Kota Bharu, Kebersihan Dan Pengharapan

>> Wednesday, August 14, 2013



KOTA BHARU, KEBERSIHAN DAN PENGHARAPAN


Setiap manusia yang normal cintakan kecantikan dan kebersihan. Bersih diri, bersih keadaan dan bersih persekitaran. Kebersihan itu sendiri merupakan sebahagian daripada kencantikan. Malah kecantikan akan menurun darjahnya kalau tidak bersama dengan kebersihan. Seorang yang cantik, tidak akan bermakna kecantikannya, kalau comet dan kotor.








Salah sebuah pintu masuk ke Pasar Siti Khadijah













Justeru kebersihan itu perlu dijaga. Walaupun sesuatu kejadian itu asalnya bersih, tapi kebersihan itu tidak bermakna dan akan sirna jika kebersihannya tidak diawasi dan dijaga dengan sewajarnya. Gigi yang pada asal kejadiannya putih bersih, akan menjadi hitam, kelam, kuning dan berkarat jika tidak dijaga kebersihannya, malah akan disertai dengan bau yang menyengat hidung dan meloyakan. Justeru untuk menjaga kebersihannya gigi perlu dijaga, tegasnya diberus, disugi atau digosok secara tetap setiap hari. Gigi yang putih bersih boleh menambahkan keceriaan wajah seseorang. Demikian jugalah dengan seluruh anggota-anggota yang lain lagi.

Jiwa yang asal kejadiannya putih dan bersih, dan berlaku taat kepada Allah, tapi kemudian menjadi hitam kotor, kerana sering melakukan perkara-perkara terlarang dan dosa-dosa yang mengelapkan hati. Tambahan pula jiwa yang kotor itu tidak pula berusaha dibersihkan menerusi taubat dan kembali ke pangkal jalan untuk mencari keampunan dan keredaan Allah. Akibatnya hati menjadi bertambah kelam dan gelap gelita yang membawa bencana bersama-samanya.

Kewajipan menjaga kebersihan ini bukan sahaja untuk menjamin keselsaan diri, tapi juga untuk menjaga ksesenangan dan keselesaan orang lain yang bersama dengan kita atau berada berhampiran dengan kita supaya mereka semua merasa senang dan selesa dengan kehadiran kita. Tubuh badan yang kotor bukan sahaja menimbulkan mudarat kepada empunya tubuh, tapi menyebabkan orang-orang bersama-sama dengannya atau sekitar mereka juga merasa tidak selesa. Demikian juga dengan pakaian yang kotor, perangai yang kotor, fikiran yang kotor dan jiwa yang kotor akan membinasakan bukan diri sendiri tapi juga boleh melibatkan diri orang lain yang tidak berdosa.

Berdasarkan hakikat tersebut, adalah menjadi satu kepastian kepada para pengusaha dan para peniaga yang melibatkan orang awam dikehendaki sentiasa bersikap bersih dan menjaga kebersihan diri dan sekitarnya. Tempat-tempat atau premis di mana operasi perniagaan dijalankan  hendaklah bukan sahaja kelihatan cantik tapi juga bersih, terutama mereka yang terlibat dalam penjualan makanan. Itulah sebabnya premis-permis perniagaan disyaratkan dijaga kebersihan oleh pehak berkuasa, dan jika dibiarkan kotor pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas pengusahanya, seperti menyeta atau menahan operasi selama beberapa waktu yang difikirkan sesuai selaras dengan peruntukan undang-unndang.







Sebatang jalan di tengah bandar Kota Bharu selepas Aidilfitri







Namun begitu, berapa ramai dari para pengusaha yang benar-benar menjaga kebersihan perniagaan mereka dengan sewajarnya. Dan sejauh mana pula pehak berwajib bertindak untuk menjalankan kewajipan mereka menjaga amanah yang dipikulkan kepada mereka dalam menjaga kebersihan?

Menjelang Aidilfitri dan paska  Aidil Fitri yang baru lalu saya  mengikut keluarga membeli-belah dan berbelanja sedikit untuk mengisi keperluan. Salah satu tempat yang kami kunjungi ialah  Pasar Besar Kota Bharu [Central Market] yang dikenali dengan nama Pasar Siti Khadjah di mana serbaneka makanan dijual di situ, termasuk makanan basah dan kering, yang telah sedia dimasak ataupun yang masih mentah.

Sehari sebelum Aidilfitri kami ke Pasar Siti Khadijah dan membeli sedikit bahan-bahan keperluan untuk dimasak dan dimakan pada hari raya. Selain itu kami juga membeli sedikit kueh-mueh tradisional untuk berbuka puasa, iaitu kueh-kueh yang menjadi kegemaran kami. Antara kueh-mueh yang kami beli ialah akok, jala emas dan “tahi itik” atau getah kesuma. Bila tiba waktu berbuka, kueh-kueh itu kami nikmati sebagai pembasuh mulut. Tapi salah satu daripada kueh itu rupa-rupanya bukan sahaja tidak sedap, tapi juga telah basi berlender.

Saya jadi terkenang, pada penghujung tahun lepas, tiga orang sahabat saya dari KL datang berkunjung dan bermalam di pondok kami buat semalam. Sebelum bertolak balik ke KL pagi besoknya, dan selepas makan nasi belauk, kami pergi ke Pasar Siti Khadijah untuk membeli sedikit kueh-mueh tradisional sebagai oleh-oleh kepada keluarga di rumah. Antara kueh-kueh yang menjadi pilihan kami ialah, akok, jala emas dan tahi itik. Kami beli kueh-kueh itu setelah mendapat jaminan daripada cik mek penjualnya, kueh-kuehnya itu boleh tahan selama tiga empat hari lagi, tanpa basi. Tapi bila saya sampai ke rumah, dan ingin menikmati kueh-kueh itu setelah kawan-kawan kami itu bertolak ke KL kira-kira pukul 11.00 pagi, makanan itu rupanya telah basi, kecuali akok yang masih baik keadaannya. Jala emas telah berlengas dan berlendir, dan tahi itik pula telah berlendir-taber. Pada andaian saya kueh-kueh itu diperbuat daripada bahan-bahan yang tidak sepatutnya  untuk menambah ke untungan yang berlebihan yang menyebabkan ia cepat rosak dan tidak sedap rasanya kalau dimakan walaupun dalam keadaan yang masih belum basi.

Kelmarin pula keluarga dari KL yang balik raya ke kampung, ingin membeli sedikit kueh-kueh tradisional untuk dibawa balik ke KL kerana sudah lama mereka tidak menikmatinya. Mereka inginkan kueh-mueh yang sama juga, kerana makanan itu adalah makanan kegemaran mereka sejak kecil lagi. Kali ini saya tidak pandu mereka terus ke Pasar Siti Khadijah, tapi terus pergi ke Pasar Kubang Pasu, iaitu sebuah pasar kecil di pinggir Bandar Kota Bharu. Letaknya tidak berapa jauh daripada Masjid Muhammadi.

Bermula dari simpang tiga Kubang Pasu  jalan yang pendek itu telah tersumbat. Kenderaan hanya dapat bergerak amat perlahan. Puncanya kerana kenderaan, khsusunya kereta-kereta diparkir di kiri kanan kanan yang sempit itu. Perkara seperti ini sebenarnya tidak patut berlaku kalau tuan-tuan punya kenderaan itu perihatin sejenak tentang kesukaran yang dialami oleh ramai pemandu yang melalui jalan itu.

Bila kami masuk ke dalam pasar, tidak ramai para penjual, kerana banyak bangku-bangku atau gerai-gerai yang kosong. Di pasar itu juga  ada menjual barang kering dan barang basah walaupun tidak banyak seperti di Pasar Siti Khadijah. Hanya ada sebuah gerai kecil sahaja yang menjual kueh-kueh tradisional. Berkebetulan pula kueh-kueh yang kami cari itu terdapat di situ, iaitu jala emas, buah tanjung, “tahi itik” dan ketupat. Sebahagian daripada kueh-kueh itu, jala emas dan tahi itik untuk kami di sini, dan sebahagian lagi untuk dibawa balik oleh keluarga saya ke Kuala Lumpur.

Menjawab pertanyaan kami, mengenai ketahanan kueh-kueh itu, penjual wanita itu menjawab, jala emas itu jika disidai boleh tahan beberapa hari tanpa rosak. Maksud sidai itu ialah disusun secara tidak berlapis dan dibiarkan tanpa ditudung. Memang benar begitu, andainya jala emas itu dibuat daripada bahan-bahan asli yang sewajarnya sudah tentu ia boleh bertahan beberapa hari.

Kemudian kami pergi pula ke Pasar Siti Khadijah. Di Pasar Besar [Central Market] itu kami beli sambal daging [serunding] untuk dibawa balik ke KL. Sambal daging import dan sambal daging tempatan harganya berbeza. Sambal ikan dan sambal udang pun ada dijual di atas pasar itu. Tapi semua sambal-sambal daging itu bagi saya rasanya pedas. Dan saya tidak mampu untuk menikmatinya. Pada umumnya bagi orang lain biasa sahaja. Sambal daging yang dibeli tiga bulan yang lalu, masih lagi tersimpan dalam peti sejuk, tidak termakan kerana pedas. Justeru itu kalau saya makan ketupat palas bersambal, saya terlebih dulu mengasingkan sambalnya, kerana pedas, walapun saya gemar memakan sambal daging. Kalau hendak makan sambal yang tidak pedas kenalah buat sendiri ataupun ditempah khas dari pembuatnya.
 
Kebanyakan sambal-sambal itu diperbuat oleh pengusaha-pengusaha di Kampung Laut, sebuah kampung yang terletak di seberang Sungai Kelantan kira-kira bersetentangan dengan bandar Kota Bharu. Untuk sampai ke sana boleh pergi dengan menaiki kenderaan melintasi Jambatan Yahya Petra menuju ke Tumpat atau menggunakan bot sungai yang perjalananya lebih dekat. Bot inilah yang digunakan sebagai penganggkutan sebelum Jambatan Yahya  itu dibina untuk menyeberangi Sungai Kelantan.

Selain daripada Kampung Laut ada lagi sebuah tempat yang memproses sambal daging, iaitu di Kampung Langgar, yang letaknya tidak jauh daripada Pasar Raya Billion, dalam Bandar Kota Bharu. Di sini sambal daging boleh dibeli terus dari pembuatnya, dan kadang-kadang waktu kita sampai itu sambal daging masih lagi berada dalam kuali besar dan masih belum diangkat. Tidak seperti di Kampung Laut, dodol tidak dibuat di sini.

Sesudah membeli sambal yang terletak ditingkat satu, kami pun turun untuk balik. Dan dalam perjalanan menuju ke kereta yang di parkir di medan letak kereta percuma  di hadapan Istana Balai Besar yang bersejarah itu yang letaknya tidak begitu jauh dari Pasar Siti Khadijah. Ketika melalui kawasan penjualan buah-ketuah, kami sempat singgah membeli beberapa jenis buah-buahan di situ, antaranya buah stol Bangkok dan buah “lone” [buah nona]. Buah setol Bangkok lebih besar daripada buah stol tempatan dan rasanya lebih sedap dimakan.

Kami juga singgah di sebuah tandas awam yang terletak berhampiran Bazar Buluh Kubu dan dekat dengan tembok tinggi Istana Balai Besar. Nama tandasnya hebat, tapi maaf saya lupa namanya. Orang ramai, kebanyakannya para pelancong, dan kami terpaksa berbaris untuk menggunakannya. Bayaran dikenakan  ialah 30 sen seorang;. Tapi keadaannya tidak menceriakan. Tidak bersih dan ada di antara pintu tandas itu tidak boleh dikuncii kerana penyelak asalnya telah rosak dan yang baru dipasang pula telah hilang. Lebih malang lagi alat pengepamnya juga telah rosak. Oleh itu ketika saya masuk ke tandas ada najis melintang dalam lubang tandas kerana tidak boleh dipam. Dan mana-mana mereka yang hendak melepas air besar terpaksalah menyendalnya dengan baldi yang penuh air untuk selamat daripada dibuka orang yang ingin menggunakannya.



                             Ketupat tiga buju atau ketupat daun palas


Demikian juga wanita yang memasuki tanda perempuan bersungut kerana tandasnya kotor, dan alat pamnya telah rosak. Kata mereka tandas-tandas yang dikenakan bayaran 30 sen di KL semuanya bersih belaka, kerana kebanyakan bayaran masuk tandas biasa di KL dan juga di tempat-tempat lain hanya 20 sen sahaja.

Kalau tandas ini kepunyaan agensi kerajaan, seperti Majlis Perbanadaran Kota Bharu, Bandar Raya Islam amat memalukan dengan keadaan seperti itu. Ia tidak mencerminkan slogan-slogan yang dilaung-laungkan sebagai sebuah bandar raya Islam, di mana ciri-cirinya ialah berada dalam keadaan bersih. Ia juga menunjukkan sejauh mana amanahnya mereka yang ditugas melakasanakan tanggungjawab tersebut, termasuklah pehak pehak berkuasa yang bertanggung jawab untuk menjaga dan mempastikan segala peraturan yang ditetapkan berjalan dengan baik dan sempurna?

Hari itu keadaan trafik di dalam bandar Kota Bharu tidak tersumbat, dan kenderaaan berjalan lancar. Tidak ramai orang dan kenderaan dalam kawasan bandar. Sebelum terus balik ke rumah di Pasir Tumbuh kami singgah di Syarikat Jaafar Rawas di Tunjung, iaitu kawasan yang sedang rancak dibangunkan, dengan berbabagi-bagai kemudahan termasuk bangunan-bangunan pejabat, pasar raya, premis-premis perniagaan dan sebagainya. Setelah membeli sedikit keperluan untuk dibawa balik ke Kl, kami pulang ke rumah.

Alhamdulillah semua kueh-kueh tradisional yang kami beli itu berada dalam keadaan baik. Bukan sahaja dipandang baik, tapi juga dimakan baik, termasuklah “tahi itik”, tidak seperti di masa-masa yang lalu. Dan demikian juga saya diberitahu menerusi telefon bahawa kueh-kueh tersebut yang dibawa balik keesokan harinya ke KL oleh keluarga juga masih berada dalam keadaan baik tidak seperti di masa-masa yang lalu. Baik dipandang dan juga baik dimakan. Sesungguhnya setiap makanan itu dibuat bukan sahaja untuk cantik dipandang, tapi juga untuk enak dimakan.








Anak-anak sedang menunggu hidangan yang
dipesan




Pada sebelah malamnya kami makan di luar anak beranak. Kerana tidak ada pilihan, kami makan di sebuah kedai ikan bakar. Keadaan di tempat ini tidak begitu menyenangkan. Bising dan layanan tidak begitu memuaskan. Bila kami pergi ke bahagian dapur untuk ke tandas keadaannya juga tidak memuaskan. Demikian juga dengan tandasnya. Setiap malam jika kebetulan kami melalui di hadapan kedai ini, biasanya penuh sesak dengan pelanggan, sudah tentu menguntungkan, maka tidak ada sebab empunyanya tidak dapat menyediakan suasana yang lebih selesa untuk pelanggan-pelanggannya?

Pada suatu malam, tidak lama dulu, kami juga telah makan di salah sebuah kedai ikan bakar, tapi justeru keadaannya amat tidak memuaskan, termasuk tandasnya, dari segi kebersihannya, menyebabkan kami berazam tidak lagi akan masuk ke kedai tersebut yang terletak di Wakaf Chik Yeh.








 
Kereta hendak bertolak. Mengambil masa 15 1/2 jam untuk sampai dari KB-Sungai Buluh.





Perkara seperti ini memang boleh diatasi kiranya pehak berkuasa dari masa ke masa menjalankan tinjauan dan pemeriksaan ke premis-premis tersebut untuk melihat sendiri bagaimana sikap para peniaga terhadap peraturan kebersihan dan sebagainya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Pihak MPKB sepatutnya memain peranan yang lebih aktif untuk mempastikan jaminan kesihatan dan keselsaan para pengguna yang kebanyakannya Melayu dan Islam. Jangan dibiarkan begitu sahaja, kerana ia boleh memberi gambaran yang buruk kepada kerajaan yang memerintah kerana kakitangannya tidak menjalankan tugas dengan wajar dan tidak mengikut arahan.


                         Jala mas dan buah tanjung kueh yang populer


Seperti biasa keramaian pelanggan menumpu ke sesebuah premis perniagaan tidak mestinya mencerminkan keceriaan, kebersihan dan keenakan masakan yang disediakan.Di kedai-kedai tersebut mungkin ada mek-mek pelayan yang comel-comel dan berpakian ketat dan mendendahkan, atau ada juga yang mungkin menggunakan berbagai-bagai jenis pelaris-pelaris khusus untuk memukau para pelanggan berebut-rebut datang berkunjung. Dan lain-lain sebab lagi.

Hendaklah diingat, bukan semua para pengusaha boleh diharap untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan, termasuk menjaga kebersihan, kerana kebanyakan mereka biasanya lebih suka mengejar keuntungan yang berlebihan, kerana itu ia memerlukan pehak berkuasa memainkan peranannaya untuk mempastikan pehak pengusaha menjalankan peranan mereka dengan sewajarnya dalam menjaga kebersihan. Pelaksanaan undang-undang memang perlu dijalankan, sebagaimana perlu pelaksanaan undang-undang dalam mempastikan keselamtan jalan raya.

Kira-kira pukul 5.00 petang itu, iaitu pada hari Isnin, lima hari selepas Aidilfitri, saya mendapat panggilan telefon dari keluarga saya yang bertolak pukul 11.30 pagi untuk balik ke KL dengan mambawa bersama-samanya makanan-makanan yang dibelinya itu. Dia memberitahu bahwa dia baru sampai di Kuala Krai yang jauhnya dari rumah kami di Pasir Tumbuh tempat dia bertolak itu kira-kira 60 km. sahaja. Sudah lima jam setengah masa berlalu, baru sejauh itu yang dicapai. Sebenarnya demikianlah sesaknya jalan KB-KK, terutama bermula dari Macang ke Kuala Krai, setiap tahun pada hari-hari peryaan dan juga pada hari percutian sekolah.









Buah Stol Bangkok


Kami tertanya-tanya dalam hati bilakah Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu ke Kuala Krai itu akan siap dibina untuk mengatasi kesesakan tersebut? Adakah pembinaan lebuhraya itu sedang diteruslkan oleh kerajaan baru negeri Kelantan yang nampaknya masih belum melaksanakan agenda-agenda yang besar selepas memegang tampuk pemerintahan negeri selepas dilepaskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar? Kabarnya pembinaan lebuhraya itu tergendala buat waktu ini kerana sebab-sebab tertentu? Benarkah begitu dan kenapa? Walau bagaimanapun saya percaya pembinaan lebuh raya itu mestilah diteruskan, kerana itulah janji kerajaan kepada rakyat yang tidak boleh disia-siakan. Barisan EXCO kerajaan negeri Kelantan yang baru hendaklah segera membuktikan kewibaaan mereka dalam memerintah negeri ini demi kepentingan rakyat yang sentiasa menunggu-nunggu pelaksanaan segala janji-janji yang diutara selama ini.

Demikian harapan kita, khususnya sebagai rakyat negeri Kelantan kepada kerjaan Kelantan yang baru, segera melaksanakan segala agenda-agenda yang berfaedah, yang sejajar dengan tuntutan Islam, bukan sahaja dalam membina pembangunan, tapi juga dalam menjaga kebersihan rakyat jelata sekalian, dengan melaksanakan segala keperluan-keperluan jangka pendek dan jangka panjang. Rakyat bukan sahaja ingin melihat keindahan itu, tapi juga ingin menikmatinya. Rakyat bukan sahaja ingin menonton kebersihan itu, tapi juga ingin merasainya.




1 comments:

Anonymous,  August 15, 2013 at 4:28 PM  

Pada hari raya yg lepas saya berpeluang ke Kelantan. Saya amat terkejut kerana Kelantan rupanya sangat kotor. Sampah sarap merata2, di jalan raya di hadapan rumah, berlonggok2 sampah. Di kawasan pantai juga sampah merata2...sangat kotor dan menyakitkan mata. Saya tak nampak kenapa kelatan boleh mendapat gelaran Serambi Mekah kerana ia lebih kepada serambi sampah.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP