AIR DI LAPANGAN TERBANG SUBANG

>> Friday, December 12, 2014






AIR OH AIR 
DI LAPANGAN TERBANG SUBANG





Kapal terbang yang seharusnya bertolak pukul enam lebih di Pengkalan Chepa, Kota Bharu telah terlewat bertolak, pukul tujuh malam lebih, kerana kelambatan ketibaan kapal terbang dari Subang. Hari itu Rabu, malam Khamis, 10 Disember 2014.


Setelah beberapa minit dalam pnerbangan, juru terbang memohon maaf kepada para penumpang  atas kelewatan yang tidak disengajakan itu. Katanya ia berlaku kerana kapal terbang yang berada di Subang tidak dapat berlepas ke Kota Bharu, akibat hujan lebat. Beliau juga menambah kata pada waktu itu cuaca di di Subang telah pun baik.


Kapal terbang terus meluncur membelah angkasa dalam selubung malam yang memeluk alam. Penerbangan lancar. Tidak ada gegaran terasa kerana kapal-kapal terbang melanda awan-awan tebal yang berpesta di angkasa.


Tapi sejurus selepas juru terbang mengumumkan kapal terbang berada setinggi 16,000 kaki di angkasa, dan meluncur dengan kelajuan 450 km sejam, terasa kapal terbang tersentak-sentak agak hebat. Dari tingkap kecil kapal terbang tidak ada apa-apa yang kelihatan di luar, kecuali kelipan-kelipan cahaya yang memancar-mancar menerangi kegelapan malam di awan tinggi. Rasanya hujan telah turun mencurah-curah yang disertai oleh pancaran kilat yang membelah bumi.


Tapi tidak lama kemudian alam di luar terasa tenang kembali. Dari jendela kecil kapal terbang yang sedang meluncur, kelihatan lampu-lampu bertaburan di bumi. Ada yang kelihatan macam pagar lampu dalam berbagai bentuk di mana bayangan bangunan samar-samar kelihatan. Dan ada pula kelihatan memanjang memancar dari tiang-tiang yang dipacak kanan kiri jalan, kelihatan seperti ular panjang, nampaknya begitu menarik pandangan. Subhanallah.


Sebentar kemudian terasa kapal terbang menjunam dan kemudian diikuti bunyi hentakan tayar kapal terbang pada landasan kapal terbang. Beberapa tempat lembah di landasan itu kelihatan masih digenangi air yang menunjukkan hujan lebat telah melanda. Kemudiannya kapal terbang langsung terhenti dekat  dengan bangunan terminal.


Nasib baik waktu kami melangkah turun dari kapal terbang tidak ada hujan lagi. Setelah mengambil kopor selepas menunggunya beberapa waktu, saya pun mengheretnya keluar dari kawasan menunggu barang.


Tapi bila masuk tandas, anih, semua pintu-pintu tandas kamar kecil tandas terkunci dari dalam. Saya sangka semuanya dipenuhi orang.


Bila saya buka paip air di tempat membasuh tangan semuanya tidak ada air yang keluar. Tidak ada setitis air pun. Dan di atas sinkin kencing berdiri teratur beberapa buah botol air minuman kecil yang kosong. Dan ini jelas menunjukan Lapangan Terbang Subang telah kemarau kekeringan air.


Sebuah restoran yang sering kami kunjungi di lapangan terbang ditutup waktu itu. Pada prasangka kami mungkin kerana bekalan air telah terputus. Sebelum ini saya tidak pernah melihat restoran itu ditutup.


Di luar tandas seorang pencuci wanita memberitahu memang tidak ada bekalan air. Katanya di tingkat atas pun tidak ada air, malah di surau pun juga kekeringan air. Entah bila Lapangan Terbang Subang mula tidak berair tidaklah diketahui, namun begitu diharap tidaklah mengambil masa yang lama yang boleh merosakkan nama baiknya.


Namun begitu, patutnya di luar tandas-tandas itu diletak pemberitahuan bahawa tandas tidak ada air dan dengan itu tidak menyusahkan orang ramai masuk dan keluar tandas dengan rasa sebal hati. Setidak-tidaknya kalau berhajat sangat, mereka boleh membeli air botol untuk digunakan.


Dan alangkah lebih baiknya lagi, kiranya pihak lapangan terbang mengatasi kesulitan itu dengan menyediakan sedikit air untuk kegunaan mereka yang amat memerlukannya dengan mengisikannya ke dalam tong-tong dan sebagainya.


Walau bagaimana pun, ini semua menunjukkan bahwa segala usaha manusia tidak dapat mengatasi takdir Allah. Tanpa kemarau, dan dalam keadaan hujan, air boleh kehabisan kerana sebab-sebab tertentu di luar jangkaan. Allahuakbar!


Tidak berapa jauh meninggalkan lapangan terbang kami terpaksa menempuh hujan yang lebat yang turun dengan mencurah-curah hingga sampai ke Sungai Buloh yang menyambut kami dengan air bersih dari langit. Kami turun dari kenderaan dalam hujan lebat.


Sungai Buloh ini pun beberapa bulan yang lalu, termasuk dalam area darurat tidak kecukupan air, di mana pembekalan air setiap hari dicatukan. Tapi sekarang telah bebas dari pencatuan dan bekalan air telah kembali normal.


Demikian hebatnya kuasa Allah mengatur segala urusan-Nya dengan penuh hikmat dan kebijaksanaan-Nya.



Premiera,
Kuala Lumpur.



Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP