JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA DALAM KARYA DRS. ABDUL RAHMAN AL-AHMADI

>> Tuesday, December 9, 2014







                         Jambatan S.Yahya Petra


JAMBATAN YAHYA PETRA
DALAM KARYA DRS. ABDUL RAHMAN AL-AHMADI



Jambatan Merah



JAMBATAN Sultan Yahya Petra adalah sebuah jambatan yang merentangi Sungai Kelantan untuk menghubungi bumi Kelantan di sebelah Utara dan  Selatan negeri ini.


Sungai Kelantan adalah sungai yang membelah Negeri Kelantan kepada dua, di mana bandar ibu negerinya Kota Bharu terletak di tebing sungai di sebelah selatan. Sementara di sebelah utara terdapat bandar-bandar jajahan, iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Rantau Panjang dan terbaru Jeli.


Sebelum Jambatan Sultan Yahya dibina sudah ada sebuah jambatan kereta api yang merentangi Sungai Kelantan menghubungi kedua-dua bahagian negeri itu, iaitu Jambatan Kusial  juga melintasi Sungai Kelantan untuk sampai ke Tanah Merah.


Oleh itu untuk menyeberangi Sungai Kelantan menuju ke utara negeri Kelantan khidmat feri digunakan untuk mengangkut kenderaan, bertempat di Pasir Mas Salor menuju ke  Pasir Mas. Sementara orang ramai pula boleh menggunakan bot atau perahu penambang.


Tapi hari ini perkhidmatan feri dan bot tidak lagi diperlukan, kerana sebuah jambatan baru telah dibina merentangi Sungai Kelantan di Pasir Mas Salor  untuk ke utara jika tidak ingin menaiki Jambatan Sultan Yahya Petra.
.

Jambatan Sultan Yahya Petra mengukir sejarahnya yang tersendiri. Ia mulai dibina pada tahun 1962 oleh Kerajaan Kelantan pada masa itu yang diperintah oleh PAS. Ia dibina oleh oleh Kein Huat Private Limited dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM6 juta.


Ia dirasmikan oleh Almarhum Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim dan dinamakan mengambil sempena nama Baginda, Jambatan Sultan Yahya Petra.


Saya masih ingat lagi, ketika itu saya berada di penghujung persekolahan, di mana pada malam perasmian itu ribuan rakyat Negeri Kelantan telah keluar membanjiri jambatan itu. Mereka terdiri daripada berbagai bangsa, dan berbagai-bagai peringakt umur.


Di bawah sinar lampu yang melimpah benderang mereka hilir mudik dengan penuh kemeriahan, terutama dari kalangan anak-anak muda.


Jambatan Yahya Petra ini pada mula-mulanya dikenakan tol untuk orang yang melaluinya. Tapi kemudiannya dibatalkan oleh Kerjaan BN yang berjaya menawan Kelantan dalam pilihnaraya 1978. Penghapusan tol jambatan itu merupakan salah satu kandungan manifesto BN dalam pilihan raya tersebut.


Seingat-ingat saya, pada sebelah malamnya bila kerajaan baru diistiyarkan menang, maka pada pagi keesokannya pondok tol yang terletak di kepala jambatan itu pun terus dirobohkan. Ini memberi erti tol jambatan tersebut telah dihapuskan oleh kerajaan baru mulai hari itu juga.


Mohd Zain Saleh dalam bukuny KELUARGA DIRAJA KELANTAN DARULNAIM, ktika berbicara mengenai jambatan ini sekadar menyentuh sepintas lalu sahaja. Ujar beliau, “Jambatan Sultan Yahya Petra dibina dalam tahun 1962 dengan menelan perbelanjaan $6 juta. Ia dirasmikan pembukaannya oleh KDYMM Baginda Sultan Tengku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan dinamakan sempena dengan nama Baginda. Jambatan ini memudah dan memendekkan perjalanan dari Kota Bharu-Tumpat dan ke Pasir Mas kerana sebelum ini terpakasa menaiki feri di Seberang Pasir Mas”.


Di Indonesia ada sebuah jambatan yang termasyur, sebuah jambatan bersejarah, iaitu Jambatan Merah. Jambatan ini terletak di Surabaya, Jawa Timur Indonesia. Kesejarahan jambatan ini telah dirakam dalam sebuah lagu yang masyur dengan nama Jambatan Merah yang dicipta oleh Gesang. Jambatan Merah ini diwarnai dengan cat warna merah.
Jmbatan Sultan Yahya Petra mungkin tidak ada dalam lagu, tidak didendangkan oleh para artis seperti lagu Jambatan Merah, namun ianya tidak ketinggalan dirakamkan dalam karya para penulis, khususnya penulis tempatan. Walaupun mungkin tidak banyak yang boleh ditemui, tapi saya menyimpan sebuah puisi yang ditulis oleh sahabat saya, Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi seorang penulis sejarah dan budaya yang terkenal berhubung dengan jambatan ini.


Beginilah bunyi senandung puisi ciptaan beliau itu:






SENJA DI JAMBATAN


Aku terpekun terpesona

Ketika berdiri di Jambatan Yahya Petra

Di kala senja datang menjelma

Melihat Kali Kelantan penuh rahsia

Di kaki langit barat

Cahaya gelap bercampur cerah

Di liku kejauuhan air mengalir tenang

Pasir puteh di sela-sela rumput hijau.

Teringat aku kisah lama

Jika engkau dapat berbicara

Banyaklah dongeng dapat kudengar

Sejarah purba nan jaya

Di atas air belayarlah

Armada-armada perkasa Dapunata  Hiang Jaya Naga

Dan engkau menangis
Kerana tiada lagi Dewa Muda Sang Jaya Petra

Untuk baktimu kepadanya.

Kini kau hanya antara dua musim

Di musim kemarau airmu tak seberapa

Di kala bah engkau garang

Menerkam dan menerajang

Antara evolusi dan revolusi

Engkau berpesan pada putera bangsa

Terus, teruskasn tradisi nenek moyangmu

Setialah kepadanya

Seperti aku setia kepada sumberku.


Abdul Rahman Al-Ahmadi.

Demikianlah cetusan rasa seorang penulis tentang jambatan bersejarah, Jambatan Sultan Yahya Petra yang terus terpajak memanjang merentangi Sungai Kelantan yang banyak menyimpan sejarah negeri ini sejak zaman berzaman.



                                   Melihat banjir dari atas Jambatan S.Yahya Petra

Saya pernah menulis novel di mana peristiwanya melibatkan Jambatan Sultan Yahya Petra, telah lama saya menggarapnya, tapi malangnya tidak pernah selesai sampai ke hari ini. Saya cuba mencari manuskripnya yang sememang masih ada dalam simpanan, dan mungkin ada ruang untuk saya menyiapkanya kembali jika dirasakan sesuai dengan zaman ini. Insya-Allah.



Pasir Tumboh,
Kota Bharu.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP