Puasa Untuk Mereka Yang Diwajib Berjihad

>> Saturday, July 21, 2012





[SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN]




PUASA UNTUK MEREKA YANG BERJIHAD



Semalam pintu taqwa telah terkuak, dan kita telah melangkah pintu melewati ambangnya, iaitu dengan kita berniat untuk berpuasa pada hari ini, menunai solat tarawih, dan bersahur, dan seterusnya kita berpuasa pada hari ini buat pertamanya pada bulan Ramadan al-Mubarak pada tahun 1433 ini.



Dan hari ini kita sedang berenang di samudera Ramadan yang disediakan Allah khusus untuk kita hamba-hambaNya yang mulia. Matlamat kita bukan sahaja untuk berlapar, menjauhkan diri kita daripada makan dan minum dan melepaskan kedahagaan seks, tapi mejangkau jauh lebih tinggi dari itu, ke puncak petala langit bersama-sama jiwa kita semata-mata untuk bertaqwa kepada Ilahi.



Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita diperintah untuk berpuasa? Kenapa kita berpuasa? Allah yang memerintah kita untuk berpuasa itu telah terlebih dahulu memberi jawapannya kenapa kita wajib berpuasa? Jawapan Allah itulah yang menjadi matalamat suci kita dalam berpuasa.



Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa”.Al-Baqarah: 183.



Sesungguhnya puasa itu salah satu daripada rukun Islam yang lima di mana di atas rukun-rukun itulah tertegaknya Islam itu. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Diasaskan Islam itu di atas lima perkara, iaitu naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan sembahayang, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan, mengerjakan Haji ke Baitullah bagi mereka yang kuasa [mampu]”.



Kesan Terhadap Jiwa



Puasa yang benar itu mempunyai kesan yang amat besar terhadap jiwa kita, manuisa makhluk Allah yang telah dilantik Khalifah di bumi ini yang hidupnya terpaksa mengharungi lautan samudera perjuangan-perjuangn yang pahit dan getir dilanda ombak dan gelombang yang tidak pernah surut melanda pantai hati dan jiwa manusia.



Itulah dikatakan ole Sayyid Qutb, “Adalah satu perkara yang wajar puasa itu difardukan ke atas umat yang diwajibkan berjihad kerana sabil Allah untuk menegakkan agama-Nya di bumi dan memimpin umat manusia dengannya dan seterusnya untuk menjadi saksi terhadap umat manusia.



“Puasa merupakan satu bidang amalan untuk mengukuhkan kemahuan yang tegas dan penuh tekad, suatu bidang amalan perhubngan manusia dengan Allah, iaitu perhubungan yang penuh taat dan patuh dan satu bidang untuk meningakt diri di atas keperluan jasad dan melatihkan diri agar tahan menanggung tekanan keperluan-keperluan itu demi mengutamakan pencapaian keredaan dan kenikmatan dari sisi Allah”.




Semua itu kata beliau, merupakan anasir-anasir yang perlu untuk menyediakan jiwa manusia menanggung kesulitan dan kesukaran di jalan perjuangan dakwah yang terhampar dengan berbagai-bagai halangan dan duri-duri, iaitu jalan yang bertaburan di segenap sudutnya dengan berbagai-bagai keinginan hawa nafsu dan jalan yang penuh ribuan godaan yang menyeru dan memujuk orang-orang yang sedang menjalani perjuangan dakwah.



Selain dari itu semua, katanya terdapat pula kesan-kesan puasa yang berguna kepada fungsi-fungsi tubuh badan. Walau pun saya tidak suka menghubungkan fardu-fardu dan perintah-perintah Ilahi mengenai amalan ibadat khusunya dengan faedah fizikal yang boleh disaksikan oleh pancaindera kerana hikmat yang semula jadi dan dari ibadat-ibadat itu ialah menyediakan nakhkuk insan untuk memainkan peranannya di bumi ini dan seterusnya menyediakan untuk mencapai kesempurnaan yang telah ditetapkan baginya di dalam kehidupan akhirat. Namun demikian katanya, saya tidak suka menafikan faedah-faedah fizikal dari fardu-fardu dan perintah-perintah Ilahi yang dilihat oleh pengamatan dan pandangan sains.



