ANDAINYA JEBAT TIDAK TINGGAL DI MELAKA?
>> Monday, December 1, 2014
ANDAINYA
JEBAT TIDAK TINGGAL DI MELAKA??
HANG TUAH adalah sebuah nama yang ulung dalam masyarakat Melayu. Legenda kehebatannya telah diabadikan dalam sebuah kisah HIKAYAT HANG TUAH dan dirakamkan dalam bentuk tulisan untuk bacaan generasi yang terkemudian.
Makam Hang Tuah?
Kepada orang-orang Melayu generasi lama, nama Hang Tuah amat popular dengan berbagai-bagai paparan kisahnya yang menarik, terutama berhubung kait dengan kebijaksanaan dan kebernaiannya, dan ketaataannya kepada pemerintah, tegasnya raja.
Kisah Hang Tuah ini terpilin sekitar lima orang watak utamanya, di mana mereka telah menjalin persahabatan dari sejak kecil lagi. Mereka ialah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Kelima-limanya merupakan sahabat baik, sehidup semati.
Walau bagaimanapun
seperti lumrahnya, perjalanan nasib tidaklah sama antara seorang dengan
seorang, walaupun mereka bersaudara sekalipun. Demikian jugalah dengan keempat
saudara seperjuangan ini.
Sebagai seorang yang
berjasa beliau amat disayangi oleh Raja Melaka. Justeru ini menimbulkan iri
hati dan cemburu di kalangan pembesar-pembesar yang merasa mereka telah
diabaikan.
Mereka telah
merika-rika fitnah menggambarkan Hang Tuah seorang pengkhianat dan penderhaka.
Raja Melaka telah termakan dengan fitnah jahat tersebut dan memerintah Dato’
Bendahara supaya membunuhnya sebagai hukuman. Hg. Tuah tidak membantah rela
menerima hukuman bunuh itu. Namun Dato’ Bendahara yang bijaksana itu tidak
menjalankan hukuman bunuh yang dijatuhkan oleh Raja Melaka, tapi secara rahsia
telah memerintah Hg. Tuah menghilangkan diri ke hulu Melaka dan menetap di
sana.
Perintah bunuh Raja
ke atas Hg. Tuah itu menimbulkan rasa
tidak puas hati kepada Hang Jebat, kerana dilaksana tanpa usul periksa. Hang
Jebat lalu bangkit berjuang menentang Raja Melaka yang dianggapnya zalim itu.
Dia telah membuat onar dan huruhara yeng menggemparkan seluruh Melaka.
Akhirnya Hang Tuah
terpaksa dipanggil kembali untuk mententeramkan keadaan yang gawat itu, setelah
tidak ada seorang pun yang berjaya menumpaskan Jebat.
Akhirnya berlaku
pertarungan antara kedua saudara itu yang berakhir dengan tertikamnya Jebat
oleh Hang Tuah yang membawa kepada kematiannya yang amat menyedihkan hati.
Kepada Raja Melaka,
tindakan Hang Jebat itu dianggap sebagai penderhaka, dan dia patut dihukum,
kepada Hg. Tuah pula, dia seorang hamba rakyat yang taat dan setia kepada
pemerintah atau rajanya.
Walau bagaimanapun di satu pihak lagi ada orang beranggapan Hg. Jebat adalah sebenarnya seorang pahlawan pembela yang berjuang untuk menegakkan keadilan.
Dan perkara ini menjadi satu topik yang menarik untuk dibicara di sepanjang zaman.
Walau bagaimanapun dalam kaca mata Adat Perpateh Hang Jebat bukan seorang penderhaka, kerana kata mereka raja yang disembah ialah raja yang adil.
Oleh itu andainya
mereka berlima, Hang Tuah dan Hang Jebat
lain-lainnya tidak tinggal di Negeri Melaka, tapi di Negeri Sembilan umpamanya
yang mengamal Adat Perpateh maka, Hang Jebat tidaklah dianggap penderhaka.
Ada sebuah pepatah
yang berbunyi, ‘ADIL RAJA DISEMBAH, ZALIM RAJA DICANGGAH’.
Mohammed Din bin
Ali [Bar-at-Law Lincoln’s Inn] dalam
bukunya ‘’Sambaan Chakap dan Pepatah Adat Melayu’[1956] telah menghurai erti pepatah
tersebut.
Izinkanlah saya
petik sepenuhnya pendapat beliau ketika membicara pepatah itu sebagaimana.
-Hukum adat ini yang
kita ketahui terpakai di dalam negeri yang memakai Adat Perpateh yang rajanya
dianggap sebagai ‘neraca keadilan’ tidak boleh dipakai kepada raja yang gah
memerintah dengan kuat kuasa Sultan.
‘Canggah
maknanya membenamkan satu-satu benda ke
dalam air dengan menggunakan kayu yang bercabang: tetapi di sini makna zalim,
raja yang dicanggah itu haruslah dipecat, raja itu diturunkan daripada takhta
kerajaannya.
‘Pembaca-pembaca
yang memerhati kesenian dari cerita‘Hang
Tuah’ sedia maklum kebenaran Hang Tuah ialah semata-mata taat kepada Sultan
Melaka mahupun raja zalim. Tetapi Hang Jebat adalah bersemangat ke Perpatehan,
iaitu tidak reda melarat kerana mengikut pemerintahan yang zalim. Oleh sebab
Melaka tidak memakai Adat Perpateh termasuklah Jebat dalam golongan orang
menderhaka dan orang yang rugi.
Dipandang dari segi Adat Perpateh Jebat adalah seorang perwira yang tak
kurang hemah dari Hang Tuah. Sebab kalau tidak Jebat mengamuk masakan Hang Tuah
dikasihi Sultan Melaka’.
Demikian Mohamed Din
Bin Ali.
Persoalannya? Adakah
akan lahir lagi seseorang Melayu yang berani memperjuangkan keadilan dan
kebenaran seperti Hg. Jebat, lebih-lebih lagi dalam dunia hari ini yang penuh dengan
kekangan?
Namun begitu, kita
tidak sama sekali merestui perbuatan Hg. Jebat membunuh orang-orang awam yang
tidak berdosa untuk membalas dendam itu.
Tindakan seperti itu
bercanggah dengan peraturan,
udang-undang dan hukum Allah, dan bertentangan dengan akal yang waras.
Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan
Kota Bharu, Kelantan
0 comments:
Post a Comment