Abu Lahab Masih Hidup.......
>> Friday, July 6, 2012
ABU LAHAB MASIH HIDUP
Sesiapa yang menentang Islam
Sesiapa yang menentang hukum Islam.
Sesiapa yang menghina Islam
Sesiapa yang menghina hukum Islam
Sesiapa yang menafi hukum Islam
Sesiapa yang menyakiti orang-orang Islam
Sesiapa yang menyakiti pendakwah-pendakwah Islam
Sesiapa yang menolak hukum Islam
Sesiapa yang menolak agama Islam
Sesiapa yang memusuhi Islam
Sesiapa menghina Rasulullah s.a.w.
Semua orang itu adalah ABU LAHAB, musuh Islam nombor satu di zaman Rasulullah s.a.w. yang telah disediakan neraka oleh Allah untuknya itu.
Tapi siapakah sebenarnya, Abu Lahab itu? Dan apakah usaha-usahanya?
Abu Lahab adalah salah seorang kafir Quraisy yang menolak Islam dan mengutuk Rasulullah s.a.w., bapak saudara Baginda s.a.w sendiri, iaitu anak kepada Abdul Muthalib bersama dengan isterinya, Ummu Jamil.
Nama batang tubuhnya yang sebenar, ialah Abdul ‘Uzza ibnu Abdul Muthalib. “Abu” ertinya “bapak” dan “lahab” ertinya “pucuk api “. Ini bererti “Abu Lahab” ialah “bapak pucuk api”, kerana wajahnya yang merah, dengan warna kulitnya putih kuning.
Isterinya Ialah “Ummu Jamil” dan nama batang tubuhnya yang sebenar ialah Arwa binti Harb ibnu Umayyah.
Kedua-dua orang ini merupakan dua orang manusia kafir yang paling sengit menghalangi dakwah Islamiah Rasulullah s.a.w. dan mereka kedua sering menyakiti Rasulullah s.a.w. dengan tindakan-tindakan mereka yang jahat.
Abu Lahab adalah salah seorang anak lelaki kepada datok Rasulullah s.a.w. Abdul Muthalib dan ibunya Lubna binti Hajir yang asal keturunannya dari suku Khuzarah.
Suku Khuzarah adalah suku yang bertanggungjawab menjaga Kaabah untuk selama berabad-abad lamanya, sebelum diambilalih oleh suku Quraisy oleh datok nenek mereka, Qusayy bin Abd. Manaf.
Dia adalah satu-satunya manusia dari kalangan musuh Islam yang namanya disebut dengan jelas dalam kitab suci al-Quran.
Pada suatu hari dalam usaha dakwahnya itu, Rasulullah s.a.w. naik Bukit Safa yang letaknya berhampiran dengan Kaabah, dan Baginda s.a.w. menyeru kaumnya supaya datang beramai-ramai. Mendengar seruan itu keluarganya dan juga para peniaga pun datang berhimpun. Kemudian Baginda s.a.w. bertanya kepada mereka, “Jika saya beritahu kamu semua, bahawa musuh sedang menuju ke arah kamu di sini daripada sebalik bukit sana, adakah kamu percaya”.
Semua mereka menjawab, “Ya kami percaya, kami tidak pernah mendengar kamu berbohong”.
Kemudian Rasulullah s.a.w. menyambung lagi, “Saya beri amaran kepada kamu bahawa hukuman berat akan menimpa kamu jika kamu tidak ikut jalan Allah”.
Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. itu, Abu Lahab amat marah, pada pendapatnya Rasulullah s.a.w. telah membazirkan masanya. Sebelum meninggalkan tempat itu, dia terlebih dahulu dengan radang mengutuk Rasulullah s.a.w.
Tidak lama kemudian turunlah Surah al-Masad yang bermaksud:
“1.Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
2.Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dari apa yang dia usahakan.
3.Dia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.
4.Dan [begitu juga binasalah] isterinya, pembawa kayu bakar.
5.Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal”.
Sebelum kedatangan Islam, dua orang anak lelaki Abu Lahab berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah s.a.w., iaitu Ruqayyah binti Muhammad berkahwin dengan ‘Utbah bin Abu Lahab dan Ummu Kalthum binti Muhammad berkahwin dengan Utaybah bin Abu Lahab.
Selepas turun Surah Al-Masad, Abu Lahab meminta kedua-dua anaknya menceraikan isteri mereka, puteri-puteri Rasulullah itu, tujuannya ialahn untuk membalas dendam dan untuk menyusahkan Rasulullah s.a.w. Mereka berkahwin mengikuti adat tradisi Arab, dalam usia kanak-kanak, kerana itu mereka tidak tinggal bersama-sama sebagai suami isteri, tapi tinggal bersama dengan Rasulullah s.a.w..
