PERANAN DUN DAN PARLIMEN MENGIKUT TOK GURU NIK ABDUL AZIZ
>> Saturday, November 29, 2014
PERANAN PARLIMEN DAN DUN MENURUT TOK GURU NIK ABDUL AZIZ
Dunia ini dikawal oleh sistem hidup untuk menjamin kerukunan dan keamanan
mnusia hidup di dunia. Tanpa sistem hidup, maka sudah tentu kehidupan manusia
akan menjadi kucar-kacir seperti kehidupan di hutan rimba.
Biasanya peraturan atau sistem ini, selain dari adat dan kebiasaan amalan
manusia, ia juga dibuat oleh mereka yang berkuasa, seperti para pemerintah,
seumpama raja-raja. Kemudian ia dijadikan undang-undang untuk mengukuhkan lagi
pelaksanaannya.
Dalam negara demokrasi undang-undang ini dibuat oleh sebuah badan tertinggi yang dipanggil Dewan Undangan Negeri untuk negeri dan Parlimen untuk seluruh negara. Biasanya kedua-dua badan inilah yang meluluskan sesuatu undang-undang untuk dilaksanakan.
Parlimen atau Dewan Undangan Negeri ini walaupun benar dalam tindakannya
tapi boleh bercanggah dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan
oleh Allah Maha Pencipta, kerana membuat undang-undang baru yang bercanggah
dengan undang-undang Allah, khususnya bagi kita umat Islam.
Dalam hal ini, kita suka memetik pendapat Tuan Guru Nik Abdul Aziz tentang
peranan DUN dan Parlimen dalam membuat undang-undang supaya tidak bercanggah
dengan syariah Allah SWT.
Ujar beliau:
“.......... SUKA saya mengingatkan kita semua bahawa mengikut ajaran Islam
yang kita anuti, Dewan Undangan Negeri atau Parlimen bukanlah satu tempat untuk
mengadakan undang-undang dan peraturan baru yang kononnya belum wujud. Kerana
sumber undang-undang dan peraturan untuk manusia telahpun ada. Diadakan oleh
Allah yang telah menciptakan manusia itu sendiri. Dewan ini tidak lebih dari tempat
memproses pemikiran ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk tujuan mencari
jalan menyediakan tatacakap pelaksanaan kepada undang-undang yang telah sedia
ada itu.
“Ibarat sebuah kilang kayu atau kilang besi. Kedua-duanya didirikan bukan untuk
mencipta kayu atau besi. Kayu atau besi telah pun ada dan disediaikan oleh
Allah. Kedua-dua kilang itu didirikan hanya untuk memproses kayu atau besi
mentah yang telah sedia ada untuk dijadikan perabut atau alatan besi yang berbagai-bagai.
”Begitulah halnya dengan Dewan-dewan Undangan yang berselerak di seluruh
dunia ini. Sepatutnya dewan-dewan ini dibangunkan bukannya untuk mengadakan
undang-undang yang belum ada sama sekali. Undang-undang dan prinsip pokoknya
telah ada, sama tarikhnya dengan tarikh adanya manusia. Cuma bagaimana cara dan
bentuk pelaksanaannnya yang perlu dimesyuratakan dan dibincangkan.
“Oleh itu sifat mulia yang biasanya disandarkan kepada dewan-dewan seperti
ini dengan disebut sebagai dewan yang mulia, tidaklah cukup kemuliaan dewan ini
kalau dari awal-awal lagi kita pergunakan dewan seperti ini untuk mengadakan
perkara yang telah sedia ada, seperti yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis
yang diadakan oleh Allah Suhanahu wa Ta’ala sendiri yang turut mengadakan
manusia serta alam seluruhnya.
“Marilah kita sama-sama berusaha menjadikan Dewan kita ini, Dewan yang
benar-benar mulia, mulia di sisi Allah dan di sisi manusia, dengan menjunjung
semua titah perintah Allah pada setiap masa mesyuaratan kita jalankan. Di mana
dengan bakti seperti inilah, dapat kita cagarkan pada hari yang disifatkan oleh
Allah dalam al-Quran::
“Harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan lagi”, untuk
mendapat rahmat dan kasihan belas Allah Azzawajalla.
“Inilah titik perbezaan pokok di antara pemikiran Islam dan pemikiran
sekular. Pemikiran Islam mengajak manusia menerima al-Quran dan al-Hadis
sebagai undang-undang yang telah dicipta khusus untuk kita. Kita hanya sekadar
berfikir untuk melakasanakan apa yang telah disediakan. Manakala pemikiran sekular
meletakkan manusia setaraf dengan tuhan yang berkelayakan untuk ikut membuat
undang-undang bagi dipakai oleh manusia walaupun undang-undang langit telah
sedia ada dan diakui bahawa manusia tidak dijadikan oleh diri mereka sendiri”.
Petikan daripada Ucapan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku
Menteri Besar Kelantan di Majlis Belanjawan Negeri 1991, sidang pertama DUN
Kelantan 1990.
Demikianlah untuk menjadikan renungan kita bersama yang hidup dalam dunia
penuh dengan cabaran, khususnya kepada umat Islam yang prihatin dan sentiasa
bercita-cita dan berusaha untuk menegakkan Islam dalam erti kata yang sebenarnya.
Pasir Tumboh.
Kota Bharu, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment