ALKISAH SELUAR DALAM

>> Saturday, August 3, 2013





ALKISAH SELUAR DALAM


Seluar dalam adalah seluar kecil yang dipakai di bahagian dalam sebagai penutup khusus bahagian kemaluan lelaki atau perempuan, supaya tidak tergesel dengan pakaian biasa yang dipakai, dan supaya tidak mudah kelihatan dalam keadaan biasa ataupun andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada bahagian seluar yang biasa, seperti terkoyak atau terselak kain umpamanya. Kerana bahagian ini merupakan anggota yang paling sensitif untuk merangsang nafsu manusia.


Di samping seluar dalam ada pula baju dalam. Baju dalam lelaki tidak serupa dengan baju dalam wanita. Fungsinya juga berbeza. Baju dalam lelaki berupa anak baju yang biasanya tidak berlengan yang dipakai di bahagian dalam bawah baju biasa untuk menghalang peluh daripada membasahi baju biasa. Sedangkan baju dalam wanita atau bra diperbuat khusus berbentuk payudara wanita dan memang bertujuan untuk menampung payudara itu  supaya kelihatan lebih kemas dan lebih cantik, tidak kelihatan melondeh serta memberi lebih keselesaan kepada pemakainya.

Yang memakai baju dalam atau seluar dalam hanya terdapat di kalangan manusia yang telah cerdik, tapi di kalangan manusia yang tidak bertamadun, kaum wanitanya tidak memakai seluar atau baju dalam, seperti hari ini, malah payudaranya dibiarkan menonjolkan begitu sahaja untuk ditonton oleh semua manusia yang melihatnya. Demikian juga seluar dalamnya mungkin berupa

sekeping kulit kayu atau kulit haiwan untuk melindungi anggota sulitnya daripada pandangan mata. Mereka bercawat, bukan berseluar dalam.

Namun begitu, kita manusia baik lelaki atau perempuan tidaklah memakai seluar dalam setiap waktu selama dua puluh empat jam sepanjang hari sepanjang malam, kecuali dengan tujuan yang khusus. Biasanya kita tidak pakai seluar dalam waktu tidur, atau ketika berkain sarung berada di rumah, ketika mandi dan sebagainya. Biasanya kita memakai seluar dalam ketika keluar rumah, berpergian ke mana-mana, baik lelaki ataupun perempuan. Demikian jugalah dengan saya, ketika hendak keluar rumah, sebelum memakai seluar biasa, saya akan menyarung seluar dalam terlebih dahulu untuk mencari lebih keselasaan.

Semalam ketika hendak keluar rumah kerana ada urusan, ketika itu saya baru keluar dari tandas, saya mencari seluar dalam yang baru sahaja saya pakai. Seluar dalam itu saya tanggalkan sebelum masak tandas dengan kain sarung. Tapi puas saya mencarinya tidak berjumpa. Saya mencarinya di beberapa tampat dalam kamar tapi tidak diketumi. Lalu saya membuat keputusan memakai seluar dalam lain yang baru diambil dari laci. Sesudah menyarung seluar, saya juga ingin menukar baju t yang saya pakai di rumah itu dengan baju lain. Bila baju t itu saya tanggalkan dari badan, tiba-tiba seluar dalam yang saya cari-cari itu terjatuh di hadapan saya. Rupa-rupanya sebelum masuk tandas itu saya letakkan seluar itu di atas bahu kiri saya supaya mudah untuk mengambilnya nanti untuk dipakai semula. Ini membuat saya senyum sendirian.

Pada suatu pagi sebelum bulan Ramadan saya bersiap-siap hendak pergi membeli nasi belauk untuk dimakan bersama cucu perempuan saya. Oleh sebab nasi belauk itu dijual di sebuah gerai yang terletak di pinggir bandar saya hanya bercadang untuk memakai kain sarung sahaja. Lagi pun hanya hendak membeli nasi belauk, tidak ada keperluan lain lagi. Setelah menyarung kain sarung ke badan, saya mencari-cari seluar dalam yang baru saya keluarkan dari laci almari tadi. Tapi tidak ketemu, entah di mana saya letakkannya. Ia telah hilang dari pandangan mata saya. Sudah puas mencari tidak juga berjumpa, lalu saya mengambil seluar dalam baru dari laci dan terus menyarungnya. Kemudian saya ajak cucu naik kereta dan terus menghidupkan kereta dan bergerak menghala ke gerai di mana nasi belauk dijual, kira-kira satu km daripada pondok kami tinggal.

Di gerai yang terletak di pinggir jalan itu saya membeli dua bungkus nasi belauk, sebungkus untuk saya dan sebungkus lagi untuk cucu. Serta membeli beberapa keping kueh akok dan cik mek molek saya pun memandu kereta untuk balik. Bila sampai ke rumah, ketika saya membongkok untuk meletak bungkusan nasi di atas lantai untuk makan bersila, tiba-tiba seluar dalam yang saya cari itu terjatuh dari bahu saya berhampiran dengan dua nasi bungkus itu. Rupa-rupanya seluar dalam itu terletak di atas  bahu saya. Saya hampir ketawa terkekeh-kekeh melihatnya.

Saya baru berperasaan patutlah wanita penjual di gerai itu tadi memandang-mandang ke arah saya dengan pandangan kehairanan yang saya tidak fahami. Rupa-rupanya dia terpandang seluar dalam di atas bahu saya. Subhanallah. Nasib baik tidak ditegurnya, kalau ditegur, malu juga rasanya saya dengan kelakuan yang tidak cermat ini.

Pada suatu hari yang lain, ketika hendak solat saya mencari-cari seluar dalam yang baru saya tanggalkan sebelum mengambil wuduk. Bukan untuk dipakai, tapi sekadar untuk mempastikan kerberadaannya di mana. Setelah tidak jumpa mencarinya, saya melupakanya buat sementera dan terus solat. Ketika saya menurunkan dahi untuk sujud, tiba-tiba ada sesuatu yang terjatuh, dekat dengan tempat dahi saya mencecah lantai. Rupa-rupanya seluar dalam yang saya cari-cari itu terjatuh dari bahu saya.

Dalam bulan Ramadan, kira-kira dua minggu yang lepas, ketika berada di bumi Selangor, saya pergi ke sebuah pasaraya sendirian untuk membeli sesuatu keperluan. Setelah membeli beberapa perkara yang diperlukan saya pun turut berbaris di hadapan kauter bayaran. Bila tiba giliran, saya menyeluk poket seluar untuk mengeluarkan dompet. Dompet itu agak sukar untuk dikeluarkan kerana tersekat oleh sesuatu yang berupa gumpalan kain. Saya tarik kain itu keluar tanpa berfikir apakah bendanya. Tiba-tiba saya lihat dalam gengaman saya terdapat dua helai seluar dalam yang berlainan warnanya. Ini di luar dugaan sama sekali. Dengan pentas saya ambil gumpalan seluar dalam yang berada dalam tangan kanan dengan tangan kiri dan memamsukkannya ke dalam poket kiri. Saya lihat gadis itu terseyum-senyum melihat gelaggat  saya dengan seluar dalam itu.

Saya teringat, beberapa hari yang lepas, ketika saya masuk ke sebuah tandas di sebuah masjid, sewaktu  hendak menarik tali pam tandas, saya ternampak ada dua helai seluar dalam tergayut pada wayar yang menghubung antara kotak pam dengan batang pili. Rupa-rupanya ada dua orang telah tertinggal seluar dalam di biliki air itu. Tidak mungkin mereka terlupa untuk mengambilnya, walaupun mungkin terlupa ketika hendak keluar dari bilik tandas, tapi mereka pasti hendak memakinya semula ketika hendak menyarung seluar nanti. Tapi ia mungkin sengaja ditinggalkan, bila cuba mengambilnya semula, ada orang lain sedang menggunakan tandas tersebut. Justeru sebagai pelancung, biasanya mereka berada dalam keadaan tergesa-gesa  kerana desakan waktu, maka mereka pun terus melupa dan meninggalkannya  sahaja. Saya juga pernah melihat seluar-seluar dalam ditinggalkan di tandas-tandas lain di lain-lain masjid, terutama masjid-masjid tepi jalan.

Yang paling tidak saya duga ialah seluar dalam telah menjadi punca perselisihan rumahtangga. Seorang lelaki memberitahu isterinya dia ada tugas di luar selama dua hari kerana urusan perjabat. Kemudian setelah selesai berurusan, bila suami itu balik ke rumah, si isteri yang bertanggungjawab itu memungut pakaian yang telah dipakai  suaminya semasa bertugas di luar daerah itu dalam briefkes suaminya untuk dicuci. Alangkah terkejutnya sang isteri, di samping melihat pakian suaminya, tiba-tiba dia melihat sehelai seluar dalam yang belum pernah dilihatnya berwarna merah jambu. Bila dipereksa, dia tambah terkejut lagi kerana seluar dalam itu sebenarnya pantis seorang wanita.


Maka kerana seluar dalam itu berlakulah sengketa yang memanjang antara kedua suami isteri itu. Sudah tentu berberapa persangka buruk timbul di kepala isterinya, bila melihat sehelai seluar dalam di dalam briefkes suaminya. Perasaan cemburu dan marah berbuak-buak dalam dirinya. Dan akhirnya ia berkahir dengan perceraian talak satu. Namun begitu pada akhirnya mereka rujuk balik demi kepentingan anak-anak mereka yang masih kecil ketika itu.

Saya juga teringat pada suatu ketika dahulu, Allahyarham Datok Yusuf Zaky Yaacb yang pada waktu itu dipanggil “Ustaz” suka mengajak kami berjalan-alan dengan kereta di masa-masa yang luang, atau ketika dia sedang menenangkan fikirannya. Kami sering singgah solat di surau atau di masjid-masjid di tepi jalan  jika waktu solat telah masuk, samada beriman dengan imam masjid ataupu kalau mereka sudah selesai solat, kami bersolatkan beliau sebagai imam. Kadang-kadang dalam kumpulan kecil kami itu ada seorang yang liat untuk sembahayang. Malah dia tidak pernah ikut solat, walauun kami semua solat. Ini menimbulkan rasa tidak senang kepada allahyarham lalu sering menanya salah seorang daripada kami, kenapa si X tidak sembahayang, kawan saya itu selalunya menjawab, katanya si X kata seluarnya kotor. Maka setiap kali mendengar jawapan itu, berkatalah Ustaz Yusuff Zaky, “Kenapa, dia kencing dalam seluar dalamnyakah?”. Setelah beberapa kali ditegur seperti itu, akhirnya X pun ikut sembahayang setiap kali kami berhenti solat di masjid atau surau dalam perjalanan-perjalanan kami yang lainnya.

Akhirnya saya teringat tentang perangai pelik lelaki yang suka mencuri seluar dalam dan coli wanita. Mengikut ahli-ahli jiwa lelaki ini mengidap sejenis penyakit jiwa. Pantang melihat seluar dalam wanita yang tergantung di sidaian, tercetuslah keinginannya untuk mencurinya. Kepada lelaki seperti ini seluar dalam itu akan digunakan untukan mencetuskan nafsu berahinya dengan fantasi ketika mencari kepuasan diri sendiri. Di samping itu ada lagi satu tujuan bila lelaki mencuri seluar dalam wanita. Ini merbahaya, kerana seluar dalam itu atau seumpamnya akan digunakan untuk tujuan jahat sebagai sebahagian daripada bahan-bahan  sihir untuk menzalami gadis atau wanita itu, terutama untuk tujuan sihir pengasih. Lebih merbahaya lagi andainya seluar dalam itu bekas peluh dan masih belum dibasuh.

Oleh itu, para wanita, hendaklah berhati-hati dengan seluar dalam mereka. Jangan terbiar di merata-rata tempat. Jangan dijemur di tempat yang terbuka dan mudah dicuri. Jangan dibiarkan seluar dalam dijemur di luar rumah sampai waktu malam, atau di tempat penyidainnya yang mudah dirampas orang. Jangan permudahkan diri dijadikan manga manusia yang tidak bertanggungjawab.

Demikian juga saya sering mendengar seluar dalam, khususnya seluar dalam wanita yang digunakan sebagai bahan pelaris makanan.  Seluar dalam itu mestilah yang baru lepas dipakai dan belum dibasuh dikatakan di tanak bersama nasi untuk dijual kepada orang ramai, yang boleh menyebabkan rasa nasi itu lebih sedap dan mendapat sambutan daripada orang ramai. Oleh itu berhati-hatilah ketika makan di luar, kerana manusia yang tidak beriman, dalam mengejar keberuntungan sanggup melakukan apa sahaja walaupun perkara yang boleh membahayakan orang lain. Menggunakan hantu dan jin memang sudah biasa untuk menjadi pelaris, memanggil-manggil pelanggan di kedai-kedai makan. Tanyalah orang-orang yang arif, mereka dapat merasai dan melihatnya dengan mata hatinya.

Jagalah seluar dalam kita dengan sebaik-baiknya, terutama seluar dalam wanita yang boleh menjadi aneka fitnah yang akan memakan diri sendiri dan juga orang lain, kerana pada seluar dalam itu dipercayai banyak mengandungi rahsia-rahsia tersembunyi yang boleh di ekploitasikan oleh orang-orang yang berniat jahat, terutama kepada pemiliknya, khususnya kaum wanita.

Wallahuaklam.











0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP