WASATA DI JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN

>> Sunday, December 21, 2014








WASATA DI JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN




Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah salah sebatang jalan yang terkenal di bandar raya Kuala Lumpur. Jalan  ini mempunyai sejarah dan keistimewaannya yang tersendiri.


                                         Bandar raya Kuala Lumpur


Ianya jalan satu hala, dan merupakan jalan utama, ibu negara Kuala Lumpur. Nama diberi mengambil sempena nama Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Yang Di Pertuan Agong Pertama, Tuanku Abdul Rahman, dari Negeri Sembilan. 


Ia sebuah jalan pendek. Nama asalnya Batu Road atau Jalan Batu. Panjangnya 1.18 km [1.18 batu] sahaja. Ia berhujung dengan Chow Kit di sebelah utara di mana terletaknya Pasar Chow Kit, sementara di sebelah selatannya pula berakhir dengan Masjid Jamek.



Bersama sahabat dari Indonesia




Masjid Jamek  dibina pada tahun 1907, terletak di antara Sungai Klang dan Sungai Gombak. Ianya merupakan masjid utama, sebelum pembinaan Masjid Negara.




Sesudah begitu lama tidak memijak kaki di jalan ini, [hanya sekadar melewatinya dalam menghala ke distinasi lain], maka baru-baru ini saya telah berkesempatan menginap di sebuah penginapan di jalan tersebut selama beberapa hari.



Pada sebelah tengah harinya bila ada waktu rihat saya mengambil kesempatan merayau-rayau di sekitar. Banyak yang telah berubah, terutama bertambhnya bangunan-bangunan baru, terdiri dari gedung-gegung perniagaan.



                                         Sudut lain KL




Sekarang di Jalan Tunku Abdul Rahman ini terdapat pasar-pasar raya yang moden, seperti Sogo dan Maju Junction. Tapi pada umumnya di Maju Junction ini hanya menjual pakaian-pakaian wanita sahaja. Kebetulan masa saya pergi itu, berhampiran sebuah tangga terdapat penjualan buku-buku terpakai, hampir keseluruhan buku berbahasa Inggeris.



Di Jalan ini juga terdapat pusat membeli belah yang terkanal dulu, iaitu Pertama Complex yang masih bernafas hingga ke hari ini. Terdapat juga Wisma Shen.



Bersama sahabat dari luar negara




Pada masa dulu, ketika tinggal di Keramat Jaya hampir setiap hari saya berada di Jalan ini untuk menaiki bas. Dan juga untuk pergi ke Pasar Chow Kit membeli barang-barang keperluan, termasuk barang-barang dapur.



Kami suka ke Pasar Chow Kit kerana di pasar itu banyak pilihan barang-barang yang dijual di situ dan harganya berpatutan, terutama makanan-makanan basah. Pada masa itu Chow Kit merupakan tempat yang merbahaya, malah terkenal sebagai kawasan hitam dalam tahun 1980an, terutama sekali sebagai pusat perdagangan manusia, iaitu pelacuran. Tapi sekarang telah berubah dengan pesatnya.


                                          Promosi pakain pengantin di Jalan TAR



Di samping itu di sekitar tempat itu juga terdapat beberapa buah pasar raya, dan gedung-gedung pakaian. Saya rasa ada di antara pasar raya itu sudah tidak ada lagi sekarang. Mungkin bertukar nama, atau bertukar corak perniagaannya. Tapi kali ini tidak terlintas di benak saya untuk pergi ke Pasar Chow Kit ketika berada di sini selama beberapa hari.



Hari itu saya merayap sampai ke Wisma Yakin. Di kiri kanan Jalan Tuanku [biaasanya disebut Tunku sahaja], seperti dulunya penuh dengan gedung-gedung pakaian, dan beberapa buah toko buku dan restoran.



Ramai pembantu-pembatu jualan atau pembantu kedai adalah anak-anak Melayu, iaitu anak-anak gadis yang jangak-jangak dan comel-comel. Tapi saya tidak pasti siapakah pula tuan empunya kedai itu yang membayar gaji mereka?



Dan tempat yang sering menjadi tujuan saya di Wisma Yakin ialah sebuah kedai buku di situ yang banyak menjual buku-buku dari Indonesia. Tapi tidak ada majalah atau akhbar Indonesia. Seperti biasa ramai orang di kawasan tersebut, kerana ianya merupakan kawasan membeli belah yang termasyur. Banyak kedai-kedai India di situ yang menjual pakaian, termasuk pakaian-pakaian India.



                                         Bandar KL dari atas



Setelah keluar dari toko buku itu saya memasuki sebuah lorong pasar malam yang dibuka sejak siang hari lagi. Hampir separuh perjalanan, hujan renyai-renyai mulai turun, menyebabkan para peniaga mengemaskan barang-barang mereka daripada dibasahi hujan.




Bersama cucu




Itulah Lorong Tuanku Abdul Rahman, yang ditutup kepada semua kenderaan seminggu sekali khusus untuk jualan pasar malam itu. Pasar malam itu dibuka dari awal-awal pagi lagi sehingga larut malam.



Namun begitu saya terus berjalan juga menyusuri lorong pasar malam itu. Rupa-rupanya di luar dugaan saya pasar malam itu amat panjang. Jenuh saya berjalan baru sampai ke hujungnya.




                                         Air hujan menggenangi jalan



Berbagai-bagai barang dijual di situ, termasuk makanan-makanan, kuih-muih, dan sebagainya. Ada juga beberapa buah gerai yang menjual makanan Kelantan, seperti nasi kerabu.



Di hujung lorong saya menjadi keliru sedikit, di mana sebenarnya saya berada, namun  saya meyempang ke kanan, melintasi Balai Polis Dang Wangi dan meneruskan perjalanan arah ke Masjid India untuk balik semula ke di tempat penginapan, di Jalan Tuanku Abul Rahman. Rupa-rupanya saya telah menghabiskan masa selama hampir tiga jam lebih untuk berjalan-jalan hari itu. Patutlah terasa capet. Selepas solat saya terus tertidur.



Setelah selesai urusan kami keluar dari penginapan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan hari ini berada di Sungai Buloh.



Sungai Buloh,
Selangor.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP