MENIKMATI CHAPATI DI IBU NEGARA
>> Sunday, December 14, 2014
MENIKMATI CHAPATI DI KUALA LUMPUR
Salah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan dari makhluk yang hidup, khususnya mnusia, ialah makanan. Ia sentiasa di sisi manusia di mana sahaja mereka berada.
Kenapa makanan itu penting kepada manusia?
Kerana makanan itulah memberi tenaga dan kekuatan kepada manusia membolehkan mereka hidup, dan juga berusaha untuk menyempurnakan kehidupan mereka. Manusia mungkin mati andainya mereka tidak makan minum selama waktu yang tertentu.
Oleh itu ke mana sahaja
berada mereka terpaksa membawa atau mencari makanan untuk dimakan bagi membolehkan mereka hidup, sihat dan segar.
Mereka mulai
diperkenalkan dengan makanan sejak mereka dilahirkan ke dunia walau pun mata
mereka masih belum terbuka luas dan belum mengenal sesuatu.
Justeru bila mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat mereka akan membawa bersama-sama mereka, setidaknya jenama makanan yang mereka makan atau mereka sukai bersamamereka atau setidak-tidaknya membawa resepinya, dan mencari bahan-bahan di tempat mereka berada untuk membuat makanan yang menjadi kebiasaan mereka makan itu.
Dengan jalan itulah
berbagai-bagai jenis makanan telah berhijrah bersama-sama dengan pemakannya.
Dan ini mengakayakan aneka jenis makanan tempatan di tempat baru itu, di
samping makanan-makanan tempatan yang sedia ada.
Ini berlaku juga di negara kita Malaysia. Para pendatang itu membawa beraneka jenis resepi makanan berdasarkan makanan kaum atau di tempat asal mereka. Kerana itu lahirlah aneka jenis makanan mengikut rumpun bangsa, seperti ada masakan China, masakan India, masakan Pertugis, masakan Barat dan sebagainya bersama dengan masakan tradisional tempatan.
Di antara jenis makanan
itu, terdapat sejenis makanan dari India, iaitu Chapati. Ia sejenis roti yang
berasal dari Utara India yang penduduknya makan chapati. Ini berbeza dengan
penduduk di selah Selatan India yang gemar makan Thosai yang juga popular di Malaysia
sekarang.
Di Malaysia roti chapati
dipercayai diperkenalkan oleh orang-orang India Sikh atau Punjab. Mereka amat
gemar memakannya.
Chapati diperbuat dari sejenis gandum yang dipanggil Atta yang beerasal dari bijirin gandum jenis keras. Pada masa-masa yang lalu, harga gandum atta di pasaran tempatan lebih murah daripada gandum biasa untuk membuat roti, tapi hari ini harga gandum atta lebih mahal dari gandum biasa. Ini menunjukkan peminat chapati kian meningkat di Malaysia.
Membuat roti chapati
berbeza sedikit daripada membuat roti canai, selain daripada berbeza tepung
gandumnya. Ianya diuli dengan air panas yang dicampur dengan gandum atta
sedikit demi sedikit untuk dijadikan doh yang lembut. Kemudian doh itu digentel
bulat-bulat dengan kedua belah tapak tangan menjadi bebola kecil.
Selepas kira-kira
setengah jam, setelah diletak dalam bekas dan ditutup dengan kain lembab, bolehlah
doh itu dimasak setelah dicanai menjadi bulat leper, kira-kira berukuran enam
hingga tujuh diameternya dan dibakar di atas kuali leper yang kering. Chapati
dibakar di kedua-dua belah, iaitu atas dan bawahnya.
Dalam bahasa India
chapati mengandungi erti “leper dan bulat”. Dan demikianlah bentuk capati itu
dari sejak dulu hingga sekarang.
Chapati ini sedap dimakan
dengan kari ayam, kari dhal, kambing atau daging cincang [kima], dan lain-lain
masakan atas pilihan masing-masing.
Kami telah lama makan chapati ini. Sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau lagi. Di Kota Bharu, tempat kami tinggal pun telah lama orang-orang India menjual chapati di kedai-kedai makan mereka.
Malah pada masa-masa
lalu, kami sering membuat sendiri chapati di rumah untuk makan sekeluarga. Kami
ada kuali khas bebetuk leper untuk membakar chapati, dan juga pernah membeli
sejenis alat pengapit doh untuk membentuk sebiji chapati yang bulat, leper dan
nipis. Tapi alat ini jarang kami gunakan, kerana kami lebih suka mencanainya
dengan tangan kami, kerana lebih mudah dan cepat.
Sehingga hari ini pun minat kami kepada chapati masih segar sebagai pengganti nasi sekali sekala. Tapi malangnya kebanyakan chapati hari ini tidak lagi seenak chapati masa lalu, terutama sekali kerana keadaannya keras dan tidak membangkitkan selera.
Tapi setelah berada di ibu negara kali ini, dengan bantuan seorang sahabat baik, kami telah bertemu dengan sebuah kedai chapati di ibu negara Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tengku Abdul Rahman. Chapati di Santa ini lembut dan rasanya enak, dimakan dengan beberapa janis masakan, termasuk dhal. Tidak hairanlah setiap kali kami kunjungi di Santa tidak pernah ketiadaan peminat yang terdiri dari segala bangsa, termasuklah pelancong-pelancong dari luar negara.
Santa ini tidak mudah ditemui, kerana pintunya terletak di lorong belakang, dan bukannya menghala jalan besar sebagaimana kedai biasa. Kenalah mencarinya sedikit untuk a mendapatkannya. Walau bagaimanapun di sinilah chapati yang enak yang pernah kami temui sejak kebelakangan ini
Namun, juga kita lupa kepada firman
Allah, “Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan
janganlah kamu menurut jejak syaitan, kerana syaitan itu musuh yang nyata kepada
kamu”.Al-An’Am:142.
Premiera,
Kuala Lumpur
Premiera,
Kuala Lumpur
0 comments:
Post a Comment