Terimalah Diri Anda Dengan Segala Halnya Dan Seada-adanya

>> Saturday, February 22, 2014






TERIMALAH DIRI ANDA DENGAN SEGALA HALNYA DAN SEADA-ADANYA



Sepasang suami isteri yang masih muda. Suami tampan dan isterinya jelita.. Dari keluarga bangsawan yang kaya raya. Tinggal di sebuah rumah, persis istana di ibu kota, bersama dengan ayah dan bonda.

Mereka baru beberapa bulan diijabkabulkan sebagai suami isteri. Alangkah bahagianya mereka. Lebih menggembirakan lagi, bila pada suatu hari mereka mendapat tahu akan mendapat cahaya mata. Lebih-lebih lagi sang isteri. Tidak sabar-sabar rasanya untuk menyambut ketibaan sang bayi yang akan menyerikan lagi hidup mereka. Hari-hari, minggu-minggu dan bulan-bulan yang berlalu terasa berengesut-engsut  begitu lambatnya.


Akhirnya tiba juga hari yang ditunggu-tunggu. Maka lahirlah seorang bayi dari rahim ibunya. Tapi malang buat sang ibu, kerana bayi yang dilahirkannya tidak sempurna sifat fizikalnya. Dia cacat. Sang ibu amat kesal, sedih dan kecewa dikurniakan seorang anak yang sumbing bibir atasnya. Dia hanya sekali melihat bayi itu selepas dilahirkan, kemudian dia enggan melihatnya lagi, malah meminta suaminya membuang sahaja bayi itu atau menyerahkannya sahaja ke rumah kebajikan masyarakat.


Puas suaminya memberi nasihat kepadanya supaya bersabar, dan menerimanya sebagai takdir Ilahi. Demikian juga ayah dan bondanya. Tapi dia masih tidak dapat menerima hakikat anaknya cacat. Katanya perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Dia terus berada dalam kemurungan dan kesedihan, dan penyesalan yang tidak berhujung. Dengan itu, dia menyeksa dirinya sendiri.


Setelah berbulan-bulan berlalu, akhirnya mungkin berkat doa suaminya, ibu dan ayahnya, wanita malang ini tiba-tiba berubah. Dia dapat menerima hakikat keadaan anaknya yang tidak normal itu. Walaupun pedih masih terasa, tapi dia berjaya menajalani hidupnya dengan lebih selesa. Dia dapat menerima takdir Ilahi. Lebih-lebih lagi pemeriksaan doktor menyatakan keadaan sumbing anaknya itu boleh diperbaiki menerusi pembedahan. Walaupun tidak seratus peratus sempurna, tapi sudah cukup untuk menimbulkan keselesaan.

                                                                                 



                       Terimalah diri sendiri dengan seada-adanya untuk hidup harmonis.
 

DI ATAS adalah sebuah contoh kecil di mana seorang hamba Allah yang tidak dapat menerima takdir, ketentuan Allah. Masih banyak lagi contoh-contoh yang boleh diangkatkan mengenai orang-orang yang seperti ini. Malah mereka juga menolak dirinya sendiri. Tidak dapat menerima dirinya sebagaimana adanya. Demikian juga dengan hal-hal yang bersangkutan dengan dirinya. Dia tidak dapat menerimanya.


Adalah satu kesilapan kalau kita berfikir menerima kehidupan kita sekarang samalah ertinya dengan kita menerima dengan senang hati segala hal  yang berkaitan dengannya. Kita menerima dengan ikhlas segala hal yang berlaku yang memang tidak boleh kita elakkan. Tapi dalam perkara-perkara yang boleh kita elakkan atau boleh kita atasi, walaupun kita reda, tapi kita akan berusaha untuk mengatasinya mengikut kemampuan kita.


Kalau seseorang ditimpa penyakit, dan penyakit itu memang boleh di ubati, tentulah tidak wajar kepadanya untuk berpuas hati dengan pengidapannya itu, dan mengambil sikap negatif tidak ingin berikhtiar untuk merawatnya. Sudah takdir begitu, katanya. Bukankah itu satu kesilapan besar?


Seseroang menyedari dia bodoh, tdak berilmu, dan berpuas hati dengannya, sebagai satu takdir. Dia enggan untuk belajar, mencari dan menambah ilmu, untuk menghilangkan kebodohannya itu. Benarkah tindakan bodoh dan membodohkannya itu?


Demikianlah tentunya tidak wajar, andainya kita bekerja di bidang yang tidak sesuai dan tidak kita sukai, sedangkan kita masih mempunyai peluang yang luas untuk mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai dan kita sukai?


Untuk mengubah sesuatu yang tidak baik kepada yang lebih baik, memerlukan usaha, dan untuk berusaha pula memerlukan semangat yang cekal. Orang yang lembik semangat tidak akan berjaya mengubah keadaan.


Namun begitu, ada banyak perkara atau hal yang tidak boleh kita ubah ataupun perbaiki, walapun kita berusaha dengan sedaya upaya dan dengan semagat yang utuh. Umpamanya kematian yang menimpa orang-orang yang kita kasihi. Sudah tentu kita tidak dapat mengubahnya. Kita tidak dapat menghidupkan orang yang mati. Kematian satu hakikat. Setiap yang hidup pasti mati. Apa yang dapat kita lakukan ialah menerima kematian itu sebagai satu takdir yang mesti ditempohi oleh setiap yang hidup bernyawa, walaupun dengan rasa sedih dan kecewa. Kita mesti menghadapinya dengan sabar dan tenang, teruskan hidup seperti biasa sehingga tiba giliran kita pula untuk diratapi.
.

Mengatasinya

Setiap penyakit ada obatnya. Setiap problam ada cara penyelasaiannya. Kita kembali kepada pokok persoalan. Kita mesti belajar untuk menerima diri kita sendiri.  Menerima siapa kita. Ini adalah hakikatnya. Seorang ahli fikir Greek purba memberi tiga prinsip kesihatan mental, iaitu “kenali diri anda, terima diri anda, dan jadilah diri anda”.




Jangan Jadi Bangau yang tidak sukakan
bulunya putih, lalu terjun ke dalam tong cat
hitam, dan akhirnya dia terperangkap
dan mati.

Tapi anehnya, ramai orang dalam dunia ini tidak dapat menerima dirinya sendiri. Mereka tidak bersedia menerima hakikat diri mereka. Malah menolaknya.


Kenapa tidak? Cubalah anda perhatikan. Orang-orang yang tinggi lampai, tidak sukakan ketinggiannya, dan ingin menjadi pendek. Sebaliknya orang-orang pendek pula, tidak sukakan kependekannya dan berharap ingin menjadi tinggi.


Orang-orang yang bertubuh besar, kerana kerangkanya memang besar, tidak sukakan kebesarannya, dan ingin menjadi kecil. Sebaliknya orang-orang yang kecil pula, tidak sukakan kekecilannya itu, dan berusaha untuk menjadi orang besar.


Orang-orang yang sudah memiliki kerja yang baik dan sesuai dengannya, merasa tidak puas hati dengan pekerjaannya itu, lalu berusaha mencari pekerjaan baru yang belum dapat dipastikan keadaan dan masa hadapannya.


Ada orang yang cukup sifat kejadian fizikalnya, merasa tidak puas hati dengan dirinya seorang lelaki, lalu ingin menjadi perempuan. Sebaliknya ada pula manusia perempuan yang tidak puas dengan kepermpuanannya, lalu berusaha menukar jantinanya menjadi lelaki.


Lebih jauh lagi, ada orang-orang yang tidak dapat menerima hakikat kelemahan dan kekurangan dirinya sendiri. Sedangkan setiap orang ada mempunyai kelemahan diri masing-masing. Manusia bukan superman. Kita mesti mengakui kelemahan dan kekurangan kita, kerana kita tidak mempunyai kekuasaan untuk mengubah atau membuangnya. Andainya kita mengenepikannya, dan mengkesampingkannya, seolah-olah ia tidak ada, justeru itu kita berusaha melakukan sesuatu yang diluar dari daya kemampaun dan kebolehan kita,  maka kita mungkin akan menerima akibat buruk, khususnya mendapat tekanan dan mungkin langsung akan tumpas dan menderita kerananya.


Kerana tidak bersedia menerima kelemahan diri inilah boleh menyebabkan seseorang menderita penyakit jiwa hina diri atau inferiority complex. Dia cuba menolak kebenaran. Sedangkan setiap orang ada mempunyai kelemahan diri, jika dibanding dengan orang lain, yang mesti dikui dan diterimanya. Demikian juga orang lain mempunyai titik-titik kelemahan diri mereka masing-masing jika dibandingkan dengan kita. Sebaliknya setiap kita, ada pula mmempunyai kelebihan-kelebihan diri yang tertentu yang tidak ada pada orang lain, demikian juga orang lain jika dibandingkan dengan kita ada mempunyai kelebihan dan keistimwaan masing-masing. Jika seseorang dapat menerima hakiat-hakikat kekurangan dan kelemahan dirinya itu, maka sudah tentu dia tidak akan mederita penyakit hina diri.


Alangkah baiknya kalau orang-orang seperti ini dapat menerima dirinya dan segala hal-halnya dengan sebaik-baiknya untuk  membolehkan mereka hidup dengan tenteram dan selesa. Tidak mengejar dari bayang ke bayang.


Di samping tidak dapat menerima diri sendiri, ada pula orang yang tidak bersedia menerima diri orang lain dengan segala kelemahan dan kekurangannya, juga dengan segala kelebihan dan keistimewaannya. Jika kita boleh bersedia menerima kelemahan diri kita, maka kita juga hendaklah bersedia menerima kelemahan dan kekurangan orang lain, baik di rumah, di tempat kerja dan juga di dalam kehidupan kita sehari-hari. Inilah salah satu hakikat hidup manusia yang tidak sempurna mutlak kejadiannya. Justeru untuk tidak menerima seseorang dengan segala kelemahan dan kekurangannya itu adalah satu perkara yang luar biasa dan aneh.


Malah mereka bukan sahaja tidak dapat menerima kekurangan dan kelemahan orang lain, tapi cuba menyalahgunakannya atau cuba mengubah mereka mengikut acuan yang mereka kehendaki.


Sikap ini adalah merupakan salah satu faktor yang menjadi penyebab kepada kehidupan rumah tangga yang tidak aman dan harmonis. Selalu tercetus sengketa akibat rasa tidak puas hati. Sebelum bernikah, mereka telah terlebih dahulu kenal mengenai antara satu lain, telah mengetahui hati perut masing-masing, telah berkasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama  lain. Sebelum bernikah masing-masing telah mengetahui kelemahan dan kekurangan diri masing-masing dan sedia menerima segala-galanya. Tapi setelah diijbakabulkan, maka tercetus pula rasa tidak puas hati dengan kelemahan dan kekurangan diri pasangan masing-masing. Malah lebih jauh lagi cuba mengubahnya mengikut selera suami atau isteri. Ini boleh mengakibatkan pergeseran suami isteri yang berakhir dengan kekeruhan rumah tangga.


Menerima orang lain amatlah pentingnya, sebagaimana pentingnya kita dapat dan wajib menerima diri kita sendiri. Kita bersedia menerima orang lain, dengan segala kelemahan dan kelebihannya, dengan segala kekurangan dan keistimewaaannya. Inilah rahsia kententeraman diri, rahsia keharnonian diri dalam hubungan kita dengan orang lain, di rumah tangga, di tempat kerja dan juga di dalam kehidupan bermasyarakat.


Bersedia menerima orang lain dengan segala kelemahannya, bukan memberi faedah kepada diri kita sendiri semata-mata, tapi juga secara langsung memberi faedah kepada orang yang berkenaan itu. Sikap kita itu boleh menolong mengubah mereka kepada keadaan yang lebih baik. Inil adalah salah satu rahsia persahabatan yang terbesar dan amat berharga.


Andainya kita suka menegur,mengeritik, membantah orang lain, dan berusaha untuk membentuk mereka menurut acuan yang kita kehendaki, maka mereka juga tidak dapat menerima kita. Perkara yang simpel. Jika kita tidak dapat menerima orang, maka orang pun tidak dapat menerima kita. Jika kita menolak orang, maka orang pula menolak kita. Itulah kebiasaannya.


Sikap boleh menerima diri sendiri dan orang lain ini, merupakan anak kunci emas yang akan membuka pintu-pintu gedung yang lebih luas ke arah penerimaan kehidupan dan segala hal yang bersangkut paut dengannya, termasuklah segala pengalaman yang menimpa kita. Dengan itu juga membolehkan kita menerima segala hal yang memang tidak boleh dielakkan daripada berlaku dengan aman, gembira dan kriatif, bukan sebaliknya menolaknya dengan dukacita dan amokan keharuan yang membadai perasaan dan jiwa.

Bagaimana sikap anda jika kereta api yang sedang anda tunggu di stesen lewat sampai, atau kapal terbang yang anda hendak naik lewat berlepas kerana sebab-sebab tertentu? Dan bagaimana pula dengan sikap anda, jika tiba-tiba mendapati pada suatu pagi, tayar kereta anda bocor, dan anda terlewat ke tempat kerja?


Memanglah mudah untuk anda mengomel, menggerutu, merepek dan mencela, dan meletakkan diri anda dalam keadaan yang kelam kabut dan tidak keruan. Tapi kejadian-kejadiaan yang tidak diduga seperti itu, memang merupakan sebahagian daripada rutin hidup kita, dan memang tidak boleh dielakkan. Ia mungkin sahaja berlaku, kita suka atau tidak suka. Itulah hakikat kehidupan yang mesti kita terima dengan sabar, gembira  dan senang hati, malah mungkin dengan sikap kelucuan. Ini lebih bermakna daripada menghadapinya dengan sedih dan murung, yang tidak dapat mengubah keadaan. Kita tidak dapat mengubah peristiwa, tapi kita boleh membentuk peristiwa.


Sesungguhnya memang sukar kepada kita untuk menerima dengan mudah segala kekecewaan besar, kegagalan besar, trajidi besar yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Ia sudah menjadi asam garam kehidupan. Kemalangan, penyakitan, kegagalan, kehilangan pekerjaan, kematian adalah merupakan hal-hal besar yang sering melanda dalam kehidupan manusia dan ia memang tidak dapat dimungkiri lagi. Hal-hal yang memang sukar untuk kita menerimanya. Namun begitu, jika ia datang dan pasti akan datang, seperti kematian, kita mesti menerimanya dengan wajar, dengan saksama, dan dengan hati yang bersemangat waja. Kita hendaklah bangkit kembali dari kejatuhan itu. Hidup mesti diteruskan selagi hayat dikandung badan. Terimalah diri kita dan hal-hal yang bersangkut dengannya sebagaimana adanya. Inya-Allah jiwa kita akan aman dan tenteram, dan akan merangkul kejayaan dan kemenangan dalam hidup.

Salah satu kata-kata isteri saya, Allahyarhamah Asiah Yaacob [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] yang selalu diingat oleh  putera dan puteri kami bila berada dalam suasana atau keadaaan yang tidak dapat dielakkan ialah, “Semuanya hak Allah!”. Ya semuanya dari Allah. Terimalah dengan reda dan wajar sebagai hamba Allah yang berakal dan berfikiran.

                                                                                    

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP