MENCARI DAMAI DI PANTAI SRI TUJOH
>> Friday, November 14, 2014
Waktu kami sampai ke Pantai Sri Tujoh, hujan telah berhenti, walaupun suasana alam diselubungi kemurungan tanpa sinar matahari petang yang sejak kebelakangan ini melekitkan kulit kalau di limpahi sinarnya.
Pantai Sri Tujoh terletak di Tumpat, salah sebuah Jajahan dalam Negeri
Kelantan, Cik Siti Wan Kembang ini. Bandar Tumpat adalah salah sebuah bandar
penting di negeri ini letaknya kira-kira lima belas kilometer dari ibu negeri
Kelantan, Kota Bharu.
Ia juga terletak kira-kira empat kilometer dari tempat membeli-belah, Pekan
Pengkalan Kubor di pinggir laut yang memisahkannya dengan Pekan Tak Bai, di
Thailand salah sebuah pekan sempadan yang popular itu.
Bermain air
Pantai ini dinamakan Pantai Sri Tujoh kerana di situ terdapat tujuh buah teluk atau lebih. Tidak seperti masa-masa yang lalu tidak ada apa-apa kemudahan yang disediakan, tapi hari ini ia sudah dilengkapi Resot terapung, ada kolam mandi, gelanggang futsal, dan juga ada gerai-gerai makan.
Waktu kami menyusuri jalan masuk ke Pantai Sri Tujoh suasana sungguh
tenang. Hampir tidak kedengaran sebarang bunyi kenderaan. Alam keliliing
kelihatan sepi dan tenang. Suasana yang menggetar hati dan perasaan.
Selepas berihat sekejap di Pondok Anggrik, saya sendiran berkelana meninjau
alam keliling. Saya menyusuri tepi teluk di mana terdirinya resort Sri Tujoh
yang terdiri daripada beberapa buah chalet yang letak sejajar dan diegakkan di atas
air. Ia dihubungi oleh jambatan panjang yang diperbuat dari kayu.
Air teluk warna kegelapan, hanya beriak-riak kecil disapu ole bayu yang
tenang membelai-belai badan, membisikkan keharmonian alam. Hanya sebuah bot
bersama-sama dengan seorang pemandu hilir mudek dalam tasik dengan tujuan yang
tertentu tanpa kedengaran enjinnya memecah kesunyian.
Pada masa-masa yang lalu, kalau tidak silap ingatan saya, teluk ini merupakan tempat pengunjung-pengunjung bermain airnya yang cetek tanpa perlu ke Laut China Selatan yang luas terbentang bertepikan kaki langit.
Bayang-bayang yang mengsi perasaan
Melihat teluk ini terasa kesepian yang indah menggser perasaan dan hati. Terasa kesendirian menyapa diri di tengah-tengah kesepian hari yang kian beringsut petang.
Saya terus melangkah menikmati suasana yang damai itu. Terasa indahnya alam ini dengan irama kesepiannya yang merupakan air atma jiwa kepada insan-insan dewasa ini yang kebanyakannya telah dicengkam oleh kemeranaan jiwanya.
Tenang menjalar di atas air
Kita kembli kepada alam, ertinya kita kembali kepada Tuhan Maha Pencipta yang kuasanya meliputi seluruh alam dan jagat raya ini.
Saya melintasi sebuah teluk lagi untuk sampai pe pesisir pantai yang
dihubungi oleh sebuah jalan pendek persis jambatan yang merentangi di tengahnya
yang membahagikan teluk itu kepada dua bahagian. Di kiri kanan jalan itu
ditambak dengan tongkol-tongkol batu besar sebagai benteng untuk mencegahnya
dari runtuh. Di gigi air di atas tongkol-tongkol batu ada beberapa orang
pemancing kanak-kanak sedang memancing ikan, dan dalam bekas plastik di tangan mereka terdapat ikan-ikan
yang telah berjaya mereka pancing dengan menggunakan siput-siput kecil yang
terdapat di atas pasir di gigi air sebagai umpam.
Mendekati Pengkalan
Saya sampai di pesisir pantai. Ada pokok-pokok rhu hidup subur dan menebal yang daun-daunnya yang halus hijau beroyang-goyang dihempas angin laut petang yang agak deras. Ombak-ombak laut bergolong-golong agak ganas menghempas pantai yang di gigi airnya ada beberapa orang senang bermain senang dengan deraian ombak yang melanda pantai.
Tidak ada siapa pun yang kelihatan berani membasahkan diri berendam di air laut , dan yang ada hanya
mereka yang berdiri dan duduk-duduk di atas pasir merenung laut yang agak bergelora dengan ombak-ombak
yang menghempas pantai Sri Tujoh lalu pecah berderai menjadi buih-buih.
Sesungguhnya, ombak-ombak ini bila-bila masa boleh bertukar menjadi lebih ganas,
menelan pantai dan isi-isinya, mengheret dan membenamnya ke dalam laut, menelan
perahu-perahu dan bot-bot yang telah ditakdirkan kemusnahannya.
Tenang bertambah tenang
Saya tidak lama di pesisir pantai, lalu beralih dari situ, dan waktu itu para pengunjung kian ramai, dengan bunyi kenderaan mereka memecahkan keheningan petang Pantai Sri Tujoh. Saya harap bila senja melabuhkan sayapnya nanti keheningan Pantai Sri Tujoh akan kembali mendamaikan suasana malam ditemani hembusan angin yang sejuk yang menyegarkan menyampaikan bisikan-bisikan alam yang penuh kerhasiaan.
Saya tidak lama di pesisir pantai, lalu beralih dari situ, dan waktu itu para pengunjung kian ramai, dengan bunyi kenderaan mereka memecahkan keheningan petang Pantai Sri Tujoh. Saya harap bila senja melabuhkan sayapnya nanti keheningan Pantai Sri Tujoh akan kembali mendamaikan suasana malam ditemani hembusan angin yang sejuk yang menyegarkan menyampaikan bisikan-bisikan alam yang penuh kerhasiaan.
“Allahlah yang menundukkan laut untukmu agar kapal-kapal
dapat belayar di atasnya dengan perintah-Nya, agar kamu dapat mencari
sebahagian kurniaan-Nya dan agar kamu bersyukur”.Al-Jathiyah:12.
Pantai Sri Tujoh,
Tumpat.
0 comments:
Post a Comment