NIKMATILAH IRAMA HIDUP ANDA

>> Saturday, November 8, 2014



NIKMATILAH IRAMA HIDUP




SAYA bukan seorang pemuzik, atau artis. Justeru mengikut fahaman saya yang dikatakan irama itu ialah rentak, atau tinggi rendah atau turun naik gerak atau bunyi sesuatu. Biasanya dirujukkan kepada lagu-lagu yang dinyanyi atau didendangkan, sehingga dikatakan “irama dan lagu tidak dapat dipisahkan”, kerana setiap lagu mesti ada irama, dan tanpa irama akan rosaklah lagu. Dalam hal ini tinggi rendah alunan suara,,kohor dan pentas ketika mendendangkan lagu itulah irama.






Tapi dalam skop yang lebih lebar, irama bukan sahaja terdapat dalam lagu, malah irama itu terdapat dalam semua bunyi dan juga dalam semua gerakan sesuatu, baik kohor [perlahan], deras atau laju. Ianya tidak dapat dipisahkan dari irama.


Dan yang dikatakan pergerakan itu bukan sahaja melibatkan benda-benda fizikal atau yang dapat dilihat dengan mata kasar, seperti cara seseorang berjalan, atau berpancak silat, tapi juga pada benda-benda yang tidak kelihatan dengan mata kasar, atau melalui kesedaran semata-mata seperti cara-cara atau gaya kehidupan ini berubah dari waktu ke waktu.


Disedari atau tidak disedari, seluruh kehidupan ini dihiasi dengan irama, iaitu irama kehidupan atau disebut juga lagu kehidupan, di mana ia bergerak atau berkembang dengan cara-caranya yang khusus atau tersendiri yang mungkin berbeza antara satu dengan lainnya.


Ramai orang sukakan lagu-lagu, atau menikmati muzik, dan yang membuat mereka tertarik atau terpesona dengan lagu-lagu atau sesuatu muzk itu antaranya adalah kerana alunan irama yang membawa lagu itu mempesonakannya. Sesuatu bunyi atau lagu yang tidak berirama, ia akan kedengaran mendatar atau mempunyai satu sahaja nada buyi daripada A sampai Z, sudah tentu tidak menarik atau membosankan.


Sedar atau tidak sedar hidup ini berirama atau berlagu, dan irama itu mempengarui kehidupan kita secara sedar atau kita tidak sedar. Kita dilahirkan ke dunia pun dengan irama asli, suara tangisan bayi yang baru keluar dari perut ibu tidak senada, ada tinggi dan rendahnya. Kemudian bayi diperdengarkan dengan azan atau iqamah yang dikemundangkan secara berirama di telinga bayi.


Kemudian perjalanan hidup kita dari bayi kepada kanak-kanak, memanjat remaja dan seterus mendakit dewasa juga berjalan dengan tidak senada.


Denyut irama dalam setiap tahap itu juga tidak sama hari demi hari, minggu demi minggu, kerana ia sentiasa berubah-ubah, turun dan naik, kohor dan laju. Baik ketika dalam usia kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun ketika telah memanjat usia tua.


 


 
Perjalanan hidup atau irama hidup kita tetap tidak sama, berbeza-beza. Ada masa kita sihat, ada masa kita kurang sihat, malah ada masa kita sakit. Ada masa kita berjaya, atau ada masa kita gagal, ada masa kita gembira, dan ada masa kita kecewa. Ada masa kita jatuh dan ada masa kita bangkit. Ada masa semangat kita berkobar-kobar dan ada pula masa semangat kita lembek atau lemah, demikian juga dengan perasaan kita. Itulah irama hidup.


Jasad kita juga mempunyai irama hidupnya yang khusus, atau mempunyai gayanya yang tersendiri. Turun naik nafas ada iramanya yang khusus. Demikian juga dengan denyut jantung kita, ada pentas, ada kalanya lambat, dan mungkin pula lemah kerana sebab-sebab yang tertentu. Begitulah iramanya.


Dulu kita susah, sekarang kita senang. Dulu kita pergi kerja menaiki kenderaan awam, bas atau teksi, tapi hari ini kita telah memiliki kenderaan sendiri, bukan  sebuah, tapi dua buah. Dulu kita hanya ada motosikal, tapi sekarang kita dah ada motokar besar yang berselerak di hadapan rumah. Dulu kita bergaji kecil, tapi sekarang pendapatan kita telah berlipat ganda. Dulu kita hanya tinggal di rumah sewa, tapi sekarang kita tinggal di banglo yang meluas macam istana. Dulu kita tidak mempunyai pembantu rumah, tapi sekarang kita mempunyai pembantu rumah, bukan seorang, tapi dua orang.


Tapi kebalikannya pula, dulu ada orang yang senang, tapi sekarang mereka susah. Dulu mereka berpangkat tinggi, tapi sekarang menjadi penganggur. Dulu mereka ada kereta besar, tapi sekarang hanya motosikal. Dulu ada rumah besar, tapi sekarang mereka tinggal di rumah sewa. Dulu mereka sihat, tapi sekarang tidak sihat lagi, malah mungkin sakit-sakit pula.


Dulu mereka orang fasik, tapi sekarang jadi orang beriman. Dulu mereka bakhil, tapi sekarang seorang yang pemurah. Dulu malas untuk belajar, tapi sekarang seorang yang rajin belajar. Dulu tidak pernah solat berjemaah di surau atau di masjid, tapi sekarang, rajin solat di masjid. Dulu malas baca al-Quran, tapi sekarang rajin membaca al-Quran. Dan-dan, dan lagi, tapi hendaknya janganlah sebaliknya, dari baik kepada buruk, daripada buruk kepada lebih buruk, mendendang  irama hidup yang songsang.


Alam jagat ini pun berirama. Tidak status atau beku. Ada siang ada malam. Ada ketika mata hari terbit, ada ketika mata hari terbenam. Silih berganti. Ada ketika panas, ada ketika sejuk, ada ketikanya amat panas dan ada ketikanya amat sejuk. Iramanya berubah-ubah.


Ada ketikanya angin berhembus, ada ketikanya angin membeku, ada ketika anginnya berhembus kencang, membadai ganas dan ada pula ketikanya angin berbisik mesra.


Lautan pula luas terbentang, merupakan sebahagian besar dari alam raya ini. Ombak mendebur pantai, sekali lonak, sekali keras, malah kadang-kadang mengganas, membawa kemusnahan. Itulah iramanya.


Siapakh pencipta semuanya itu kalau bukan Allah SWT? Dan setiap ciptaan Allah, dari sebesar-besar benda sehinggakan sekecil-kecil benda tidak ada yang sia-sia, tidak ada yang tidak berguna. Tidak ada main-main dalam ciptaan Allah. Mahu tidak mahu, tergantunglah kepada keperhatinan dan kebijaksaan kita untuk menilai dan mengambil manfaat darinya.


Itulah irama alam. Irama ciptaan Allah. Jika anda tidak suka mendengar lagu-lagu dendangan manusia, atau tidak suka mendengar muzik-muzik yang dihasilkan oleh tangan manusia yang beraneka ragam, tapi tidak ada sebab pula anda tidak ingin melihat atau mendengar irama-irama lagu-lagu alam semula jadi yang terdapat di seluruh buana ini.

Jika kita sedang menikmati panaroma alam yang cantik, maka senafas itu juga cubalah kita rasakan rentak irama alam yang berada bersamanya. Jika kita berada di pinggir samudera yang membiru tenang, cubalah rasalah irama ombak laut yang menyisir pantai yang pasirnya halus memutih, mendengar gesekan-gesekan daun rhu yang dibelai bayu. Ketika kita berada di hutan-hutan cubalah dengar irama lagu-lagu dari geseran dayun-dayun kayu, nyanyaian unggas-unggas dan burung-burung di dahan-dahan pokok yang beraneka lagu dan iramanya. Cubalah nikmati  dendangan cengkerik di waktu malam di kampung yang aman permai.






 
Ketika hujan turun, cubalah nikmati irama titisan air menimpa dayn-dayun kayu, menimpa atap rumah, bunyi air berguguran dari seluran atap rumah dan masuk kedalam longkang untuk terus mengalir ke parit besar., 


Ketika kita duduk bersendrian, rasalah irama naik turun nafas kita, rasakan denyut nadi dan jantung kita yang mempunyai irama yang tersendiri. Itulah irama asli ciptaan Allah.


Merasakan getaran dan irama itu, semuanya akan mendamparkan kita ke pantai kesedaran yang hakiki kepada Maha Penciptanya, Allah SWT.

Rasa-rasakanlah dan nikmatilah segala irama-irama alam, bermula dari irama jasad kita membawa kepada irama alam raya yang tidak berhujung dan bertepi semoga kita mendapat rahmat taufik, hidayah, dan makrifah, dan lebih mendekatkan lagi diri kita kepada Allah. Amin.


Sungai Buloh

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP