KARYA TAHUN 1948; FALSAFAH BERUMAH TANGGA

>> Thursday, December 4, 2014







Karya Tahun 1948
FALSAFAH BERUMAH TANGGA


Dalam simpanan kami antara lain terdapat sebuah buku bertajuk seperti di atas, tapi dalam tulisan Jawi. Usianya telah menjangkau warga emas, enam puluh enam tahun.





                                                     Muka Hadapan


Buku itu hasil karya Allahyarham Nik Muhammad Saleh bin Almarhum Haji Wan Musa Kelantan. Haji Wan Musa adalah seorang tokoh ulama yang terkenal di negeri ini.


Jodol penuh buku itu ialah “Falsafah Berumah Tangga”, atau “Tafsir Surah Al-Mujallah”. Ia dicetak dan dikeluarkan oleh Persekutuan Amir Pasir Mas [Kelantan].


Buku itu berukuran kecil, setebal 84 lembar sahaja. Buku ini seingat saya  dihadiahkan oleh Allahyarham Ustaz [Dato’} Yusof Zaky Yaacob di pejabat pada suatu hari.


Sebanyak 55 muka buku itu menghuraikan falsasfah berumah tangga, sementara selebihnya berupa tafsir Surah Al-Mujallah, “yang menerangkan falsafah berumah tangga itu, dan mengaturkan cara-cara bagi melembagakan rumah-rumah tangga yang bahagia dan tempat berhidup bersuka ria”.


Pengarang buku ini membela kaum wanita. Menuntut kaum wanita kita diberikan hak yang sewajarnya dalam berbagai-bagai bidang kehidupan, baik pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan sebagainya. Pada masa itu memang terdapat dua aliran yang bercanggah, satu golongan ingin melihat kaum wanita kita maju dan di pihak yang lain pula menghalang wanita diberi peluang untuk bergerak bersama kaum lelaki dalam arus  pembangunan.




                                                    Kulit belakang


Dalam usaha untuk membela kaum wanita itu, penulis telah membariskan beberapa tugas wanita yang penting dalam kehidupan seharian mereka, antaranya:


-Menjaga urusan rumah tangga dengan sebaik-baiknya.


-Mendidik anak-anak lahir dan batin mengikut ajaran Islam.


-Mengajar al-Quran dan hikmatnya kepada sesiapa sahaja.


-Berkhidmat demi kepentingan bangsa dan negara.


-Berkhidmat dalam pasukan tentera jika berlaku peperangan, seperti merawat mereka yang tercedera dan sebagainya..


Beliau mengakhiri kata aluan dalam buku itu dengan kata-kata ‘HIDUP KAUM IBU MELAYU”, dan tercatat alamat rumah dan tarikh 2 Mac 1948.


Pasir Tumboh,
Kota Bharu.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP