Ramadan:Bergembiralah Menyambut Puasa

>> Sunday, July 15, 2012


RAMADAN: BERGEMBIRALAH MENYAMBUT PUASA



Hari-hari berlalu


Syaaban pohon berlalu


Ramadan di ambang pintu


Ahlan Wassalam


Selamat datang Ramadan


Selamat datang Ramadan


Tetamu yang mulia


Membawa sejuta rahmat


Untuk umat Muhammad.



Bila bulan Syaaban berakhir, munculah bulan Ramadan yang kunjungannya sentiasa ditunggu-tunggu dan dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Mereka menunggunya dengan penuh kegembiraan dan menyambut ketibaannya dengan penuh kesyukuran.



Kenapa mereka meyambut ketibaan Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan?



Kerana Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda, “Orang berpuasa itu mendapat dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya”.



Ubadah bin Somit ra. meriwayatkan pada suatu hari menjelang Ramadan Baginda s.a.w. bersabda, “Telah datang kepadamu buan Ramadan di mana Allah melimpahkan rahmat dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampun dosa-dosamu, mengkabulkan doamu, melihat atas perlumbaan kamu untuk memperoleh kebaikan yang besar dan berbangga mengenainya di hadapan para Malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini”.



Abu Hurairah ra. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di laut memohon keampunan ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa”.



Sabda Rasulullah saw.”Sembahayang yang lima, Jumaat ke Jumaat dan Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa-dosa antara keduanya”.HR:Muslim.



Dan sabda Baginda saw. lagi “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan keimanan dan mahukan pahala, diampunkan baginya apa-apa yang telah lalu dari dosanya “.



Sebaik masuk sahaja bulan Ramadan, kita umat Muhammad saw diberi penghormatan oleh makhluk Allah yang yang bernyawa atau yang tidak bernyawa. Mata hari, bulan dan bintang, ikan, pokok-pokok, malah semua makhluk yang bernyawa memohon keampunan Allah untuk umat Muhammad, kecuali syaitan laknatullah.



Itulah Ramadan penghulu segala bulan kepada umat Islam, yang kedatangannya dialu-alukan dengan penuh penghormatan. Malah kepada mereka yang beriman, alangkah baiknya Rammadan itu berada sepanjang tahun.



Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan rahmat, tengahnya keampunan, dan akhirnya kelepasan dari api neraka.



Justeru, memanglah wajar sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, kita kurangkan sedikit segala akitiviti keduniaan kita, dan melebihkan tumpuan kepada aktitviti kerohanian, membersihkan diri kita dari segala karat-karat dosa, memohon keampunan Allah dan memperbanyakan amal ibadat dengan mengikhlaskan diri semata-mata untuk mencari keredaan Allah.



Dalam hal ini, marilah kita berusaha sedaya upaya kita untuk menjauhkan diri kita daripada segala sesuatu yang dibenci Allah, baik berupa percakapan atau perbuatan-perbuatan yang berupa kekejian dan kehinaan.



Kita pandang Allah bukan sebagai musuh, tapi dengan rasa takut dan harapan, kerana Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih dan Maha Pengampun walau pun mengambil tindakan keras terhadap para penderhaka kepada-Nya.



Semoga dengan itu, puasa kita akan mencapai taraf puasa yang sebenarya, dan bukan hanya sekadar menahan diri dari daripada makan dan minum, ataupun menahan daripada melakukan sesuatu yang membatalkan kerangka zahir puasa sahaja, tapi puasa kita mencapai mertabat yang lebih tinggi, iaitu dengan cara menahan lidah kita daripada menuturkan kata-kata yang keji dan hina, seperti mengumpat, memfitnah dan mendusta, menahan telinga kita daripada mendengar perkara-perkara yang tidak disukai oleh agama, mencegah mata kita daripada melihat prkara-perkara yang merosakkan keimanan kita. Demikian juga dengan semua anggota-anggota kita yang lain, kita letak di bawah kendalian iman diri kita dengan sewajarnya daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan keimanan kita itu.



Apakah senjata yang begitu ampuh yang boleh kita gunakan untuk mempertahankan diri kita daripada godaan-godaan dan serangan yang begitu hebat mendorong kita untuk melakukan kemungkaran, maksiat atau sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama itu?



Jawabnya ialah TAKWA. Takwa adalah merupakan senjata yang paling canggih untuk menghadapi keinginan nafsu kita untuk melakukan kemungkaran. Kita hendaklah sentiasa membenteng diri kita dengan takwa, terutama di bulan puasa yang mulia ini untuk mempertahankan diri kita daripada melakukan kekejian dan kemungkaran.



Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Al-baqarah: 183,



Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Hanya sanya puasa itu adalah perisai. Maka apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, janganlah ia menuturkan perkataan yang keji dan janganlah besifat jahil, dan apabila seseorang kamu berkelahi dengannya atau memakinya, hendaklah ia berkata, “Saya berpuasa”.HR:Bukhari.



Supaya dengan itu, puasa kita tidak menjadi puasa adat resam atau kelaziman, atau puasa ikut-ikutan dimana kita menggembirakan hati kita dengan makan dan minum yang melampau-lampau yang termasuk dalam ruang lingkup amalan yang sia-sia dan membazir. Sepanjang bulan Ramadan ini kita tembahkan belanja makan dan minum kita lebih daripada kebiasaan kita daripada bulan-bulan yang lain, sedangkan dalam bulan Ramadan kita sepatutnya membataskan makan dan minum cara sewajarnya, maka dengan itu perbelanjaan kita akan menjadi berkurangan daripada bulan-bulan yang lain, bukanya kian meningkat.



Dengan itu kita tidak akan menghabiskan masa kita sepanjang malam di meja-meja troop, catur, aji, dam, billiard, malah di kelab-kelab malam, mengambil dadah dan meneguk arak, malah melanggang pelacur untuk memuaskan nafsu haram. Sebaliknya kita menghabiskan masa malam kita dengan beribadat dengan mengingati Allah S.W.T. memohon keampunan dan keredaan-Nya.



Andainya kita melakukan perkara-perkara yang mungkar, kita tidak akan berhasil mendapat anugerah sebagaimana sabda Rasulullah saw, Tertutup pintu neraka, terbuka pintu syurga, dan terikat kaki syaitan dan iblis. Malah kaki syaitan dan iblis bertambah cepat langkahnya memutarbelit kita untuk melakukan maksiat yang akhirnya akan melemparkan para penderhaka itu ke neraka bersama dengan mereka.



Ya Allah jauhkan diri kami daripada menjadi seperti sabda Rasulullah saw., “Bukan sedikit orang yang puasa yang didapatinya hanya semata-mata lapar dan dahaga, lain tidak”.



Dan ya Allah, jauhkanlah kami daripada termasuk dalam golongan orang yang rugi ini, sebaliknya masukkan kami ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang berutung yang mendapat keampunan dan keredaan-Mu dan rahmat yang melimpah-ruah.



Dan jadikanlah kami sebahagian daripada golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw. dalam sabdanya, “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang-orang yang dizalami”.HR:Tirmizi.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP