Waspadalah Penggembara Di Aidilfitri

>> Friday, August 9, 2013




WASPADALAH PENGGEMBARA DI ADILFITRI


Tidak seperti biasa tanah perkuburan Pohon Rambai, Kampung Salor, pagi Aidilfitri kelmarin kelihtan hidup. Kalau biasanya tidak begitu ada peminat, walaupun di hari Jumaat, tapi pagi kelmarin ia mendapat kunjungan mesra dari keluarga-keluarga yang telah berpergian terlebih dahulu dan disemadikan di tanah perkuburan itu.



Seperti lumrahnya pada setiap hari raya kami sekeluarga berada di perkuburan. Demikianlah pagi Aidilfitri kelmarin kami sekeluarga berangkat ke Kubur Pohon Rambai, Kedai Salor. Di situlah sebahagian besar daripda keluarga kami disemadikan. Datok, nenek, ibu, isteri, abang, bapak saudara, sepupu dan sebagainya.

Ketika kami sampai pagi kelmarin sudah ada penziarah-penziarah yang kelihatan baru sampai dan mengambil tempat di beberapa buah pusara yang berhampiran. Ada di antara mereka memulakan bacaan Yasin sebelum memanjatkan doa kepada Allah memohon ksejahteraan orang-orang yang dikasihi yang telah berpergian terlebih dahulu itu. Mereka terdiri daripada lelaki dan perempuan, tua dan muda serta juga kanak-kanak dengan berpakaian hari raya. Kunjungan mereka menghidupkan suasana perkuburan yang biasanya sepi pada hari-hari yang biasa itu, kecuali jika ada pengebumian jenazah.



Ketika kami sampai itu matahari telah agak tinggi di langit yang cerah. Bahan panasnya telah terasa membakar kulit. Mereka yang tidak tahan dengan bahang panas terpaksa berpayung ketika berada di pusara. Tapi kami amat bernasib baik, kerana pusara-pusara yang kami kunjungi hampir sepanjang hari terletak di bawah teduhan pokok-pokok yang melindunginya daripaa timpaaan cahaya matta hari yang membakar.

Demikian jugalah kami berharap mereka yang berada di sana akan sentiasa merasa berada dalam suasaana aman dan damai di bawah lindungan rahmat Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Demikianlah doa dan harapan kami sepanjang masa.

Kami juga berharap, semoga kunjungan berkala kami ke pusara ini dapat melembutkan hati kami yang keras membaja ini, dapat mencairkan hati kami yang beku disalut nafsu, dapat mencerahkan hati kami  yang hitam legam dibungkus oleh godaan syaitan yang tidak pernah mengenal penat dan lelah untuk memperdayakan setiap insan yang diulit oleh kelupaan dan kelalaian yang meracun hati dan jiwanya untuk menuju kebinasaan.


Semoga kunjungan ke kubur itu Allah melimpahkan kesedaran di hati kami dengan ingatan bahawa kematian itu suatu kepastian yang merupakan satu hakikat kepada setiap yang hidup. Lambat dan bangat ia mesti akan datang, melabuhkan tirainya, menutup kehidupan para insan. Justeru itu berpisah kerana kematian adalah suatu hakikat, satu kepastian  azali yang akan menimpakan kesedihan di hati mereka yang ditinggalkan. Mereka yang pergi mmendului itu mungkin ibu, mungkin ayah, mungkin suami, mungkin isteri, mungkin anak, mungkin sauadra-mara dan mungkin sesiapa sahaja yang jauh dan dekat di hati, dan tidak dikenali ataupun dikenali. Tiada ada siapa yang hidup, akan terlepas dari landaan kematian.

Sesungguhnya hidup ini hanya kembara dan kita adalah penggembaranya menuju ke sautu matlamat yang pasti, tapi tidak ada sesiapa pun mengetahui hakikatnya yang sebenar. Tidak ada jalan untuk berpatah balik dan undur ke belakang, kerana hidup ini hanya jalan sehala. Sekali kaki melangkah, kita terpaksa terus mengharung, baik kita suka atau tidak kita sukai sehingga sampai ke titik tertentu kita terpaksa berhenti secara mutlak. Justeri sebagai musafir kita terpkasa menyiapkan segala perbekalan yang mencukupi untuk menghdapai segala kemungkinan yang tidak kita ketahui.

“Setiap orang musafir mesti melengkapi perbekalannya. Siapkan amal dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada akan mendapat pahala atau seksa, sama ada senang atau susah”. Demikianlah nasihat Umar bin Abdul Aziz.


Seperti biasalah, setelah selesai urusan di perkuburan itu barulah kami memulakan langkah kembara Aidilfitri ke rumah saudara mara pada hari yang berbahagia itu. Bermaaf-maafan lahir dan batin. Memohon dan menghulur maaf. Semoga dipanjangkan usia dalam keadaan sihat dan afiat, beriman dan bertakwa dalam langkah-langkah suci menuju keredaan Allah SWT. selama hayat dikandung badan.

Sebelum kami betolak dari rumah, selepas solat Aidilfitri, Al-hamdulillah kami sempat melayan tetamu-tetamu yang berkunjung ke pondok kami di pagi Aidilfitri yang gema takbirnya menyejukkan hati dan jiwa raga. Semoga ketibaan mereka membawa rahmat yang berganda. Datanglah wahai makhluk-makhluk keredaan Allah membawa rahmat dan bahagia bersama kalian semua. Pondok kami sentiasa terkuak lebar untuk menyambut kalian.

Demikianlah kembara Aidilfitri kami sebagaiman biasa, bermula dari sejak hari pertama dan akan menysusl beberapa hari berikutnya ke rumah saudara-mara. Demikianlah semoga Allah merhamati kita semua dengan melimpah-ruahkan keredaan dan keampunan-Nya, dan dapat kita menikmati keindahan bulan Ramadan dan menyambut  ketibaan Aidilfitri yang mulia membawa seribu rahmat-Nya kini dan di tahun-tahun yang mendatang. Amin.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP