PESAKIT DAN NASIB MEREKA??

>> Thursday, November 27, 2014





PESAKIT-PESAKIT DAN BAGAIMANA NASIB MEREKA?



Semalam kami pergi ke rumah seorang jiran untuk majlis tahlil. Mengatib kata orang di sini. Seorang wanita muda empat puluhan tahun meninggal dunia beberapa hari yang lalu.



                                         Sekadar hiasan


Sebelum tahlil bermula, sambil menunggu-nunggu kesampaian tetamu, mereka berbual-bual terlebih dahulu. Topik utamanya ialah sebab-sebab yang menjadi punca kematian wanita tersebut.


Menurut ceritanya pada hari sedih itu, dia nampaknya berada dalam keadaan baik dan ceria, dan berbual-bual gembira dengan pelawat-pelawatnya. Tapi pada sebelah petangnya, dia diberi ubat yang menyebabkan dia terus berubah laku, dan seluruh anggota badannya menggelentar teruk yang membawa kepada penghujung hayatnya.


Sebelum itu, dia juga dikatakan telah diberi ubat yang sama, menyebabkan dia tiba-tiba berada dalam keadaan yang ganjil seperti itu juga, tapi tidak membawa apa-apa padah buruk dan tidak lama kemudian dia kembali normal.


Justeru itu, timbul syak wasangka di kalangan keluarga yang mengetahui perkara itu, bahawa Allahyarahmah telah diberi ubat yang salah yang membawa kepada kematiannya itu.


Pada mula-mulanya, timbul juga pemikiran meeka untuk memanjangkan perkara itu ke atas, tapi terpaksa diurungkan kerana sebab-sebab tertentu, lebih-lebih lagi selepas jenazah selamat dikebumikan.


Ini menimbulkan persoalan adakah kematian wanita itu kerana kecuaian manusia atau memang kerana kewajaran akibat penyakit yang dideritainya?


Bius

Dua hari sebelum itu kami juga mendengar cerita seorang wanita yang terpaksa dibedah ketika melahirkan anak. Katanya dia merasa amat sakit sekali ketika pisau bedah menghiris perutnya.


Katanya, bila pembedahan selesai dan bayinya selamat dilahirkan, dia memberitahu pakar yang merawatnya tentang kesakitan perit yang ditanggungnya ketika pembedahan berlangsung, dan sekali gus menyatakan keraguannya, bahawa ubat bius yang diberikan kepadanya tidak mencukupi. Inilah punca yang menyebabkan kesakitannya.


Maka berkatalah pakar itu sambil tersenyum tanpa menafikannya “Tak apa-apakan? Sekejap sahaja. Lagi pun anda dan bayi anda sudah selamat.”.


Walaupun gembira kerana selamat melahirkan anak, tapi hatinya mendongkol mendengar jawapan yang tidak diduganya itu.

Lebih Bius

Saya teringat juga beberapa tahun yang  lalu seorang lelaki muda telah menjalani pemdedahan yang tidak merbahaya. Pembedahan berjaya dan memuaskan.


Tapi malangnya, tidak lama selepas itu dia diserang strok yang menyebabkan dia lumpuh hingga ke hari ini, dan menjadi seorang OKU.

Kemudian seorang pakar yang kebetulan berurusan denganya memberitahu bahawa  perkara itu berlaku biasanya mungkin kerana mangsa diberi ubat bius yang berlebihan.


Entah benar entah tidak, wallahu’aklam.

???????

Darah Tinggi

Saya teringat pada suatu masa kami bertemu dengan seorang lelaki yang sedang menunggu giliran untuk pemeriksaan kesihatan. Dia memberitahu bahawa dia dirawat kerana penyakit highblood.


Katanya, dia asalnya tidak mengidap penyakit darah tinggi. Tapi katanya pada suatu hari kerana pening kepala dia datang untuk pemeriksaan kesihatan. Sukatan darahnya meningkat tinggi. Akibatnya dia didiagnosiskan sebagai pengidap darah tinggi, dan lalu diberi ubat darh tinggi.


Bila balik ke rumah dia terus mengambilnya sebagaimana diarahkan untuk selama beberapa hari.


Tapi pemeriksaan kesihatan kemudiannya menunjukan dia tidak mengidap darah tinggi. Tapi pada hari  peristiwa itu berlaku, dia diperiksa kerana  pening kepala dan berada dalam keadaan tergesa-gesa dan emosinya pula tidak stabil menyebabkan sukatan darahnya naik mendadak, lalu didiagnosiskan dan dilayan sebagai pengidap darah tinggi.


Namun oleh sebab dia telah beberapa hari memakan ubat darah tinggi bila menyedarinya, dia tidak lagi dapat berhenti mengambilnya, walaupun dia bukan pengidap darah tinggi dalam erti kata yang sebenarnya  seperti disyaki.


Walau bagaimanapun ka katanya, dia reda dan tidak bercadang untuk membuat sebarang tuntutan kerugian.


Sehari dua yang lepas, kami juga membaca berita mengenai sebuah keluarga yang kematian anaknya semasa menerima rawatan, telah menzahirkan rasa tidak puas hatinya dan membuat laoran polis kerana percaya anaknya telah diberi ubat yang salah yang menjadi punca kepada kematiannya. Dan hari ini berita itu masih lagi merupakan berita yang segar.


Demikian sedikit peristiwa daripada begitu banyak peristiwa mengharu nasib para pesakit yang sempat dipaparkan di sini untuk dijadikan iktibar.


Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa di samping kekecewaan itu, begitu banyak pula kejayaan yang telah dicapai oleh dunia perubatan untuk merawat dan menyembuhkan orang-orang yang mengidap aneka penyakit.


Tapi adalah diharapkan kegagalan-kegagalan yang berpunca dari kecuaian manusia tidaklah kerap berlaku hingga mampu merosakkan kecemerlangan yang diberikan oleh dunia perubatan kepada umat manusia seluruhnya.


Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP