Antara Dua Logik
>> Tuesday, July 3, 2012
DI ANTARA DUA LOGIK
Setiap orang ada mempunyai logik mereka masing-masing. Setiap orang baik, dia cerdik atau bodoh, kanak-kanak atau dewasa masing-masing mempunyai cara berfikir mereka sendiri. Itulah logik. Walau bagaimana pun nilai atau ukuran logik menegenai sesuatu itu biasanya berbeza antara kanak-kanak dengan orang dewasa, malah mungkin berbeza nilainya antara seorang dewasa dengan seorang dewasa yang lain.
Perbezaan nilai logik ini berlaku mungkin kerana pengaruh usia, pendidikan yang pernah diterima dan juga pengalaman-pengalaman yang pernah ditempohi oleh seseorang.
Dua peristiwa di bawah menunjukkan dua logik yang berbeza antara logik seorang kanak-kanak dengan logik seorang dewasa.
Logik Kanak-kanak
Ketika saya sedang membuka bungkusan-bungkusan nasi bungkus dari sebuah beg plastik, tiba-tiba keluar sebuah bungkusan kecil lagi di celah-celah bungkusan nasi itu.
Di dalamnya terdapat segelas air batu ABC, iaitu air batu campur dengan beberapa jenis bahan selain dari susu untuk menambahkan keenakannya.
“Oh air batu!” Kata saya secara spontan, “sedapnya”. Tapi saya sebenarnya sudah berpuluh-puluh tahun tidak minum sebarang air batu atau makan sebarang makanan atau minuman sejuk. Perut saya tidak dapat menerimanya.
Cucu saya, Syafia yang ada bersama untuk makan tengah hari itu, lalu menyambung kata-kata saya itu,”Ya, naklah air batulah”.
“Tak boleh”, kata ibunya, saya faham, kerana setiap kali selepas minum air batu dia akan mendapat padahnya.
“Tapi Ya suka minum air batu”, kata anak kecil yang baru berada di bangku pra sekolah itu.
“Tapi, Ya tak boleh minum air batu”. Jelas ibunya lagi.
“Kenapa?”.Tanya anak itu balik secara spontan.
“Kan Ya tu selsema. Hidung Ya tersumbatkan tu?”. Balas ibunya lagi.
“Betullah hidung Ya tersumbat ni”, balas anak itu lagi, “Tapi Ya minum air dengan mulut, bukan dengan hidung. Bukan begitu atok?”. Dia mencari sokongan daripada saya.
Saya hanya tersenyum, tak terkata apa-apa.
Logik Orang Tua
Walau bagaimana pun saya teringat sebuah kesah pendek, antara seorang tua dengan seekor anjing.
Pada suatu hari, seorang petani warga emas berjalan menuju ke kebunnya dengan membawa sebuah cangkul yang tersandang di bahunya.
Bila melewati sebuah rumah seorang kaya di kampung itu, tiba-tiba seekor anjing orang kaya itu berjaya meluru keluar rumah mengejar petani tua itu dan ingin mengigitnya dengan gigi-giginya yang tajam itu.
Orang tua itu ketakutan tapi tidak panik. Dia lalu memukul muka anjing yang mulutnya ternganga luas itu dengan cangkul di bahunya itu. Sekali pukul sahaja anjing itu menjadi kelu dan terus melarikan diri. Maka terselamatlah dia daripada dibaham anjing.
Bila orang kaya tuan anjing itu memeriksa anjingnya, dia mendapati sebatang gigi anjing itu telah patah. Dia amat marah. Dan bila dia mengetahui petani tua itu yang memukul anjingnya, dia pun mengadu kepada ketua kampung minta keadilan.
Ketua kampung lalu memanggil petani itu untuk minta penjelasan dan diadili. Turut hadir di majlis itu selain daripada tuan anjing ialah orang-orang kampung yang ingin mendengar pembicaran mengenai seekor anjing dan seorang petani.
“Betulkah kamu yang memukul anjing orang kaya ini menyebabkan sebantang giginya patah?”.
“Ya saya yang pukul”, akur orang tua.
“Kenapa?”, tanya penghulu yang bertindak sebagai hakim untuk mengadili kes.
“Anjing itu hendak mengigit saya”, jelasnya.
“Tapi kenapa muka anjing yang engkau pukul, tidak bahagian anggota yang lain?”.
“Ya. Saya pukul anjing itu pada mukanya, sebab ia ingin mengigit saya dengan giginya, bukan dengan ekor atau anggota-anggotanya yang lain”. Jelas orang tua itu secara spontan.
Jawapan itu menyebabkan semua yang hadir, termasuk hakim dan tuan anjing itu memecah ketawa.
Demikian kesah antara dua logik, cara berfikir seorang dewasa dan seorang kanak-kanak untuk menjadi menungan.
Sesungguhnya kita mesti menghormati pendapat orang lain, mendengar hujah orang lain, sama ada kita setuju atau tidak setuju itu soal lain, kerana semua orang berhak untuk melahirkan pendapat mereka masing-masing dan mempertahankan logik mereka.
EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.End
0 comments:
Post a Comment