermpak dengan Su Yung di
sana, tapi tidak sempat bercakap panjang kerana saat itu dia sedang menjalankan
tugas sebagai seorang anggota pasukan keselamatan.
Pada masa itu, di Kedai Salor ada
satu keluarga Cina yang agak besar yang tinggal di dua buah pintu bangunan
kedai kayu yang berlantai simin yang dibina tinggi dari tanah yang dibina
memanjang yang setip satunya mengandungi beberapa buah pintu kedai dan berloteng. Bangunan-bangunan
itu masih ada sampai sekarang, dan di antaranya telah diubahsuai sebagai rumah
kediaman. Sebenarya pada awalnya pasar Kedai
Salor itu mempunyai lima buah bangunan kayu yang pada keseluruhan tapaknya dibina dalam bentuk U, di
mana pada awalnya terdapat tiga buah bangunan pasar yang berasingan terletak
sejajar. Di sebelah kirinya pasar ikan, di tengahnya yang lebih besar keadaannya
pasar biasa dan di sebelah kananya pula pasar daging. Tapak pasar ikan itu
sekarang telah dibina bangunan pejabat penggawa. Arah ke hadapan di tengah-tengah bentuk U itu pula
merupakan tanah lapang hampir empat persegi memanjang sampai ke jalan raya yang
menghubung Kota Bharu-Pasir Mas. Pada suatu ketika Kedai Salor ini ramai
dikunjungi orang, hingga penjual-penjualnya melimpah ke tanah lapang itu dan
sampai ke tepi ke parit jalan raya.
Kedua-dua kedai Cina itu pula menjual barang
roncet. Salah seorang daripada anggota keluagra mereka ialah seorang
kanak-kanak yang sebaya dengan saya, Ah Chi namanya. Kami bersekolah sama di
Sekolah Melayu Salor. Dua orang lagi keluarganya, lebih tua dari saya berpangkat abang.
Kemudiannya bila bisnes merosot, keluarga Cina ini berpindah, sebahagian ke
Kota Bharu dan sebahagian ke Kuala Krai, membuka perniagaan di sana. Salah
seorang daripada mereka yang pindah ke Kota Bharu itu, seorang wanita pada suatu ketika termasyur dengan peniaga
kain batik.
Di sekolah sekelas dengan saya ada lagi
beberapa pelajar Cina yang datang dari kampung-kampung yang berjiran dengan
Kampung Kedai Salor yang merupakan sebahagian daripada Kampung Salor yang besar
itu. Di antara mereka selain dari Ah Chi ialah Ah Cak, Ah San, Ah Chun dan
seorang lagi yang saya lupa namanya. Selain itu ada lagi beberapa orang pelajar
perempuan yang lebih muda dari saya di kelas yang berlainan. Sekurang-kurangnya
setahu saya, ada dua orang daripada pelajar peringkat abang dari saya itu telah berjaya menjadi guru dan mengajar di
sekolah Melayu.
Ketika cik gu mengajar pelajaran agama, pelajar-pelajar
Cina diberi pilihan untuk keluar darjah atau duduk dalam kelas. Tapi setahu
saya mereka tidak pernah meninggalkan kelas, dan ikut mendengar apa yang diajar
oleh cik gu. Kerana itu mereka tahu rukun Islam, rukun Iman, fasal puasa, haji
dan sebagainya. Mereka boleh membaca Jawi malah ada yang boleh menulis tulisan
Jawi. Sebutan nama Allah sentiasa meniti di bibir mereka, seperti orang Melayu
juga. Namun sayangnya mereka tidak Islam.
Di bulan Ramadan, walaupun mereka tidak puasa,
tapi mereka tidak makan di hadapan kita orang Melayu. Mereka seolah-olah
berpuasa seperti kita juga ketika di sekolah. Kantin sekolah pun tidak pernah
dibuka sepanjang bulan puasa. Tidak pula mereka pernah membantah, kerana mereka
faham adab orang Melayu dan agama Islam
yang tidak boleh makan sepanjang bulan puasa.
Sudah menjadi suatu macam kebiasan di kalangan
masyarakat di kampung kami, selain daripada mempunyai nama-nama Cina itu,
mereka juga disandang dan dikenali dengan nama Melayu yang mesra terutama
kepada yang masih muda, dan ditambah dengan panggilan Pak dipangkal nama kepada
yang orang lelaki yang telah dewasa atau tua dan Mek kepada wanita. Umpamanya
Pak Hang [lelaki], Mek Yu dan Mek Get, Mek Ken, Mek Kui [wanita], Ali, dan Mamamt [Muhammad] yang
sampai ke hari ini saya tidak mengetahui namanya yang sebenar. Yang bernama
Muhammad ini, adik kepada dua orang gadis Cina yang memeluk Islam itu juga,
bila saya temui beberapa tahun yang lalu telah memeluk agama Islam sebagaimana
kakak-kakaknya juga.
Pada zaman saya sedang belajar di sekolah
menengah dahulu ada beberapa orang gadis Cina yang kira-kira sebaya dengan
saya. Mereka boleh dikatakan lawa-lawa, berwajah mirip Melayu dan petah
bercakap Melayu Kelantan. Yang mengejutnya pada suatu hari, salah seorang
daripada gadis Cina itu lari ke rumah keluarga kami di mana keluarga saya
tinggal sementara di situ pada masa itu. Dia memberitahu keluarga saya dia
tidak ingin balik ke rumahnya, dan ingin tinggal bersama kami. Ibu dan adiknya
datang memujuk, dia enggan juga balik. Keluarga saya terpaksa dengan lembut memujuknya
supaya balik dahulu dan datang semula lain kali untuk mengelak tercetusnya kekecuhan
andainya dia terus berkeras tidak mahu balik ke rumahnya. Dan akhirnya dia akur
dengan kami. Selepas itu, gadis itu telah dipindakan ke lain tempat, dan tidak
lagi pernah saya temui hingga ke hari ini setelah berpuluh-puluh tahun berlalu.
Dan selepas tu pula keluarganya juga ikut pindah, kebetulan rumah yang didudukinya
itupun rumah sewa.
Wanita-wanita Cina di Kampung Salor waktu itu
semuanya berpakaian harian kain batik dan berbaju seperti wanita-wanita Melayu
juga. Mereka semua fasih bercakap Melayu, malah wajah mereka kadang-kadang
mirip orang Melayu. Cuma mereka tidak bertudung. Saya tidak pernah melihat wanita-wanita
Cina itu memakai ceongsam, baik yang tua atau yang muda. Yang lelaki pula
memakai seluar seperti orang-orang Melayu, malah di kalangan mereka yang tua
pula ada yang memakai kain pelikat yang
dikilas di pinggang seperti orang Melayu.
Hari-hari orang Cina makan kedai kopi orang
Melayu, demikian juga orang Melayu makan di kedai kopi orang Cina. Tapi yang
jual nasi belauk hanya orang Melayu, dan orang Cina pula jual roti bakar sapu
kaya. Saya pun suka makan roti bakar sapu kaya itu. Selepas makan nasi belauk,
orang Cina duduk berkumpul dengan orang-orang Melayu berbual-bual bermacam perkara
sambil minum kopi, teh dan makan kueh-kueh yang dibuat oleh orang-orang Melayu.
Orang Cina tidak jual kueh.
Kalau orang Melayu mengadakan majlis
perkahwinan, mereka mengundang orang Cina bersama. Demikian juga orang Cina,
jika mereka adakan majlis perkahwinan mereka menjemput orang Melayu ke majlis
mereka. Biasanya majlis untuk orang-orang Melayu itu mereka adakan sehari lebih
awal, khusus untuk jemputan orang-orang Melayu sahaja, yang semuanya dimasak
oleh orang Melyu yang dijamin halalnya. Majlis untuk jemputan orang
Cina diadakan keesokan harinya.
Malah ada di antara mereka, bila mengetahui ada orang kampung yang akan berangkat naik haji ke Mekah, mereka pun datang
menemui bakal-bakal haji itu dan juga membawa oleh-oleh seperti orang Melayu
juga, iaitu menghadiahkan wang.
Biasanya setiap tahun orang Cina di kampung
saya mengadakan pesta bermain menora. Dan yang ramai hadir menonton menora
ialah orang-orang Melayu, tua dan muda, lelaki dan perempuan yang setiap malam
mengelilingi bangsal menora yang didakan di perkampungan orang Cina. Mereka
sanggup berjalan kaki kira-kira satu kilometer atau lebih semata-mata untuk
menonton menoara Siam.
Jika ada orang-orang Melayu yang sakit, orang-orang
Cina juga datang menjenguk mamabwa buah-buah tangan seperti orang Melayu. Dan
jika ada orang-orang Cina yang sakit, mereka memanggil tok-tok bomoh Melayu untuk
merawat mereka. Malah ada juga sesetengah orang Melayu yang mengidap penyakit
ganjil mengundang bomoh-bomoh Cina untuk merawat penyakit mereka.
Kalau kami keluar bermain, seperti bola, coh
dan sebagainya kami keluar bermain bersama-sama tanpa kira Melayu atau Cina.
Kalau hujan sama-sama berhujan, dan kalau panas sama berpanas. Demikian juga ketika
keluar memburu belalang perah di sawah selepas musim menuai, anak-anak Cina dan Melayu berebut-rebut menangkap
belalang dalam hujan di tanah sawah yang telah tinggal jerami.
Tidak ada orang Melayu kampung saya membenci
Cina kerana dia orang Cina atau tidak ada orang Cina membenci orang Melayu
kerana mereka Melayu. Tapi kalau ada di antara mereka yang jahat, tidak kira
Cina atau Melayu, mereka semua sepakat membenci orang jahat itu, baik dia Cina atau
Melayu.
Oleh sebab begitu erat jalinan hubungan antara
kaum itu, maka tidak pernah wujud perbalahan atau permusuhan kaum Cina
dan Melayu. Di kalangan kanak-kanak pun tidak pernah ada berlaku perkelahian
antara Cina dan Melayu. Jika pertengkaran berlaku sekali sekala antara kanak-kanak Cina dan
Melayu adalah perkara biasa, sebagaimana kanak-kanak Melayu berbalah sesama
kanak-kanak Melayu. Kadang-kadang dalam perbalahan antara kanak-kanak itu akan
timbul cacian, seperti, “Mu Cina makan babi, atau Mu tok pek [panggilan terhdap
orang cina] tak basuh berak”. Tapi seperti biasalah besok hari mereka berbaik-baik
semula berman-main seperti biasa. Orang tua tidak campur tangan sama sekali.
Semuanya berjalan lancar. Hidup rukun dan damai, berbaik-baik sangka antara
satu sama lain.
Yang berbeza hanya agama. Tapi perbezaan agama
ini tidak menjadi punca perselisihan atau perbalahan antara Cina dan Melayu.
Semua hidup saling faham memahami. Jika ada orang Cina masuk Islam seperti saya
ceritakan di atas tadi, tidak pernah ada pula orang Melayu yang masuk
agama Cina baik lelaki atau perempuan. Kanak-kanak Melayu pergi mengaji
al-Quran, anak-anak Cina tidak mengaji; Kanak-kanak Melayu bersunat [berjawi
kata orang Kelantan] tapi kanak-kanak Cina tidak bersunat, dan orang Melayu
pergi ke masjid, tapi orang Cina tidak pergi masjid. Dan kalau ada orang Cina
masuk Islam pun keluarga mereka tidak pula kecoh dan bising seperti hari ini.
Bangsa dan agama tidak menjadi tembok
penghalang perpaduan. Kita boleh hidup bersama dan harmoni walaupun berbeza
agama dan bangsa. “Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku”.Al-Kafirun:6.
Apa yang nukilkan secara ringkas ini ialah
perpaduan kaum kental yang wujud di kampung saya di antara dua masyrakat yang
berlainan bangsa dan agama. Melayu dan Cina. Saya rasa kehidupan masyarakat
majmuk di tempat lain di seluruh Kelantan pun kira-kira seperti itu juga.
Justeru pada masa itu perpaduan kaum amat erat di Kelantan sampai ke hari ini, terutama mereka yang
tinggal di kampung-kampung.
Hari ini [tapi bukan di kampung saya] ada
sesetengah golongan telah mengexploitasikan isu-isu bangsa dan agama dengan tujuan yang mereka sendiri mengetahuinya,
menyebabkan suasana menjadi kecoh dan gegak gempita di seluruh negara di
samping berbagai-bagai isu yang sedia ada. Kita harap perkara ini dapat
dihentikan segera demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair tercinta. Kita
harap kepada mereka yang membuat air menjadi keruh dan yang bercita-cita ingin menangguk di air keruh itu akan segera
berhenti sebelum semuanya hangus terbakar.
0 comments:
Post a Comment