Pada masa permulaan Islam itu, Rasulullah s.a.w. berkunjung menemui kabilah-kabilah Arab yang tinggal di berbagai-bagai bazar yang didirikan untuk berniaga pada musim ibadat haji. Setelah memperkenalkan diri Baginda sebagai Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w.. pun menyeru mereka supaya beriman kepada Allah S.W.T.
Abu Lahab sentiasa menjejaki Rasulullah s.a.w. ke mana sahaja Baginda s,a,w, pergi di situlah ada Abu Lahab. Selepas sahaja baginda s.a.w. berdakwah, maka Abu Lahab pula memberitahu mereka, bahawa Muhammad adalah seorang pendusta, seorang miring, kerana meninggalkan agama datok nenek mereka. Menurut Abu Lahab ajaran yang dibawa Rasululah s.a.w, akan membawa mereka menuju kemusnahan.
Tidak cukup dengan itu Abu Lahab juga bertindak amat zalim dan kejam kepada anak saudaranya, Rasulullah s.a.w. itu. Dia pernah mengejar dan membaling batu-batu kepada Rasulullah s.a.w. Suatu kali, batu-batu yang dibaling oleh Abu Lahab itu begitu kuatnya dengan tepat mengenai kaki Baginda s.a.w., menyebabkan kaki Baginda s.a.w. luka dan mengeluarkan darah dengan banyaknya mambashi selipar yang dipakainya, dan menyebabkan Baginda s.a.w. begitu sakit sehingga sukar untuk berjalan.
Perangai kejam Abu Lahab terhadap anak saudaranya itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, tapi juga amat bercanggah dengan tradisi masyarakat Arab pada masa itu yang memberi layanan yang baik dan mesra kepada anak-anak saudara mereka. Malah orang-orang Arab memang terkenal dengan tradisi menjaga dengan baik kepentingan keluarga sendiri.
Bila masyarakat Mekah melancarkan tindakan boikot terhadap Rasulullah s.a.w., seluruh Bani Hasyim tetap berdiri dan menyokong Baginda s.aw. dan sanggup bersama-sama menderita walaupun mereka masih belum memeluk agama Islam, kecuali hanya Abu Lahab yang menyokong pemulauan itu dan tidak bersama dengan Bani Hasyim.
Abu Lahab meninggal akibat diserang penyakit pada tahun 2 Hijriah [623]. Kerana penyakit yang dideritainya itu, dia tidak dapat menyertai Perang Badar menentang umat Islam. Dalam perang ini, kaum kafir telah kecundang di tangan umat Islam. Sekembalinya orang-orang kafir yang kecewa kerana kekalahan perang itu ke Mekah, penyakit Abu Lahab bertambah parah, dan akhirnya membawa kepada kematiannya dalam keadaan yang mengerikan.
Tidak ada siapa yang bersedia untuk mengurus mayatnya yang berada dalam keadaan yang amat menjijikkan dan mengeluarkan bau yang amat busuk. Tidak juga keluarga dan sahabat handainya. Dan akhirnya dia berkubur di bawah bumbung dan dinding rumahnya yang runtuh.
Demikianlah perginya seorang pejuang yang jahat yang menjadi musuh ketat Islam, dengan menentang dakwah-dakwah Rasulullah s.a.w. dan, menghina perjuangan dan menyakitinya yang sekaligus bererti menentang Allah S.W.T.
Walau pun Abu Lahab asli sudah lama tiada, di telan bumi, tapi masih ramai lagi Abu Lahab baru yang dilahirkan di sepanjang masa dari waktu ke waktu, iaitu mereka yang menentang ajaran Islam, menghina Islam, merendahkan Islam, menjadikan Islam sebagai bahan lawak jenaka, dan seterusnya menolak Islam. Kerana pada pendapat mereka ciptaaan manusia itu lebih baik dan unggul daripada ciptaan Allah S.W.T.
Kita tidak hairan kalau Abu Lahab ini terdapat daripada kalangan orang-orang kafir, tapi kita merasa amat kecewa kalau Abu Lahab yang baru ini terdapat di kalangan umat Islam sendiri yang seharusnya menjunjung segala perintah Allah dan Rasul-Nya.
Kembalilah ke pangkal jalan, sebelum bencana Allah menimpa sebagaimana petaka menimpa Abu Lahab yang pertama itu dan juga isterinya Ummu Jamil.
EndPr.Pr.Pr>Pr.Pr.Pr
0 comments:
Post a Comment