Seterusnya hujah beliau lagi, “Ini berpegang kepada apa yang dilihat dan difaham dari tadbir Ilahi yang hendak memelihara kebaikan diri manusia secara menyeluruh dalam segala amal ibadat yang fardu dan diperintahkan kepada mereka. Tetapi kita tidak menghubungkan hikmat taklif Ilahi itu dengan faedah-faedah yang ditemui oleh ilmu manusia, kerana bidang ilmu manusia itu terbatas. Ia tidak dapat meluas dan meningkat hingga mencakupi seluruh hikmat Allah dalam segala perkara yang ditetapkan untuk mengasuh makhuk insan atau mengasuh seluruh alam buana ini secara tepatnya”.

Katanya salah satu daripada matalamat fardu puasa, iaitu supaya orang-orang yang beriman dapat menyedari nilai-nilai idayah yang paling ditaklifkan Allah kepada mreka dan mreka akan dapati kesedaran ini di dalam hati mereka dalam masa berpuasa lebih banak daripada segala masa yang lain.



Tegas beiau semasa berpuasa, “Hati mereka terhalang daripada memikirkan perkara-perkara maksiat dan anggota-anggota mereka tersekat dari daripada melakukan maksiat kerana mereka benar-benar merasa dan menyedari nilai-nilai hidayah itu. Kerana itu hendaklah mereka mengagungkan Allah yang telah menganugerahkan hidayah ini kepada mereka supaya mereka bersuykur”.



Allah befirman,“Dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur”. Al-Baqarah:185.

Demikian bicara Sayyid Qutb.



Puasa Pembersih Dalaman



Sementara itu, Yang mulia Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan dalam perutusan menyambut Ramadan pada tahun 1433 ini menyeru umat Islam supaya bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana mereka masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).



Beliau mengajak kita merenung perjalanan masa kita hidup ini, di mana kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala urusan seharian. Katanya jika diibaratkan sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin perlu diperbaharui bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan baik.



Demikian juga katanya dengan tubuh kita, kita kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Dengan itu kata beliau, “Maka sampainya Ramadan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini”.



Oleh yang demikian kata beliau, amalan puasa Ramadan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun, antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.



Seterusnya beliau menegaskan, “Oleh sebab itu, bulan Ramadan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. Ini kerana al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How to Use.” Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak selamat”.



Oleh yang demikian, manusia kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya bermaksud, “Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah 2:29)”.



Oleh sebab itu katanya, manusia yang ramai di dunia ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT, bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).



Puasa bukan sekadar menahan makan dan minum di siang hari



“Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan dalam al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya, maksudnya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).



Beliau mengingatkan, “Di akhirat kelak tidak guna lagi harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan. Firman Allah SWT, bermaksud, “Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)” (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).



Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut “maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita diwajib baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT..

Dalam ayat “maaliki yaumid-din” itu juga disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai al-jazak. Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. Atas asas agamalah, segala akta, dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang tidak selaras dengan ad-din akan tertolak”.



Katanya, “Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Ia selari dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadan akan meningkatkan taqwa diri kita di sisi Allah SWT. Firman-Nya, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).



Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan”.



Semoga Allah kurniakan kepada kita semua yang berpuasa dengan ikhlas ini dengan pengurniaan segala hikmahnya yang tersembunyi atau yang ternyata. Semoga ia menjadi benteng yang utuh kepada kita untuk menghadapi segala macam cabaran yang mendatang dalam berbagai-bagai bentuk daripada merosakbinasakan diri dan hati kita yang amat rapuh ini.


Semoga puasa akan membentuk kita menjadi seorang insan yang beriman dan bertaqwa yang akan meletakkan kita di kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP