HIDUP HARI INI DALAM HARI KELMARIN

>> Tuesday, November 18, 2014




HIDUP HARI INI DALAM HARI KELMARIN


Ada orang suka hidup pada hari kelmarin. Dia hidup bernafas hari ini, tapi dia hidup seperti hari kelmarin atau hidup dalam hari-hari yang telah berlalu.

 
                                         Hari ini akan menjadi hari kelmarin


Bila hari ini berlalu, dan hari besok tiba, maka hari ini bertukar menjadi hari kelmarin. Sebaliknya hari yang akan tiba itu pula dikatakan hari besok. Sehari selepas hari ini dikatakan hari kelmarin, dua hari selepas hari ini dikatakan kelmarin dulu, dan tiga hari selepas hari ini pula dikatakan hari kelmarin dulu nun. Tapi pada hari keempat dan seterusnya, tidak lagi disebut hari kelmarin, tapi disebut, hari keempat, hari kelima dan sebagainya.


Biasanya mereka yang hidup hari ini dalam hari kelamrin itu ialah mereka hidup dalam suasana kesedihan atau kepiluan, kerana sesuatu yang tidak dipinta atau disukai telah menimpa mereka.


Ataupun hidup dalam hari-hari lampau yang penuh kegembiraan. Lalu ralik dan leka dengan kegemilangan zaman lampau dalam masa dan zaman yang telah berubah. Malah hidup dengan penuh angan-angan, dan kebanggaan, dan kesombongan yang akan membawanya kepada kejatuhan yang parah.


Justeru hidup dalam kemeranaan kelmarin itu membuat mereka terus meratap, manangis dan menyesal tidak berkesudahan. Menyebabkan fikiran mereka kebuntuan, jiwa mereka tonggang-langgang dan perasaan mereka berkecamuk dengan kekecewaan dan penyesalan yang tidak bernoktah.


Mereka seolah-olah lupa hari kelamrin itu telah pergi dan berlalu, dan tidak akan datang lagi. Hari kelmarin telah keras membatu dan tidak mungkin dicairkan atau kembali. Air mata darah pun tidak dapat menggembalikannya lagi.


Ia telah menjadi sejarah. Tidak boleh diubah, dipinda dan diperbaiki. Yang boleh diubah atau ditukar ganti hanya penulisan atau catatan sejarah yang telah diseleweng atau diubahsuai secara sedar atau tidak sedar mengikut  selera nafsu penulisnya sendiri.


Meratap, menangis dan menyesali hari kelmarin tidak memberi sebarang makna kalau tidak disusuli dengan kesedaran akan segala kesilapan yang dilakukan untuk dikoreksikan, dan menyesal dan bertaubat kepada semua dosa-dosa yang dilakukan di masa lalu itu, kemudian disusuli dengan kembali ke jalan yang benar. Segala perkara yang berlaku itu hendaklah diterima sebagai satu kesalahan dan dijadikan iktibar untuk kepentigan masa depan.


Tapi ini bukan  bermakna kita harus hidup pada hari kelmarin, pada hari atau hari-hari yang lalu. Kita sekarang hidup pada saat ini, waktu ini, dan hari ini, dan bukan lagi hari kelmarin yang berlalu itu.


Saat ini dan hari ini adalah hari yang penting untuk kita. Apa yang kita buat hari ini mungkin menentukan hari esok, di mana hari ini akan  menjadi hari kelmarin pula bila hari ini telah berlalu, dan hari besok telah menjelma.


Hari ini adalah hari kita. Detik ini adalah detik kita. Besok walaupun masih ada, tapi belum tentu milik siapa? Oleh itu hiduplah pada hari ini, bukan hari kelmarin ataupun hari besok. Gunakanlah sepenuh-penuhnya hari yang kita miliki ini sebelum ia bertukar menjadi hari kelmarin.


Hari ini mata hari bersinar terang, tapi besok belum tentu hari panas atau hujan, namun hari kelmarin sudah pasti corak dan warnanya.


Warnalah hari ini dengan warna yang indah, berusahalah sebaik-baikinya supaya kita boleh bergembira dan bersyukur dengan pencapaian kita hari ini bila ianya telah bertukar menjadi hari kelmarin. Dan hidup bergembiralah di sepanjang hari besok yang akan tiba bila hari ini berlalu dan bertukar menjadi hari kelmarin.


Orang-orang tua kita telah memperingatkan kita tentang hari kelmarin dalam bentuk sebuah puisi yang yang amat bernilai:


“Asal kapas menjadi benang,
Sudah benang menjadi kain,
Perkara lepas jangan dikenang
Sudah menjadi perkara lain”.


Ya perkara kelmarin telah menjadi perkara lain yang tidak boleh ditukarganti atau diubahsuai mengikut nafsu atau selera. Ia telah menjadi kaku-beku dalam masa, namun akan dinilai kembali oleh Allah di Akhirat nanti semua yang telah kita laku semasa kita hidup di dunia kelmarin.


Banyak orang didapati suka memuji dan menyanjung hari kelmarin, hari-hari yang lalu dalam lipatan sejarah. Zaman keemasan, kata mereka, tidak seperti hari sekarang, hari besi buruk. Umpamanya kata mereka, hari-hari itu, bahan-bahan makanan murah, boleh dibeli dengan harga lima sen atu sepuluh sen sahaja, tapi hari ini sudah tidak boleh lagi. Tapi mereka lupa bahawa zaman itu untuk mencari duit tidaklah mudah dan nilainya tinggi. Mungkin seringgit hari ini, hanya sepuluh sen sahaja masa-masa yang dulu itu.


Mereka yang hidup pada hari ini, janganlah melangkah undur hidup ke alam kelmarin. Tidak ada siapa boleh kembali hidup ke masa belakang, kecuali dalam cerita-cerita fiksi atau khayal yang tidak berjejak di bumi nyata. Ia hanya hidup di alam fantasi.

Orang yang hidup hari ini, tapi hidup pada hari kelmarin adalah mereka yang bodoh. Kembalilah ke alam nyata. Berhenhtilah meratap dan menangis yang tidak berkesudahan, kerana ia tidak dapat mengubah keadaan, tidak dapat menggembalikan hari kelmarin kepada anda. Malah dengan harta sepenuh dunia pun anda tidak dapat menggembalinya ke sisi anda. Ia telah menjadi hak masa, hak Allah yang menciptakan masa untuk hamba-hambaNya.


Oleh itu jika anda jatuh pada hari kelmarin, segeralah bangkit kembali untuk menyambung sisa-sisa perjuangan, dengan usaha yang lebih wajar supaya anda tidak mengulangi kejatuhan sekali lagi. Jatuh dan bangun adalah adat perjuangan. Dan anda tidak pernah tewas selagi anda tiak mengaku kalah.


Sekarang, kita hanya ada hari ini. Hiduplah pada hari saat ini dan hari ini. Itulah hadiah Allah yang paling berharga untuk kita nikmati dan syukuri. Biarkan hari kelmarin berlalu dalam helaian-helaian sejarah sebagai pedoman untuk hari-hari muka kita.


Orang yang hidup pada hari kelmarin adalah orang yang hidup dalam mimpi. Hanya dalam mimpi sahaja kita dapat kembali menjalani  hari kelamarin. Hari ini tidak mungkin kembali kepada hari kelmarin, demikian juga hari kelmarin tidak akan akan bersatu wujud dengan hari ini. Hari kelmarin telah mati. Berfikir tentang hari kelmarin samalah ertinya menarik mayat dari kubur. Tidak berfaedah. Sia-sia.


Hari ini, adalah hari ini, lupakan hari kelmarin dengan segala karenahnya. Bentuklah hari ini supaya menjadi hari kelamarin yang bahagia.


Pasir Tumboh, 
Kota Bharu.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP