KEMBARA DI AWAL MALAM
>> Monday, November 10, 2014
KEMBARA DI AWAL MALAM
Kami bertolak dari Saujana,
Sungai Buloh di hujung senja untuk menuju ke satu destinasi. Sebuah resturan
yang tersingkir dari keriuhan kota, di hujung sebuah penempatan penduduk.
Resturan itu sebenarnya sebuah resturan makanan laut. Sebuah bangunan daripada kayu yang besar, yang ditegakkan di atas air. Lantainya diperbuat daripada keping-kepingan papan kira-kira sebesar tapak tangan yang diatur di atas penyambut yang dibentang atas tiang yang terbenam dalam air.
Kawasan itu terletak di muara sungai, Pelabuhan Kelang Selangor. Tidak jauh dari situ, kalau kita menyusur sungai, di mana bangunan itu dipacakkan, kita akan sampai ke laut, boleh melihat kapal-kapal berenang di permukaannya.
Bulan terpampang di langit
Kami menyusuri jalan-jalan kampung yang tidak berlampu menuju ke destinasi. Dari cahaya lampu yang terpasang, kami dapat melihat di situ ada beberapa buah kolam ikan, dan di hadapan pintu masuk ke resturan itu pun terdapat dua pintu masuk ke dua buah kolam ikan yang besar yang terletak bersebelahan. Masa itu masih belum ramai dikunjungi oleh peminat pemancing.
Waktu kami masuk ke dalam resturan, hanya beberapa buah meja sahaja yang diduduki. Pelanggan masih belum tiba, mungkin kerana malam masih terlalu muda. Kami memilih sebuah meja berhampiran dengan pagar kayu yang merupakan dinding bangunan terbuka itu. Dari situ kami dapat memandang jauh menyusuri sungai itu, di mana penghujungnya dikatakan laut.
Bulan membawa ketenagan
Walaupun gelap malam menyelubungi alam, tapi lampu-lampu yang terpasang jauh dan dekat di banggunan-bangguan di pinggir sungai menolong kami melihat pandangan-pandangan malam yang mengamit perasaan.
Walaupun gelap malam menyelubungi alam, tapi lampu-lampu yang terpasang jauh dan dekat di banggunan-bangguan di pinggir sungai menolong kami melihat pandangan-pandangan malam yang mengamit perasaan.
Kami nampak air sungai beriak-riak kecil dengan kemilau cahaya lampu yang kelihatan beralun-alun menimpanya. Pandangan yang mencetuskan getaran hati yang beralun-alun menjalari kejauhan rasa yang hanya dapat disentuh oleh perasaan halus dan sukar untuk diukirkan dengan kata-kata.
Bersama Qistina Zaini
Angin bertiup sepoi-poi basah membelai badan kami. Terasa nyaman dan segar di awal malam ini. Kelihatan juga daun-daun bergetaran mengikut irama hembusan angin yang menambahkan lagi geseran-geseran yang menyenandungkan irama dan lagu hati yang tersendiri.
Bila kami mendongak ke hadapan, nun saujana di sana kelihatan pelita alam telah tersembol di kaki lagi, dengan kepudaran sinarnya pada malam enam belas Safar. Ia kemalu-maluan untuk menonjolkan wajahnya yang ayu jelita itu kerana dihijab oleh awan-awan tebal yang mencemburi kecantikannya.
Bulan itu kelihatan berada betul-betul di atas dua buah lampu berkembar terang yang jauh dari tempat kami berada. Dan ini menambahkan kesuraman sinar wajahnya. Kami bangkit dari tempat duduk dan pergi berdiri di tepi pagar dinding memerhati bulan yang suram, tertempel di kelir langit, mungkin macam pungguk merindukan bulan.
Suasana itu mencetuskan
nostalgia zaman silam yang hanya wujud dalam lintasan kenangan indah yang hanya
sebentar mealui titian hidup yang fana ini. Kami merasakan amatlah bahagianya,
jika si dia yang disayangi itu berada di sisi pada saat ini menikmati panaroma
alam yang begitu mendayu-dayu di hati, sebagaimana kami menjalaninya sejak kami
hidup bersama. Rindu oh rindunya hati. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.
Bayu malam yang berhembus
itu, membisikkan kesedaran kepada kami bahawa setiap yang bernyawa mesti akan kembali
ke pangkuan Ilahi. Tidak ada apa-apa yang kekal. Ketetapan Allah sahaja yang
menentukannya. Hidup ini hanya sebentar sahaja semacam angin lalu yang menimpa
badan. Datang dan berlalu!
Lagu-lagu sentimental
yang beralun-alun lembut sepanjang waktu, tambah menggamit perasaan kami dalam
keharuan hati yang telah bergetar oleh sentuhan suasana malam yang damai.
Bila kami mendongak
sekali lagi, kelihatan bulan telah beringsut tinggi meninggalkan lampu yang
semacam menjunjungnya tadi. Sinarnya lebih terang menerangi alam maya, tanpa
kelipan bintang-bintang yang menghiasi dada langit di malam yang syahdu ini.
Selepas menikmati hidangan makanan-makanan yang istimewa yang ditemani nasi putih, kami pun meninggal resturan yang sedang bermandi cahaya bulan yang kian bersinar terang di dada langit biru. Ia seolah-olah tersenyum kepada kami yang menambahkan keharuan hati dalam ketenagan mengingati Allah yang Maha Berkuasa.
Wahai malam temanilah
hati kami dengan bisikan-bisikan rindu memuja Tuhan.
Merakam diri bersama malam
Wahai bayu bawalah bisikan-bisikan damai di hati kami dengan rahsia-rahsia alam Tuhan yang Maha Pengasih.
Merakam diri bersama malam
Wahai bayu bawalah bisikan-bisikan damai di hati kami dengan rahsia-rahsia alam Tuhan yang Maha Pengasih.
Wahai hati, damailah dalam kerinduan kepada Tuhanmu sepanjang malam yang syahdu ini yang menebarkan jaring-jaring pengharapan dan kasih sayang.
Wahai Allah sesungguhnya
hamba-hambamu ini memohon keampunan-Mu. Wahai Allah mpunilah kami dan
rahmatilah kami!
Ya Allah ampunilah kami!
Saujana, Sungai Buloh.
0 comments:
Post a Comment