PANTAI SRI TUJOH JANGAN BIARKAN TERUS TERCEMAR

>> Sunday, November 16, 2014





PANTAI SRI TUJOH JANGAN BIARKAN TERCEMAR

Pantai Sri Tujoh aman dan tenang, sesuai untuk menikmati kedamaian suasana alam. Lebih-lebih lagi telah disediakan beberapa kemudahan untuk  keselesaan para pengunjung.


                                         Suasana yang aman jangan dibiarkan rosak


Sebenarnya sudah sekian lama saya tidak menjejak kaki bukan sahaja ke Pantai Sri Tujoh, tapi jua ke Jajahan Tumpat. Paling jauh saya sampai ialah di  Cabang Empat To Mek Ngah. Jadi kesampaian saya ke Pantai Sri Tujoh kali ini menghidupkan nostagalia silam yang sekian lama terbenam dalam benak.


Walaupun kita merasa selesa menikmati kedamaian Pantai Sri Tujoh, tapi ada sesuatu yang tidak mengamankan. Waktu kami sampai dua hari lepas pesisir pantainya amat tidak terjaga. Kotor dan berselerak dengan sampah sarap yang tidak sepatutnya dibiarkan begitu, kerana Pantai Sri Tujoh merupakan tempat yang namanya telah mendaki ke puncak dunia dengan berbagai-bagai aktiviti kebudayaannya dan sukan  peringkat antara bangsa sering kali diadakan di situ.


Sampai bertaburan







Di antara pesisir pantai dan daratan di mana bangunan kediaman dibina terdapat sebuah teluk yang memanjang menjadi pemisah antara keduanya tapi disambung oleh sebatang jalan pendek yang merentangi teluk sebagai laluan.


Sampah sarapnya berlonggok-longgok dan bertaburan di sepanjang pesisir pantai yang cantik itu. Nampaknya sampah sarap itu yang terdiri dari ranting-ranting, daun-daun dan batang-batang kayu dan sebagainya  dibawa oleh ombak-ombak yang mendamparkannya di pesisir pantai. Dan ditambah pula oleh sampah-sampah baru yang dilempar oleh para pengunjung yang mencari jalan mudah.

Polistrin-polistrin putih pembungkus makanan bertaburan melekat di anak-anak pokok dalam takungan air yang merupakan tasik kecil di pesisir pantai yang jika diberi jagaan yang sewajarnya akan menambahkan lagi kecantikan pantainya yang telah sedia indah itu.


Entah sudah berapa lama pantai yang indah itu tidak terurus tidaklah diketahui. Amatlah rugi, kerana sejak kebelakangan ini sudah tidak banyak lagi pantai-pantai di Negeri Kelantan, kerana kebanyakannya telah dirobohkan oleh ombak-ombak laut yang berpunca daripada kerakusan tangan manusia sendiri.


Longgokan sampah






Kita harap pihak Majlis Daerah Tumpat yang bertanggungjawab mengendalikan Pantai Sri Tujoh wajar melakukan usaha-usaha yang lebih sungguh-sungguh lagi untuk menjaga pantai itu, di samping berusaha menyediakan kemudahan-kemudeahan dagang yang akan memberi pulangan kepada mereka dalam bentuk keuntungan.


Semoga peringatan ini akan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pehak yang berkenaan, demi kebaikan kita bersama, dalam memberi sumbangan yang bermakna kepada negeri dan negara kita yang tercinta.

Lagipun kebersihan itu satu keperluan untuk hidup. Kekotoran menghilangkan keindahan, melambangkan pengotoran. Kotor itu menjijikkan. Melambangkan kelemahan.


Jangan biarkan Pantai Sri Tujoh terus tercemar.


Makan Pagi


Ada beberapa buah gerai makan yang besar disediakan di sini. Tapi kami mengalami kesukran untuk sarapan pagi. Sebab tidak ada sebuah pun gerai makan itu yang dibuka di waktu pagi. Ia nampaknya dibuka pada waktu petang, dan sehingga larut malam. Tempatnya memang ideal untuk makan sambil bersantai.


                                         Pandangan yang tidak menggalakkan


Oleh itu untuk sarapan pagi, anda terpaksa membawa bekalan sendiri, atau keluar dari kawasan itu untuk mencari sarapan di bandar Tumpat atau di Pengkalan Kubor, atau di mana-mana gerai yang dibuka di tepi dan sepanjang jalan yang menjual nasi belauk. Tidak ada pilihan lagi.


Tidakkah boleh salah sebuah daripada gerai-gerai itu dibuka di waktu  pagi untuk memberi kemudahan kepada orang ramai, khususnya mereka yang tinggal dan menyewa di situ, terutama ketika ramai penyewa-penyewa, seperti pada musim cuti, khususnya musim cuti persekolahan. Perkara ini saya rasa patut difikirkan juga oleh pehak pengurusannya.


Mengenai kebersihan. Rasulullah SAW pernah bersabda, 

“Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, Dia mencintai kebaikan, Maha Bersih dan mencintai kebersihan, Maha Mulia yang mencintai kemuliaan, dan Maha Dermawan dan mencintai kedermawanan”. HR:Bazaar.



Pasir Tumboh,
Kota Bharu



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP